Petua Hilangkan Bisa Terkena Sengatan Gigi Ikan

Sebaik sahaja terkena sengatan gigi ikan seperti ikan Jenahak, Malong dan sebagainya di anggota badan terutama jari, cepat-cepat cedok air laut tempat anda memancing dengan tangan kanan dan titiskan ke dalam mulut dan telan sedikit air tersebut. Rasa bisa serta denyutan akan berkurangan dan bolehlah sapu apa-apa ubat yang sesuai selepas itu.

 

 

Petua Memancing – Larangan Mengenai Mulut

Mulut jangan cakap besar, takbur, celupar dan suka menyumpah. Jangan suka menegur sesuatu yang tidak pasti seperti bau wangi dan sebagainya. Mulut jangan terlalu suka berjenaka dan bersenda gurau berlebihan ditakuti suka akan membawa duka. Jangan suka buat bising.

eJoran:Berhati-Hati Ketika Berada di Kuala

Kita kadang-kadang terlupa atau sengaja tidak mahu memikirkan keselamatan diri ketika pulang dari memancing sama ada membawa rezeki lumayan atau sebaliknya. Keselamatan diri yang hendak dikaitkan kali ini ialah semasa bot yang memasuki kuala sungai. Justeru, tekong sudah maklum mengenai bahaya yang bakal dilalui dan tentunya sentiasa berjaga-jaga. Bagaimanapun pemancing tidak ramai yang memikirkan bahaya ini. Air sungai dan air laut akan bertembung lalu menjadi gelombang yang tidak menentu. Ini sangat berbahaya jika bot tidak dikawal secara berhemat. Bot laju gantian kaca sering menghadapi masalah berkenaan dan beberapa kes tenggelam atau pecah di muara.

Tekong muda kadang-kadang terlepas pandang lupa untuk memberi peringatan kepada pemanciang yang mereka bawa. Justeru, sifat ingat mengingatkan itu adalah satu amalan yang sangat baik untuk pemancing lakukan semasa berada dalam bot. Cara terbaik adalah pemancing sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika berada di zon bahaya. Berdoa kepada Allah untuk keselamatan paling baik dilakukan.Bagi nelayan atau warga pelaut yang sudah lama mengenal laut, kuala atau muara sungai adalah kawasan paling utama diberi perhatian sama ada ketika keluar atau masuk. Bagi kawasan laut terbuka seperti di Kelantan, Terengganu dan Pahang, muara sering terjadi mala-petaka sehingga mengorbankan nyawa. Berjaga-jaga semasa berada dalam zon bahaya sangat penting sekali gus ini patut menjadi petua kepada semua pemancing.

eJoran: Petua Mengekalkan Kesegaran Ikan

Untuk mengelakkan ikan daripada busuk jika anda tidak mempunyai kelengkapan, ikan perlu disiang dan dibuang segala isi perut, tahi, dan sisiknya. Tetapi ingat, ikan berkenaan tidak boleh dibasuh dengan air. Selepas disiang, biarkan ikan berkenaan berdarah lalu dibalut dengan kertas suratkabar seekor demi seekor.(jangan dicampur 2 – 3 ekor sebungkus). Seterusnya letakkan bungkusan itu pada tempat yang teduh. Ikan berkenaan akan tetap segar walaupun dibungkus selama 24 jam.

eJoran: Bersihkan Badan Selepas Balik Memancing

Pernah terjadi terhadap bayi, anak kecil atau individu yang lemah semangat diganggu ‘makhluk halus’ apabila ada seorang daripada keluarga pulang daripada memancing atau dari satu tempat yang jauh. Keadaan begini menyebabkan mereka terpaksa berjumpa bomoh atau ustaz yang tahu untuk menghalau atau menghindarkan makhluk yang tidak diingini itu daripada terus berada dalam rumah atau berdamping dengan mangsa dalam keluarga mereka. ‘Makhluk halus’ yang mengiringi kita pulang kadang kala tidak memberi sebarang amaran mengenai kehadirannya ketika kita sedang memancing atau berjalan pulang. Kecuali, apabila tiba di rumah ia akan mengganggu anak kecil terutama bayi yang baru lahir.

1. Menurut orang tua-tua, apa yang perlu dilakukan ialah anda jangan terus masuk ke rumah selepas pulang dari memancing. Sebaliknya, berehatlah beberapa minit di luar rumah dengan sebaik-baiknya membaca surah al-Fatihah atau berazan, kemudian baru melangkah masuk ke dalam sambil memberi salam.

2. Anda juga dilarang terus mendapatkan anak kecil sebaik tiba dalam rumah untuk beberapa ketika. Anda juga boleh selawat dan berzikir sepanjang perjalanan pulang itu supaya tahap gangguan boleh dikurangkan atau dihindari sepenuhnya. Cara pantang larang begini sudah diamalkan sejak berzaman. Kesannya amat nyata bagi mengelak kanak-kanak kecil diganggu oleh makhluk halus yang memang gemar menyakat kanak-kanak atau mereka yang lemah semangat.

3. Ada juga petua menasihatkan supaya menanggalkan pakaian yang dipakai ketika memancing, sebelum memasuki rumah. Ini boleh dilakukan sama ada pakaian itu ditinggalkan di luar rumah atau terus masuk ke bilik air untuk dibasuh, dan seterusnya anda membersihkan badan atau mandi. Selepas mandi dan melakukan solat sunat dan yang fardu, pasti anda rasa segar. Justeru, pada waktu ini anda boleh mengambil anak kecil, atau sebaik-baiknya membantu isteri menyiang ikan yang dibawa pulang. Lakukannya dengan penuh ikhlas, mesra lagi bertanggungjawab.