eMedik

Petua Untuk Badan Ringan dan Bertenaga

Minum air rebusan serai dan halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Jika anda meminum air rebusan ini pagi dan malam, badan akan menjadi ringan dan bertenaga. Selain itu untuk meningkat tenaga wanita, amalkan pengambilan 4 biji telur mentah sehari.

Petua Moden Untuk Kekal Langsing

Di zaman moden ini banyak jenis makanan yang boleh memudaratkan jika dimakan berlebihan. Makanan yang diproses dan juga makanan segera, sering menjadi pilihan. Namun adakah kita prihatin dengan kesan sampingannya pada tubuh badan? Makanan yang ada di pasaran sering mengandungi gula dan lemak yang tersembunyi. Pengambilan secara berlebihan akan membawa kepada masalah kegemukan dan obesiti. Sebelum masalah ini terjadi pada kita, sewajarnya kita mengambil sikap berhati-hati. Manakala bagi mereka yang sedang menghadapi masalah berat badan, ikutilah petua yang mudah dan boleh diamalkan semua. Yang penting adalah keazaman untuk menjayakannya dan diamalkan secara berterusan dan bukan sekerat jalan. Selain itu, senaman dan mengawal nafsu makan yang keterlaluan adalah jalan terbaik untuk gaya hidup sihat.

Caranya ialah mengubah cara pemakanan yang diamalkan daripada kebiasaan kepada satu kaedah yang baru iaitu:

1. Apa yang kita ambil untuk sarapan di waktu pagi ditukar kepada apa yang sepatutnya dimakan di tengah hari dibawa dan dimakan pada waktu pagi.

2. Waktu tengah hari jangan makan makan yang mengenyangkan, cukup sekadar buah- buahan atau jangan makan langsung.

3. Makan malam diawalkan dan diambil dalam lingkungan waktu jam 7.00 malam.

4. Jangan makan selepas pukul 9.00 malam, walaupun anda belum makan apa apa sebelumnya. Jika perlu, cukup sekadar segelas susu atau buah- buahan atau makanlah sedikit tetapi jangan mengambil makanan yang telah dimasak (makan berat).

5. Sebagai amalan tambahan, berpuasa 2 kali seminggu (setiap hari Isnin dan Khamis). Pada hari ketika anda berpuasa, anda disarankan untuk melakukan senaman.

6. Setiap kali bangun pagi, waktu tengahari dan sebelum masuk tidur di sebelah malam, amalkan meminum secawan teh cina (hijau) yang dicampurkan dengan limau nipis atau kasturi. Anda akan lihat kesannya selepas 7-14 hari mengamalkannya.

 

Petua Untuk Kelihatan Langsing dan Menawan

Pakai Seluar Hitam – Salah satu pakaian yang perlu ada di wardrobe anda ialah seluar berwarna hitam. Warna hitam memainkan peranan penting dalam memudarkan penglihatan orang ramai supaya mereka lihat tubuh anda bersaiz yang lebih kecil. Anda  perlu membeli beberapa helai seluar hitam yang berpotongan lurus. Paling penting, dapatkan seluar yang sesuai dengan bentuk fizikal anda. Jangan terlalu ketat atau sendat. Sebaik-baiknya, anda perlu ada paling minima 3 helai seluar hitam sebagai koleksi.

Pakai Seluar Denim – Seluar denim mampu menonjolkan keistimewaan dan menutupi kelemahan fizikal anda. Sama seperti seluar hitam, dapatkan seberapa banyak seluar denim yang sesuai sebagai koleksi anda.

PANDUAN MEMBELI:

a. Punggung yang besar akan kelihatan kecil jika anda memakai seluar denim, potongan khusus untuk kaum lelaki.

b. Jika anda ingin kaki kelihatan panjang, beli seluar denim yang panjang dan gandingkan bersama dengan pemakaian sepatu bertumit tinggi.

c. Anda perlu beri perhatian khusus kepada bahagian poket belakang. Ini kerana, ia membantu mengubah pandangan orang lain terhadap dimensi punggung anda.

d. Jika anda memiliki peha yang besar, jangan pakai seluar denim yang dilunturkan warnanya di bahagian kaki, terutamanya peha. Ia akan menarik perhatian orang lain untuk melihat bahagian berkenaan.

Petua Untuk Kurang Selera Makan

Bahan-Bahan:

3 sm bahagian ubi lempuyung, 3 sm bahagian ubi cekur, dan 3 sm bahagian ubi temu kuning.

1. Tumbukkkan keseluruhan ramuan hingga lumat dan perahkan airnya ke dalam satu bekas.

2. Minum air hasil tumbukkan tersebut  setiap pagi.

 

Petua Kembung Perut, Perut Masuk Angin atau Senudung

Pilihan 1: Ambil 3 helai daun mengkudu yang muda dan sapukan sedikit minyak kelapa. Seterusnya, layurkan ke atas api selama 2 minit. Lepas itu, tekapkan kepada perut anda. Hasilnya, angin dalam perut anda akan hilang.

Pilihan 2: Ambil 2 ulas bawang putih, kemudian, bakar hingga separuh masak. Selepas itu, kupas kulitnya dan makanlah bawang tersebut. Hasilnya, dalam masa beberapa minit sahaja, angin dalam perut akan berkurangan (keluar) dan anda akan berasa lebih selesa.

Petua Menjaga Kesihatan Mata

1. Setiap kali mandi atau berwudhu, pastikan jangan pejamkan mata semasa air melalui mata anda, sebaliknya kelip-kelipkan mata anda beberapa kali, biar air mandian itu mencuci mata anda. Memang mata kita akan terasa pedih sikit. Walaupun tiada kajian saintifik mengenai petua ini, tetapi setelah mengamalkannya beberapa lama, setakat ini mata tidak mudah rabun (melainkan berpenyakit),  biarpun berjam-jam di depan komputer.

2. Untuk menyegarkan mata yang letih atau rasa gatal-gatal akibat sakit mata, ambil beberapa helai daun sirih muda, basuh bersih-bersih. Ramas-ramaskan sampai lumat dan didihkan seketika. Tapis airnya dengan kain bersih ke dlm mangkuk dan biar hingga suam-suam kuku. Lepas itu rendamkan atau jiruskan terus pun boleh pada mata anda sambil kelip-kelipkan mata berulang kali.

3. Amalkan senaman untuk mata anda.

Caranya:

a. Pergi ke luar rumah, lihat satu objek berdekatan anda, kemudian beransur-ansur lihat pula objek yang lebih jauh, dan jauh, jauh lagi, sejauh-jauhnya. Selepas itu balik semula beransur-ansur lihat objek yang berdekatan anda. Ulang proses ini beberapa kali.

b. Gerakkan mata anda ke kanan semaksimum mungkin,berhenti sekejap, kemudian ke kiri, berhenti sekejap, seterusnya ke atas, bawah dan tengah (sampai mata naik juling), beransur-ansur lajukan proses ini.

c. Setelah 1-2 jam di depan komputer, berhenti sekejap, lihatlah objek-objek berwarna hijau di luar rumah anda, seperti pokok-pokok dan sebagainya. Sesungguhnya warna hijau itu menenangkan dan merehatkan mata anda.

4. Amalkan makan makanan yang kaya dengan vitamin A & C – susu, sayur (terutama carrot dan broccoli) dan buah-buahan (terutama aprikot dan anggur) dan sebagainya.

 

Petua Payudara Pejal, Gebu dan Montok

Terdapat segelintir wanita yang mahu payudara yang cantik dan tegang. Namun begitu, perincian apa yang cantik dan macam mana yang tegang adalah tidak nyata. Setiap wanita perlu tahu, payudara adalah berbeza bagi setiap wanita, daripada segi saiz, bentuk, warna dan ketegangan. Hanya kerana melihat gambar seorang model iklan dengan payudara yang cantik, seseorang wanita mahu menurutnya. Payudara anda adalah sesuai dan sempurna untuk diri anda. Terima ia, jaga dan belai payudara itu sebaiknya.

1. Perkara paling utama adalah memakai coli yang bersesuaian dengan bentuk dan saiz payudara. Jangan memakai coli yang saiz terlalu kecil, ini akan membuat anda tidak selesa. Apabila memakai coli yang kecil dan dada dirasakan seperti terkeluar, maka saiz itu adalah kecil.

2. Jangan terlalu besar sehingga payudara tidak masuk dengan kemas dalam coli, ia juga menimbulkan rasa tidak selesa. Bahagian tengah coli, penyambung antara dua mangkuk coli, apabila dipakai sepatutnya selasa berada pada atas tulang dada. Cuba tarik nafas dalam-dalam sewaktu mencuba coli yang baharu. Apabila anda memakai coli sepatut rasa seperti buah dada dipegang kemas dan apabila nafas ditarik, pegangan itu tidak sepatutnya membuat anda rasa tidak selesa, kemas tetapi tidak terlalu ketat.

3. Untuk memastikan coli yang sesuai, sewaktu mencuba, lakukan juga aktiviti yang biasa dilakukan, seperti menghayunkan tangan, melompat-lompat kecil, berlari-lari anak atau jika coli itu digunakan untuk senaman atau sukan, lakukan gerakan sukan yang anda ingin lakukan. Ia sepatutnya selesa dipakai dan kedua-dua buah dada kurang pergerakan sebab ia dipegang kemas oleh coli yang dicuba.

Petua Merawat Sakit Tumit Kaki

Biasanya orang yang sudah berusia sering mengadu sakit pada bahagian tumit. Ia bukan sahaja menyukarkan berjalan tetapi juga ketika berdiri agak lama pada satu-satu tempat. Sediakan lebih kurang satu kilogram garam kasar dan goreng tanpa minyak di dalam kuali menggunakan api yang sederhana besar. Apabila semua garam mulai panas, angkat dan bungkus dalam kain bersih. Gunakan untuk menuam pada bahagian tumit anda yang sakit itu. Amalkan selalu.

Petua Untuk Kurus dan Langsing

Jika anda mengalami berat badan yang  berlebihan, air limau nipis yang anda minum boleh menurunkan  berat badan anda. Sediakan 2 biji limau nipis atau limau kasturi setiap hari. Perah airnya ke dalam gelas yang berisi dengan air sejuk, masukkan ke dalam  peti sejuk. Setelah itu bolehlah dijadikan air minuman setiap kali selepas  anda makan tengahari dan makan malam. Cara ini boleh diikuti dengan senaman  ringan. Amalkanlah meminumnya selama sebulan, berat badan anda akan beransur  turun.

Menu Mingguan Untuk Turunkan Berat Badan

Isnin

Bangun Pagi: 1 gelas air kosong
Sarapan: 1 mangkuk kecil oat dan  susu rendah lemak + air suam
Minum Pagi: 1 gelas air kosong
Makan Tengahari: 1 cawan nasi + 1 ketul ikan pari bakar dan air asam + 1 cawan ulam + 1 potong betik + 1 gelas air kosong
Minum Petang: 3.00 petang: 1 gelas air kosong  6.00 petang: 1 gelas air kosong + 1/2 potong jagung rebus
Makan Malam: 1 keping roti nan + 1/2 ketul ayam tandoori + 4 sudu kuah dhal + 1/2 biji jambu batu + 1 gelas air kosong
Minum Malam: 1 gelas air kosong

Selasa

Bangun Pagi: 1 gelas air kosong
Sarapan: 1 keping thosai  dan dal  + air suam
Minum Pagi: 1 gelas air kosong
Makan Tengahari: 1 cawan nasi + 1 mangkuk tomyam campur + 1/2 cawan sayur campur + 1 biji pisang emas + 1 gelas air sirap limau
Minum Petang: 3.00 petang: 1 gelas air kosong  6.00 petang: 1 gelas air kosong + 1 ketul tauhu sumbat
Makan Malam: 1 mangkuk salad + 1 potong tembikai + 1 gelas air kosong
Minum Malam: 1 gelas air kosong

Rabu

Bangun Pagi: 1 gelas air kosong
Sarapan: 1 mangkuk kecil bijirin sarapan pagi dan susu rendah lemak + air suam
Minum Pagi: 1 gelas air kosong
Makan Tengahari: 1 cawan nasi + 1 ekor ikan masak pindang dan kuah + 1/2 cawan tauhu goreng + 1/2 biji buah jambu batu + 1 gelas air kosong
Minum Petang: 3.00 petang: 1 gelas air kosong  6.00 petang: 1 gelas air kosong + 1 biji pisang emas
Makan Malam: 1 keping capati + 2 ketul daging + 1/2 cawan dhal + 1 biji belimbing + 1 gelas air kosong
Minum Malam: 1 gelas air kosong + 1/2 biji buah jambu batu

Khamis

Bangun Pagi: 1 gelas air kosong
Sarapan: 1 keping thosai dan dhal + air suam
Minum Pagi: 1 gelas air kosong
Makan Tengahari: 1 mangkuk mi sup – lebihkan sayur + 1 potong betik + 1 gelas air kosong
Minum Petang: 3.00 petang: 1 gelas air kosong  6.00 petang: 1 gelas air kosong + 1 ketul pulut panggang
Makan Malam: 1 mangkuk yong tau foo – lebihkan sayur + 1/2 biji mangga + 1 gelas air kosong
Minum Malam: 1 gelas air kosong + 1 potong tembikai

Jumaat

Bangun Pagi: 1 gelas air kosong
Sarapan: 1 gelas minuman bijirin oat (4 sudu) dan susu rendah lemak + air suam
Minum Pagi: 1 gelas air kosong
Makan Tengahari: 1 cawan nasi + 3 ketul daging masak kari + 1 cawan sayur campur + 6 biji anggur merah + 1 gelas air sirap limau
Minum Petang: 3.00 petang: 1 gelas air kosong  6.00 petang: 1 gelas air kosong + 1 biji epal
Makan Malam: 1 mangkuk sup sayur-tambahkan perencah seperti udang atau ayam + 1 biji mempelam + 1 gelas air kosong
Minum Malam: 1 gelas air kosong

Sabtu

Bangun Pagi: 1 gelas air kosong
Sarapan: 1 mangkuk soto ayam + air suam
Minum Pagi: 1 gelas air kosong
Makan Tengahari: 1 set sandwich – roti mil penuh tanpa mayonis + 1 gelas air kosong
Minum Petang: 3.00 petang: 1 gelas air kosong  6.00 petang: 1 gelas air kosong + 1 potong tembikai
Makan Malam: 1 cawan mi hailam – lebihkan sayur + 1 biji pisang emas + 1 gelas air kosong
Minum Malam: 1 gelas air kosong + 1 cawan salad

Ahad

Bangun Pagi: 1 gelas air kosong
Sarapan: 1 cawan mihun goreng + air suam
Minum Pagi: 1 gelas air kosong
Makan Tengahari: 1 cawan nasi ayam + 1 ketul ayam + 1/2 cawan salad/timun + 1 potong nanas + 1 gelas air kosong
Minum Petang: 3.00 petang: 1 gelas air kosong  6.00 petang: 1 gelas air kosong + 1 cawan jagung
Makan Malam: 1 mangkuk sup sayur + 1 biji pear + 1 gelas air kosong
Minum Malam: 1 gelas air kosong + 1 biji oren