Artikel: Adab Bertandang

Dalam kehidupan orang-orang Melayu persoalan adab dihubungkan dengan perlakuan dan juga tutur kata yang lemah lembut. Adab memainkan peranan yang amat penting untuk membentuk satu masyarakat yang aman dan harmoni. Anak-anak dididik supaya menghormati orang-orang yang lebih tua daripadanya, kedua ibu bapa, hormat pada gurunya, alim ulamak dan sebagainya. Adab ini adalah peraturan yang wujud secara tidak langsung berfungsi untuk menjaga keharmonian sebuah kelompok masyarakat.  Ianya bukanlah satu paksaan kepada seseorang itu untuk mematuhinya. Namun jika seseorang yang hidup bermasyarakat itu tahu adab, kehidupan sesama manusia akan menjadi lebih harmoni.  Dalam Kitab Sejarah Melayu, persoalan adab merupakan inti pengajaran utama yang hendak disampaikan kepada anak cucu Melayu.

Konsep bertandang dalam budaya Melayu bermaksud berkunjung, bertamu atau lawatan ke sesebuah tempat lain.  Orang Melayu terkenal sebagai insan yang rendah hati, bukan rendah diri, yang selalu menempatkan dirinya pada kedudukan yang tidak sombong dan bongkak, yang selalu menghormati orang lain dengan tulus dan ikhlas serta bersangka baik.  Sebagai orang yang bertandang, sering diingat-ingatkan:

“Sebagaimana tuan-tuan sedia maklum, yang rumah ada tuannya, yang tepian ada bahasanya, yang kampong ada penghulunya, yang negeri ada rajanya, yang masyarakat ada adat resamnya, ada lembaga dengan undangnya. Kerananya, patut diingat dan disemak, supaya jangan tersalah sifat, supaya jangan tersalah buat. Seperti kata orangtua-tua kami: “Di mana bumi dipijak, disana langit dijunjung, di mana air disauk disitu ranting dipatah. Dan seperti kata orang tua-tua yang hidup ada pantang larangnya, yakni: jangan mengorang-orang di kampong orang, jangan menghulu-hulu di kampong penghulu, jangan meraja-raja di kampung raja. Jangan pula memandai-mandai pada yang pandai, yang mengada-ada pada yang berada, jangan melagak-lagak pada orang banyak, jangan menengking dalam berunding, jangan mengumpat dalam mufakat, jangan memfitnah dalam berpetuah..”

Orang Melayu terkenal pula dengan keramah-tamahannya terhadap pendatang dan para tetamunya. Mereka lazimnya disambut dengan muka yang jernih dan dada lapang serta sangka baik.  Perilaku ini lazimnya terpancar dari ucapan mereka yang lazimnya berbunyi:

“Kedatangan tuan kami sambut dengan patut,

Kami terima dengan muka yang jernih

Kami nanti dengan hati yang suci

Kami pandang dengan dada lapang

Kami jangka dengan  berbaik sangka

Dalam Sejarah Melayu, beberapa perbuatan adab bertandang kurang diperhatikan.  Orang Melaka menampakkan kebiadaban mereka di tempat orang.  Ini terlihat dengan beberapa cerita yang tertulis seperti ‘Telatah Budak-budak Raja Melaka’ (halaman 121) yang bertandang ke Majapahit.  Pada zamannya, Tun Bijaya Sura (Budak Melaka) mungkin dianggap cerdik kerana licik mempermainkan maharajapahit dengan menari sehingga menakutkan anjing maharaja.  Tun Bija Sura juga bermain sapu rengit yang menghadapkan kakinya kepada Betara Majapahit.  Tun Bijaya Sura kemudian bermain permainan ‘berkeliling gelagat’ yang menyebabkan sapu tangan Sultan Melaka yang dipegangnya mengenai muka orang besar Majapahit dan hampir terkena muka Betara Majapahit.  Biarpun perbuatannya dengan izin Betara Majapahit dan dilakukan dengan aksi berjenaka, itu bukanlah budaya tetamu bertandang ke tempat orang.  Sebenarnya, perbuatan Tun Bijaya Sura yang dianggap bijak pada zamannya adalah sikap yang amat biadab dan memalukan orang Melayu.

Begitu juga dengan perlakuan Hang Tuah lima sekawan yang begitu biadab naik ke Balai Larangan istana Majapahit hanya untuk ‘bermain’ iaitu menunjukkan kehandalan mereka menangkis tombak Jawa.  Perbuatan mereka bermegah dan menunjuk-nunjuk kehandalan amat memalukan.  Adat tempatan tak diambil kira.  Mereka begitu bongkak menunjukkan kehebatan sehingga melanggar adab bertandang.  Siapa yang lebih memegang adab bertandang?  Nampaknya Betara Majapahitlah, orang Jawa, yang begitu rendah hatinya, begitu berlapang dada dan bersangka baik terhadap tetamunya.

Kisah pembunuhan Tun Telanai(halaman 181) turut memperlihatkan kebiadapan tetamu.  Seri Akar Raja yang pangkatnya hulubalang, diperintah oleh Raja Muhammad di Pahang untuk membunuh Tun Telanai kerana Tun Telanai menyembah Raja Melaka tetapi tidak menyembah Sultan Pahang.  Tun Telanai sempat ingkar dengan mengatakan tidak patut Hulubalang diperintah sesama hulubalang.  Namun Tun Telanai akhirnya mati dibunuh Seri Akar Raja.

Kedatangan Laksmana bersama kuncu-kuncunya dari Melaka yang bertujuan untuk menuntut bela kematian Tun Telanai boleh dianggap biadab.  Mereka datang sebagai tetamu di tempat orang tetapi memulakan pertemuan itu dengan membunuh sepupu Seri Akar Raja.  Disebabkan Sultan Muhammad di Pahang tahu kesilapannya membunuh Tun Telanai, Sultan Muhammad menitahkan bahawa Tun Telanai dibunuh kerana biadab dengan mengatakan Melaka di bawah kelengkang Tun Telanai.  Ini memberi gambaran bahawa perintah membunuh Tun Telanai adalah demi membela kedaulatan Melaka.  Jelas, Sultan Muhammad umpama lempar batu sembunyi tangan.  Sultan Muhammad turut mengatakan pembunuhan sepupu Seri Akar Raja dianggap adalah urusan antara Laksamana dan Seri Akar Raja, tidak bersangkutan dengan dirinya.  Maka mereka haruslah merundingkan jalan penyelesaiannya sendiri.  Sultan Muhammad lepas tangan, dan tidak pula membela pembesarnya.  Terlihat kebiadaban Laksmana Melaka sebagai tetamu di Pahang dan kebiadaban Raja Pahang terhadap hambanya.

Kedatangan Tun Perpatih Putih mengadap Maharaja Cina (halaman 133) turut dianggap licik dan bijak pada zamannya kerana berjaya ‘menipu’ maharaja Cina dan dapat pula memandang wajah maharaja.  Kangkung panjang yang tidak dikerat itu perlu dimakan dengan mendongakkan kepala.   Padahal, adat negeri itu adalah rakyatnya tidak boleh mengangkat wajah memandang Maharaja Cina.  Disebabkan Tun Perpatih Putih kurang peka terhadap budaya dan adat resam di tempat orang, dirinya boleh dianggap biadab.

Kesimpulannya, karya sastera merupakan satu biografi dan catatan sosial sesuatu masyarakat.  Justeru adab bertandang yang terpapar dalam Sejarah Melayu, perlu dipegang nilai yang baik sahaja.  Walau di mana kita berada, adab bertandang di tempat orang harus diamalkan.  Janganlah kita memandang rendah dan melangkah adat serta budaya masyarakat lain sehingga kita pula dipandang rendah sebagai bangsa yang tak tahu adat.  Sikap kita di tempat orang, mencerminkan adab bangsa.

SUMBER:  Noor Hasnah Adam

About Farit Ismeth Emir

Speak Your Mind

*

Click here to get the Free Goodies