ePsikologi: Kenapa Orang Melayu Suka Merajuk?

1. Mustahil ada orang merajuk tiada bersebab. Barangkali kita yang tidak tahu sebabnya.  Penyakit merajuk tidak kenal gender atau usia. Lelaki dan wanita sama sahaja kerana kedua-duanya pandai merajuk. Siapa kata lelaki tidak pandai merajuk? Lelaki pun ada perasaan dan sensitiviti seperti perempuan. Cuma lelaki lebih bijak apabila merajuk kerana dia tahu tiada siapa yang akan memujuk. Wanita apabila merajuk memang menakutkan terutama bagi lelaki yang tidak pandai memujuk. Penyakit merajuk ini kalau tidak pandai memujuk, meleret-leret jadinya. Malah berpanjangan sampai beberapa hari.

2. Memujuk juga kena ada cara dan gaya kerana silap-silap akan bertukar menjadi pertengkaran. Malah apabila selalu dipujuk, maksudnya setiap kali dia merajuk, kita memujuk, lama-lama dia naik tocang. Silap sikit, merajuk. Tidak kena sikit, tarik muka masam. Salah sikit, memuncung. Boleh pengsan kita dibuatnya. Merajuk orang muda yang baru bercinta atau baru mendirikan rumah tangga merupakan perkara biasa. Sesekali merajuk ada faedah juga kerana dapat menambahkan keindahan kasih sayang. Perempuan kalau pandai merajuk memang manis dan menggoda. Merajuk orang bercinta dapat memberikan kesegaran kepada cinta. Tetapi janganlah kerap sangat nanti runtuh cinta. Merajuk laksana awan gelap. Selepas awan menghilang, maka teranglah langit. Selepas hilang merajuk, muncullah kasih, timbullah sayang. Bagi suami isteri, detik-detik selepas merajuk sering digunakan untuk bermadu kasih, bertangkup sayang. Kepada si suami, inilah waktunya mendukung si isteri ke ranjang … pasti ada kelainannya.

3. Orang tua bagaimana? Orang tua lagi hebat merajuknya. Tiada detik yang paling hodoh bagi orang tua melainkan ketika dia merajuk. Namun begitu, orang tua pastinya matang dan tidak rela menanggung malu merajuk di depan cucu. Lantas, boleh sahaja merajuk secara sembunyi-sembunyi di celah pintu atau di sudut dapur. Biasanya merajuk orang tua ditujukan kepada si anak-anak yang berkumpul sekali-sekala. Bukan apa, hanya mahu manja-manja sama anak anak. Merajuk banyak puncanya. Dikatakan bahawa lelaki yang tidak peka terhadap kehendak dan kemahuan wanita boleh menyebabkan wanita merajuk. Maklumlah wanita begitu sensitif, lemah kawal emosi, suka bermanja yang kekadang berlebih-lebihan. Tetapi sifat-sifat inilah yang menjadi daya tarikan wanita. “Aku tidak akan jatuh cinta kepada wanita yang langsung tak tahu merajuk!” Itu kata sahabat saya “Aku pula tak akan kahwin sama wanita yang tak tahu manja!” Ini kata saya. Ada tak di dunia ini wanita yang tidak tahu merajuk dan manja? Kalau ada, pastilah wanita robot.

4. Lelaki mesti peka terhadap kemahuan wanita, kalau tidak lebih baik jadi wanita sahaja. Kemahuan wanita mungkin beratus atau beribu. Justeru, kepekaan lelaki seharusnya beratus dan beribu juga? Kemahuan jenis suka makan keropok lekor tidak ada masalah. Tetapi kemahuan jenis pantang terlihat pakaian baru, beg baru, perabot baru, kereta baru dan segala yang baru semuanya nak beli, botak kepala suami belum tua. “Bang, jiran sebelah dah tukar kereta baru, kita bila lagi?” Aduhai sedapnya dengar, sejuk menusuk telinga abangnya. Nak tukar kereta baru. Kemahuan jenis ini seandainya si abang gaji seciput, tambah anak pula berdozen, betapa peka sekalipun susah nak layan.

5. Adakalanya isteri merajuk ketika ibu mentua dari kampung datang ke rumah. Al-maklumlah ibu lama-lama datang sekali, menjadi tanggungjawab si anak melayannya dengan baik. Tetapi isteri pula tersalah tafsir ingat si suami sayang ibunya lebih daripada dia. Dia pun merajuk. Kalau jenis yang boleh dipujuk, tak mengapa. Kalau jenis yang tak makan pujuk? Serba salah si suami dibuatnya. Sebelah kanan ibu, sebelah kiri isteri, dan kedua-dua pun dikasihi dan disayangi. Situasi yang sukar bagi seorang suami. Suami yang bijak dapat selesaikan masalah ini dengan baik umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berterabur. Bagaimana kalau suami itu kurang bijak? Minta ibu segera balik ke kampung? Derhaka namanya. Biarkan sahaja isteri memuncung 24 jam dan berjalan menghentak-hentak kaki di depan ibu mentuanya?

6. Merajuk kadang-kadang tanpa disedari sebabnya bagai langit yang cerah, tanpa awan tanpa ribut, tiba-tiba hujan mencurah turun. Tentu anda kurang percaya kalau dikatakan wanita mahupun lelaki boleh merajuk walaupun dengan seekor ikan. Wanita begitu sensitif apabila dia mendapati kekasihnya atau suaminya melayan “benda lain”, termasuk ikan, burung, layang-layang, atau internet, melebihi layanan yang diberikan kepada dia. Seelok-eloknya, layanlah apa-apa yang ada pada wanita itu melebihi benda lain. Atau sekurang-kurangnya layanan tersebut mesti seimbang. Oleh itu, kalau anda suka ikan akuarium, masa melihat ikan berenang, jangan lupa belai-belai rambut isteri anda, cubit-cubit dagunya, gosok-gosok telinganya, atau ramas-ramas pehanya. Tetapi jangan sekeh-sekeh kepalanya. Boleh kata, lakukanlah apa-apa ke atas pasangan anda yang dapat menunjukkan bahawa anda mengambil berat dirinya lebih daripada segala-galanya.

Punca merajuk kalau hendak disenaraikan kesemuanya, tidak akan habis. Petik awan jadikan hamparan kertas, segunung pokok jadikan pensel, belum cukup untuk menulis punca merajuk. Pertimbangan akal amat diperlukan untuk menangani masalah merajuk. Sebenarnya merajuk boleh dikawal kerana puncanya daripada emosi. Setiap perlakuan emosi dapat dikawal oleh akal. Persoalannya, sama ada kita mahu menggunakan akal atau tidak? Atau kita lebih suka membiarkan emosi menguasai kita? Jangan memilih cara kedua kerana kita bakal kecundang di lembah kemusnahan berumah tangga. Dengan kata lain, merajuk harus ada batasan. Merajuk yang melampau akan mengundang kemarahan orang yang hendak memujuk. Tiada gunanya apabila merajuk tetapi tiada orang memujuk, kerana tujuan merajuk adalah untuk dipujuk.

Sumber: Dipetik

 

Kepercayaan Orang Melayu Pada TUAH

“Di manakah kekuatan Tuah? Di tenaganya kah, di kerisnya?”

Dialog filem Nujum Pak Belalang karya Allahyarham P.Ramlee memang sudah tidak asing bagi masyarakat Melayu di sini. Namun dalam kita bergelak tawa itu, pernahkah kita terfikir adakah orang Melayu percaya pada tuah seseorang?

Anak Bertuah

Ada ibu bapa yang sentiasa mengusap kepala dan ubun-ubun anak kecilnya sambil menyebut, “bertuah, anakku..” Pada pandangan dunia orang Melayu, tuah dapat dipupuk semenjak kecil. Walau bagaimana nakal seseorang anak kecil, ibu bapa atau masyarakat biasanya memarahi anak itu dengan perkataan ‘Anak Bertuah’. Bagi orang Melayu, setiap kata itu suatu doa dan setiap anak itu membawa rezeki. Justeru gelaran ‘anak bertuah’ disebut dengan harapan anak itu akan mendapat tuah walaupun peribadinya kurang sempurna kelak. Maksudnya, sekiranya seseorang itu gagal dalam sesuatu perkara, tuah mungkin menyebelahinya kerana dia diberi peluang kedua bahkan mendapat kejayaan yang melebihi daripada jangkaan. Sebab itulah, orang Melayu suka memberi kenyataan pada suatu musibah dengan ayat, ‘ada rahmat di sebalik tiap kejadian’.

Hang Tuah Anak Bertuah?

Ada kalangan masyarakat Melayu menganggap nama seseorang membawa tuah. Gelaran ‘anak bertuah’ mungkin juga memberi gelaran tetap pada Laksmana Hang Tuah. Dalam Hikayat Hang Tuah, diceritakan bagaimana Hang Tuah menempuh pelbagai cabaran sejak kecil. Namun demikian, Hang Tuah sentiasa bertuah kerana Hang Tuah bukan sahaja hebat bermain senjata tetapi juga licik dan bijak membuat muslihat. Sebagai contoh, Hang Tuah bertuah kerana Tun Teja jatuh hati padanya dan mahu menurut segala kehendaknya. Bayangkan situasi sekiranya Tun Teja tidak jatuh hati pada Hang Tuah, mahukah Tun Teja lari ke Melaka demi mengikut Hang Tuah? Walaupun akhirnya Tun Teja sedar dia tertipu, Hang Tuah bertuah kerana Tun Teja masih mahu memaafkannya. Tun Teja akhirnya dipersembahkan kepada Sultan Melaka.

Dewa Peribadi Mengawal Tuah

Hampir semua masyarakat mempunyai kepercayaan pada tuah. Namun ada juga segelintir yang memegang kepercayaan ini secara keterlaluan. Misalnya masyarakat Ibo di Afrika, budaya mereka percaya bahawa setiap ahli masyarakatnya mempunyai ‘chi’

atau dewa peribadi yang berperanan sebagai pelindung. Dewa peribadi itu boleh menjadi baik atau tidak baik. Sekiranya seseorang mempunyai ‘chi’ yang tidak baik, dia akan mengalami nasib buruk yang akan terus membawanya hingga ke liang kubur. Mereka percaya sekiranya seseorang itu memang telah dilahirkan dengan ‘chi’ nasib buruk, nasib buruk itu akan kekal bersamanya sehingga mati. Justeru setiap anak yang dilahirkan akan melalui suatu upacara untuk menentukan ‘chi’ mereka. Banyak juga bayi yang dibunuh atau dibuang ke ‘hutan puaka’ kerana dianggap membawa sial.

Tuah Sinonim dengan Masyarakat Cina

Masyarakat Cina pula, teguh mengamalkan budaya ‘kepercayaan pada tuah’. Budaya menilik sentiasa dilakukan untuk melihat samada seseorang itu bertuah atau tidak (heng). Tuah bukan hanya dari segi rezeki tetapi juga tuah dalam hubungan cinta, tuah dalam perjudian, tuah dalam kerjaya, tuah dalam sesuatu projek dan sebagainya. Bagi mereka, tuah seseorang boleh dilihat pada garis di telapak tangan dan raut muka serta dahi. Sekiranya seseorang itu bertuah, ada ‘nur cahaya tuah’ yang terpancar pada dahi dan matanya. Mereka juga percaya bahawa tuah boleh diundang dengan memakai rantai atau tangkal khas. Ada juga yang memelihara jenis ikan yang dianggap bertuah, menanam ‘pokok duit’ dan buluh cina atau meletakkan nombor bertuah di tempat tertentu. Nasib malang atau ‘suwey’ pula boleh dibuang secara ritual.

Upacara Mandi Bunga dan Tolak Bala

Jika masyarakat Cina benar-benar percaya pada konsep tuah dan malang, ada sesetengah masyarakat Melayu juga mempunyai kepercayaan kuat terhadap tuah. Sebab itulah, masih ada upacara ‘tolak bala’ dan ‘mandi bunga’ supaya seseorang itu lebih bertuah dalam hidupnya. Sebenarnya, sejak dahulu lagi orang Melayu sudah menyedari tentang konsep tuah dan judi. Konsep perjudian terpancar dalam sastera lisan melayu, kisah Pak Kaduk menang sorak, kampung tergadai. Pertandingan laga ayam menjadi semacam perjudian kerana ada taruhan yang dibuat. Sekiranya ayam yang dilaga menang, tuannya akan mendapat habuan yang lumayan. Justeru kehebatan ayam laga itu dikatakan terletak di kakinya atau ditajinya.

Kaitan Tuah dengan Rezeki

Sekiranya orang Cina menganggap tuah adalah nasib baik, masyarakat Melayu memahami dan mengaitkan tuah dengan rezeki. Sebab itulah, kepercayaan orang Melayu dahulu tentang tuah, akan berlegar di sekitar rezeki. Contohnya, orang tua-tua dahulu sering mengatakan, sekiranya seseorang itu mempunyai banyak anak rambut, dia memang murah rezeki kerana sering disayangi dan berjaya dalam setiap bidang yang diceburi.

Kaitan Benda dan Binatang dengan Tuah

Ada masyarakat yang menganggap sesuatu benda atau binatang peliharaan membawa tuah dalam hidupnya. Contohnya, wang-wang syiling atau kertas lama disimpan di dalam dompet kerana dianggap duit boleh berlipat ganda. Wang kertas yang mempunyai nombor cantik juga disimpan di dalam dompet dengan harapan wang itu bakal ‘beranak-pinak’. Kucing buta pula kalau dipelihara dapat membawa tuah pada tuannya. Memelihara ikan kelisa, burung pelatuk bawang dan cenderawasih juga dapat memberi tuah. Pokoknya, apa sahaja keuntungan yang mereka dapat akan mereka kaitkan dengan apa yang mereka miliki.

Kesimpulan

Tuah membawa pada rezeki. Rezeki membawa kemakmuran. Kemakmuran membawa keselesaan hidup. Tidak hairanlah, sehingga hari ini, masyarakat masih mengamalkan budaya ‘cabutan nombor bertuah’. Sekiranya seseorang memenangi cabutan bertuah, dia akan kegembiraan dan merasakan dirinya sangat bertuah. Jelas, konsep tuah sudah sebati dalam masyarakat.

Kesimpulannya, walau apa pun kepercayaan yang timbul tentang tuah, andaian itu dapat dianggap sebagai warna warni budaya masyarakat supaya kehidupan lebih berbagai dan indah. Sebaiknya, kita berpegang sahaja pada qada’ dan qadar Tuhan kerana, tuah ayam boleh dilihat. Tuah manusia siapa yang tahu?

SUMBER: Noor Hasnah Adam

Kepercayaan Orang Melayu Mengenai Air Ludah

Kenapa haiwan sukamenjilat tubuh mereka?  Kenapa ibu kucing menjilat mata dan tubuh anak kucing yang dilahirkannya? Tahukah anda bahawa haiwan dilindungi alam dan mempunyai naluri untuk mudah sembuh daripada luka yang biasa berlaku? Luka yang disebabkan oleh haiwan pemangsa sering kali menyebabkan penularan bakteria kepada mangsa. Secara naluri, haiwan yang luka akan menjilati lukanya untuk membersihkannya dan menyebarkan minyak tubuh ke dalam jaringan yang terluka.  Minyak ini bertindak sebagai anti-jangkitan bakteria dan seterusnya melindungi haiwan itu.

Haiwan yang paling jinak dengan orang Melayu ialah kucing.  Kucing baik untuk dipelihara kerana kucing memiliki kebolehan untuk mengesan penyakit dan kemudian mengubatnya dengan menjilat.  Sekiranya sesiapa dalam keluarga anda (disimpang Malaikat hendaknya) menderita sakit terkehel, salah urat atau pegal-pegal, hulurkan sahaja bahagian tubuh yang sakit itu kepada kucing anda.  Kucing anda itu akan menghidu-hidu seketika dan kemudian menjilatnya.  Tidak lama kemudian, sembuhlah sakit itu.  Justeru sekiranya kucing anda tiba-tiba menjilat anda, jangan ditepis atau dipukul kucing itu, wlaupun anda terasa geli.  Bahagian yang dijilat itu mungkin merupakan punca penyakit dan jilatan yang mengeluarkan air ludah itu pula merupakan penawar atau ubat kepada penyakit itu.

Air Ludah – Air ludah atau air liur adalah cairan bening yang dihasilkan dalam mulut manusia dan beberapa jenis haiwan.   Air liur berfungsi membasahi makanan untuk membantu mengunyah dan menelan. Air liur juga mengandung enzim-enzim yang memulai dan memudahkan proses pencernaan. Fungsi lain air liur adalah membersihkan mulut daripada bakteria dan membasuh partikel makanan. Air liur yang berada di mulut merupakan bahagian terpenting dalam perawatan rongga mulut. Di dalam air ludah terkandung sistem pertahanan alamiah yang berfungsi menjaga keseimbangan ekologi flora mulut. Cairan yang dikeluarkan oleh kelenjar ludah secara terus menerus membersihkan mulut.  Oleh sebab itulah, jika seseorang kurang meminum air, maka kebersihan mulut akan berkurangan.

Menurut satu kajian sains, zat dalam air ludah dapat menyembuhkan luka.  Saintis mendapati bahawa protein kecil di dalam air ludah yang sebelum ini dipercayai hanya dapat membunuh bakteria, berguna juga untuk menyembuhkan luka.  Sebab itulah, luka pada gusi yang baru dicabut giginya cepat pulih berbanding dengan luka di bahagian anggota tubuh yang lain.  Saintis juga menjangka, air ludah boleh menjadi ubat kepada penderita penyakit kencing manis yang buruk kakinya atau mereka yang mengalami kelecuran atau kebakaran pada kulit.

Pengubatan Cara Lama

Menurut orang tua-tua Melayu dahulu, terdapat beberapa petua tentang penggunaan ludah sebagai ubat.  Dikatakan, sekiranya bayi yang baru lahir panas suhu badannya, si ibu atau ayah disuruh menjilat ubun-ubun bayi, telapak tangan kedua tangan dan telapak tangan kedua kaki.  Menjilat harus dimulai dengan anggota yang kiri dahulu.  Panas tubuh bayi itu akan serta merta beransur turun.

Petua menggunakan ludah untuk mengubat luka kecil juga sering disyorkan oleh orang tua-tua.  Sekiranya jari terluka atau terhiris, kita disuruh cepat-cepat masukkan ke dalam mulut.  Dikatakan darah akan berhenti mengalir dan luka cepat sembuh.  Sekiranya bahagian lain yang luka, ambil  sedikit air ludah sendiri dengan satu jari.  Selepas itu, baca selawat sebanyak 7 kali. Selepas membaca selawat, sapu di bahagian yang luka.  Nescaya cepat sembuh.

Menurut orang tua-tua, sekiranya seorang kanak-kanak masih lambat bercakap walau sudah berusia 3 tahun ke atas, lidah kanak-kanak itu perlu ditarik keluar lalu dikerik dengan cincin.  Ini supaya ludahnya keluar sempurna, tidak bertakung di dalam mulut lantas dapat menggalakkan kanak-kanak itu segera bercakap.

Kebiasaan orang Melayu dahulu ialah menjilat bahagian tubuh yang sakit kerana dikatakan, penderita akan cepat pulih.  Kebiasaan ini mungkin didapati daripada pengamatan terhadap tingkah laku haiwan yang sakit.

Sirih dan Ludah

Pemakan sirih mempunyai air ludah yang banyak kerana air liurnya terangsang oleh rasa sirih pinang dan tembakau.  Disebabkan campuran ramuan sirih, air ludah pemakan sirih berwarna merah.   Dahulu, ada orang kampung mengamalkan mengunyah sirih dan membuang ludahnya ke dalam sebuah bekas khas.  Air ludah yang terkumpul itu kemudian digunakan untuk tujuan pengubatan dan urut.  Dikatakan, ramuan sirih yang sememangnya berkhasiat, apabila bercampur dengan air ludah, menjadi bahan yang amat mujarab sebagai penyembuh penyakit kulit dan tulang.  Ini juga dapat menjelaskan mengapa dalam beberapa pengubatan tradisional mempunyai kaedah sembur.  Maksudnya, bomoh akan mengunyah sirih pinang dan kemudian menyembur si pesakit.  Ada juga yang hanya berkumur air jampi dan kemudian menyembur pesakit.

Air Ludah Orang Mulia

Dahulu, sekiranya seseorang yang dianggap mulia dan berilmu tinggi seperti ahli agama atau guru minum air, ramai yang menantikan peluang mengambil bekas minuman orang mulia itu.  Mereka percaya bahawa bekas air minuman itu amat berkat kerana mengandungi sisa air dan air liur orang yang mulia.  Bekas itu kemudian digunakan tanpa dicuci, dengan menambah air masak.  Biasanya, air minuman itu diberikan kepada anak-anak mereka yang kurang pandai belajar atau nakal tingkah lakunya.

Kepercayaan ini turut tercatat dalam kitab Sulalatus Salatin.  Diriwayatkan, pengislaman Raja Samudera iaitu Merah Silu, turut melalui mimpi.  Baginda bermimpi didatangi Nabi Muhammad SAW.  Mulutnya diludahi oleh Nabi.  Apabila baginda tersedar, baginda sudah boleh membaca ayat-ayat Al-Quran dengan fasih dan lancar.

Pantang Meludah

Kita meludah apabila air liur kita melimpah atau kelenjar air liur keluar lebih banyak daripada sepatutnya.  Air liur yang dibuang itu adalah ‘meludah’.  Faktor yang menyebabkan air liur keluar lebih banyak juga disebabkan rangsangan pancaindera kita.  Misalnya, rasa pahit, pedas dan masin.  Bau busuk boleh membuat kita mual lalu meludah.  Keadaan kerongkong yang tidak sihat menyebabkan batuk dan kahak juga membuat kita meludah.  Begitu juga dengan emosi jijik, muak, menyampah, jengkel, geram dan marah.

Dewasa ini, meludah dianggap perbuatan yang kotor dan mengotorkan pemandangan.  Ludah orang yang sakit juga membawa bakteria penyakit dan boleh mengakibatkan penyakit merebak.  Meludah juga dianggap satu perbuatan yang negatif apabila perbuatan meludah dilakukan ke atas tanah di hadapan orang lain.  Apatah lagi, kalau kita meludah ke muka atau tubuh orang lain.  Perbuatan itu boleh membawa pergaduhan kerana meludah sebegitu adalah satu penghinaan dan mencabar  orang yang diludah.

Natijahnya, walaupun ludah dianggap ubat yang berkhasiat menyembuhkan luka, meludah sebarangan pula boleh mengakibatkan kekotoran dan persengketaan.  Sesungguhnya meludah dianggap perbuatan negatif dan terpancar dalam peribahasa Melayu. Meludah ke langit hanya membawa kesusahan sendiri kerana cuba melawan orang yang berkuasa.  Kalau meludah jilat kembali, samalah ertinya dengan orang yang tidak berpendirian kerana setelah menghina seseorang, orang itu dimuliakan kembali.

SUMBER:  Noor Hasnah Adam

Adat dan Tatatertib Melawat dan Berkunjung Ke Rumah Orang

Panduan berhubung dengan lawatan dan kunjungan:

  • Bagi pengunjung Melayu atau yang beragama Islam, apabila tiba di rumah yang dikunjungi hendaklah memberikan salam dengan ucapan “Assalamualaikum”.
  • Sebelum masuk ke dalam rumah orang Melayu, pengunjung hendaklah menanggalkan kasut.
  • Jika pada masa itu telah ada tetamu lain, pengunjung hendaklah mengenalkan diri dan menundukkan sedikit kepala tanda hormat sambil berjabat tangan.
  • Apabila seseorang ingin berjalan lalu di hadapan satu kumpulan atau perhimpunan orang ramai, hendaklah menundukkan sedikit kepala dengan menghulurkan sebelah tangan. Ucapan – ucapan yang sesuai bagi maksud ini ialah ‘ maafkan saya, tumpang lalu, minta jalan’.
  • Secara tradisinya, adalah menjadi kebiasaan di rumah orang Melayu, tetamu dan tuan rumah duduk bersila. Bagi orang lelaki duduknya bersilang kaki dan bagi orang perempuan bersimpuh. Jika duduk di kerusi ia dianggap kurang sopan apabila seseorang itu bersilang kaki sehingga nampak tapak kaki, berlunjur lurus ataupun membuka kaki dengan luas.
  • Apabila tuan rumah menghidangkan makanan adalah tidak manis tetamu menolaknya. Jika sudah kenyang sekalipun hendaklah ia merasa sedikit hidangan yang disajikan itu.
  • Anak gadis dikehendaki menyenduk nasi ke dalam pinggan orang yang lebih tua. Jangan senduk terlalu penuh atau sedikit tetapi sederhana banyaknya. Biarkan orang lebih tua mengambil makanan dahulu kemudian barulah orang muda kerana tidak sopan membiarkan orang lebih tua memakan sisa orang muda. Disebab itulah sesetengah orang menyediakan peraturan orang muda makan berasingan daripada orang tua, atau orang tua makan dahulu. Bagaimanapun amalan ini tidak begitu sesuai jika kita mahu menanamkan kemesraan dan kekeluargaan di kalangan anak-anak.
  • Seeloknya ambillah hidangan yang berhampiran dengan kita jangan menjangkau makanan yang terletak jauh dan sukar dicapai. Jika kita berkehendakkan makanan yang sukar dicapai mintalah bantuan orang lain yang berdekatan.
  • Ketika menghulur atau menyambut seeloknya siku atau pergelangan tanggan ditampung sedikit dengan tangan sebelah lagi. Ketika menyenduk kuah atau nasi, gunakan tangan kiri supaya sudu atau senduk tidak kotor. Bunyi ketika menyenduk dianggap kurang sopan dan kasar. Jangan bercakap ketika makan apatah lagi ketika mulut penuh.
  • Jika bercakap pastikan tidak menimbulkan perkara-perkara kurang menyenangkan sehingga boleh menganggu selera makan atau menyebabkan pertengkaran.
  • Jangan bersiul terutamanya ketika berada dalam rumah kerana perbuatan itu dianggap biadap dan tidak menghormati ornag lain.
  • Gunakan nada suara sederhana bila bercakap terutamanyaa golongan muda. Jangan sesekali meninggikan suara seperti orang menengking.
  • Jika hendak bercakap sesuatu kepada oarng yang berada agak jauh dari kita, hampirilah dia. Jangan bercakap dengan menjerit-jerit dari satu sudut ke satu sudut.
  • Seorang isteri seeloknya bangun dan masuk tidur awal daripada suami. Lebih sopan kalau tidur menghadap suami bukan membelakanginya.

Konsep REZEKI dalam Falsafah Melayu Lama

Pada zaman budak-budak dahulu, pernahkah anda melihat orang tua-tua bila makan akan tinggalkan sedikit sisa di atas pinggan? Kemudian mereka akan curahkan sedikit air ke atas pinggan. Air itu samada air lebihan basuhan tangan atau air minuman (air suam atau air sejuk), sengaja dicurahkan sedikit ke atas pinggan.

Ada satu ungkapan yang berkait dengan amalan ini. Ia berbunyi: “Pandai Makan Tidak Menghabiskan”. Maksudnya, makanan yang dimakan ditinggalkan sedikit sisa di atas pinggan merupakanh suatu simbolik bahawa rezeki tidak akan putus. Rezeki akan terus murah atau subur dek kerana air yang dicurah ke dalam pinggan.  Bagi orang Melayu, air adalah lambang kehidupan dan kesuburan.

Orang tua-tua dahulu selalu berpesan agar sentiasa ingat orang belakang. Maksudnya, kita perlu tinggalkan lauk untuk yang belum lagi makan. Makanan atau lauk harus ditinggalkan untuk orang yang belum makan, apatah lagi jika orang itu lebih tua daripada kita dan dihormati dalam keluarga.  Jika tidak, dipercayai banyak ‘masalah’ yang akan timbul.

“PANDAI MINUM TIDAK MENGERINGKAN”

Orang tua-tua dahulu berpesan apabila minum sesuatu minuman yang diambil dari balang atau botol, pastikan jangan sampai kering bekas itu.  Tinggalkan sedikit air di dalam botol dan kemudian isilah semula botol dengan air hingga penuh. Apakah falsafah di sebaliknya? Sebenarnya ia mempunyai mesej bahawa kita mesti pandai memikirkan cara untuk berjimat cermat dan menimbang kira setiap tindakan.

TEKNOLOGI MAKANAN ORANG MELAYU LAMA

Orang Melayu zaman dahulu mempunyai ilmu teknologi makanan yang tersendiri. Mereka juga arif tentang proses bio-kimia. Secara tradisi, mereka mengamalkan penyimpanan makanan di atas para atau di bawah tudung saji, kerana pada masa itu teknologi peti sejuk belum ada lagi. Maka timbullah ungkapan “Pandai Menyimpan Tidak Berbau”. Mereka akan menyimpan makanan di tempat yang selamat agar tidak rosak atau hilang, dan tidak berbau. Makanan seperti ikan, sambal belacan, antara makanan yang memang berbau dan sering mengundang lalat.  Ikan yang disimpan juga boleh dicium kucing dan kemudian dicuri.  Makanan yang mudah basi akan dibungkus dengan daun pisang kerana daun pisang mengeluarkan kimia semulajadi yang melambatkan proses makanan menjadi basi.