Petua Untuk Mengurangkan Demam Campak

Ambil beberapa helai daun semambu dan bersihkannya. Selepas dibersihkan, tumbukkan ia sampai lumat bersama-sama dengan sedikit beras. Anda juga boleh tambahkan sedikit kunyit jika ada. Kemudian, sapukanlah bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi pada seluruh badan. Ulangilah petua ini sehingga rasa miang di badan anda berkurangan atau sembuh.

 

Petua Merawat Demam Panas dan Demam Biasa

Pilihan 1: Ambil 3 helai daun sirih dan ramaskan ke dalam semangkuk air bersih bersama sebiji buah pinang muda yang telah dihancurkan. Seterusnya, jaramkan/perapkan pada kepala sampai ia kering. Lakukan beberapa kali sehingga panas badan berkurangan.

Pilihan 2: Rendam dan ramaskan beberapa kuntum bunga raya ke dalam air sehingga keluar lendirnya. Kemudian, sapukan ke dahi. Hasilnya, suhu badan anda akan berkurangan.

Pilihan 3: Ambil segenggam daun betik. Tumbuk sehingga halus dan saring airnya dengan sehelai kain putih. Kemudian, minumlah air tersebut. Hasilnya, dalam jangka masa 12 jam, anda akan merasa lega.

 

Pilihan Petua Untuk Meredakan Anak Demam Campak

  1. Ramas segenggam daun melur sehingga hancur bersama semangkuk air. Sapukan dari kepala sehingga ke hujung kaki anak anda. Ulangi 2 hingga 3 kali sehari.
  2. Segera beri minum air kelapa yang muda.

Info Mengenai Demam Campak

Apa itu demam campak?
Demam campak ( Rubeola ) adalah jangkitan akut pada kanak-kanak disebabkan virus measles. Pesakit demam campak biasanya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan disertai ruam pada kulit. Penyakit ini sangat mudah menular kepada orang lain melalui titisan cecair dari mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin. Bagaimana pun kebanyakan kanak-kanak di Malaysia telah kebal (immun) pada penyakit ini sejak adanya program campak kebangsaan.

Apakah tanda-tanda demam campak?
Antara 10 – 12 hari selepas dijangkiti penyakit, pesakit mula menunjukkkan tanda dan gejala demam campak seperti:

* Demam tinggi
* Batuk, selsema dan sakit tekak
* Mata berair dan sensitif kepada cahaya
* Sakit otot

Dua atau tiga hari kemudian timbul ruam-ruam, bermula dibahagian muka dan kepala kemudian merebak kebahagian badan, tangan dan kaki. Ruam akan kekal selama 4 – 7 hari. Semasa ruam timbul, suhu badan biasanya sangat tinggi.

Demam campak boleh menjangkiti orang lain dalam masa seminggu sebelum timbul ruam sehingga 4 hari selepasnya.

Adakah setiap demam yang disertai ruam merupakan demam campak?
Tidak. Deman campak sering dikelirukan dengan penyakit Rosela Infantum yang disebabkan oleh virus lain tetapi mempunyai ciri-ciri yang sama dengan deman campak melainkan selepas 2–3 hari ruam timbul, demam biasanya akan berkurangan.

Apakah kesan demam campak pada kanak-kanak?
Kebanyakan kanak-kanak yang menghidapi demam campak akan sembuh dengan sempurna. Bagaimana pun kadangkala boleh terjadi komplikasi yang serius terutama golongan yang menghidapi kekurangan zat makanan dan mempunyai imum sistem kekebalan yang rendah.

Antara lain komplikasi yang sering terjadi:
* Jangkitan pada telinga
* Jangkitan paru-paru (Pneumonia )
* Jangkitan pada otak (encephalitis)
* Cirit birit

Kes yang serius boleh berakhir dengan kematian. Bagi wanita hamil pula, boleh menyebabkan keguguran atau kelahiran pramatang.

Bagaimana merawat demam campak?

Tiada rawatan yang spesifik tetapi hal-hal berikut dapat mengurangkan gejala :
* Panadol untuk mengurangkan demam
* Hindari cahaya terang kerana ia menyakitkan mata
* Berehat dan minum air yang cukup.

Ruam tidak perlu dirawat kerana ia akan hilang sendiri. Pesakit dinasihatkan untuk tinggal di rumah supaya tidak menjangkiti orang lain. (4 hari selepas ruam timbul).

Bolehkah demam campak dicegah?
Demam campak boleh dicegah melalui pemberian suntikan immunisasi MMR (Measles, Mumps and Rubella) pada usia 12 bulan dan kemudian ketika berumur 7 tahun. MMR adalah vaksin yang selamat. Adalah tanggungjawab ibubapa untuk memastikan anak mereka mendapat immunisasi.