Petua Untuk Mencairkan Kahak

1. Ambil 2 ketul  lengkuas dan 2 ketul halia (semuanya sebesar ibu jari). Rebus bersama daun atau kulit kayu manis beserta 300 ml air. Minum setiap pagi dan malam selama 3 hari.

2. Tingkatkan kelembapan udara dengan alat pelembap, pengewap atau sedut udara yang berkelembapkan tinggi. Ia mencairkan rembesan bronkus atau kahak.

3.  Minum banyak air.

4. Kurangkan makanan yang menyebabkan banyak lendir seperti bahan tenusu, makanan yang diproses banyak kali (seperti minyak yang lama digunakan), daging, makanan remeh, gula pasir, buah-buah manis, dan makanan daripada tepung seperti roti putih.

5. Kurangkan makanan yang menghasilkan angin seperti kacang, kobis atau kobis bunga.

 

Petua Untuk Mengurangkan Demam Campak

Ambil beberapa helai daun semambu dan bersihkannya. Selepas dibersihkan, tumbukkan ia sampai lumat bersama-sama dengan sedikit beras. Anda juga boleh tambahkan sedikit kunyit jika ada. Kemudian, sapukanlah bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi pada seluruh badan. Ulangilah petua ini sehingga rasa miang di badan anda berkurangan atau sembuh.

 

Petua Merawat Demam Panas dan Demam Biasa

Pilihan 1: Ambil 3 helai daun sirih dan ramaskan ke dalam semangkuk air bersih bersama sebiji buah pinang muda yang telah dihancurkan. Seterusnya, jaramkan/perapkan pada kepala sampai ia kering. Lakukan beberapa kali sehingga panas badan berkurangan.

Pilihan 2: Rendam dan ramaskan beberapa kuntum bunga raya ke dalam air sehingga keluar lendirnya. Kemudian, sapukan ke dahi. Hasilnya, suhu badan anda akan berkurangan.

Pilihan 3: Ambil segenggam daun betik. Tumbuk sehingga halus dan saring airnya dengan sehelai kain putih. Kemudian, minumlah air tersebut. Hasilnya, dalam jangka masa 12 jam, anda akan merasa lega.

 

Petua Menangani Alahan

Alahan atau alergi merupakan suatu reaksi abnormal dalam tubuh.  Elemen-elemen yang menyebabkan alergi adalah seperti  serbuk tanaman, jenis rumput tertentu, jenis pokok yang berkulit halus dan tipis,  penisilin, seafood, telur, kacang panjang, kacang tanah, susu, jagung dan tepung jagung, sengatan, bulu binatang, debu dan kutu. Ini termasuklah  perasa makanan,  pewarna dan pengawet makanan. Gejala yang mungkin terjadi akibat alergi adalah rasa gatal pada mulut, gatal pada mata, gatal pada kulit atau bahagian tubuh lainnya, sakit kepala, hidung tersumbat atau hidung meleleh, sesak nafas, sukar menelan,  bersin dan lain-lain.

PETUANYA – Ambil air panas, letakkan ke dalam satu bekas. Tumbuk 2 ruas halia dan 2 batang serai, lalu masukkan ke dalam bekas tersebut. Masukkan juga hirisan limau nipis. Tutup bekas itu supaya udara yang naik itu berkumpul. Perlahan-lahan buka penutupnya dan dengan perlahan-lahan juga sedut udara panas yang keluar dari bekas tersebut. Lakukan berulang-ulang sehingga alahan tersebut sembuh.

Petua Merawat Anak Demam Panas

Petua 1: Bancuhkan asam jawa dengan sedikit air. (Lebih pekat, lebih baik.) Kemudian, sapukan ke semua bahagian kepala dan pelipat-pelipat anggota badan. Airnya juga boleh diminum dengan ditambah sedikit gula.

Petua 2: Anda juga boleh menyapukan lendir daun lidah buaya ke bahagian kepala dan pelipat-pelipat anggota badan anak.

Petua 3: Anda juga boleh gunakan beberapa ulas bawang merah, hiris halus dan campurkan dengan perahan air limau nipis dan sedikit air suam. Kemudian, sapu ke kepala anak sehingga

rata. Panasnya akan berkurangan.

Petua Untuk Mengatasi Asma Kanak-Kanak

Serangan asma pada kanak-kanak selalunya  bermula dengan serangan selesema, batuk dan kemudian sesak nafas. Jika tidak diubat dengan sempurna, kanak-kanak itu berkemungkinan akan menghidap asma hingga dewasa. Menurut kajian, kira-kira 80 peratus kanak-kanak penghidap asma akan hilang penyakit mereka apabila mencapai usia 5 tahun. Bagi kanak-kanak menghidap asma yang sederhana, serangan ini akan hilang dalam lingkungan usia 12 -13 tahun. Sebilangan 50 – 60 peratus akan sembuh apabila mereka dalam lingkungan 20 – 25 tahun dan 20 peratus lagi akan mendapat asma berterusan dan hanya sebilangan kecil akan sembuh. Asma tidak boleh diubati tetapi biasanya kanak-kanak akan sembuh apabila usia mereka meningkat. Manakala orang dewasa yang baru mendapat asma akan kekal menghidapnya. Asma tidak memberi apa-apa kesan kepada jantung tetapi boleh memudaratkan paru-paru.

Petuanya:

1. Ambil beberapa helai daun ati-ati, basuh dan bersihkan serta ditumbuk lumat.

2. Sapu daun yang telah lumat tersebut pada dada sehingga paras pusat. Hasilnya akan diperolehi setelah diamalkan beberapa kali.

Petua Menangani Rasa Lapar

Menangani rasa lapar amat penting untuk memastikan berat badan terkawal. Rasa lapar merupakan perkara normal bagi seseorang yang cuba menghadkan pengambilan makanan. Anda disarankan untuk mengetahui punca sebenar rasa lapar tersebut sama ada disebabkan faktor psikologi atau fizikal dan mengetahui bagaimana untuk mengatasinya. Ramai antara kita yang makan ketika lapar. Sungguhpun tidak benar-benar lapar, namun mereka tetap cenderung mengambil makanan mengikut jadual makan yang telah dibiasakan sejak kecil lagi. Makan yang berpunca faktor psikologi merupakan satu lagi penyakit atau tabiat makan berlebihan ketika seseorang bersedih. tertekan malah gembira. Tahukah anda, lapar disebabkan faktor psikologi amat berbahaya kerana ia mempunyai pengaruh dan pembangkit nafsu makan anda. Cuba fikir kembali, apa yang menyebabkan anda makan secara berlebihan dan bagaimanakah cara menghentikan tabiat tersebut? Apa yang anda harus lakukan demi memastikan perhatian anda tidak hanya terarah pada makanan semata-mata?

  1. Pastikan setiap hidangan harian anda mempunyai kandungan protein dan makanan rendah lemak. Perbanyakan kudapan ringan seperti ‘popcorn’, kismis atau kekacang sementara menunggu waktu makan sebenar. Makanan sebegini membantu anda berasa kenyang tanpa meningkatkan kadar kalori dalam tubuh secara keterlaluan.
  2. Selain itu, anda juga boleh memperbanyakkan pengambilan sayur dan buah-buahan segar yang kaya dengan kandungan serat dan tinggi kandungan airnya. Kalau boleh, jadikan makanan jenis ini sebagai snek sehari-hari terutamanya anda ketika perut terasa lapar.
  3. Rasa lapar yang keterlaluan menyebabkan anda cenderung makan melebihi kuantiti yang sepatutnya. Jadi untuk mengelakkannya, anda dinasihatkan makan sebelum perut benar-benar lapar. Kebanyakan kita berpendapat golongan wanita cenderung makan berlebihan sekembalinya mereka dan tempat kerja. Nafsu makan akan melonjak tatkala menyediakan makanan buat keluarga, apatah lagi anda sememangnya benar-benar lapar ketika itu. Jadi, sebagai langkah mengawal diri, anda dinasihatkan untuk mengisi perut terlebih dahulu dengan mengambil yogurt rendah lemak atau buah-buahan sebelum pulang ke rumah.

Info Mengenai Demam Campak

Apa itu demam campak?
Demam campak ( Rubeola ) adalah jangkitan akut pada kanak-kanak disebabkan virus measles. Pesakit demam campak biasanya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan disertai ruam pada kulit. Penyakit ini sangat mudah menular kepada orang lain melalui titisan cecair dari mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin. Bagaimana pun kebanyakan kanak-kanak di Malaysia telah kebal (immun) pada penyakit ini sejak adanya program campak kebangsaan.

Apakah tanda-tanda demam campak?
Antara 10 – 12 hari selepas dijangkiti penyakit, pesakit mula menunjukkkan tanda dan gejala demam campak seperti:

* Demam tinggi
* Batuk, selsema dan sakit tekak
* Mata berair dan sensitif kepada cahaya
* Sakit otot

Dua atau tiga hari kemudian timbul ruam-ruam, bermula dibahagian muka dan kepala kemudian merebak kebahagian badan, tangan dan kaki. Ruam akan kekal selama 4 – 7 hari. Semasa ruam timbul, suhu badan biasanya sangat tinggi.

Demam campak boleh menjangkiti orang lain dalam masa seminggu sebelum timbul ruam sehingga 4 hari selepasnya.

Adakah setiap demam yang disertai ruam merupakan demam campak?
Tidak. Deman campak sering dikelirukan dengan penyakit Rosela Infantum yang disebabkan oleh virus lain tetapi mempunyai ciri-ciri yang sama dengan deman campak melainkan selepas 2–3 hari ruam timbul, demam biasanya akan berkurangan.

Apakah kesan demam campak pada kanak-kanak?
Kebanyakan kanak-kanak yang menghidapi demam campak akan sembuh dengan sempurna. Bagaimana pun kadangkala boleh terjadi komplikasi yang serius terutama golongan yang menghidapi kekurangan zat makanan dan mempunyai imum sistem kekebalan yang rendah.

Antara lain komplikasi yang sering terjadi:
* Jangkitan pada telinga
* Jangkitan paru-paru (Pneumonia )
* Jangkitan pada otak (encephalitis)
* Cirit birit

Kes yang serius boleh berakhir dengan kematian. Bagi wanita hamil pula, boleh menyebabkan keguguran atau kelahiran pramatang.

Bagaimana merawat demam campak?

Tiada rawatan yang spesifik tetapi hal-hal berikut dapat mengurangkan gejala :
* Panadol untuk mengurangkan demam
* Hindari cahaya terang kerana ia menyakitkan mata
* Berehat dan minum air yang cukup.

Ruam tidak perlu dirawat kerana ia akan hilang sendiri. Pesakit dinasihatkan untuk tinggal di rumah supaya tidak menjangkiti orang lain. (4 hari selepas ruam timbul).

Bolehkah demam campak dicegah?
Demam campak boleh dicegah melalui pemberian suntikan immunisasi MMR (Measles, Mumps and Rubella) pada usia 12 bulan dan kemudian ketika berumur 7 tahun. MMR adalah vaksin yang selamat. Adalah tanggungjawab ibubapa untuk memastikan anak mereka mendapat immunisasi.

eMedik: Petua Atasi Anak Kencing Malam

Mengikut kajian, anak perempuan tidak kencing malam sebelum berumur 6 tahun manakala bagi anak lelaki pula sebelum berumur 7 tahun. Walau bagaimana pun jika anak anda kencing malam selalu, amalkan petua dan panduan berikut:

1.Sebelum anak masuk tidur, pesan padanya agar bangun untuk ke tandas bila dia terasa nak buang air. Kalau dia takut bangun untuk pergi ke tandas sendiri, suruh anak kejutkan anda atau pasangan anda.

2.Galakkan anak untuk buang air sebelum tidur. Seeloknya pimpin anak anda ke tandas dan suruh anak buang air sebelum masuk ke bilik tidur.

3.Beri pujian padanya apabila dia bangun untuk ke tandas di waktu malam atau apabila dia tidak kencing di tilam

4.Kejutkan anak sekali semalam untuk buang air. Tetapi kalau anak anda tidak mahu bangun juga, ada baiknya anda angkat dia dan bawa ke bilik air sebelum tilamnya dibasahkan.

5.Elakkan dari memberi sindiran negatif seperti marah dan ejekan kerana ini akan mengganggu keyakinan diri si anak. Sebaiknya terangkan padanya kenapa terkencing di atas tilam itu tidak bagus. Contohnya : tilam basah dan susah untuk dibersihkan seterusnya akan memudahkan kuman membiak dan membawa penyakit kepada anda sekeluarga.

6.Elakkan dari menggunakan tilam yang tebal dan sukar untuk dicuci. Sebaliknya gantikan dengan tilam yang nipis atau comforter yang boleh dicuci setiap kali anak anda terkencing di atasnya. Jika rasa terlalu nipis, lapiklah 2 ke 3 helai comforter.

7. Beri anak anda minum 5 hingga 7 gelas air pada siang hari, tetapi elakkan memberi air teh atau kopi sebelum masuk tidur.

8. Bawa anak anda berjumpa doktor sekiranya air kencingnya berbau atau ia menghadapi kesukaran untuk membuang air kecil.