Petua Untuk Mengurangkan Demam Campak

Ambil beberapa helai daun semambu dan bersihkannya. Selepas dibersihkan, tumbukkan ia sampai lumat bersama-sama dengan sedikit beras. Anda juga boleh tambahkan sedikit kunyit jika ada. Kemudian, sapukanlah bahan-bahan yang telah ditumbuk tadi pada seluruh badan. Ulangilah petua ini sehingga rasa miang di badan anda berkurangan atau sembuh.

 

Petua Merawat Demam Panas dan Demam Biasa

Pilihan 1: Ambil 3 helai daun sirih dan ramaskan ke dalam semangkuk air bersih bersama sebiji buah pinang muda yang telah dihancurkan. Seterusnya, jaramkan/perapkan pada kepala sampai ia kering. Lakukan beberapa kali sehingga panas badan berkurangan.

Pilihan 2: Rendam dan ramaskan beberapa kuntum bunga raya ke dalam air sehingga keluar lendirnya. Kemudian, sapukan ke dahi. Hasilnya, suhu badan anda akan berkurangan.

Pilihan 3: Ambil segenggam daun betik. Tumbuk sehingga halus dan saring airnya dengan sehelai kain putih. Kemudian, minumlah air tersebut. Hasilnya, dalam jangka masa 12 jam, anda akan merasa lega.

 

Petua Untuk Melawaskan Kencing

Pilihan 1: Ambil  beberapa biji lobak putih campur dengan batang kangkung bersama akarnya,  direbus sekali. Selepas air itu menjadi suam, amalkan meminum air itu.  Bersihkan kedua-dua bahan ini dan rebus pada kadar air yang sederhana banyaknya. Apabila sudah cukup masak, angkat dan biarkan air menjadi agak-agak suam, barulah diminum. Petua ini selain dapat melawaskan kencing, juga dapat memecahkan batu karang yang belum serius. Sekiranya seseorang itu baru hendak menjadi penyakit batu karang,  ia akan memecahkan batu karang tersebut. Sekiranya tidak ada penyakit, ia  mencegah dari mendapat penyakit batu karang.

Pilihan: 2: Ambil madu lebah,limau oren, dan air panas. Perah limau diperah dan ambil airnya. Campurkan dengan madu lebah dan air panas lalu diminum apabila menghadapi masalah tersebut.

Pilihan 3: Ambil bawang merah, panaskan di atas api dan gosokkan di atas buah pinggang dan pundi kencing.

 

Petua Menangani Alahan

Alahan atau alergi merupakan suatu reaksi abnormal dalam tubuh.  Elemen-elemen yang menyebabkan alergi adalah seperti  serbuk tanaman, jenis rumput tertentu, jenis pokok yang berkulit halus dan tipis,  penisilin, seafood, telur, kacang panjang, kacang tanah, susu, jagung dan tepung jagung, sengatan, bulu binatang, debu dan kutu. Ini termasuklah  perasa makanan,  pewarna dan pengawet makanan. Gejala yang mungkin terjadi akibat alergi adalah rasa gatal pada mulut, gatal pada mata, gatal pada kulit atau bahagian tubuh lainnya, sakit kepala, hidung tersumbat atau hidung meleleh, sesak nafas, sukar menelan,  bersin dan lain-lain.

PETUANYA – Ambil air panas, letakkan ke dalam satu bekas. Tumbuk 2 ruas halia dan 2 batang serai, lalu masukkan ke dalam bekas tersebut. Masukkan juga hirisan limau nipis. Tutup bekas itu supaya udara yang naik itu berkumpul. Perlahan-lahan buka penutupnya dan dengan perlahan-lahan juga sedut udara panas yang keluar dari bekas tersebut. Lakukan berulang-ulang sehingga alahan tersebut sembuh.

Petua Merawat Kutu Air Di Kaki

Selalunya ia berlaku di celahan kaki ataupun di celahan tangan. Bau kaki yang tidak menyenangkan, melecet di celah kaki serta kegatalan yang menyebabkan tangan gatal untuk menggaru.

1. Cuci kaki bersih-bersih dan keringkan.
2. Ambil sedikit kapas dan celupkan dengan cuka yang dimasak.
3. Usap telapak kaki secara rata. Kalau kapas kotor gantikan denga yang bersih.
4. Lakukan setiap hari sehingga sembuh.
5. Lakukan sekurang-kurangnya sekali sehari. Ia boleh sembuh dalam masa 1 minggu.

Petua Mengatasi Telinga Berdengung

Telinga berdengung boleh berlaku kerana kepanasan suhu badan, telinga bernanah, dimasuki air atau ada masalah dengan gegendang telinga.

Pilihan 1: Perah daun pudina bersama sedikit air dan titikkan airnya ke dalam telinga. Amalkan sekurang-kurangnya 3 kali sehari. Bunyi dengungan itu akan hilang.

Pilihan 2: Panaskan madu lebah asli di atas api. Tadahkan lubang telinga kita itu pada wapnya.

Pilihan 3: Ambil air pelepah pisang emas dan titikkan ke dalam telinga yang bermasalah itu.

 

Petua Melegakan Tekak Akibat Batuk

Asam jawa boleh dijadikan ubat penawar bagi melegakan tekak yang pedih dan suara yang serak akibat batuk. Ambil sedikit air asam jawa yang telah dibancuh dengan air suam-suam kuku, bancuh bersama sedikit gula dan masukkan ke dalam botol. Kemudian tutup rapat-rapat. Rendamkan botol yang berisi air asam jawa yang pekat itu ke dalam air selama satu malam. Keesokan harinya, minumlah. Tekak anda akan merasa lega dan suara tidak serak lagi.

Perbezaan Resdung, Demam Selsema dan Alahan Hidung

  1. Jika pesakit demam dan mempunyai gejala berkaitan hidung seperti sakit muka dan hidung, keluar nanah berwarna kuning atau hijau daripada hidung atau kahak warna sama pada sebelah pagi, itu dipanggil resdung.
  2. Apabila gejala-gejalanya berlaku lebih kerap ataupun jangkitan berpanjangan lebih daripada 3a bulan, resdung akut boleh menjadi kronik. Gejalanya mungkin tidak seteruk resdung akut namun, jika tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan kepada sinus dan tulang pipi sehingga memerlukan pembedahan.

Walaupun resdung tidak boleh menjadi kanser sehingga menyebabkan hidung rompong tetapi sebaliknya kanser boleh memperlihatkan gejala-gejala seperti penyakit itu. Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, resdung boleh mengakibatkan maut tidak langsung yang disebabkan oleh komplikasi pada otak pesakit.

Serangan resdung berulang-ulang juga boleh berlaku. Pesakit selalunya diberikan rawatan antibiotik untuk menyembuhkannya tetapi penyakit datang semula. Puncanya mungkin disebabkan oleh faktor penyebab penyakit ini yang tidak dirawat sepenuhnya, lazimnya susunan tulang dalaman sinus yang tidak normal dan sempit. Dalam kes-kes begini, pembedahan endoskopi dilakukan.

Sekiranya gejala resdung masih berterusan, kaedah baru ini akan dilakukan di mana rongga-rongga sinus terlibat akan dibuka menggunakan alat-alat khas di bawah penglihatan kamera skop. Pembedahan sinus endoskopi ini sama sekali tidak memerlukan belahan pada kulit kerana segala prosedurnya dilakukan di dalam rongga hidung. Ini berbeza dari kaedah lama pembedahan di mana belahan terpaksa dibuat di sekeliling kawasan hidung. Pun begitu, gejala alahan hidung masih boleh terjadi selepas pembedahan dan hanya dapat dikawal melalui penggunaan ubat-ubatan.

Gejala Resdung

a.  Hidung tersumbat

b.  Lendir daripada hidung dan tekak

c.  Muka berasa sakit dan berat terutamanya pada bahagian antara mata

d. Sakit tekak berpanjangan dan berulang-ulang

e.  Demam atau rasa tidak sedap badan yang berpanjangan akibat gejala di atas

f.  Gejala alahan hidung seperti bersin, gatal hidung dan sebagainya.

Punca Resdung

* Susunan tulang dalaman hidung yang sempit

* Hidung bengkok

* Mandi dan terjun di dalam air yang kotor

* Jangkitan gigi atas

* Ketumbuhan di dalam hidung

* Objek dimasukkan ke dalam hidung, contohnya putik kapas, maik dan kertas

* Tisu belakang hidung yang bengkak terutamanya kanak-kanak.

Komplikasi Resdung

a. Jangkitan nanah di sekeliling kawasan mata

b. Jangkitan otak (meningitis)

c. Sakit tekak yang kronik

d. Jangkitan tulang muka

e.  Memburukkan keadaan lelah

f. Berdengkur yang kronik

g. Jangkitan telinga dan tonsil, terutamanya kanak-kanak

h. Alahan hidung atau hidung sensitif

i. Selesema biasa yang melarat.

Diagnosis

* Skop hidung untuk melihat punca resdung

* Skan CT hidung dan sinus untuk melihat rongga-rongga yang terlibat dan kawasan putih menandakan lendir atau dipenuhi nanah

Rawatan

a.  Antibiotik (10 hingga 14 hari bagi resdung akut)

b.  Ubat selesema

c.  Dekongestan; ubat titis atau semburan hidung

d. Pembedahan hanya akan dipertimbangkan setelah rawatan-rawatan lain tidak berkesan ataupun jika ada sesuatu yang menghalang sinus dan ia tidak dapat disembuhkan dengan ubat-ubatan.

Petua Menguruskan Resdung

a. Bagi anda yang mempunyai alahan hidung disarankan agar tidak menyapu rumah tetapi menggunakan vakum atau mop.

b. Elakkan makanan yang boleh menyebabkan alahan. Setiap individu alah kepada makanan yang berlainan terutamanya ramai orang yang tidak boleh memakan makanan laut yang kaya protein atau belacan.

c. Banyakkan berehat. Berbaringlah menggunakan bahagian badan yang membuatkan anda bernafas dengan lebih baik kerana ia berupaya melegakan resdung.

d. Hirup sup atau cecair yang panas dan minum banyak air.

e. Lap muka anda dengan menggunakan tuala yang dibasahkan dengan air suam ataupun melakukan pernafasan wap.

f. Jangan menggunakan semburan hidung dekongestan lebih dari tujuh hari. Jika tidak, bengkak di dalam sinus akan menjadi lebih teruk selepas anda memberhentikan penggunaannya.

g. Bilas saluran sinus menggunakan larutan salina yang boleh didapati di farmasi.

h. Anda juga boleh menggunakan ubat-ubatan seperti acetaminophen dan parasetamol untuk merawat kesakitan.

i. Berbincanglah dengan doktor anda sebelum mengambil ubat demam kerana sesetengahnya boleh memburukkan gejala resdung ataupun menimbulkan lain-lain masalah.

Petua Hilangkan Hidung Tersumbat

Ambil halia dan hiriskan. Masukkan halia yang sudah dihiris dalam segelas air panas. Ambil tuala kecil/sapu tangan dan rendamkan dalam air halia (biarkan sehingga kira-kira 8 minit). Perahkan tuala kecil/sapu tangan sikit (jangan perah sampai kering) dan tekapkan pada bahagian permukaan lubang hidung dan sekitar mulut. Dalam masa yang sama, tarik nafas panjang-panjang ikut hidung.  Selepas 5 minit, pasti hidung anda tidak akan tersumbat lagi.