Petua Menangani Medu Angin

1. Medu angin berpunca daripada angin kotor yang mengandungi karbon dioksida dan bahan-bahan perkumuhan lain. Angin kotor tersebut terperangkap di dalam tubuh kita yang bermula daripada perut semasa proses pencernaan makanan. Kandungan asid hidroklorik yang tinggi dalam tubuh juga akan menyebabkan urat-urat/usus pengidapnya lemah/kembang dan ini memberikan ruang kepada angin kotor untuk mendudukinya. Faktor keturunan adalah pendorong utama kepada penyakit ini. Pada umumnya, pengidap sakit ini akan selalu mengalami masalah kembung perut, lemah badan, hilang semangat dan seumpamanya.

2. Angin kotor yang terperangkap di dalam usus akan mengakibatkan sembelit dan rasa senak diperut. Angin kotor yang menyongsong ke atas, akan menyebabkan pedih ulu hati dan mengganggu sistem pernafasan seperti batuk berpanjangan dan sesak nafas. Apabila ia naik ke kepala, pengidap sakit ini akan mengalami sakit kepala, pelupa, pemarah, murung, sukar tidur, selalu mengantuk atau berserabut tanpa sebab. Angin kotor yang menyongsong ke bawah akan masuk ke dalam sistem pembiakan. Bagi kaum wanita, mereka berkemungkinan besar akan mengalami senggugut angin dan boleh menyukarkan kehamilan serta ketidakselesaan. Bagi kaum lelaki pula, mereka akan mengalami sakit uluran, di mana buah zakar mereka akan membesar dan kebiasaannya besar sebelah sehingga boleh mencapai saiz sebesar sebiji buah kelapa.

3. Apabila angin kotor tersebut masuk ke dalam urat, sistem peredaran darah pesakit akan terganggu. Segala zat-zat makanan dan oksigen yang di bawa oleh darah tidak akan sampai dengan sempurna kepada organ-organ pengidap sakit ini. Oleh kerana itu, seluruh sistem tubuh mereka akan menjadi lemah dan tidak dapat berfungsi dengan baik. Mereka juga akan lebih terdedah kepada penyakit angin ahmar atau lumpuh dan pelbagai lagi jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan seumpamanya.

Petua 1: Amalkan meminum rebusan akar hempedu bumi. Ambil segenggam akar tersebut dan rebuskan dengan seperiuk kecil air. Biarkan air tersebut mendidih sehingga airnya tinggal ½ periuk. Minum segelas pagi, tengahari dan malam.

Petua 2: Ambil segenggam daun gentang guri. Rebus dan minum airnya. Manakala, akarnya diasah dan sapukan pada perut, dada dan belakang pada waktu pagi, tengahari dan malam.

Nasihat Untuk Pengidap Medu Angin – Anda dinasihatkan menjaga pemakanan. Berikut ialah di antara jenis-jenis makanan dan minuman yang dilarang makan/minum untuk sementara waktu:

1.    Makanan/Minuman yang Sejuk

  • Tembikai, pisang goreng/mentah, duku, ciku, manggis dan betik.
  • Kangkung, kacang panjang, kacang bendi, labu, terung, keladi dan kacang hijau.
  • Air batu, air wap, air kelapa dan air teh.

2.    Makanan/Minuman Masam (berasid)

  • Mempelam masam, semua jenis jeruk, acar, cuka dan limau masam.
  • Daging kerbau.

3.       Makanan/Minuman Bergas

a.      Durian.

b.     Tapai.

c.      Air botol/tin bergas.

4.     Makanan/Minuman mengandungi Kafein.

a.      Kopi, Nescafe, Indo Cafe dan seumpamanya.

b.     Rokok.

5.     Lain-lain Makanan/Minuman Yang Boleh Mendatangkan Angin

a.      Petai, jering dan kerdas.

b.     Susu tin (cair, krimer atau pekat manis).

AMALAN LAIN YANG PERLU 

  • Buatlah senaman regangan urat sewaktu hendak tidur dan baru bangun dari tidur.
  • Kalau boleh, jangan tidur malam dengan berkipas. Seandainya hendak berkipas juga, jangan pasang kipas terlalu kuat. Jika anda menggunakan penghawa dingin, hendaklah mengenakan selimut.
  • Selalu amalkan meminum segelas air masak/suam pada waktu pagi supaya perut anda tidak kosong.
  • Jangan biarkan perut kosong. Sekiranya terasa lapar dan tidak dapat makan banyak, makanlah sedikit agar perut tidak masuk angin.
  • Apabila anda terasa ingin buang air besar atau kecil, bersegeralah ke tandas.
  • Jika anda terasa ingin buang angin, jangan ditangguh-tangguhkan. Lepaskanlah.

 

Petua Mengurangkan Bintik Putih Di Muka

Pilihan 1: Ambil beberapa biji badam dan campurkan dengan kulit oren. Kisar bahan itu hingga lumat. Kemudian, ambil sedikit bahan  tersebut  dan campurkan dengan sedikit air.  Gosok ke muka anda dan di tempat-tempat yang ada bintik putih. Jika anda rajin mengamalkannya, bintik-bintik putih di muka akan berkurangan.

Pilihan 2 : Ambil beras pulut dan cuci bersih. Toskan sehingga kering airnya. Kisar beras pulut tersebut dan ayak halus. Gunakan beras ini untuk mencuci muka. Basahkan muka dan gosok beras ini pada kulit perlahan-lahan selama 5 minit. Cuci hingga bersih. Wajah akan lebih halus, licin dan tiada lagi bintik-bintik putih.

Petua Rambut Lembut dan Mudah Dibelai

Ambil secekak kangkung, kemudian bersihkan  Ramaskan dengan 6 sudu air suam kuku. Biarkan ia lembut dan keluar lender. Kemudian tapis dan sapukan pada rambut. Sambil disapu, picit-picitkan kepala supaya ia meresap. Biarkan lebih kurang 8 minit sebelum dicuci. Amalkan 2 kali seminggu.

 

Petua Untuk Mengatasi Kulit Berminyak

Kulit berminyak akan mengundang jerawat. Jerawat disebabkan oleh inflamasi kelenjar sebum. Munculnya jerawat adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon. Faktor-faktor lain yang sering dikaitkan dengan kehadirannya adalah keturunan, bakteria, tekanan psikologi yang keterlaluan/stress, dan cuaca. Kulit yang terdedah dengan bahan kimia tertentu mungkin merangsang munculnya jerawat. Untuk mencegahnya, ikuti petua berikut:

  • Kurangkan makanan berminyak
  • Minum air dengan banyak setiap hari
  • Sentiasa mencuci muka terutamanya selepas di luar, setidak-tidaknya, lapkan muka dan leher anda dengan kain/tisu lembap.
  • Jika anda menggunakan losyen muka, pastikan ianya bukan dari jenis berminyak tapi berasaskan air. Elakkan yang mengandungi ‘mineral oil’.
  • Pastikan anda membersihkan solekan anda setiap hari dengan make-up remover yang bersesuaian.

Petua Pemilihan Sabun Untuk Kulit Cantik

Pemilihan sabun yang betul dan sesuai amat penting dalam penjagaan kulit. Oleh itu, pilihlah sabun yang berkualiti dan sesuai dengan kulit anda. Jika sabun yang digunakan tidak berkualiti, pasti ada di antaranya yang menyebabkan kulit kering dan alahan. Jika anda tidak membilas sabun dengan bersih selepas menggunakannya, ia akan menyebabkan kulit menjadi kering dan berlakunya iritasi. Selain itu, ia turut menutup pori-pori dalam jangkawaktu panjang. Jika kulit anda terlalu kering, pilihlah sabun yang mengandungi formula gliserin, petroleum dan beeswax kerana ketiga-tiga bahan itu boleh membantu melindungi dan mencegah kulit dari iritasi dan jerawat. Selain itu, sabun yang mengandungi rumusan bahan semulajadi, misalnya oren, limau, anggur dan timun juga baik untuk kulit.

Anda perlu tahu jenis-jenis sabun yang perlu dielakkan yang menggunakan formula-formula seperti berikut:

1. Sodium Hydroxide & Alkaline – Ia menyebabkan kulit mengalami iritasi dan kering.

2. Anti Bacterial Formula – Ia hanya membersihkan bahagian luar tetapi tidak mematikan kuman dan bakteria yang ada pada jerawat.

3. Lemak Haiwan – Ia mengakibatkan jerawat.

4. PH di atas 7 – Ia meningkatkan kewujudan Propionobacteria, iaitu sejenis bakteria penyebab jerawat.

Anda perlu memilih serta mengenali sabun dan fungsinya seperti berikut:

Acne Soap – Sabun ini dikhususkan untuk membunuh bakteria-bakteria pada jerawat. Sabun ini mudah mengakibatkan kulit kering. Sebaiknya, sapukan pelembap atau losyen selepas menggunakannya.

Cosmetics Soap atau Bar Cleanser – Biasanya banyak dijual digerai kecantikan. Cosmetic soap memfokuskan formulanya untuk memberi hasil tertentu, seperti pada whitening facial soap dan firming facial soap.

Natural Soap – Sabun yang mengandungi rumusan semulajadi ini memiliki formula yang sangat lengkap seperti vitamin, ekstrak buah, ekstrak bunga, aloe vera dan minyak essential. Sesuai untuk semua jenis kulit dan kebarangkalian membahayakan kulit sangat kecil.

Deodorant Soap – Sabun ini bersifat aktif untuk menghilangkan bau kurang enak pada bahagian tubuh. Ia juga sesuai digunakan bagi mereka yang sentiasa menjalani kehidupan aktif. Anda tidak boleh menggunakan sabun ini pada kulit wajah kerana ia memiliki kandungan yang cukup keras yang dapat menyebabkan kulit mengalami alahan.

Petua Merawat Bentan Ketika Dalam Pantang

1. Berehat secepat mungkin.

2. Minum segelas kopi ataupun segelas air suam dicampur sedikit gula dan sapukan hirisan bawang merah di ibu jari kaki.

3. Kemudian selimut tebal hingga berpeluh.

Petua Menghilangkan Sakit Telinga Semasa Naik Kenderaan

Pilihan 1: Telan air liur, menguap, kunyah, hisap gula-gula ketika telinga rasa berdengung.

Pilihan 2:  Picit hidung dengan tangan, tutup mulut dan hembus perlahan-lahan (jangan hembus ikut mulut). Cara ini boleh seimbangkan tekanan udara dalam telinga.

 

Petua Untuk Meredakan Sakit Gigi

Pilihan 1: Gigit 3 kuntum bunga cengkih pada tempat yang sakit. Kalau gigi berlubang, tumbuk cengkih dan isi di dalam lubang gigi anda dan tutup dengan kapas.

Pilihan 2: Ambil isi lidah buaya dan diletakkan pada tempat yang sakit. 2 hingga 4 jam.

Pilihan 3: Ambil satu sudu teh garam dan masukkan ke dalam secawan air panas.  Setelah garam melarut dan air menjadi suam, berkumur dengan air garam tersebut  sehingga sakit gigi anda reda.

Pilihan 4: Ambil 10-15 helai daun sirih tua direbus dengan air sebanyak 4 – 6 gelas sehingga mendidih. Sejukkan dan tapiskan.Berkumurlah dengan air daun sirih sehingga sakit gigi hilang.

Pilihan 5: Kunyahlah sirih yang dicampur sedikit kapur. Letakkan pada gigi  yang sakit. Sakit gigi akan berkurangan. .

Pilihan 6: Cuba minum air rebusan kulit pokok dan daun pokok gajus untuk mengurangkan sakit gigi.

Pilihan 7: Ambil serbuk jintan hitam atau minyak jintan hitam (habatussauda), letakkan ke dalam gigi yang berlubang.

Pilihan 8: Ambil daun serai dan tumbukkan  hingga hancur. Masukkan ke dalam air hangat dan tambah sedikit garam. Air serai ini hendaklah digunakan sebagai bahan kumur.

Pilihan 9: Ambil sedikit kapur sirih dan sapukan pada gigi yang sakit itu. Insya-Allah sakit gigi anda cepat hilang.

Pilihan 10: Giling halus beberapa kuntum bunga cengkih, bunga lawang, asam gelugur, halia dan lada. Sumbatkan ramuan tersebut ke dalam gigi berlubang.

Pilihan 11: Ambil betik muda yang mempunyai banyak getah.Kemudian getah tersebut  dititiskan pada lubang gigi yang sakit itu dengan menggunakan kapas.Elakkan daripada terkena lidah kerana ia akan menimbulkan rasa gatal sekiranya terkena.

Pilihan 12: Ambil getah pokok kemboja dan letakkan ke dalam gigi yang berlubang. Jika gusi pula bengkak maka sapukan getah tadi di tempat yang bengkak.

Pilihan 13: Campurkan sedikit air suam dengan sedikit cuka. Berkumurlah dengan campuran tadi untuk mengurangkan sakit gigi.

Pilihan 14: Ambil kapas dan dijadikan bebola. Celupkan ke dalam minyak masak yang telah digunakan. Letakkan ke dalam piring lalu bakar kapas sekejap dan jangan sampai jadi abu. Padamkan api dan letakkan kapas tersebut ke dalam gigi yang berlubang. Perlu diberi perhatian jangan terkena gusi.

Pilihan 15: Ambil pucuk dan daun pokok cengkih lalu di kunyah-kunyah untuk mengurangkan sakit gigi.

Pilihan 16: Ambil akar senduduk putih direbus dan airnya digunakan untuk berkumur.

Pilihan 17: Ambil buah tomato muda kemudian dibelah dua.  Setelah itu masukkan tomato sebahagian kecil ke dalam gigi anda yang sakit. Seandainya gigi anda dimakan ulat pasti ulatnya akan keluar dengan sendirinya. Tidak lama kemudian berkumur-kumurlah bila terasa sembuh. Jika petua ini sesuai pasti anda tidak akan diulangi sakit gigi lagi.

Pilihan 18: Letakkan campuran serbuk lada dan minyak bunga cengkih pada gusi dan gigi berlubang.

Pilihan 19: Rendamkan sedikit gambir dalam setengah cawan air suam. Tumbuk sehingga separuh hancur. Masukkan gambir ini ke dalam gigi yang sakit.Gambir akan mengebaskan gusi tapi jangan menggunakan banyak kerana akan mengebaskan seluruh mulut.Insyaallah berkesan .

Pilihan 20: Rebus garam, air dan limau nipis yang di belah empat sehingga mendidih. Kemudian biarkannya sehingga suam dan berkumurlah sekerap yang boleh. Lakukan setiap hari sehingga sakitnya berkurangan.

Pilihan 21: Goreng asam jawa beberapa minit. Kemudian bakar sedikit garam kasar ke dalam daun pisang. Tumbuk kedua-dua bahan ini sehingga halus. Kemudian tampalkan pada gigi yang sakit.

Pilihan 22: Hiris bawang putih dan tempelkan pada gigi yang sakit. Biarkan selama 1 jam.

Pilihan 23: Daun sirih yang sudah diletakkan minyak kelapa, dilayurkan atau dipanggangkan pada api, kemudian tampalkan pada pipi yang sakit itu, lakukan dua kali satu hari sampai 3 hari berturut-turut.

Pilihan 24: Ambil tempurung kelapa,garam,bunga cengkih dan madu lebah.Tempurung dibakar hingga menjadi arang kemudian ditumbuk bersama-sama dengan garam dan dicampurkan dengan madu lebah.Ramuan ini hendaklah digunakan untuk menggosok gigi pada setiap hari.bunga cengkih dapat menyembuhkan sakit pada gusi.Garam dapat menahan pengaliran darah.

Pilihan 25: Ambil sepotong kecil bawang merah dan tempatkan pada bahagian gigi yang sakit untuk meredakan gigi yang sedang sakit.mengunyah bawang merah selama 3 minit dinyatakan cukup untuk membunuh semua kuman di mulut.

 

 


Petua Untuk Kulit Wanita Cantik Berseri

Wanita zaman dahulu mengutamakan kecantikan kulit dan rambut. Justeru, mandi lulur sangat digemari. Mungkin kerana mereka kerap berjemur di bendang dan ladang. Kesannya kulit mudah dibakar matahari, menjadi gelap, kering dan bersisik. Lantas mereka rajin menyediakan ramuan mandi lulur, sama ada menggunakan beras tumbuk ataupun rempah-ratus. Ia bertujuan melembut serta menghaluskan kulit. Biasanya, padi yang baru dituai diasingkan secupak dua, dibuang kulit dan direndam berhari-hari. Airnya mesti diganti 2 kali sehari agar tidak busuk. Setelah separuh lembut, ia ditapis dan ditumbuk separuh lumat.

a. Setiap kali sebelum bersiram, beras lumat yang dicampur perahan limau nipis disapu pada seluruh badan. Apabila separuh kering, baru disental untuk mengeluarkan daki degil dan sel mati. Selain berlulur, amalan mandi susu (berendam), juga disukai untuk mencerahkan kulit.

b. Jika ingin kelihatan berseri, sesekali mereka mandi bunga, campurkan 7 jenis bunga bersama sedikit perahan limau. Bagi wanita bersalin, mandian daun-daun kayu paling digemari untuk membuang angin di dalam badan, melancarkan peredaran darah serta mengharumkan badan.

c. Hampas kelapa digunakan untuk menyental daki. Selain itu, campuran kapur makan dan perahan limau nipis pula untuk menyental daki pada ketiak dan pelipat kaki.

d. Ada juga menggunakan beras pulut. Caranya mudah. Goreng beras pulut tanpa minyak hingga kuning, kemudian tumbuk lumat. Ambil segenggam, titikkan air agar lembap,gosok pada bahagian bermasalah. Bagi mengelakkan kulit kering, mereka sapukan pula gel aloe vera (lidah buaya) ataupun minyak sayur-sayuran.

e. Bedak sejuk daripada beras juga sangat elok untuk menyejukkan muka, menghilangkan ruam serta menghaluskan kulit. Biasanya beras direndam berbulan-bulan hingga lembut, dititik di atas daun pisang dan dijemur berhari-hari. Setelah kering, disimpan di dalam mangkuk tanah dan dicampur hirisan daun pandan, bunga melati atau mawar agar berbau harum.

f. Bagi mengelakkan jerawat atau gatal-gatal, kunyit hidup yang ditumbuk lumat disapu pada seluruh wajah kerana ia mengandungi antiseptik semulajadi. Parutan buah jambu muda juga elok untuk menghilangkan jerawat. Bagi menegangkan kulit muka, putih telur segar (baru bertelur) disapu, manakala pupur parutan lobak dan timun untuk menyegarkan kulit.

g. Pupur kacang hijau dan badam juga kerap digunakan untuk menjaga muka. Gel aloe vera boleh digunakan sebagai pelembap. Bagi menghilangkan parut yang masih baru pada muka, kulit pisang emas (bahagian dalam) disental pada kulit muka ataupun buih daripada kayu api (misalnya kayu getah) disapukan.

 

 

Pilihan Minuman Untuk Kesihatan

COKLAT PANAS RENDAH LEMAK – Campuran koko di dalam secawan coklat panas boleh memberikan kesan kenyang pada anda dan sesuai diminum ketika bersarapan.

HALIA DAN OREN – Halia berkesan untuk membuang angin dalam badan. Oren pula membekalkan sumber vitamin C terbaik yang boleh membantu penghadaman semasa berdiet.

TEH HERBA – Satu cawan teh herba boleh membantu meredakan ketegangan dan tekanan yang dialami sepanjang hari. Ia sesuai dinikmati pada waktu petang. Teh herba juga boleh membantu anda dari mengambil makanan yang banyak akibat tekanan.