- Dilarang mencaci atau mengumpat, membuat fitnah, iri hati juga bergaduh terutamanya dengan ibu mertua. Perbuatan tersebut dipercayai akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir. Ibu mengandung juga akan mengalami kesulitan semasa melahirkan anak.
- Dilarang memaku, memahat dan menggali lubang. Tidak boleh memukul atau mencederakan binatang kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak yang bakal lahir cacat anggota badan.
- Dilarang keluar rumah pada waktu petang atau senja kerana dikhuatiri hantu akan menggusiknya.
- Hendaklah menjauhi pergaulan dengan orang yang tidak jujur atau rendah maruahnya, kerana dipercayai ini akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir.
- Dilarang melihat gerhana bulan ataupun matahari kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir akan cacat atau berkulit gelap.
- Dilarang duduk di anak tangga kerana dipercayai perbuatan ini akan mendatangkan kecelakaan kepada ibu sewaktu hendak melahirkan anak.
- Ibu juga dilarang memikul batu kerana dikhuatiri anak dalam kandungan menjadi lumpuh. Tidak boleh menanam pokok pisang kerana dikatakan perbuatan ini boleh menyebabkan anak berkepala besar yang luar biasa.
- Ditegah menyusun tempurung kerana dikhuatiri anak yang dilahirkan akan botak kepalanya.
- Ibu mengandung juga tidak boleh membiarkan anak-anak melangkah perut kerana dikhuatiri anak akan lahir cacat atau dilahirkan tidak cukup bulan.
- Dilarang tidur pada waktu tengah hari kerana dikhuatiri kepala anak yang bakal lahir akan menjadi besar.
Pantang Larang Semasa Ibu Mengandung
Kepercayaan Orang Melayu Mengenai Air Ludah
Kenapa haiwan sukamenjilat tubuh mereka? Kenapa ibu kucing menjilat mata dan tubuh anak kucing yang dilahirkannya? Tahukah anda bahawa haiwan dilindungi alam dan mempunyai naluri untuk mudah sembuh daripada luka yang biasa berlaku? Luka yang disebabkan oleh haiwan pemangsa sering kali menyebabkan penularan bakteria kepada mangsa. Secara naluri, haiwan yang luka akan menjilati lukanya untuk membersihkannya dan menyebarkan minyak tubuh ke dalam jaringan yang terluka. Minyak ini bertindak sebagai anti-jangkitan bakteria dan seterusnya melindungi haiwan itu.
Haiwan yang paling jinak dengan orang Melayu ialah kucing. Kucing baik untuk dipelihara kerana kucing memiliki kebolehan untuk mengesan penyakit dan kemudian mengubatnya dengan menjilat. Sekiranya sesiapa dalam keluarga anda (disimpang Malaikat hendaknya) menderita sakit terkehel, salah urat atau pegal-pegal, hulurkan sahaja bahagian tubuh yang sakit itu kepada kucing anda. Kucing anda itu akan menghidu-hidu seketika dan kemudian menjilatnya. Tidak lama kemudian, sembuhlah sakit itu. Justeru sekiranya kucing anda tiba-tiba menjilat anda, jangan ditepis atau dipukul kucing itu, wlaupun anda terasa geli. Bahagian yang dijilat itu mungkin merupakan punca penyakit dan jilatan yang mengeluarkan air ludah itu pula merupakan penawar atau ubat kepada penyakit itu.
Air Ludah – Air ludah atau air liur adalah cairan bening yang dihasilkan dalam mulut manusia dan beberapa jenis haiwan. Air liur berfungsi membasahi makanan untuk membantu mengunyah dan menelan. Air liur juga mengandung enzim-enzim yang memulai dan memudahkan proses pencernaan. Fungsi lain air liur adalah membersihkan mulut daripada bakteria dan membasuh partikel makanan. Air liur yang berada di mulut merupakan bahagian terpenting dalam perawatan rongga mulut. Di dalam air ludah terkandung sistem pertahanan alamiah yang berfungsi menjaga keseimbangan ekologi flora mulut. Cairan yang dikeluarkan oleh kelenjar ludah secara terus menerus membersihkan mulut. Oleh sebab itulah, jika seseorang kurang meminum air, maka kebersihan mulut akan berkurangan.
Menurut satu kajian sains, zat dalam air ludah dapat menyembuhkan luka. Saintis mendapati bahawa protein kecil di dalam air ludah yang sebelum ini dipercayai hanya dapat membunuh bakteria, berguna juga untuk menyembuhkan luka. Sebab itulah, luka pada gusi yang baru dicabut giginya cepat pulih berbanding dengan luka di bahagian anggota tubuh yang lain. Saintis juga menjangka, air ludah boleh menjadi ubat kepada penderita penyakit kencing manis yang buruk kakinya atau mereka yang mengalami kelecuran atau kebakaran pada kulit.
Pengubatan Cara Lama
Menurut orang tua-tua Melayu dahulu, terdapat beberapa petua tentang penggunaan ludah sebagai ubat. Dikatakan, sekiranya bayi yang baru lahir panas suhu badannya, si ibu atau ayah disuruh menjilat ubun-ubun bayi, telapak tangan kedua tangan dan telapak tangan kedua kaki. Menjilat harus dimulai dengan anggota yang kiri dahulu. Panas tubuh bayi itu akan serta merta beransur turun.
Petua menggunakan ludah untuk mengubat luka kecil juga sering disyorkan oleh orang tua-tua. Sekiranya jari terluka atau terhiris, kita disuruh cepat-cepat masukkan ke dalam mulut. Dikatakan darah akan berhenti mengalir dan luka cepat sembuh. Sekiranya bahagian lain yang luka, ambil sedikit air ludah sendiri dengan satu jari. Selepas itu, baca selawat sebanyak 7 kali. Selepas membaca selawat, sapu di bahagian yang luka. Nescaya cepat sembuh.
Menurut orang tua-tua, sekiranya seorang kanak-kanak masih lambat bercakap walau sudah berusia 3 tahun ke atas, lidah kanak-kanak itu perlu ditarik keluar lalu dikerik dengan cincin. Ini supaya ludahnya keluar sempurna, tidak bertakung di dalam mulut lantas dapat menggalakkan kanak-kanak itu segera bercakap.
Kebiasaan orang Melayu dahulu ialah menjilat bahagian tubuh yang sakit kerana dikatakan, penderita akan cepat pulih. Kebiasaan ini mungkin didapati daripada pengamatan terhadap tingkah laku haiwan yang sakit.
Sirih dan Ludah
Pemakan sirih mempunyai air ludah yang banyak kerana air liurnya terangsang oleh rasa sirih pinang dan tembakau. Disebabkan campuran ramuan sirih, air ludah pemakan sirih berwarna merah. Dahulu, ada orang kampung mengamalkan mengunyah sirih dan membuang ludahnya ke dalam sebuah bekas khas. Air ludah yang terkumpul itu kemudian digunakan untuk tujuan pengubatan dan urut. Dikatakan, ramuan sirih yang sememangnya berkhasiat, apabila bercampur dengan air ludah, menjadi bahan yang amat mujarab sebagai penyembuh penyakit kulit dan tulang. Ini juga dapat menjelaskan mengapa dalam beberapa pengubatan tradisional mempunyai kaedah sembur. Maksudnya, bomoh akan mengunyah sirih pinang dan kemudian menyembur si pesakit. Ada juga yang hanya berkumur air jampi dan kemudian menyembur pesakit.
Air Ludah Orang Mulia
Dahulu, sekiranya seseorang yang dianggap mulia dan berilmu tinggi seperti ahli agama atau guru minum air, ramai yang menantikan peluang mengambil bekas minuman orang mulia itu. Mereka percaya bahawa bekas air minuman itu amat berkat kerana mengandungi sisa air dan air liur orang yang mulia. Bekas itu kemudian digunakan tanpa dicuci, dengan menambah air masak. Biasanya, air minuman itu diberikan kepada anak-anak mereka yang kurang pandai belajar atau nakal tingkah lakunya.
Kepercayaan ini turut tercatat dalam kitab Sulalatus Salatin. Diriwayatkan, pengislaman Raja Samudera iaitu Merah Silu, turut melalui mimpi. Baginda bermimpi didatangi Nabi Muhammad SAW. Mulutnya diludahi oleh Nabi. Apabila baginda tersedar, baginda sudah boleh membaca ayat-ayat Al-Quran dengan fasih dan lancar.
Pantang Meludah
Kita meludah apabila air liur kita melimpah atau kelenjar air liur keluar lebih banyak daripada sepatutnya. Air liur yang dibuang itu adalah ‘meludah’. Faktor yang menyebabkan air liur keluar lebih banyak juga disebabkan rangsangan pancaindera kita. Misalnya, rasa pahit, pedas dan masin. Bau busuk boleh membuat kita mual lalu meludah. Keadaan kerongkong yang tidak sihat menyebabkan batuk dan kahak juga membuat kita meludah. Begitu juga dengan emosi jijik, muak, menyampah, jengkel, geram dan marah.
Dewasa ini, meludah dianggap perbuatan yang kotor dan mengotorkan pemandangan. Ludah orang yang sakit juga membawa bakteria penyakit dan boleh mengakibatkan penyakit merebak. Meludah juga dianggap satu perbuatan yang negatif apabila perbuatan meludah dilakukan ke atas tanah di hadapan orang lain. Apatah lagi, kalau kita meludah ke muka atau tubuh orang lain. Perbuatan itu boleh membawa pergaduhan kerana meludah sebegitu adalah satu penghinaan dan mencabar orang yang diludah.
Natijahnya, walaupun ludah dianggap ubat yang berkhasiat menyembuhkan luka, meludah sebarangan pula boleh mengakibatkan kekotoran dan persengketaan. Sesungguhnya meludah dianggap perbuatan negatif dan terpancar dalam peribahasa Melayu. Meludah ke langit hanya membawa kesusahan sendiri kerana cuba melawan orang yang berkuasa. Kalau meludah jilat kembali, samalah ertinya dengan orang yang tidak berpendirian kerana setelah menghina seseorang, orang itu dimuliakan kembali.
SUMBER: Noor Hasnah Adam
Adat dan Tatatertib Melawat dan Berkunjung Ke Rumah Orang
Panduan berhubung dengan lawatan dan kunjungan:
- Bagi pengunjung Melayu atau yang beragama Islam, apabila tiba di rumah yang dikunjungi hendaklah memberikan salam dengan ucapan “Assalamualaikum”.
- Sebelum masuk ke dalam rumah orang Melayu, pengunjung hendaklah menanggalkan kasut.
- Jika pada masa itu telah ada tetamu lain, pengunjung hendaklah mengenalkan diri dan menundukkan sedikit kepala tanda hormat sambil berjabat tangan.
- Apabila seseorang ingin berjalan lalu di hadapan satu kumpulan atau perhimpunan orang ramai, hendaklah menundukkan sedikit kepala dengan menghulurkan sebelah tangan. Ucapan – ucapan yang sesuai bagi maksud ini ialah ‘ maafkan saya, tumpang lalu, minta jalan’.
- Secara tradisinya, adalah menjadi kebiasaan di rumah orang Melayu, tetamu dan tuan rumah duduk bersila. Bagi orang lelaki duduknya bersilang kaki dan bagi orang perempuan bersimpuh. Jika duduk di kerusi ia dianggap kurang sopan apabila seseorang itu bersilang kaki sehingga nampak tapak kaki, berlunjur lurus ataupun membuka kaki dengan luas.
- Apabila tuan rumah menghidangkan makanan adalah tidak manis tetamu menolaknya. Jika sudah kenyang sekalipun hendaklah ia merasa sedikit hidangan yang disajikan itu.
- Anak gadis dikehendaki menyenduk nasi ke dalam pinggan orang yang lebih tua. Jangan senduk terlalu penuh atau sedikit tetapi sederhana banyaknya. Biarkan orang lebih tua mengambil makanan dahulu kemudian barulah orang muda kerana tidak sopan membiarkan orang lebih tua memakan sisa orang muda. Disebab itulah sesetengah orang menyediakan peraturan orang muda makan berasingan daripada orang tua, atau orang tua makan dahulu. Bagaimanapun amalan ini tidak begitu sesuai jika kita mahu menanamkan kemesraan dan kekeluargaan di kalangan anak-anak.
- Seeloknya ambillah hidangan yang berhampiran dengan kita jangan menjangkau makanan yang terletak jauh dan sukar dicapai. Jika kita berkehendakkan makanan yang sukar dicapai mintalah bantuan orang lain yang berdekatan.
- Ketika menghulur atau menyambut seeloknya siku atau pergelangan tanggan ditampung sedikit dengan tangan sebelah lagi. Ketika menyenduk kuah atau nasi, gunakan tangan kiri supaya sudu atau senduk tidak kotor. Bunyi ketika menyenduk dianggap kurang sopan dan kasar. Jangan bercakap ketika makan apatah lagi ketika mulut penuh.
- Jika bercakap pastikan tidak menimbulkan perkara-perkara kurang menyenangkan sehingga boleh menganggu selera makan atau menyebabkan pertengkaran.
- Jangan bersiul terutamanya ketika berada dalam rumah kerana perbuatan itu dianggap biadap dan tidak menghormati ornag lain.
- Gunakan nada suara sederhana bila bercakap terutamanyaa golongan muda. Jangan sesekali meninggikan suara seperti orang menengking.
- Jika hendak bercakap sesuatu kepada oarng yang berada agak jauh dari kita, hampirilah dia. Jangan bercakap dengan menjerit-jerit dari satu sudut ke satu sudut.
- Seorang isteri seeloknya bangun dan masuk tidur awal daripada suami. Lebih sopan kalau tidur menghadap suami bukan membelakanginya.
Pantang Larang Kucing
Kucing adalah haiwan yang paling digemari orang Melayu sebagai binatang peliharaan. Kucing dianggap dapat memberi banyak faedah kepada tuannya. Namun jika hendak memelihara kucing, orang Melayu mempunyai beberapa syarat dan petua yang boleh diikuti.
Carilah kucing yang warna bulunya putih semua dan panjang ekornya. Lebih baik sekiranya bulu kucing berwarna kelabu muda atau kelabu tua manakala matanya berwarna biru. Kata orang, memelihara kucing sedemikian boleh mendapat khasiat yang baik dan sentosa rumahtangganya.
Jika kucing jantan yang dipelihara berbelang tiga warna iaitu warna hitam, putih dan merah, alamat tuan rumah memperolehi rezeki yang baik. Petua orang tua, sekiranya mahu rezeki menjadi lebih baik, tanamlah kucing hitam mati tua di bawah pintu rumah.
Jauhkan kucing daripada bertengkar di dalam rumah kerana rumah tangga pasti akan berlaku pergeseran atau pergaduhan. Sekiranya kucing tetap bertengkar setiap hari di dalam rumah, alamat rumah itu panas dan sukar mendapat rezeki.
Di larang memelihara kucing yang bulunya hitam semua kerana alamatnya tidak baik. Sekiranya tuan rumah mempunyai anak gadis, anak gadisnya sukar mendapat jodoh. Tuan rumah akan sering terkena sengsara dan berlakunya pertumpahan darah di dalam rumah. Namun sekiranya minat memelihara kucing hitam, carilah yang bulu keempat-empat kakinya putih. Lebih baik sekiranya ekornya bersimpul kerana itu petandanya kekayaan.
Jangan pelihara kucing yang berwarna lemak ketam dan panjang ekornya kerana alamatnya, berlaku kehilangan harta benda di dalam rumah serta sering boros rezeki simpanannya. Namun sekiranya ekor kucing itu bersimpul, masih ada baiknya kerana simpulan itu membawa budi selamat.
Jikalau kucing yang dipelihara berekor barik-barik (berbatik) panjang, firasatnya buruk, menyebabkan pertengkaran, susah hati, sering berdukacita dan jauh daripada kebahagiaan. Namun kalau ekornya bersimpul, alamatnya tidak berapa buruk.
Jikalau kucing belang hitam pada warna bulunya yang putih, baik sekali dipelihara kerana tabiatnya tulus dan kaya, murah rezeki. Apatah lagi sekiranya ekornya bersimpul, makin banyak manfaat kepada tuan rumah.
Diingatkan, janganlah memelihara kucing hitam yang kepalanya putih sehingga ke mulut kerana firasatnya kejahatan dan celaka selamanya.
Gelaran ‘kucing leher’ diberikan kepada kucing yang bulunya putih, kepalanya hitam mengalur sampai ke dada. Kucing sebegini baik dipelihara kerana membawa kebahagiaan kepada seisi rumah.
Kucing yang ekornya berwarna putih panjang walaupun sembarang warna badannya, tidak elok dipelihara kerana kulitnya mudah mati atau berkurap. Kucing sebegini disebut ‘bisa’.
Baik juga dipelihara kucing yang telapak kakinya putih hingga ke kepala kerana tuannya bakal kaya dengan rezeki. Kucing sebegini disebut ‘bunga mulia’.
Kucing berwarna merah dengan ekornya mengalur hitam dari punggung, digelar ‘kala-ngumbara’. Tidak baik memelihara kucing sebegini kerana sering akan terjadi sangkak atau gendala dalam perjalanan tuannya. Namun kalau ekornya bersimpul, kucing itu boleh dipelihara tetapi tiada firasat baik atau buruk kerana firasat buruk kucing itu telah tersimpul pada ekornya.
Baik dipelihara kucing putih warna bulunya tetapi hitam dadanya sampai belang pada punggungnya. Kucing sebegini digelar ‘Sangga Buwana’. Firasatnya, kucing ini membawa ‘selamat’ pada seisi penghuni rumah juga harta bendanya. Jika ekornya tersimpul, akan bertambah luhur dan damai tuannya.
Janganlah memelihara kucing yang dadanya hitam mengalur putih hingga ke hujung dada. Kucing sebegini dinamakan ‘Baja Ngangsar’ kerana memberi bahaya kepada tuannya, lebih-lebih lagi bahaya ketika berada di air.
Janganlah memelihara kucing dandi (berbelang kecil) merata seluruh tubuhnya melainkan buntutnya putih kerana tuannya akan sering ditimpa kesusahan, kurus kering, kehilangan harta benda dunia dan susah mendapat anak. Kucing sebegini digelar ‘Bintang-berekor’.
Orang tua-tua juga berpesan, peliharalah kucing bisu yang tidak mengeluarkan sebarang bunyi, biar apa warnanya sekalipun. Kucing sebegini digelar ‘Wisnu-bertapa’ dan dianggap memberi tuah kepada tuannya.
Lebih baik lagi, peliharalah kucing yang mempunyai pusar bulu di tiga tempat iaitu kepala, dada dan punggung. Kucing sebegini digelar ‘ketam-berani’ dan dianggap raja segala kucing. Kucing ini dapat menguasai semua kucing yang ada dan dapat memberi kemakmuran serta kedamaian pada tuannya.
Demikianlah pantang larang kucing, sekadar petua orang Melayu dulu. Namun kucing juga makhluk bernyawa dan perlukan kasih sayang. Janganlah terus membuang kucing anda sekiranya kucing peliharaan anda kini, dalam kategori kucing yang tidak elok dipelihara.
SUMBER: Noor Hasnah Adam
Pantang Larang Melayu: Semasa Wanita Hamil
Dalam masyarakat Melayu terdapat beberapa pantang larang yang masih lagi menjadi ikutan. Wanita-wanita hamil dilarang dari melakukan perkara-perkara berikut:
- Dilarang mencaci atau mengumpat, membuat fitnah, iri hati juga bergaduh terutamanya dengan ibu mertua. Perbuatan tersebut dipercayai akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir. Ibu mengandung juga akan mengalami kesulitan semasa melahirkan anak. Yang sebenarnya, tujuannya larangan di sini adalah untuk melahirkan rasa hormat kepada orang tua da selalunya ibu mertua turut menjaga dan membantu sewaktu dalam pantang.
- Dilarang memaku, memahat dan menggali lubang. Tidak boleh memukul atau mencederakan binatang kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak yang bakal lahir cacat anggota badan.
- Dilarang keluar rumah pada waktu petang atau senja kerana dikhuatiri hantu akan menggusiknya.
- Hendaklah menjauhi pergaulan dengan orang yang tidak jujur atau rendah maruahnya, kerana dipercayai ini akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir.
- Dilarang melihat gerhana bulan ataupun matahari kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir akan cacat atau berkulit gelap.
- Dilarang duduk di anak tangga kerana dipercayai perbuatan ini akan mendatangkan kecelakaan kepada ibu sewaktu hendak melahirkan anak.
- Ibu juga dilarang memikul batu kerana dikhuatiri anak dalam kandungan menjadi lumpuh. Tidak boleh menanam pokok pisang kerana dikatakan perbuatan ini boleh menyebabkan anak berkepala besar yang luar biasa.
- Ditegah menyusun tempurung kerana dikhuatiri anak yang dilahirkan akan botak kepalanya.
- Ibu mengandung juga tidak boleh membiarkan anak-anak melangkah perut kerana dikhuatiri anak akan lahir cacat atau dilahirkan tidak cukup bulan. Dilarang tidur pada waktu tengah hari kerana dikhuatiri kepala anak yang bakal lahir akan menjadi besar.
Selain pantang larang yang dinyatakan, terdapat beberapa pantang larang lagi yang bersangkut dengan suami kepada ibu mengandung:
- Suami kepada ibu mengandung pula dilarang meniup seruling atau alat bunyi bunyian kerana dikhuatiri anak yang akan dilahirkan sentiasa menangis.
- Suami juga dilarang menyembelih ataupun pergi memburu binatang kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir cacat anggota badannya.
- Suami juga dilarang memukul, membunuh binatang seperti ular dan sebagainya kerana dipercayai anak yang lahir akan cacat atau kenan binatang tersebut.
Sejauh mana benar pantang larang ini. Namun apa yang penting di sini ialah sebagai bakal ibu dan ayah, manusia perlu senantiasa menjaga sikap dan tingkah laku, apatah lagi ketika hamil.
Pantang Larang Melayu: Semasa Masuk Hutan
Orang Melayu pada zaman dahulu merupakan peneroka hutan yang gigih. Hutan belantara yang begitu tebal bertukar menjadi kampung halaman dan ladang. Tradisi meneroka hutan untuk kegunaan manusia, tidak dapat dielakkan kerana ia mempunyai hubung kait yang rapat dengan kepentingan manusia. Selain darpada penerokaan hutan untuk dijadikan kampung halaman, masyarakat Melayu zaman dahulu juga begitu gigih meneroka hutan bagi mencari bahan-bahan hutan untuk dijual atau digunakan sendiri. Pada masa dahulu kepercayaan terhadap semangat hutan begitu tebal di kalangan orang Melayu. Mereka menganggap bahawa hutan mempunyai ‘semangat’ yang keras. Selain didiami oleh binatang-binatang buas, hutan juga didiami oleh berbagai jenis jembalang, pari-pari dan mambang.
Kumpulan syaitan ini dipercayai mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan boleh menyebabkan bencana kepada manusia. Lantaran kepercayaan tersebut, mereka beranggapan perlu mengadakan upacara khas bagi mereka yang akan pergi ke hutan untuk mencari rotan, damar, kayu, buluh, akar kayu dan sebagainya atau untuk membuka tanah baru. Adat ini menjadi semacam kemestian untuk dilaksanakan demi menjamin keselamatan seseorang semasa berada di dalam hutan. Jika adat ini diamalkan, dipercayai gangguan daripada kuasa-kuasa ghaib akan berkurangan atau tiada sama sekali.
Hubungan Manusia dengan Hutan
Hutan merupakan tumbuhan semula jadi yang begitu bernilai dari segi ekonominya. Hutan adalah harta atau khazanah bagi sesebuah negara. Keperluan manusia terhadap hutan juga begitu penting dari banyak aspek.
Manusia memerlukan kayu-kayan dan hutan untuk mendirikan rumah, membuat perabot dan sebagainya. Umumnya, tumbuh-tumbuhan di hutan sangat penting kepada manusia. Penerokaan hutan telah lama dilakukan dan sehingga kini masih berterusan dilakukan oleh manusia. Umumnya tujuan manusia ke hutan pada masa dahulu adalah sekadar untuk memenuhi keperluan asas sahaja. Usaha mencari damar yang dilakukan adalah bertujuan untuk mendapatkan cahaya dari damar tersebut. Selain itu bahan tersebut juga boleh dijual untuk kegunaan pembuatan sarung peluru. Semasa zaman penjajahan British dahulu, damar dibeli untuk dieksport ke luar negeri.
Selain mencari damar, masyarakat dahulu juga memasuki hutan untuk mencari rotan serta buluh. Rotan pada masa itu bukanlah untuk tujuan industri. Rotan digunakan untuk membina rumah. Buluh pula digunakan untuk membuat bubu atau lukah dan sebagainya. Mereka juga ke hutan untuk mencari petai, jering, umbut, keladi dan sebagainya. Kesemua bahan ini menjadi makanan kepada manusia.
Sumber Perubatan
Orang Melayu dahulu juga menganggap hutan sebagai punca untuk mendapatkan bahan-bahan perubatan. Akar-akar kayu dan lain-lain mudah diperolehi dari hutan rimba tempatan. Bahan yang diperoleh dari hutan ini amat penting kepada manusia untuk ramuan membuat ubat.
Pemburuan Binatang
Penerokaan manusia ke dalam hutan juga dilakukan bagi tujuan menjerat atau memburu binatang. Berbagai-bagai ikhtiar dilakukan oleh manusia untuk memperolehi sesuatu daripada hutan. Dengan kata lain, manusia memang tidak dapat mengelakkan dirinya daripada hutan. Di dalam meneroka hutan belantara ini, orang Melayu pada zaman itu perlu mempunyai berbagai petua yang patut dipatuhi demi menjaga kesejahteraan mereka ketika berada di dalam hutan.
Kepercayaan Orang Melayu Berhubung Hutan
Umumnya manusia menganggap hutan sebagai tempat tinggal berbagai-bagai jenis binatang liar, jin dan jembalang. Warisan pemikiran masyarakat Melayu dikuatkan dengan beberapa dakwaan yang kononnya jika tidak mengikut adat atau tertib ke hutan, seseorang yang meneroka hutan akan ditimpa kesulitan seperti sesat di dalam hutan atau diresapi kuasa ghaib dan sebagainya.
Selain daripada menjadi tempat tinggal kumpulan syaitan, hutan juga merupakan daerah tempat pemasungan hantu. Dalam masyarakat Melayu, pawang adalah orang yang disegani. Kawasan hutan yang belum diterokai juga dianggap keras dan mempunyai berbagai-bagai rahsia dan kerenah yang tersendiri. Oleh itu kawasan-kawasan ini jika hendak diterokai haruslah melalui adat-adat yang tertentu. Maka atas anggapan dan kepercayaan ini, masyarakat Melayu pada masa dahulu telah membuat beberapa peraturan yang dikenali sebagai ADAT ketika berada di hutan.
Hutan rimba merupakan daerah atau tempat tinggal berbagai jenis binatang yang berbahaya kepada manusia. Binatang-binatang seperti ayam hutan, kambing gurun,badak sumbu dan sebagainya dikatakan mempunyai badi. Sekiranya seseorang cuba menembak binatang tersebut, maka dipercayai badi binatang itu akan menghinggapinya. Manusia yang terkena badi biasanya akan ditimpa kesulitan seperti sakit meracau, gila dan sebagainya.
Sebagai jalan untuk mengelakkan manusia yang pergi ke hutan daripada terkena badi tersebut, beberapa peraturan tertentu diwujudkan.
Peraturan Upacara
Bahan-bahan tempatan diperlukan bagi tujuan melaksanakan adat atau petua ke hutan ini. Bahan-bahan kegunaan harian seperti limau nipis, daun kelapa, bertih adalah keperluan asas yang penting.
Di dalam perlaksanaan adat ini, bahan-bahan seperti limau nipis, telur, bertih, sirih sekapur, kemenyan dan penunggal diperlukan. Bahan-bahan tersebut perlu disediakan untuk upacara sajian pada peringkat permulaan melaksanakan adat ini. Kegunaan terhadap bahan-bahan ini ditentukan oleh pawang.
Adat Permulaan ke Hutan
Bagi adat permulaan ke hutan, beberapa peringkat harus dilakukan demi mendapat kesejahteraan yang sewajarya. Adat ini boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian tertentu. Pengenalan adat atau permulaan ke hutan ini akan dilakukan oleh mereka yang akan ke hutan.
Pemilihan Hari
Orang Melayu masih lagi mempercayai kelebihan sesuatu hari bagi melakukan sesuatu upacara. Bulan atau hari yang dikira dalam hal ini ialah mengikut tahun Hijrah. Hari yang kurang baik untuk masuk ke hutan ialah hari Selasa akhir bulan Melayu.
Hari yang baik untuk melakukan upacara seumpama ini ialah hari Rabu, Khamis dan Jumaat. Hari-hari tersebut dipercayai mendatangkan manfaat yang lebih. Waktu yang baik bagi melaksanakan adat ini ialah pada sebelah pagi.
Pada peringkat permulaan, jika seseorang itu hendak ke hutan, dia perlu menjemput pawang untuk melaksanakan Adat Sajian. Upacara adat sajian ini diadakan sebagai suatu persembahan kepada penunggu hutan. Sebuah dulang yang telah diisikan dengan segala peralatan yang berkaitan perlu disediakan. Apabila segala peralatan tersebut telah disediakan, maka pawang akan menjampinya. Ia bertujuan menghalau atau menjauhkan hantu dan segala bahaya yang ada di dalam hutan. Upacara ini dilakukan di atas rumah.
Setelah sajian itu dijampi oleh pawang, dia akan melakukan upacara pancak penunggal pula dan semua peralatan dibawa ke halaman rumah. Orang yang akan meneroka atau yang akan masuk ke hutan pula akan diberi pinang sepiak, iaitu pinang yang telah dijampi. Segala peralatan tersebut kemudiannya diletakkan pada suatu tempat khas, iaitu pada pangkal pokok atau sebagainya, kecuali sebiji limau nipis yang akan diambil oleh pawang. Limau yang telah diambil oleh pawang tersebut akan diberikan kepada orang yang akan ke hutan sebagai ‘pengeras semangat’. Kononnya syaitan takut kepada bau limau itu.
PANTANG LARANG SEMASA DI HUTAN
Permulaan Turun ke Hutan
Andainya seseorang yang baru turun dari rumah untuk ke hutan tiba-tiba dilintasi ular dalam perjalanannya, maka dipercayai ini merupakan suatu petanda yang tidak baik. Orang tersebut haruslah naik semula ke atas rumah dan mengambil pinang sepiak dan memakannya kemudian barulah turun semula untuk meneruskan perjalanan.
Turun tangga haruslah dengan langkah kaki kanan. Sebelum turun didahului dengan bacaan Bismillahirrahmanirrahhim. Mereka juga tidak boleh berpatah balik.
Bersiul Semasa Dalam Perjalanan
Bersiul semasa dalam perjalanan adalah ditegah. Ia dipercavai menjemput kedatangan ular. Bersiul di dalam hutan pula dilarang sama sekali kerana ini akan menarik perhatian berbagai jenis binatang buas. Apabila kehadiran orang yang memasuki hutan itu diketahui oleh binatang buas, dirinya berada dalam keadaan bahava.
Melaung Semasa di Hutan
Perbuatan melaung di hutan juga ditegah. Melaung atau bercakap dengan kuat dipercayai akan menarik perhatian berbagai-bagai jenis jembalang serta binatang buas yang ada di dalam hutan.
Sekiranya orang yang masuk hutan itu melaung, maka laungan itu dipercayai akan disahut oleh jembalang dan andainya perkara seumpama ini terjadi, maka kejadian seperti sesat di hutan akan berlaku.
Berburu Binatang
Sekiranya tujuan seseorang ke hutan adalah untuk memburu, dia tidak boleh berpecah daripada kumpulan kawan-kawannya. Sekiranya dia berpecah juga, maka akan terjadi sesuatu yang tidak baik. Misalnya akan berlaku insiden tertembak rakan sendiri atau sebagainya. Mengikut kepercayaan, jembalang akan menyerupai wajah rakan seseorang dan wajah rakan itu pula akan menyerupai binatang yang hendak diburu. Sekiranya hal ini terjadi, maka malanglah bagi mereka yang pergi berburu di hutan itu.
Tidur di Atas Pokok
Mereka yang pergi ke hutan dilarang tidur di atas pokok. Perbuatan itu akan dipercayai akan diganggu oleh jembalang terbang. Tujuan sebenarnya jika seseorang tidur di atas pokok, sukar baginya melarikan diri apabila berlaku sebarang musibah.
Lain-Lain Pantang Larang:
1. Jika sesat di hutan, jangan tidur di tepi sungai, nanti dimakan hantu.
2. Dilarang pegang pokok merah, nanti badan menjadi gatal.
3. Jangan tidur di atas pokok jika sesat, nanti dilapah hantu.
4. Dilarang bercakap besar ketika di hutan, nanti mendapat bencana.
5. Pantang bersiul di hutan, nanti disambar langsuir.
6. Jangan melaung di tengah hutan, nanti disahut hantu.
7. Jika terdengar sahutan, jangan dijawab, dikhuatiri suara hantu.
8. Jangan mengambil batu atau benda ganjil di hutan, takut berpenunggu.
9. Dilarang menegur sesuatu yang aneh atau ganjil dihutan, nanti dirasuk atau dapat malang.