Cara Menyimpan Perahan Susu Ibu

1. Simpan perahan susu ibu dalam bekas yang bersih dan bertutup.
2. Tuliskan tarikh dan masa perahan di setiap bekas simpanan susu.
3. Simpanan susu ibu:-
– Di dalam peti sejuk beku tahan selama 3 bulan.
– Di bahagian rak pertama bawah ‘freezer’ tahan selama 72 jam.
– Suhu bilik tahan selama 8 jam.
4. Susu ibu tidak boleh dimasak. Panaskan dengan merendam bekas susu ke dalam air suam.
5. Baki susu perahan yang telah dipanaskan tidak boleh disimpan semula.

Petua Mencegah Bayi Sakit Kuning

Sakit Kuning atau juga dikenali sebagai jaundis merupakan penyakit yang biasa menyerang minggu pertama kanak-kanak dilahirkan. Ia kerap berlaku kepada bayi yang lahir tidak cukup bulan. Sebenarnya hampir semua bayi baru lahir mengalami jaundis tetapi tidak kelihatan dengan jelas. Pada sesetengah bayi, ia berlaku sekejap, tidak merbahaya dan akan hilang sendiri atau hilang dengan rawatan yang ringkas sahaja. Tetapi dalam kes-kes tertentu, ia boleh menjadi serius dan perlu diberi perhatian. Jaundis boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti bahagian mata putih dan kulit berwarna kekuningan. Kesan ini akan dapat dilihat dengan jelas apabila ditekan. Ia bermula dari bahagian kepala dan semakin menurun ke bahagaian bawah badan. Semakin besar kawasan kuning, semakin berisiko tinggi kanak-kanak tersebut.

Kebanyakan kes jaundis tidak merbahaya. Namun jika tahapnya adalah tinggi dan dibiarkan tanpa rawatan ia akan menyebabkan kerosakan kekal ke atas sistem saraf. Ia boleh menyebabkan pekak dan pertumbuhan yang lembab dan membentuk cerebral palsy. Jika bayi anda mendapat jaundis dalam masa 24 jam selepas lahir, ini dianggap serius dan perlu pemerhatian rapi dan rawatan. Ia boleh disebabkan oleh masalah yang serius pada hati, usus kecil dan kelainan intestinal, infeksi atau kelahiran yang trauma atau kelahiran pra matang sebelum 28 minggu. Bayi yang menghidap jaundis perlu mendapat susu yang cukup untuk mengelak menjadi kekeringan.

Petua Untuk Mencegah
1. Minum air yang sudah dimasak sampai mendidih
2. Makan makanan yang baru dimasak
3. Makan buah-buahan yang baru dikupas
4. Lindungi makanan dari lalat atau tikus
5. Cuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas keluar tandas atau sebelum menyiapkan hidangan
6. Hindari tempat makanan yang kurang bersih

Koleksi Petua Untuk Mengempiskan Perut Selepas Bersalin

Petua 1:

Ambil sebiji limau nipis diperah airnya atau sedikit air asm jawa pekat. Kemudian campur sedikit kapur sirih. Jika dikhuatiri gatal titiskan bersama beberapa titisan minyak mestika, kayu putih, atau minyak berangin lain. Memang diakui gatalnya, tetapi amat mujarab dan amat memuaskan hasilnya. Sapukan pada perut, biarkan ia kering sebentar sebelum memakai bengkung sepanjang waktu
berpantang ataupun ketika waktu malam sahaja. Boleh juga dibalut dengan daun sireh sebelum memakai bengkung bagi mengatasi masalah stretchmarks.

Petua 2:

Ambil sedikit cuka , garam dan kunyit dan kisar. Tampal pada perut dan bengkung perut ketika dalam pantang.

Petua 3:

Ambil sedikit beras dan kisar halus. Juga sedikit cekur, gula merah, air asam jawa dan sedikit air suam diadun kesemuanya, kemudian tapis dan minum. Amalkan seminggu 4 kali.

Petua 4:

Ambil hHalia lebih kurang 3 sentimeter, limau nipis besar sebiji, sedikit air suam, secubit garam dan lada hitam lebih kurang 15 biji. Kisar dan tumbuk. Adun dan tapis. Minum airnya. Lakukan sehingga mendapat hasil yang dikehendaki.

Petua 5:

Ambil lengkuas Padi/Helang/ Ranting – iaitu ubi, daun dan batang ditumbuk halus dan tampal pada perut bertujuan membuang angin. Sekaligus untuk mengecutkan perut. Selain itu baik juga untuk disapu pada badan bagi mengubati lenguh-lenguh badan ataupun sakit sendi.

Petua 6:

Ambil asam jawa, jadam dan air mendidih dan adun. Tampal pada perut dan bengkungkan, sepanjang tempoh berpantang.

Petua 7:

Ambil beberapa potongan halia dan tumbuk halus dan gaulkan dengan perahan asam jawa yang pekat. Seterusnya makan dengan nasi. Hasilnya, perut menjadi kempis malah pengaliran darah dalam badan juga akan lebih teratur. Wajah anda akan tampak lebih sihat dan berseri.

Petua 8:

Daun jambu serta kapur sirih digiling dan disapu pada perut setiap hari sehingga mencapai hasil yang memuaskan.

Petua 9:
Ambil lada hitam lebih kurang 2 1/2 genggam. Kemudian tumbuk halus, dicampur dengan sebiji ragi tapai. Gaulkan bersama cuka bercampur air asam jawa. Setelah ramuan digaul sebati, sapu pada perut serta keliling pinggang. Kemudian dibengkung kuat atau ketat.

eMedik: Kembung Perut

Perut kembung atau kembung perut ialah reaksi angin perut. Apabila anda makan,minum dan menelan bersama air liur,kadangkala badan bertindak mengeluarkan angin berlebihan. Kembung perut tidak semestinya akan mengeluarkan bunyi. Bunyi ini dikenali juga dengan sendawa. Bunyi sendawa ada kalanya merimaskan dan memalukan. Semua peringkat umur mengalami masalah perut kembung. Secara purata kebanyakan manusia melepaskan gas 15 kali hingga 40 kali setiap hari.

Penyebabnya

Anda akan mengalami perut kembung mungkin disebabkan keadaan berikut:

  • Bila tertekan atau stress biasanya anda akan menelan lebih banyak angin.
  • Tabiat mengunyah gula-gula getah atau mengulum gula-gula yang keras.
  • Merokok
  • Makan atau minum terlalu cepat. Apabila makan terlalu cepat, anda menelan lebih banyak udara dan menyebabkan masalah sedia ada bertambah buruk.
  • Minuman berkarbonat mengandungi karbon dioksida. Gas ini akan menghasilkan lebih banyak gas di dalam perut. Minuman ini boleh menyebabkan keradangan perut atau penyakit gastritis.
  • Bakteria Helicobacter pylori berkait rapat dengan gastritis kronik. Apabila bakteria ini masuk ke dalam perut, ia menyebabkan masalah perut yang berpanjangan.
  • Lemak mengambil masa untuk hadam. Ini menyebabkan gas terkumpul dalam perut.
  • Pemasangan gigi palsu yang tidak sempurna dan sesuai.Ini menyebabkan anda akan menelan lebih banyak udara.
  • Penghadaman  makanan tidak sempurna. Karbohidrat, seperti kanji,serat dan tidak dapat diserap di dalam usus perut akibat kekurangan atau ketiadaan enzim tertentu. Baki makanan tidak diserap akan berpindah dari usus kecil ke usus besar. Bakteria usus besar akan memecahkannya dan menghasilkan gas hidrogen,karbon dioksida dan metana. Gas ini keluar melalui dubur atau dipanggil kentut.

Walaupun perut kembung tidak berbahaya, ia menandakan ketidaksempurnaan penghadaman sistem pencernaan makanan anda.

Angin adalah kesan lebihan gas di dalam usus. Sekiranya angin ini diikuti dengan gejala lain seperti;

  1. Sakit perut berpanjangan
  2. Najis berdarah.
  3. Najis berwarna pucat dari kebiasaan
  4. Sembelit
  5. Kehilangan berat badan mendadak

Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor untuk menjalani ujian saringan penyakit usus jika mempunyai gejala-gejala penyakit seperti di atas.

Penyebab Perut Kembung

  • Ketidakhadaman
  • Penyakit seliak (Coeliac Disease)
  • Gastroenteritis
  • Irritable bowel syndrome (IBS)
  • Diverticulosis atau diverticulitis
  • Ulser perut

Tanda-Tanda Berhubung-kait dengan Perut Kembung

Sendawa – Bunyi yang disebabkan oleh gas yag dilepaskan melalui mulut secara tiba tiba. Keadaan ini berlaku apabila perut dipenuhi dengan angin perut berlebihan yang biasanya daripada pemakanan, minuman atau merokok.

Perut Meragam – Apabila perut bertindak balas dengan cepat , ini menyebabkan isi perut bergerak ke depan dan belakang. Kebiasaannya berlaku apabila anda lapar murung atau berdebar debar.

Rawatan Kembung Perut

Kaedah rawatan kembung perut boleh dilakukan seperti berikut:

Rawatan Pemakanan – Kembung perut biasanya dirawat dengan rawatan pemakanan. Pengubahsuaian cara hidup dan juga ubatan tanpa preskripsi doktor juga adakala boleh membantu. Penyelesaian tidak sama untuk setiap orang, namun dengan cubaan demi cubaan kebanyakan pesakit akan menemui cara penyembuhan yang sesuai.

Rawatan Kembung Perut dengan Ubat

Sesetengah ubat tanpa preskripsi doktor boleh membantu, anda boleh mencuba:

Suplemen Laktosa – Jika anda mengalami masalah penghadaman laktosa, enzim laktosa boleh diambil untuk membantu mencernakan laktosa . Anda juga boleh mencuba produk tenusu tanpa laktosa yang terdapat di kebanyakan kedai dan farmasi.

Simethicone – Semithicone membantu memecahkan gelembung gas dan sendawa yang berterusan. Semithicone mudah didapati di klinik,kedai ubat dan farmasi.

Activated Charcoal – Pil activated charcoal bertindah seperti semithicone. Anda boleh mengambilnya sebelum dan selepas makan dan boleh didapati di farmasi,klinik dan kedai ubat.

Masalah Perut Kembung

  • Terlalu merendah diri
  • Malu untuk bersosial

Cara Mengatasi

1.  Anda terpaksa mengubah amalan pemakanan. Pengubahan  pemakanan membantu mengurangkan jumlah gas terhasil atau mengeluarkan angin perut dengan lebih cepat melalui sistem anda.

2. Cuba kenal pasti  makanan-makanan yang mungkin menyebabkan kembung perut seperti kacang, bawang, brokoli, bunga kubis, asparagus, buah pir, epal, buah pic, prun, gula-gula tanpa gula, dan gula-gula getah, roti gandum, bijirin bran, bir, soda dan minuman berkarbonat, susu, krim, aiskrim, dan susu ais.

3. Perut kembung terhasil daripada makanan berlemak. Lemak melambatkan proses pencernaan dan meningkatkan rasa perut yang penuh dan senak. Kurangkan makanan goreng dan berlemak.

4. Jika anda ingin mengambil suplemen serat, mulakan dengan beransur-ansur. Pastikan jumlah di ambil sekurang-kurangnya 250 ml. Kurangkan  pengambilan makanan tinggi serat seperti sayuran dan buah buat sementara waktu .

5. Kurangkan penggunaan produk tenusu harian anda. Gunakan produk tenusu laktosa rendah seperti yogurt.

6.v Teh pudina  mengandungi menthol. Menthol di minyak pudina mempunyai sifat-sifat antispasmodic. Secawan teh pudina panas mengatasi perut kembung dan kesakitan berpunca dari angin perut. Elakkan teh pudina jika anda mengalami pedih Ulu hati.

Pengubahsuaian Cara Hidup

1.      Amalkan makan dengan jumlah makanan yang sedikit tetapi kerap. Elakkan makan pada jumlah yang besar.

2.      Amalkan makan dan kunyah dengan perlahan-lahan. Elakkan dari terus menelan.

3.      Elakkan gula-gula getah, gula-gula keras dan meminum menggunakan straw. Makan ketika bimbang, cemas atau kecewa akan mengakibatkan perut kembung. Makan ketika ini akan menyebabkan ketidakhadaman dalam perut.  Makanlah dalam keadaan tenang dan perlahan lahan.

Petua Untuk Hilangkan Kuning Bayi Baru Lahir

1. Jemur bayi di sebelah pagi. Jangan jemur dalam keadaan terlalu panas. Seeloknya dalam pukul 8 pagi, sebab belum panas terik lagi. Jika cuaca luar telalu panas nanti bayi anda kekurangan air pula. Tutup mata bayi supaya tidak terkena silau.

2. Beri bayi anda lebih air masak supaya kekotoran yang ada dalam tubuh bayi dapat disingkirkan dengan lebih cepat.

3. Susukan bayi anda dengan lebih kerap kerana bayi anda akan lebih kerap buang air atau buang air besar, yang akan sama-sama keluar dengan kekotoran yang ada dalam tubuhnya.

4. Jika anda mengambil herba atau jamu, hentikan buat seketika sehingga bayi anda sembuh.

5. Rebus daun bunga raya, daun sirih dengan air kelapa. Selepas dimandikan, bilas dan bersihkan.  Mandikan bayi dalam berapa hari.

6.Rebus kacang bendi dengan secawan air. Ambil air lendir kacang bendi yang di rebus dan beri minum pada bayi anda sekali sehari.

Doa Semasa Ibu Mengandung

Amalan Surah Al-Quran

  • Surah Yusuf – untuk anak yang cantik rupa dan akhlak
  • Surah Luqman – untuk anak yang cerdik
  • Surah Yaasin – untuk anak yang teguh hati dan tidak terpengaruh dengan maksiat
  • Surah Maryam – untuk memudahkan bersalin
  • Surah al-Hujurat – untuk membanyakkan susu ibu

Doa Semasa Hamil – Ya Allah, peliharalah anakku ini selama ia berada di dalam perutku, dan sihatkanlah dia, Engkau yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhanMu, Penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit. Ya Allah, rupakanlah atau bentukkanlah dia yang ada diperutku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah di dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada RasulMu. Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku dengan mudah dan selamat. Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal. Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya, baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.

Penyusuan Susu Ibu Yang Berkesan

Apabila ibu-ibu menyusukan bayi, perhatikan tanda-tanda penyusuan ibu yang berkesan seperti berikut:

  1. Tanda Penghisapan yang Berkesan
    1. Hisapan perlahan dan dalam
    2. Nada hisapan: hisap-telan-hisap-telan
    3. Dengar bunyi bayi menelan
    4. Hisapan cepat dan cetek
  2. Kekerapan Penyusuan
    1. Susukan bayi dengan kerap mengikut kemahuannya
    2. Sentiasa bersama bayi supaya boleh menyusukannya dengan kerap
    3. Minggu pertama – susukan bayi lebih kerap
    4. Bayi yang tidur lama (lebih daripada 2-3 jam) perlu digerakkan untuk disusukan
    5. Menyusu kerap pada waktu malam
    6. Purata penyusuan 8-12 kali dalam 24 jam
  3. Tanda Bayi Mendapat Cukup Susu
    1. Bayi berhenti sendiri apabila kenyang
    2. Penyusuan kerap 8-12 kali dalam 24 jam
    3. Kencing lebih 6 kali dalam 24 jam
    4. Kekerapan membuang air besar yang normal (4-8 kali dalam 24 jam)
    5. Bayi kelihatan puas, ceria dan kulit bayi sihat
    6. Payudara ibu penuh sebelum menyusu dan ‘ringan’ selepas menyusu
  4. Memberhentikan Penyusuan
    1. Biar bayi melepaskan puting payudara dengan spontan
    2. Payudara kedua diberi selepas bayi selesai menghisap payudara pertama
    3. Berikan kedua-dua payudara secara bergilir selagi bayi hendak terus menyusu
    4. Jangan alihkan bayi dari payudara selagi dia sedang menyusu kecuali untuk membetulkan pelekapan
    5. Untuk memberhentikan pelekapan bayi, masukkan jari kelingking ke tepi mulut bayi untuk mengeluarkan puting payudara dari mulutnya

Pantang Larang Melayu: Semasa Wanita Hamil

Dalam masyarakat Melayu terdapat beberapa pantang larang yang masih lagi menjadi ikutan. Wanita-wanita hamil dilarang dari melakukan perkara-perkara berikut:

  • Dilarang mencaci atau mengumpat, membuat fitnah, iri hati juga bergaduh terutamanya dengan ibu mertua. Perbuatan tersebut dipercayai akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir. Ibu mengandung juga akan mengalami kesulitan semasa melahirkan anak. Yang sebenarnya, tujuannya larangan di sini adalah untuk melahirkan rasa hormat kepada orang tua da selalunya ibu mertua turut menjaga dan membantu sewaktu dalam pantang.
  • Dilarang memaku, memahat dan menggali lubang. Tidak boleh memukul atau mencederakan binatang kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak yang bakal lahir cacat anggota badan.
  • Dilarang keluar rumah pada waktu petang atau senja kerana dikhuatiri hantu akan menggusiknya.
  • Hendaklah menjauhi pergaulan dengan orang yang tidak jujur atau rendah maruahnya, kerana dipercayai ini akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir.
  • Dilarang melihat gerhana bulan ataupun matahari kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir akan cacat atau berkulit gelap.
  • Dilarang duduk di anak tangga kerana dipercayai perbuatan ini akan mendatangkan kecelakaan kepada ibu sewaktu hendak melahirkan anak.
  • Ibu juga dilarang memikul batu kerana dikhuatiri anak dalam kandungan menjadi lumpuh. Tidak boleh menanam pokok pisang kerana dikatakan perbuatan ini boleh menyebabkan anak berkepala besar yang luar biasa.
  • Ditegah menyusun tempurung kerana dikhuatiri anak yang dilahirkan akan botak kepalanya.
  • Ibu mengandung juga tidak boleh membiarkan anak-anak melangkah perut kerana dikhuatiri anak akan lahir cacat atau dilahirkan tidak cukup bulan. Dilarang tidur pada waktu tengah hari kerana dikhuatiri kepala anak yang bakal lahir akan menjadi besar.

Selain pantang larang yang dinyatakan, terdapat beberapa pantang larang lagi yang bersangkut dengan suami kepada ibu mengandung:

  • Suami kepada ibu mengandung pula dilarang meniup seruling atau alat bunyi bunyian kerana dikhuatiri anak yang akan dilahirkan sentiasa menangis.
  • Suami juga dilarang menyembelih ataupun pergi memburu binatang kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir cacat anggota badannya.
  • Suami juga dilarang memukul, membunuh binatang seperti ular dan sebagainya kerana dipercayai anak yang lahir akan cacat atau kenan binatang tersebut.

Sejauh mana benar pantang larang ini. Namun apa yang penting di sini ialah sebagai bakal ibu dan ayah, manusia perlu senantiasa menjaga sikap dan tingkah laku, apatah lagi ketika hamil.

eMedik: Petua Atasi Anak Kencing Malam

Mengikut kajian, anak perempuan tidak kencing malam sebelum berumur 6 tahun manakala bagi anak lelaki pula sebelum berumur 7 tahun. Walau bagaimana pun jika anak anda kencing malam selalu, amalkan petua dan panduan berikut:

1.Sebelum anak masuk tidur, pesan padanya agar bangun untuk ke tandas bila dia terasa nak buang air. Kalau dia takut bangun untuk pergi ke tandas sendiri, suruh anak kejutkan anda atau pasangan anda.

2.Galakkan anak untuk buang air sebelum tidur. Seeloknya pimpin anak anda ke tandas dan suruh anak buang air sebelum masuk ke bilik tidur.

3.Beri pujian padanya apabila dia bangun untuk ke tandas di waktu malam atau apabila dia tidak kencing di tilam

4.Kejutkan anak sekali semalam untuk buang air. Tetapi kalau anak anda tidak mahu bangun juga, ada baiknya anda angkat dia dan bawa ke bilik air sebelum tilamnya dibasahkan.

5.Elakkan dari memberi sindiran negatif seperti marah dan ejekan kerana ini akan mengganggu keyakinan diri si anak. Sebaiknya terangkan padanya kenapa terkencing di atas tilam itu tidak bagus. Contohnya : tilam basah dan susah untuk dibersihkan seterusnya akan memudahkan kuman membiak dan membawa penyakit kepada anda sekeluarga.

6.Elakkan dari menggunakan tilam yang tebal dan sukar untuk dicuci. Sebaliknya gantikan dengan tilam yang nipis atau comforter yang boleh dicuci setiap kali anak anda terkencing di atasnya. Jika rasa terlalu nipis, lapiklah 2 ke 3 helai comforter.

7. Beri anak anda minum 5 hingga 7 gelas air pada siang hari, tetapi elakkan memberi air teh atau kopi sebelum masuk tidur.

8. Bawa anak anda berjumpa doktor sekiranya air kencingnya berbau atau ia menghadapi kesukaran untuk membuang air kecil.

Petua Hentikan Anak Hisap Puting

1. Biarkan anak berhenti menghisap puting sendiri.
2. Berikan contoh adik beradik yang lebih tua yang tidak menghisap puting. Atau sekiranya anak dijaga oleh pengasuh, tunjukkan padanya kanak-kanak lain yang tidak lagi menggunakan puting.
3. Berikan dia banyak aktiviti lain supaya dia tidak lagi memikirkan tentang puting. Contohnya, berikan dia banyak barang permainan baru.
4. Berikan peraturan kepada anak, dengan menetapkan puting cuma boleh digunakan ketika hendak tidur sahaja.
5. Berikan ganjaran sekiranya anak berjaya berhenti menghisap putting.