Petua Untuk Muda dan Menawan

1. Sentiasa mengawal emosi dengan tidak cepat meradang serta sentiasa senyum dan bermuka manis. Ini dapat mengelak kedutan pada wajah.

2. Kisar beberapa jambul nanas dan rebus dengan air selama 1/2  jam. Anggarkan air rebusan tinggal satu cawan. Setelah sejuk barulah diminum. Amalkan seminggu sekali. Wanita hamil dilarang mengamalkan cara ini.

3. Amalkan makan sayuran jenis daun dan ulam-ulam untuk awet muda.

Petua Untuk Memicit Jerawat

Langkah Pertama:

Cuci tangan anda dahulu. Ini sangat penting dan pastikan anda cuci tangan dengan sabun, bersihkan bawah kuku. Ia untuk mengelakkan jangkitan dan mempercepatkan proses penyembuhan jerawat.

Langkah Kedua:

Cuci muka anda dengan pencuci muka yang ada bahan antibakteria. Jika wajah anda masih ada make-up, gunakan “make-up removal” dahulu. Kulit muka memang sentiasa ada bakteria (peluh dan make-up). Jika anda tidak bersihkan muka anda dahulu dan terus memicit jerawat, bakteria dari luar akan masuk ke dalam kulit.

Langkah Ketiga:

Scrub di bahagian jerawat, urut lembut selama beberapa minit. Ini untuk membuang sel kulit mati dan memudahkan proses memicit jerawat.

Langkah Keempat:

Gunakan sarung tangan, sekurang-kurangnya lapik jari dengan tisu sebelum anda memicit jerawat. Ini untuk mengelakkan kecederaan yang boleh tinggalkan parut.

Langkah Kelima:

Cari ‘mata’ jerawat, picit di bahagian tepi jerawat untuk keluarkan isinya. Urut sedikit untuk memastikan isinya keluar. Jangan sentuh jerawat kecuali waktu anda ingin lapkan isi jerawat yang terkeluar. Jangan terlampau memicit. Dikhuatiri akan meninggalkan parut.

Langkah Keenam:

Dapkan toner ke bahagian jerawat, atau anda boleh juga gunakan Purifying Lotion untuk mengecutkan jerawat. Anda juga boleh steam muka dahulu sebelum memicit jerawat bagi membuka liang pori. Dengan cara ini akan memudahkan anda memicit jerawat.

Petua Islam Untuk Menjadi Wanita Cantik

1. Kecantikan sejati datangnya dari hati yang bersih. Hati yang bersih datangnya dari iman yang luhur, dan yang tidak mudah dikotori dengan zarah-zarah kotor yang datangnya daripada sumber yang kotor. Hati yang bersih adalah hati yang datangnya dari insan yang mempercayai qada’ dan qadar.

2. Dia tidak akan menyampai-yampaikan perkara yang buruk, tidak menyebarkan fitnah, tidak suka melaga-lagakan sesama manusia, meninggalkan debat walaupun ia benar, nampak kesalahan diri, mudah meminta maaf, suka melakukan kebaikan, suka bersedekah, sentiasa berusaha dan bersangka baik dengan sesama manusia.

3. Dia mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa segala apa jua yang berlaku ada hikmah yang besar berselindung di sebaliknya.

4. Sesiapa jua yang berjaya menghadapi setiap dugaan dengan tabah, ikhlas dan redha, dialah yang paling cantik dan indah di pandangan manusia, dan semestinya ALLAH s.w.t.

Petua Islam Untuk Tenangkan Hati

1. Tarik nafas, tenangkan hati.

2. Ambil Wudhu’.

3. Banyakkan Istighfar dan berdoa.

4. Dengan penuh khusyuk baca Al Quran.

5. Elakkan dari berfikir perkara-perkara lain.

6. Hilangkan segala resah.

7. Pautkan hati pada kesabaran kerana dengan kesabaran jiwa akan kurang tertekan

8. Qiamulaill. Kerana waktu itu hanya kita berbicara dengan Allah s.w.t.  dalam suasana hening dan damai. Rasulullah s.a.w. merupakan qudwatun hasanah dalam cara-cara menghilangkan stres. Baginda senantiasa melaksanakan Qiamulail.

9. Siap siaga untuk berubah. Jangan jadikan stres itu penghalang untuk kita dekatkan diri kita padaNya.

Petua Menggalakkan Suami Bantu Kerja Rumah

Pastikan Suami Tidak Terlalu Penat – Suami adalah ketua keluarga. Dia punya tanggungjawap yang besar untuk menyara keluarga, terutama sekali jika isteri tidak bekerja. Dari awal pagi hingga petang bahkan sampai lewat malam suami mungkin menghabiskan harinya dengan bekerja. Jadi jika anda ingin meminta bantuannya melakukan kerja rumah, anda harus pastikan dia tidak dalam keadaan terlalu penat. Janganlah meminta suami menyidai kain, sebaik saja dia baru pulang dari kerja. Kalau itu yang anda lakukan, bererti anda seorang isteri yang tidak peka dan kurang menghargai peranan suami sebagai pencari nafkah.

Berikan Alasan Logik – Lelaki adalah manusia yang mementingkan akal fikiran yang logik. Oleh itu, ketepikan emosi anda seperti marah, merajuk, menarik muka, sedih dan sebagainya ketika meminta bantuan daripada suami. Beritahu suami alasan-alasan logik kenapa anda perlu bantuannya dalam menyelesaikan kerja-kerja rumahtangga. Contoh alasan logik yang boleh dikemukakan adalan anda terlampau penat, kerja terlalu berat untuk wanita atau ada beberapa tugas di rumah yang menurut anda lebih elok hasilnya jika dilakukan oleh suami.

Tawarkan Suami Melakukan Tugas ‘berat’ – Tugas itu meliputi mencuci kereta, membersihkan bilik air, memotong rumput, membersihkan longkang/saluran air, membaiki barang rosak (seperti sinki dan lain-lain) dan pekerjaan lain yang memerlukan tenaga lebih. Biasanya lelaki cukup suka wanita menghargai tenaganya. Ia akan membuatkan mereka berasa ‘macho’. Selain itu, tugas yang memerlukan kepakaran lelaki juga dapat dialihkan kepada mereka, seperti membersihkan peti ais, menyapu sawang, mencuci bilah kipas angin, menukar mentol, dan sebagainya. Terangkan bahawa kalau anda yang membuatnya, anda mungkin tersalah langkah kerana lelaki umumnya lebih faham tentang elektrik dan barang elektronik.

Sentuh Perasaannya – Suami anda pasti menyintai anda dan ingin anda bahagia. Cubalah ‘merayu’ suami dengan menyentuh perasaannya. Tetapi caranya bukan dengan menyatakan, “Kalau abang sayangkan saya, abang mesti tolong saya buat kerja di dapur” atau menyindir, “Abang sebelum saya bising, baik abang tolong saya”. Seharusnya anda perlu mempastikan suami faham kenapa anda memerlukan bantuan daripadanya. Misalnya, setelah seharian anda membersihkan seluruh rumah dan memasak di hujung minggu, katakan bahawa anda penat  sedikit untuk membereskan meja makan dan pinggan mangkuk setelah makan malam. Kalau caranya tepat dan menyentuh hatinya yang peka, anda akan dapat membuatkan suami terus sahaja menawarkan diri membantu anda kerana dia menyintai anda.

 

 

 

Petua Melayan Suami

Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian.Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga. Berikut cara-cara berhadapan dengan suami:

1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.

2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri,jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.

3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.

4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam). Pilihlah hari-hari yang terbaik iaitu hari Isnin, Khamis dan Jumaat.

5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.

6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.

7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya,
sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.

8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.

9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar keatas setiap isteri kecualilah jika suami kita meredhainya.

10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa.Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.

11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya.Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.

12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau bolehsediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.

13. Isteri perlu sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya.

 

Kunyit Muda Untuk Menaikkan Seri Wajah

Kunyit muda boleh menaikkan seri wajah anda. Dapatkan kunyit muda yang segar, bersih dan potongkan nipis. Jadikan ia ulam sewaktu anda makan nasi. Sekiranya tidak biasa dengan baunya yang mentah, anda boleh mengambil ulam lain sebagai sampingan. Jika anda rajin mengamalkannya, wajah anda pasti akan berseri dan menawan.

Khasiat Daun Jambu Batu

Untuk menghaluskan kulit muka, ramas dan lumurkan daun jambu batu. Campurkan daun tersebut dengan bedak sejuk dan tempelkan pada muka anda. Ia pasti akan mencantik dan menghaluskan wajah.

Khasiat Buah Manggis

Buah manggis amat berkhasiat terutama di bahagian kulit dalam manggis dan biji buah manggis. Secara tradisi kulit manggis dilumat dan digunakan untuk  menghaluskan kulit dan mencegah penyakit kulit.

 

Petua Untuk Tegangkan Kulit Muka

Pilihan 1 – Tumbuk beberapa helai daun jambu batu hingga lumat. Bancuh dengan air suam. Apabila sejuk, sapu pada muka. Lakukan setiap malam.

Pilihan 2 – Campurkan sedikit bedak sejuk dan beberapa titik air limau nipis. Bancuhkan bersama sedikit air kemudian sapukan ke muka. Kulit akan terasa pedih sedikit. Amalkan dalam masa seminggu untuk melihat perubahannya.

Pilihan 3: Sebiji timun disagat atau dihancurkan terlebih dahulu. Kemudian dicampurkan dengan tepung ubi kayu serta sedikit air dan digaul sehingga sebati. Bancuhan akan kelihatan seperti masker. Sapukan pada wajah dan biar seketika sehingga kering. Setelah itu wajah dibilas dengan air bersih. Amalkan seminggu sekali.

Pilihan 4: Campurkan kulit kayu manis dengan seketul kunyit hidup serta sedikit beras pulut. Kemudian bahan-bahan ini ditumbuk sehingga lumat. Selepas itu, sapukan atau gosokkan pada leher serta muka dan dibiarkan seketika sebelum dicuci. Ini akan menghilangkan sel-sel mati dan daki pada leher. Amalkan seminggu 2 kali.