Petua Untuk Badan Ringan dan Bertenaga

Minum air rebusan serai dan halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Jika anda meminum air rebusan ini pagi dan malam, badan akan menjadi ringan dan bertenaga. Selain itu untuk meningkat tenaga wanita, amalkan pengambilan 4 biji telur mentah sehari.

Petua Untuk Kurang Selera Makan

Bahan-Bahan:

3 sm bahagian ubi lempuyung, 3 sm bahagian ubi cekur, dan 3 sm bahagian ubi temu kuning.

1. Tumbukkkan keseluruhan ramuan hingga lumat dan perahkan airnya ke dalam satu bekas.

2. Minum air hasil tumbukkan tersebut  setiap pagi.

 

Petua Untuk Kurus dan Langsing

Jika anda mengalami berat badan yang  berlebihan, air limau nipis yang anda minum boleh menurunkan  berat badan anda. Sediakan 2 biji limau nipis atau limau kasturi setiap hari. Perah airnya ke dalam gelas yang berisi dengan air sejuk, masukkan ke dalam  peti sejuk. Setelah itu bolehlah dijadikan air minuman setiap kali selepas  anda makan tengahari dan makan malam. Cara ini boleh diikuti dengan senaman  ringan. Amalkanlah meminumnya selama sebulan, berat badan anda akan beransur  turun.

Petua Untuk Kurus Badan Dengan Segera

Selepas bangun pagi, sebelum memberus gigi dan berkumur, minum air suam dan air kosong sebanyak 1.5 liter dalam tempoh 30 minit. Sistem perkumuhan dalam badan anda akan bertindak mengeluarkan segala toksid yang tersimpan di dalam badan secepat mungkin. Cuba lakukannya. Anda pasti teruja untuk mengurangkan berat badan secepat mungkin.

Koleksi Petua Untuk Menghilangkan Parut Badan

Petua 1: Ambil daun lidah buaya, buang duri di kiri dan kanan daun. Kemudian buang sedikit kulit daun tersebut untuk mendapatkan lendirnya. Sapu lendir daun lidah buaya tersebut pada parut di muka atau badan. Parut akan cepat sembuh terutama sekali parut yang masih baru.

Petua 2: Ambil biji asam jawa. Goreng tanpa minyak lebih kurang 5 minit. Kemudian ambil dan goreskan pada batu atau permukaan yang kasar. Bila keluar serbuknya, titiskan air dan gosok pada parut. Jika di amalkan selalu, ia akan dapat menghilangkan parut tersebut.

Petua 3: Tumbuk kulit kayu manis sehingga lumat. Campurkan serbuk ini dengan sedikit air. Bancuhkan bersama dengan bedak sejuk. Setelah sebati, sapu rata di bahagian berparut. Lakukan sekerap yang mungkin. Lama-kelamaan, parut akan beransur hilang. Petua ini juga sesuai untuk menghilangkan bintik-bintik hitam dan jerawat di wajah.

Petua 4: Ambil sedikit asam jawa, kemudian ramas dengan mencampurkan sedikit air. Jangan terlalu cair. Selepas itu, sapukan pada tempat yang berparut. Biarkan sehingga kering. Seelok-eloknya lakukan pada waktu malam sebelum tidur. Ia amat berkesan untuk  menghilangkan parut.

Petua 5: Amalkan gosok setiap hari dengan kulit pisang lemak manis atau kulit pisang kapas.

Petua 6: Sapukan dengan sebarang ubat gigi setiap hari.

Petua 7: Ambil sedikit beras, kunyit hidup dan sedikit bawang putih. Kisar bahan-bahan ini sehingga halus. Kemudian, campurkan dengan sedikit air dan ratakan ke muka. Biarkan sehingga kering dan kemudian gosokkan perlahan-lahan sama seperti memakai skrub. Setelah itu bilaskan dengan air suam. Lakukan setiap hari dan anda akan mendapat hasil yang memuaskan.

Petua 8: Ambil daun pegaga bersama akarnya dan cuci hingga bersih. Giling hingga lumat dan satukan bersama sedikit bedak sejuk dan air. Lumurkan pada bahagian kulit yang berparut sebelum masuk tidur. Amalkan selalu.

Petua 9: Ambil tepung ubi dan kunyit hidup campurkan dan letak pada parut di muka atau badan anda,

Petua 10: Asah kulit kayu manis dan campurkan dengan madu lebah. Tempelkan pada muka yang berparut setiap malam. Keesokan hari, cucilah menggunakan air suam.

Petua 11: Kisar timun dan tapiskan airnya. Tampalkan hampas timun pada muka. Biarkan setengah jam. Kemudian cuci bersih dengan air suam.

Petua 12: Rendam beberapa helai daun senduduk, sedikit cekur dan segenggam beras. Kemudian giling hingga lumat. Sapukan pada parut muka 2 kali seminggu.

Petua 13: Tumbuk sepuluh helai daun sirih muda. Tempelkan pada muka terutama pada bekas jerawat. Setelah kering, cuci muka dengan air bersih. Amalkan 3 kali seminggu.

Petua 14: Caranya ialah dengan mengukus ubi kentang yang dibuang kulitnya itu dan apabila sudah masak, lumatkan hingga halus. Tempelkan pada parut tersebut. Biarkan hingga kering. Lakukan selalu dan anda akan mendapati bekas parut itu akan hilang dengan sendirinya. Amalkan sehingga kesan parut hilang.

 

Petua Untuk Badan Kelihatan Berisi dan Mantap

1. Makan Makanan Berkalori Tinggi. Ini langkah mustahak dalam penambahan berat badan. Lebihkan memakan makanan berkalori sebanyak 500 – 1000 kcal dalam sajian anda setiap hari. Dengan cara ini, anda boleh menambahkan berat badan anda sebanyak 0.5 kilogram hingga 1 kilogram dalam tempoh seminggu.

2. Makan Makanan Berkarbohidrat Tinggi.  Ini perlu dan biasa dilakukan untuk menambahkan berat badan. Kalori yang berlebihan daripada makanan yang berkabohidrat tinggi seperti nasi lemak adalah seperti minyak enjin kepada badan anda.

3. Makan Mengikut Jadual. Makan dengan sukatan yang besar sekurang-kurangnya 3 kali sehari bersertakan snek yang berkalori tinggi seperti karipap di antara waktu makan, terutamanya pada awal percubaan untuk menambahkan berat. Bagaimanapun, snek yang dimakan itu tidak seharusnya menggantikan makanan-makanan yang berkhasiat. Makan selalu dan jangan abaikan waktu makan anda.

4. Makan Lewat Malam. Dengan memakan snek pada waktu lewat malam dapat mengelakkan badan anda daripada membakar terlalu banyak kalori ketika anda tidur. Ini dapat mengekalkan berat badan anda.

5. Makan Daging Merah Lebih. Daging merah, seperti daging lembu, mengandungi zat besi yang tinggi dan merupakan sumber protein yang baik untuk pertumbuhan otot-otot. Namun begitu, adalah lebih baik jika anda pelbagaikan pemakanan untuk mendapatkan hasil yang maksimum.

6. Makan dan Berehat Secukupnya. Tidak ada gunanya anda memakan makanan yang berkalori tinggi sekiranya kalori itu membakar untuk membekalkan tenaga yang disebabkan kekurangan rehat yang secukupnya. Ini tidak bermakna anda harus tidur sepanjang hari. Waktu rehat atau tidur selama 6 – 8 jam setiap hari sudah cukup memadai.

7. Minum Jus Buah-Buahan dan Susu. Minuman adalah cara paling mudah untuk meningkatkan pengambilan kalori. Apabila anda berasa haus, cuba amalkan meminum jus buah-buahan selain daripada air biasa. Ataupun minum minuman yang bersusu seperti makanan segera untuk bersarapan.

 

8. Bersenam Untuk Membina Otot-Otot. Pilih rutin senaman yang bersesuaian dengan keadaan fizikal anda. Seeloknya anda amalkan senaman angkat berat (weight lifting) atau senaman ketahanan badan seperti tekan tubi (push-up) untuk membina otot-otot anda. Senaman-senaman seperti ini memberi stimulasi kepada otot-otot anda untuk membina dan tidak hanya berlemak. Minum minuman berprotein atau berkalori tinggi sejurus selepas bersenam untuk menggantikan kalori yang telah hilang. Ini untuk mengelakkan berat badan yang anda tambah itu berkurangan atau susut semula. Tetapi ingat, penambahan atau pembinaan tisu otot-otot anda  bergantung kepada susuk badan dan juga ciri-ciri genetik yang anda warisi.

9. Belajar Mengurangkan Ketegangan. Ini  agak sukar untuk dilakukan tetapi sekurang-kurangnya anda harus mencuba. Tekanan atau ketegangan adalah salah satu punca yang menyebabkan anda hilang selera makan. Namun begitu ada juga orang yang makan berlebihan ketika menghadapi situasi sebegini. Justeru,  pastikan anda berada dalam golongan mana supaya mudah untuk meneruskan niat anda menambahkan berat badan.

10. Pantau Berat Badan. Jangan terlalu asyik dengan penimbang berat anda. Berat badan anda berkemungkinan berubah setiap hari dan anda pastinya tidak akan nampak sebarang perubahan. Awasi berat badan anda itu sekali dalam seminggu.

Nota: Ramai juga orang yang berat badan mereka bertambah apabila meningkat usia. Ini mungkin kerana pada usia begitu, mereka kurang aktif, lebih sabar, boleh menangani tekanan serta mempunyai lebih masa untuk menikmati sajian. Anda perlu faham bahawa untuk mendapatkan berat badan yang berkualiti akan memakan masa dan juga kesabaran. Yang pasti, tiada formula ajaib untuk mempercepatkan hasilnya.