Firasat Melayu Lama: Tanda Alam dan Orang Melayu

Terdapat banyak kepercayaan orang Melayu yang berhubungan dengan tanda-tanda alam. Ramai yang masih mempercayainya dan tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai kepercayaan tahayul. Tanda-tanda alam itu boleh memberi gambaran negatif atau positif.

KUPU-KUPU

Seseorang yang sedang sakit tenat, tiba-tiba didekati atau dihinggapi kupu-kupu, dipercayai nyawanya akan berakhir tidak lama lagi. Jikalau kupu-kupu masuk ke dalam sesebuah rumah, itu menandakan ada orang jauh yang akan datang ke rumah.

ANJING MENYALAK

Jika anjing menyalak lama di tengah malam, orangt Melayu percaya adanya makhluk halus yang berkeliaran.

BURUNG HANTU

Jika kedengaran bunyi burung hantu atau gagak hitam di tengah malam, itu petanda musibah.

LANGIT CERAH DI WAKTU MALAM

Sekiranya langit cerah dan berwarna merah di waktu malam, itu menandakan seorang raja atau pemimpin besar sedang nazak atau sudah menemui ajalnya.

KATAK

Biasanya kita difahamkan, kalau katak berbunyi, itu petanda hari nak hujan. Namun ada juga yang mempercayai kalau katak berbunyi bersahut-sahutan, bermaksud akan berlaku ribut puting beliung.

KELKATU
Jika banyak kelkatu naik menghurungi cahaya lampu, itu menandakan akan berlaku banjir.

KUCING

Kucing adalah binatang yang rapat dengan orang Melayu selain ayam. Justeru banyak petanda yang ditunjukkan oleh kucing yang ditanggap orang Melayu mempunyai maksud tertentu.  Kata orang, kalau ada kucing membersihkan muka di hadapan pintu, itu menunjukkan akan didatangi tetamu yang cantik dan pembersih.

BURUNG SESAT

Sekiranya ada burung yang tersesat ke dalam rumah kita, itu menunjukkan tuan rumah akan mendapat rezeki dan ada tetamu yang akan datang.

KUMBANG atau BELALANG PELESIT
Jikalau kumbang atau belalang pelesit masuk ke dalam rumah, itu petanda ada benda mistik yang tidak elok bertandang.

CICAK
Cicak memang ada di mana-mana. Jika cicak berbunyi, itu menunjukkan cicak mengiyakan percakapan kita. Cicak dianggap berkata atas dasar kebenaran.

BINATANG MELINTAS

Sekiranya kita berjalan dan dilintasi binatang juga mempunyai beberapa petanda Kalau kucing yang melintas jalan kita, itu petanda kita akan berjumpa kawan di dalam perjalanan.

Kalau biawak yang melintas jalan kita, bersedia untuk menanggung beban.
Mungkin melalui kepercayaan inilah wujudnya peribahasa ‘biawak hidup’ yang menyamakannya dengan manusia yang tidak memberi hasil dan hanya membebankan orang lain.

Sekiranya kita didatangi binatang-binatang tertentu seperti kala jengking, katak, cengkerik, belalang, kupu-kupu, kumbang, dan sebagainya, sebaik-baiknya tidak diganggu atau dibunuh. Sewajarnya ditangkap dan dilepaskan di luar rumah kerana kehadiran binatang-binatang ini terjadi secara alamiah.

Kesimpulannya, walaupun kebenaran daripada tanda-tanda yang terjadi ini kadangkala banyak diragui, namun ada kalanya memang wujud hubungan antara kejadian-kejadian tersebut dengan hukum alam.

SUMBER: Noor Hasnah Adam

About Farit Ismeth Emir

Speak Your Mind

*

Click here to get the Free Goodies