Orang Melayu pada zaman dahulu merupakan peneroka hutan yang gigih. Hutan belantara yang begitu tebal bertukar menjadi kampung halaman dan ladang. Tradisi meneroka hutan untuk kegunaan manusia, tidak dapat dielakkan kerana ia mempunyai hubung kait yang rapat dengan kepentingan manusia. Selain darpada penerokaan hutan untuk dijadikan kampung halaman, masyarakat Melayu zaman dahulu juga begitu gigih meneroka hutan bagi mencari bahan-bahan hutan untuk dijual atau digunakan sendiri. Pada masa dahulu kepercayaan terhadap semangat hutan begitu tebal di kalangan orang Melayu. Mereka menganggap bahawa hutan mempunyai ‘semangat’ yang keras. Selain didiami oleh binatang-binatang buas, hutan juga didiami oleh berbagai jenis jembalang, pari-pari dan mambang.
Kumpulan syaitan ini dipercayai mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan boleh menyebabkan bencana kepada manusia. Lantaran kepercayaan tersebut, mereka beranggapan perlu mengadakan upacara khas bagi mereka yang akan pergi ke hutan untuk mencari rotan, damar, kayu, buluh, akar kayu dan sebagainya atau untuk membuka tanah baru. Adat ini menjadi semacam kemestian untuk dilaksanakan demi menjamin keselamatan seseorang semasa berada di dalam hutan. Jika adat ini diamalkan, dipercayai gangguan daripada kuasa-kuasa ghaib akan berkurangan atau tiada sama sekali.
Hubungan Manusia dengan Hutan
Hutan merupakan tumbuhan semula jadi yang begitu bernilai dari segi ekonominya. Hutan adalah harta atau khazanah bagi sesebuah negara. Keperluan manusia terhadap hutan juga begitu penting dari banyak aspek.
Manusia memerlukan kayu-kayan dan hutan untuk mendirikan rumah, membuat perabot dan sebagainya. Umumnya, tumbuh-tumbuhan di hutan sangat penting kepada manusia. Penerokaan hutan telah lama dilakukan dan sehingga kini masih berterusan dilakukan oleh manusia. Umumnya tujuan manusia ke hutan pada masa dahulu adalah sekadar untuk memenuhi keperluan asas sahaja. Usaha mencari damar yang dilakukan adalah bertujuan untuk mendapatkan cahaya dari damar tersebut. Selain itu bahan tersebut juga boleh dijual untuk kegunaan pembuatan sarung peluru. Semasa zaman penjajahan British dahulu, damar dibeli untuk dieksport ke luar negeri.
Selain mencari damar, masyarakat dahulu juga memasuki hutan untuk mencari rotan serta buluh. Rotan pada masa itu bukanlah untuk tujuan industri. Rotan digunakan untuk membina rumah. Buluh pula digunakan untuk membuat bubu atau lukah dan sebagainya. Mereka juga ke hutan untuk mencari petai, jering, umbut, keladi dan sebagainya. Kesemua bahan ini menjadi makanan kepada manusia.
Sumber Perubatan
Orang Melayu dahulu juga menganggap hutan sebagai punca untuk mendapatkan bahan-bahan perubatan. Akar-akar kayu dan lain-lain mudah diperolehi dari hutan rimba tempatan. Bahan yang diperoleh dari hutan ini amat penting kepada manusia untuk ramuan membuat ubat.
Pemburuan Binatang
Penerokaan manusia ke dalam hutan juga dilakukan bagi tujuan menjerat atau memburu binatang. Berbagai-bagai ikhtiar dilakukan oleh manusia untuk memperolehi sesuatu daripada hutan. Dengan kata lain, manusia memang tidak dapat mengelakkan dirinya daripada hutan. Di dalam meneroka hutan belantara ini, orang Melayu pada zaman itu perlu mempunyai berbagai petua yang patut dipatuhi demi menjaga kesejahteraan mereka ketika berada di dalam hutan.
Kepercayaan Orang Melayu Berhubung Hutan
Umumnya manusia menganggap hutan sebagai tempat tinggal berbagai-bagai jenis binatang liar, jin dan jembalang. Warisan pemikiran masyarakat Melayu dikuatkan dengan beberapa dakwaan yang kononnya jika tidak mengikut adat atau tertib ke hutan, seseorang yang meneroka hutan akan ditimpa kesulitan seperti sesat di dalam hutan atau diresapi kuasa ghaib dan sebagainya.
Selain daripada menjadi tempat tinggal kumpulan syaitan, hutan juga merupakan daerah tempat pemasungan hantu. Dalam masyarakat Melayu, pawang adalah orang yang disegani. Kawasan hutan yang belum diterokai juga dianggap keras dan mempunyai berbagai-bagai rahsia dan kerenah yang tersendiri. Oleh itu kawasan-kawasan ini jika hendak diterokai haruslah melalui adat-adat yang tertentu. Maka atas anggapan dan kepercayaan ini, masyarakat Melayu pada masa dahulu telah membuat beberapa peraturan yang dikenali sebagai ADAT ketika berada di hutan.
Hutan rimba merupakan daerah atau tempat tinggal berbagai jenis binatang yang berbahaya kepada manusia. Binatang-binatang seperti ayam hutan, kambing gurun,badak sumbu dan sebagainya dikatakan mempunyai badi. Sekiranya seseorang cuba menembak binatang tersebut, maka dipercayai badi binatang itu akan menghinggapinya. Manusia yang terkena badi biasanya akan ditimpa kesulitan seperti sakit meracau, gila dan sebagainya.
Sebagai jalan untuk mengelakkan manusia yang pergi ke hutan daripada terkena badi tersebut, beberapa peraturan tertentu diwujudkan.
Peraturan Upacara
Bahan-bahan tempatan diperlukan bagi tujuan melaksanakan adat atau petua ke hutan ini. Bahan-bahan kegunaan harian seperti limau nipis, daun kelapa, bertih adalah keperluan asas yang penting.
Di dalam perlaksanaan adat ini, bahan-bahan seperti limau nipis, telur, bertih, sirih sekapur, kemenyan dan penunggal diperlukan. Bahan-bahan tersebut perlu disediakan untuk upacara sajian pada peringkat permulaan melaksanakan adat ini. Kegunaan terhadap bahan-bahan ini ditentukan oleh pawang.
Adat Permulaan ke Hutan
Bagi adat permulaan ke hutan, beberapa peringkat harus dilakukan demi mendapat kesejahteraan yang sewajarya. Adat ini boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian tertentu. Pengenalan adat atau permulaan ke hutan ini akan dilakukan oleh mereka yang akan ke hutan.
Pemilihan Hari
Orang Melayu masih lagi mempercayai kelebihan sesuatu hari bagi melakukan sesuatu upacara. Bulan atau hari yang dikira dalam hal ini ialah mengikut tahun Hijrah. Hari yang kurang baik untuk masuk ke hutan ialah hari Selasa akhir bulan Melayu.
Hari yang baik untuk melakukan upacara seumpama ini ialah hari Rabu, Khamis dan Jumaat. Hari-hari tersebut dipercayai mendatangkan manfaat yang lebih. Waktu yang baik bagi melaksanakan adat ini ialah pada sebelah pagi.
Pada peringkat permulaan, jika seseorang itu hendak ke hutan, dia perlu menjemput pawang untuk melaksanakan Adat Sajian. Upacara adat sajian ini diadakan sebagai suatu persembahan kepada penunggu hutan. Sebuah dulang yang telah diisikan dengan segala peralatan yang berkaitan perlu disediakan. Apabila segala peralatan tersebut telah disediakan, maka pawang akan menjampinya. Ia bertujuan menghalau atau menjauhkan hantu dan segala bahaya yang ada di dalam hutan. Upacara ini dilakukan di atas rumah.
Setelah sajian itu dijampi oleh pawang, dia akan melakukan upacara pancak penunggal pula dan semua peralatan dibawa ke halaman rumah. Orang yang akan meneroka atau yang akan masuk ke hutan pula akan diberi pinang sepiak, iaitu pinang yang telah dijampi. Segala peralatan tersebut kemudiannya diletakkan pada suatu tempat khas, iaitu pada pangkal pokok atau sebagainya, kecuali sebiji limau nipis yang akan diambil oleh pawang. Limau yang telah diambil oleh pawang tersebut akan diberikan kepada orang yang akan ke hutan sebagai ‘pengeras semangat’. Kononnya syaitan takut kepada bau limau itu.
PANTANG LARANG SEMASA DI HUTAN
Permulaan Turun ke Hutan
Andainya seseorang yang baru turun dari rumah untuk ke hutan tiba-tiba dilintasi ular dalam perjalanannya, maka dipercayai ini merupakan suatu petanda yang tidak baik. Orang tersebut haruslah naik semula ke atas rumah dan mengambil pinang sepiak dan memakannya kemudian barulah turun semula untuk meneruskan perjalanan.
Turun tangga haruslah dengan langkah kaki kanan. Sebelum turun didahului dengan bacaan Bismillahirrahmanirrahhim. Mereka juga tidak boleh berpatah balik.
Bersiul Semasa Dalam Perjalanan
Bersiul semasa dalam perjalanan adalah ditegah. Ia dipercavai menjemput kedatangan ular. Bersiul di dalam hutan pula dilarang sama sekali kerana ini akan menarik perhatian berbagai jenis binatang buas. Apabila kehadiran orang yang memasuki hutan itu diketahui oleh binatang buas, dirinya berada dalam keadaan bahava.
Melaung Semasa di Hutan
Perbuatan melaung di hutan juga ditegah. Melaung atau bercakap dengan kuat dipercayai akan menarik perhatian berbagai-bagai jenis jembalang serta binatang buas yang ada di dalam hutan.
Sekiranya orang yang masuk hutan itu melaung, maka laungan itu dipercayai akan disahut oleh jembalang dan andainya perkara seumpama ini terjadi, maka kejadian seperti sesat di hutan akan berlaku.
Berburu Binatang
Sekiranya tujuan seseorang ke hutan adalah untuk memburu, dia tidak boleh berpecah daripada kumpulan kawan-kawannya. Sekiranya dia berpecah juga, maka akan terjadi sesuatu yang tidak baik. Misalnya akan berlaku insiden tertembak rakan sendiri atau sebagainya. Mengikut kepercayaan, jembalang akan menyerupai wajah rakan seseorang dan wajah rakan itu pula akan menyerupai binatang yang hendak diburu. Sekiranya hal ini terjadi, maka malanglah bagi mereka yang pergi berburu di hutan itu.
Tidur di Atas Pokok
Mereka yang pergi ke hutan dilarang tidur di atas pokok. Perbuatan itu akan dipercayai akan diganggu oleh jembalang terbang. Tujuan sebenarnya jika seseorang tidur di atas pokok, sukar baginya melarikan diri apabila berlaku sebarang musibah.
Lain-Lain Pantang Larang:
1. Jika sesat di hutan, jangan tidur di tepi sungai, nanti dimakan hantu.
2. Dilarang pegang pokok merah, nanti badan menjadi gatal.
3. Jangan tidur di atas pokok jika sesat, nanti dilapah hantu.
4. Dilarang bercakap besar ketika di hutan, nanti mendapat bencana.
5. Pantang bersiul di hutan, nanti disambar langsuir.
6. Jangan melaung di tengah hutan, nanti disahut hantu.
7. Jika terdengar sahutan, jangan dijawab, dikhuatiri suara hantu.
8. Jangan mengambil batu atau benda ganjil di hutan, takut berpenunggu.
9. Dilarang menegur sesuatu yang aneh atau ganjil dihutan, nanti dirasuk atau dapat malang.
Speak Your Mind