Petua Suami Mencurahkan Jalinan Kasih

1. Bisikkan kasih sayang dari masa ke semasa. Pengesahan dari mulut suami ada kesan mendalam terhadap keyakinan isteri.

2. Buktikan kasih sayang daripada suami

– Hadiah dan penghargaan

– Senyuman

– Perbualan mesra

– Gurauan

– Khidmat dan bantuan dalam mengendalikan kerja-kerja rumah

– Kerjasama mendidikan anak, menyelesaikan masalah dan hal-hal lain.

3. Sentuhan Sayang

– Peluklah isteri sekurang-kurangnya 7 kali sehari dan bukan tujuh hari sekali.

– Dalam diri wanita 99 kawasan yang dapat memberi kepuasan kepada isteri apabila dirangsang suami.

4. Isteri mengharapkan pimpinan agar selamat di dunia dan akhirat

– Suami sebagai contoh bagi isteri

– Suami memiliki ciri-ciri boleh dibanggakan isteri

– Suami sebagai tempat bergantung

– Sumber semangat dan kekuatan

– Isteri mengharapkan kemaafan dari suami setiap masa.

5. Isteri mengharapkan doa yang berterusan daripada suami.

 

 

Petua Untuk Menjadi Suami Yang Terbaik

Adakah anda sudah menjadi seorang suami yang terbaik kepada isteri anda? Bagaimanakah cara untuk membantu isteri bagi meringankan beban dan memahami kerjaya isteri yang sering sibuk di luar rumah? Petua berikut mungkin boleh membantu anda menjadi seorang suami yang terbaik kepada isteri anda. Oleh itu sikap saling memahami antara pasangan sememangnya penting dalam sesebuah rumahtangga.

Ringan Tulang – Jangan jadi tuan di rumah dengan memerhatikan saja isteri melakukan semua kerja rumah. Sesekali, ringankan tulang membantu isteri menyiapkan meja makan untuk berbuka dan bersahur.

Ambil Hati Isteri – Beri kata pujian terutama apabila masakan pilihannya untuk berbuka memang enak. Jangan diperbesarkan hal yang kecil sedangkan ia boleh diselesaikan sendiri oleh si suami contohnya masakan kurang garam atau minuman tawar.  Jangan terlalu manjakan diri kerana isteri bukannya orang gaji.

Uruskan Anak-Anak – Jika lihat isteri terlalu sibuk dengan urusan lain, tolong uruskan anak-anak seperti menukarkan lampin atau menghantar dan mengambil anak dari sekolah. Layan kerenah anak supaya mereka tidak mengganggu ibunya yang sibuk di dapur.

Tunjukkan Kasih Sayang – Bekerja seharian dan kemudian melakukan kerja di rumah memang memenatkan. Oleh itu, lelaki harus faham jika isteri kadang-kadang kurang melayan suami.  Apabila lihat isteri keletihan, urutkan badan dan kakinya. Tunjukkan kasih sayang sebagai suami. Sentuhan dan belaian suami mampu menjadi vitamin untuk isteri melakukan kerja rutinnya tanpa keluhan.

Sediakan Pembantu Rumah  – Kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah, menyapu sampah, menyusun dan mengatur bukanlah tugas isteri. Justeru jika mampu, sediakan pembantu rumah untuknya. Sekurang-kurangnya, isteri tidak terlalu penat hingga tiada masa untuk suami dan anak.

Doakan Kebaikan Untuk Isteri – Ambil kesempatan untuk mendoakan kebaikan dan kesejahteraan kepada isteri ketika bulan Ramadan. Doakan juga supaya isteri diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik untuk dia terus menjalankan tanggungjawab sebaiknya sebagai isteri.

 

 

 

Petua Penampilan Diri Untuk Lelaki

1. Memakai pakaian yang betul-betul mengikut ukuran badan anda, sama ada ditempah dengan tukang jahit, atau dibeli di kedai dan disesuaikan dengan badan anda

2. Memakai stokin yang sesuai dengan warna suit atau seluar anda

3. Jangan memakai tali leher yang terlalu kurus

4. Jangan biarkan dompet anda menggelembung kerana terlalu banyak isi

5. Jangan pakai pakaian yang sudah lusuh atau yang berkedut

6. Jangan pakai baju yang berbelang menegak jika anda bukan seorang yang tinggi dan kurus.

7. Pakai lengan panjang dan bertali-leher jika anda menghadiri temuduga atau mesyuarat rasmi

8. Padankan warna talipinggang dan kasut anda

9. Tali leher mesti mencecah bahagian atas tali pinggang anda

10. Jangan pakai talipinggang dan suspender (tali penggantung dari seluar ke bahu) pada masa yang sama

11. Pakai pewangi sebelum memakai baju untuk mengelakkan kesan pada baju anda

12. Jaga postur anda untuk kelihatan tinggi dan penuh keyakinan

 

Petua Berfesyen Untuk Lelaki

1. Sentiasa Jadi Diri Sendiri – Pilih pakaian dan aksesori yang anda fikirkan menarik, bukan semata-mata mengikut trend fesyen. Bila berfesyen, pastikan memilih yang bersesuaian dengan umur, potongan tubuh badan, imej dan personaliti serta mengambil kira acara, majlis dan lokasi.

2. Jangan Berlebihan – Jangan terlebih dalam berfesyen. Anda tidak perlu gayakan semua pakaian dan aksesori popular dalam satu masa. Ia kelihatan pelik dan janggal. Anda tidak perlu membazir, memadai membeli beberapa pakaian yang trendy mengikut musim. Kemudian, suai dan padan dengan item fesyen asas yang terdapat di dalam wardrobe anda.

3. Suai dan Padan – Pakaian baharu yang sesuai dipraktikkan suai padan bersama item fesyen lama secara bijak dan kreatif. Selalunya, kaedah ini membantu menyuntik penampilan yang lebih menarik dan segak. Ia menjimatkan wang anda.

4. Rancang Beli-belah Anda – Sebelum anda bercadang untuk membeli pakaian ataupun aksesori baharu, tanya diri sendiri sama ada anda membelinya kerana ia barang terkini atau kerana anda betul-betul memerlukannya? Jika anda membeli hanya kerana jenama barangan tersebut, lupakan sahaja kerana lama-kelamaan anda kurang menyukai pakaian itu.

Petua Hilangkan Bisa Terkena Sengatan Gigi Ikan

Sebaik sahaja terkena sengatan gigi ikan seperti ikan Jenahak, Malong dan sebagainya di anggota badan terutama jari, cepat-cepat cedok air laut tempat anda memancing dengan tangan kanan dan titiskan ke dalam mulut dan telan sedikit air tersebut. Rasa bisa serta denyutan akan berkurangan dan bolehlah sapu apa-apa ubat yang sesuai selepas itu.

 

 

Petua Untuk Badan Ringan dan Bertenaga

Minum air rebusan serai dan halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Jika anda meminum air rebusan ini pagi dan malam, badan akan menjadi ringan dan bertenaga. Selain itu untuk meningkat tenaga wanita, amalkan pengambilan 4 biji telur mentah sehari.

Petua Untuk Kurang Selera Makan

Bahan-Bahan:

3 sm bahagian ubi lempuyung, 3 sm bahagian ubi cekur, dan 3 sm bahagian ubi temu kuning.

1. Tumbukkkan keseluruhan ramuan hingga lumat dan perahkan airnya ke dalam satu bekas.

2. Minum air hasil tumbukkan tersebut  setiap pagi.

 

Petua Bayi Kelihatan Pucat, Tidak Bermaya dan Letih Lesu

Rebus segenggam daun dan akar inai hingga air rebusan menjadi kekuningan kira-kira 15 minit. Tapis dan biar suam sedikit. Minum air rebusan inai setiap pagi dan malam sambil berselawat. jika diamalkan selalu, wajah bayi akan bertukar menjadi kemerah-merahan dan berseri.

Petua Kembung Perut, Perut Masuk Angin atau Senudung

Pilihan 1: Ambil 3 helai daun mengkudu yang muda dan sapukan sedikit minyak kelapa. Seterusnya, layurkan ke atas api selama 2 minit. Lepas itu, tekapkan kepada perut anda. Hasilnya, angin dalam perut anda akan hilang.

Pilihan 2: Ambil 2 ulas bawang putih, kemudian, bakar hingga separuh masak. Selepas itu, kupas kulitnya dan makanlah bawang tersebut. Hasilnya, dalam masa beberapa minit sahaja, angin dalam perut akan berkurangan (keluar) dan anda akan berasa lebih selesa.

ePsikologi: Kenapa Orang Melayu Suka Merajuk?

1. Mustahil ada orang merajuk tiada bersebab. Barangkali kita yang tidak tahu sebabnya.  Penyakit merajuk tidak kenal gender atau usia. Lelaki dan wanita sama sahaja kerana kedua-duanya pandai merajuk. Siapa kata lelaki tidak pandai merajuk? Lelaki pun ada perasaan dan sensitiviti seperti perempuan. Cuma lelaki lebih bijak apabila merajuk kerana dia tahu tiada siapa yang akan memujuk. Wanita apabila merajuk memang menakutkan terutama bagi lelaki yang tidak pandai memujuk. Penyakit merajuk ini kalau tidak pandai memujuk, meleret-leret jadinya. Malah berpanjangan sampai beberapa hari.

2. Memujuk juga kena ada cara dan gaya kerana silap-silap akan bertukar menjadi pertengkaran. Malah apabila selalu dipujuk, maksudnya setiap kali dia merajuk, kita memujuk, lama-lama dia naik tocang. Silap sikit, merajuk. Tidak kena sikit, tarik muka masam. Salah sikit, memuncung. Boleh pengsan kita dibuatnya. Merajuk orang muda yang baru bercinta atau baru mendirikan rumah tangga merupakan perkara biasa. Sesekali merajuk ada faedah juga kerana dapat menambahkan keindahan kasih sayang. Perempuan kalau pandai merajuk memang manis dan menggoda. Merajuk orang bercinta dapat memberikan kesegaran kepada cinta. Tetapi janganlah kerap sangat nanti runtuh cinta. Merajuk laksana awan gelap. Selepas awan menghilang, maka teranglah langit. Selepas hilang merajuk, muncullah kasih, timbullah sayang. Bagi suami isteri, detik-detik selepas merajuk sering digunakan untuk bermadu kasih, bertangkup sayang. Kepada si suami, inilah waktunya mendukung si isteri ke ranjang … pasti ada kelainannya.

3. Orang tua bagaimana? Orang tua lagi hebat merajuknya. Tiada detik yang paling hodoh bagi orang tua melainkan ketika dia merajuk. Namun begitu, orang tua pastinya matang dan tidak rela menanggung malu merajuk di depan cucu. Lantas, boleh sahaja merajuk secara sembunyi-sembunyi di celah pintu atau di sudut dapur. Biasanya merajuk orang tua ditujukan kepada si anak-anak yang berkumpul sekali-sekala. Bukan apa, hanya mahu manja-manja sama anak anak. Merajuk banyak puncanya. Dikatakan bahawa lelaki yang tidak peka terhadap kehendak dan kemahuan wanita boleh menyebabkan wanita merajuk. Maklumlah wanita begitu sensitif, lemah kawal emosi, suka bermanja yang kekadang berlebih-lebihan. Tetapi sifat-sifat inilah yang menjadi daya tarikan wanita. “Aku tidak akan jatuh cinta kepada wanita yang langsung tak tahu merajuk!” Itu kata sahabat saya “Aku pula tak akan kahwin sama wanita yang tak tahu manja!” Ini kata saya. Ada tak di dunia ini wanita yang tidak tahu merajuk dan manja? Kalau ada, pastilah wanita robot.

4. Lelaki mesti peka terhadap kemahuan wanita, kalau tidak lebih baik jadi wanita sahaja. Kemahuan wanita mungkin beratus atau beribu. Justeru, kepekaan lelaki seharusnya beratus dan beribu juga? Kemahuan jenis suka makan keropok lekor tidak ada masalah. Tetapi kemahuan jenis pantang terlihat pakaian baru, beg baru, perabot baru, kereta baru dan segala yang baru semuanya nak beli, botak kepala suami belum tua. “Bang, jiran sebelah dah tukar kereta baru, kita bila lagi?” Aduhai sedapnya dengar, sejuk menusuk telinga abangnya. Nak tukar kereta baru. Kemahuan jenis ini seandainya si abang gaji seciput, tambah anak pula berdozen, betapa peka sekalipun susah nak layan.

5. Adakalanya isteri merajuk ketika ibu mentua dari kampung datang ke rumah. Al-maklumlah ibu lama-lama datang sekali, menjadi tanggungjawab si anak melayannya dengan baik. Tetapi isteri pula tersalah tafsir ingat si suami sayang ibunya lebih daripada dia. Dia pun merajuk. Kalau jenis yang boleh dipujuk, tak mengapa. Kalau jenis yang tak makan pujuk? Serba salah si suami dibuatnya. Sebelah kanan ibu, sebelah kiri isteri, dan kedua-dua pun dikasihi dan disayangi. Situasi yang sukar bagi seorang suami. Suami yang bijak dapat selesaikan masalah ini dengan baik umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berterabur. Bagaimana kalau suami itu kurang bijak? Minta ibu segera balik ke kampung? Derhaka namanya. Biarkan sahaja isteri memuncung 24 jam dan berjalan menghentak-hentak kaki di depan ibu mentuanya?

6. Merajuk kadang-kadang tanpa disedari sebabnya bagai langit yang cerah, tanpa awan tanpa ribut, tiba-tiba hujan mencurah turun. Tentu anda kurang percaya kalau dikatakan wanita mahupun lelaki boleh merajuk walaupun dengan seekor ikan. Wanita begitu sensitif apabila dia mendapati kekasihnya atau suaminya melayan “benda lain”, termasuk ikan, burung, layang-layang, atau internet, melebihi layanan yang diberikan kepada dia. Seelok-eloknya, layanlah apa-apa yang ada pada wanita itu melebihi benda lain. Atau sekurang-kurangnya layanan tersebut mesti seimbang. Oleh itu, kalau anda suka ikan akuarium, masa melihat ikan berenang, jangan lupa belai-belai rambut isteri anda, cubit-cubit dagunya, gosok-gosok telinganya, atau ramas-ramas pehanya. Tetapi jangan sekeh-sekeh kepalanya. Boleh kata, lakukanlah apa-apa ke atas pasangan anda yang dapat menunjukkan bahawa anda mengambil berat dirinya lebih daripada segala-galanya.

Punca merajuk kalau hendak disenaraikan kesemuanya, tidak akan habis. Petik awan jadikan hamparan kertas, segunung pokok jadikan pensel, belum cukup untuk menulis punca merajuk. Pertimbangan akal amat diperlukan untuk menangani masalah merajuk. Sebenarnya merajuk boleh dikawal kerana puncanya daripada emosi. Setiap perlakuan emosi dapat dikawal oleh akal. Persoalannya, sama ada kita mahu menggunakan akal atau tidak? Atau kita lebih suka membiarkan emosi menguasai kita? Jangan memilih cara kedua kerana kita bakal kecundang di lembah kemusnahan berumah tangga. Dengan kata lain, merajuk harus ada batasan. Merajuk yang melampau akan mengundang kemarahan orang yang hendak memujuk. Tiada gunanya apabila merajuk tetapi tiada orang memujuk, kerana tujuan merajuk adalah untuk dipujuk.

Sumber: Dipetik