Petua Moden Untuk Kekal Langsing

Di zaman moden ini banyak jenis makanan yang boleh memudaratkan jika dimakan berlebihan. Makanan yang diproses dan juga makanan segera, sering menjadi pilihan. Namun adakah kita prihatin dengan kesan sampingannya pada tubuh badan? Makanan yang ada di pasaran sering mengandungi gula dan lemak yang tersembunyi. Pengambilan secara berlebihan akan membawa kepada masalah kegemukan dan obesiti. Sebelum masalah ini terjadi pada kita, sewajarnya kita mengambil sikap berhati-hati. Manakala bagi mereka yang sedang menghadapi masalah berat badan, ikutilah petua yang mudah dan boleh diamalkan semua. Yang penting adalah keazaman untuk menjayakannya dan diamalkan secara berterusan dan bukan sekerat jalan. Selain itu, senaman dan mengawal nafsu makan yang keterlaluan adalah jalan terbaik untuk gaya hidup sihat.

Caranya ialah mengubah cara pemakanan yang diamalkan daripada kebiasaan kepada satu kaedah yang baru iaitu:

1. Apa yang kita ambil untuk sarapan di waktu pagi ditukar kepada apa yang sepatutnya dimakan di tengah hari dibawa dan dimakan pada waktu pagi.

2. Waktu tengah hari jangan makan makan yang mengenyangkan, cukup sekadar buah- buahan atau jangan makan langsung.

3. Makan malam diawalkan dan diambil dalam lingkungan waktu jam 7.00 malam.

4. Jangan makan selepas pukul 9.00 malam, walaupun anda belum makan apa apa sebelumnya. Jika perlu, cukup sekadar segelas susu atau buah- buahan atau makanlah sedikit tetapi jangan mengambil makanan yang telah dimasak (makan berat).

5. Sebagai amalan tambahan, berpuasa 2 kali seminggu (setiap hari Isnin dan Khamis). Pada hari ketika anda berpuasa, anda disarankan untuk melakukan senaman.

6. Setiap kali bangun pagi, waktu tengahari dan sebelum masuk tidur di sebelah malam, amalkan meminum secawan teh cina (hijau) yang dicampurkan dengan limau nipis atau kasturi. Anda akan lihat kesannya selepas 7-14 hari mengamalkannya.

 

Petua Membersih dan Memutihkan Wajah

1. Ambil 4 hingga 5 helai pucuk jambu batu muda dan bersihkannya.

2. Tumbuk sampai hancur dan campurkan dengan sedikit air bersih.

3. Kemudian, sapu serta gosokkan secara perlahan-lahan bahan tersebut pada muka anda.

4. Lakukan langkah no.3 sekurang-kurang dalam 5 minit.

5. Selepas itu, cucilah muka anda dengan air bersih dan lapkannya dengan tuala lembut. Jadikan proses ini sebagai amalan untuk memutihkan kulit wajah anda.

 

Petua Untuk Kurus dan Langsing

Jika anda mengalami berat badan yang  berlebihan, air limau nipis yang anda minum boleh menurunkan  berat badan anda. Sediakan 2 biji limau nipis atau limau kasturi setiap hari. Perah airnya ke dalam gelas yang berisi dengan air sejuk, masukkan ke dalam  peti sejuk. Setelah itu bolehlah dijadikan air minuman setiap kali selepas  anda makan tengahari dan makan malam. Cara ini boleh diikuti dengan senaman  ringan. Amalkanlah meminumnya selama sebulan, berat badan anda akan beransur  turun.

Petua Rambut Lembut dan Mudah Dibelai

Ambil secekak kangkung, kemudian bersihkan  Ramaskan dengan 6 sudu air suam kuku. Biarkan ia lembut dan keluar lender. Kemudian tapis dan sapukan pada rambut. Sambil disapu, picit-picitkan kepala supaya ia meresap. Biarkan lebih kurang 8 minit sebelum dicuci. Amalkan 2 kali seminggu.

 

Petua Untuk Kulit Wanita Cantik Berseri

Wanita zaman dahulu mengutamakan kecantikan kulit dan rambut. Justeru, mandi lulur sangat digemari. Mungkin kerana mereka kerap berjemur di bendang dan ladang. Kesannya kulit mudah dibakar matahari, menjadi gelap, kering dan bersisik. Lantas mereka rajin menyediakan ramuan mandi lulur, sama ada menggunakan beras tumbuk ataupun rempah-ratus. Ia bertujuan melembut serta menghaluskan kulit. Biasanya, padi yang baru dituai diasingkan secupak dua, dibuang kulit dan direndam berhari-hari. Airnya mesti diganti 2 kali sehari agar tidak busuk. Setelah separuh lembut, ia ditapis dan ditumbuk separuh lumat.

a. Setiap kali sebelum bersiram, beras lumat yang dicampur perahan limau nipis disapu pada seluruh badan. Apabila separuh kering, baru disental untuk mengeluarkan daki degil dan sel mati. Selain berlulur, amalan mandi susu (berendam), juga disukai untuk mencerahkan kulit.

b. Jika ingin kelihatan berseri, sesekali mereka mandi bunga, campurkan 7 jenis bunga bersama sedikit perahan limau. Bagi wanita bersalin, mandian daun-daun kayu paling digemari untuk membuang angin di dalam badan, melancarkan peredaran darah serta mengharumkan badan.

c. Hampas kelapa digunakan untuk menyental daki. Selain itu, campuran kapur makan dan perahan limau nipis pula untuk menyental daki pada ketiak dan pelipat kaki.

d. Ada juga menggunakan beras pulut. Caranya mudah. Goreng beras pulut tanpa minyak hingga kuning, kemudian tumbuk lumat. Ambil segenggam, titikkan air agar lembap,gosok pada bahagian bermasalah. Bagi mengelakkan kulit kering, mereka sapukan pula gel aloe vera (lidah buaya) ataupun minyak sayur-sayuran.

e. Bedak sejuk daripada beras juga sangat elok untuk menyejukkan muka, menghilangkan ruam serta menghaluskan kulit. Biasanya beras direndam berbulan-bulan hingga lembut, dititik di atas daun pisang dan dijemur berhari-hari. Setelah kering, disimpan di dalam mangkuk tanah dan dicampur hirisan daun pandan, bunga melati atau mawar agar berbau harum.

f. Bagi mengelakkan jerawat atau gatal-gatal, kunyit hidup yang ditumbuk lumat disapu pada seluruh wajah kerana ia mengandungi antiseptik semulajadi. Parutan buah jambu muda juga elok untuk menghilangkan jerawat. Bagi menegangkan kulit muka, putih telur segar (baru bertelur) disapu, manakala pupur parutan lobak dan timun untuk menyegarkan kulit.

g. Pupur kacang hijau dan badam juga kerap digunakan untuk menjaga muka. Gel aloe vera boleh digunakan sebagai pelembap. Bagi menghilangkan parut yang masih baru pada muka, kulit pisang emas (bahagian dalam) disental pada kulit muka ataupun buih daripada kayu api (misalnya kayu getah) disapukan.

 

 

Petua Untuk Kurus Badan Dengan Segera

Selepas bangun pagi, sebelum memberus gigi dan berkumur, minum air suam dan air kosong sebanyak 1.5 liter dalam tempoh 30 minit. Sistem perkumuhan dalam badan anda akan bertindak mengeluarkan segala toksid yang tersimpan di dalam badan secepat mungkin. Cuba lakukannya. Anda pasti teruja untuk mengurangkan berat badan secepat mungkin.

Petua Menghaluskan Siku dan Lutut

1. Parut buah nenas segar yang telah dicuci bersih terlebih dahulu.

2. Sapukan pada siku dan lutut anda. Gosokkan perlahan-lahan dan biarkan selama beberapa minit agar zat-zat semulajadinya dapat memberi kesan dengan baik. Jus dari nenas akan membuatkan lipatan-lipatan kulit pada siku dan lutut menjadi lembut kembali.

3. Setelah itu, bilas dengan air suam sehingga bersih sampai kulit tidak lagi terasa lekit. Gunakan tuala lembut untuk mengeringkannya, tidak dengan cara menggosok tetapi cukup ditekan-tekan sahaja. Akhir sekali, letakkan ‘baby oil’ atau pelembap.

eMotivasi: Petua Menghilangkan Rasa Sunyi di Hati

Apabila bersendirian, hati sering dilanda sunyi dan sayu, bahkan tidak keruan jadinya. Sepi barangkali menghantui diri apabila terkenangkan seseorang yang pernah menghuni di hati. Khusus untuk kekasih, isteri atau suami yang baharu ditinggalkan atau yang masih membujang, kesepian itu sering mengundang perasaan bukan-bukan. Puas melakukan sesuatu diharap mampu melupakan hal menyakitkan, pedih yang masih bersisa di ulu hati dan seribu satu gelodak di jiwa ada kalanya membuatkan diri hilang fokus dalam pelbagai perkara. Jika anda masih sukar menepis rasa sepi, cuba kaji diri untuk melakukan perkara berikut:

Maha Pencipta – Kembalilah kepada Pencipta. Mohonlah petunjuk daripadaNya supaya perkara lalu itu dapat mematangkan diri. Kita juga lebih berhati-hati dalam menjalani hidup ini dengan lebih tabah dan kuat. Ingatlah setiap kejadian yang Tuhan cipta mesti bersebab dan jadikan ia sebagai kayu pengukur keimanan kita terhadapNya.

Perbaiki Diri – Jangan sesekali anda berubah kerana ingin memenuhi tuntutan bekas kekasih, tetapi apa yang wajar dilakukan adalah memperbaiki diri daripada pelbagai aspek misalnya kerjaya dan kewangan serta bina keyakinan diri yang mantap demi masa depan lebih stabil. Ketahuilah apabila anda sudah takluki semua perkara yang dinyatakan dengan keadaan yang baik, di situ juga anda mungkin akan mudah dikelilingi ramai teman wanita atau lelaki yang suka mengambil kesempatan ke atas diri anda.

Bercuti – Semasa berpasangan, percutian biasanya perkara yang agak merumitkan. Untuk bercuti bersama, terdapat pelbagai perkara yang perlu diambil kira seperti cuti tahunan, pakaian pasangan, perbelanjaan dan destinasi. Semua ini harus menepati cita rasa anda, pasangan dan anak. Lazimnya, hanya beberapa hari saja dalam setahun yang sesuai untuk anda berdua atau anak. Namun, ketahuilah ketika anda berseorangan, bila-bila masa saja anda boleh pergi bercuti tanpa perlu merujuk sesiapa.

Jumpa Kawan – Seperti kebanyakan lelaki atau wanita, apabila bercinta mereka akan meninggalkan kawan rapat. Bukan lupa, tetapi tidak cukup masa sebenarnya. Sekarang waktu paling sesuai untuk anda mengambil peluang ini menggamit kembali saat bebas ketika bersama mereka. Sudah pasti anda tidak akan dikecewakan malah anda juga akan mendapat layanan mesra daripada mereka kerana mereka sudah lama tidak bersua muka dengan anda.

Bersenam – Ketika bercinta, tengok wayang, membeli-belah, jalan-jalan, minum dan makan malam itu antara sebahagian besar yang memenuhi diari kehidupan lalu. Namun, ketahuilah perkara yang lepas mungkin tidak akan sama dengan perkara yang sedang [fbliked]Insert Your “LIKED” Content Here[/fbliked] anda alami ketika ini. Apa kata anda lakukan senaman? Ketahuilah ini masanya anda membuang toksik dan lemak yang sudah lama terkumpul di dalam badan. Aktiviti riadah juga memungkinkan anda berpeluang bertemu dengan wanita atau lelaki yang lebih baik.

Kembali Nakal – Zaman kanak-kanak adalah saat yang paling indah dan menyeronokkan. Bagi orang dewasa yang sudah melupakan zaman kanak-kanak, kebiasaannya mereka tidak ceria dan tidak mempunyai nilai jenaka. Sesetengah wanita pula tidak suka lelaki yang nakal kerana rasa dirinya tercabar. Sebab itu ramai lelaki biasanya cuba mengawal perasaan mereka dan bersifat kaku seketika apabila bersama teman wanita. Apabila kembali solo, peluang untuk anda melakukan aktiviti sewaktu bujang dahulu boleh dilakukan. Bagi wanita, apabila keadaan emosi sudah stabil kembali, kebanyakan mereka suka membeli-belah.

Bermesra bersama Keluarga – Hubungan dengan keluarga biasanya tidak seerat dulu lebih-lebih lagi apabila kita sudah berumah tangga atau bersama kekasih. Keluarga pula mula jatuh pada tahap kedua manakala pasangan diberi lebih tumpuan.

Petua Untuk Melegakan Senggugut

Pilihan 1 : Ambil 9 biji pinang tua, bakar hingga menjadi arang dan ditumbuk halus. Campurkan secawan air suam dan minum 9 hari berturut-turut dari hari pertama datang haid.

Pilihan 2 : Ambil bawang merah dan hancurkan. Kemudian sapu dan urut-urut pada bahagian perut atau ari-ari yang sakit. Tidak lama selepas itu anda akan merasa lega sendiri.

Pilihan 3: Ambil segenggam halia dan tumbuk lumat. Masukkan halia ke dalam segelas air suam, apabila halia mendap barulah diminum air dan didahulukan dengan selawat. Hasilnya senggugut akan hilang.

Pilihan 4: Minum rebusan rumput jarum emas atau rumput rempah padang atau rumput cengkih padang semasa kedatangan haid atau sebelumnya.

Pilihan 5: Campurkan halia yang telah ditumbuk dengan serbuk lada hitam . Kuantiti sama banyak antara kedua-dua bahan . Makan dalam 1 atau 2 minggu sebelum haid .

Pilihan 6: Semasa sakit ketika haid, hendaklah sentiasa meminum air teh pahit tanpa gula.

Pilihan 7: Ambil beberapa helai daun sirih dan beberapa batang serai wangi. Rebuskan dan minum airnya ketika air suam-suam kuku.

Pilihan 8: Ambil 3 ulas bawang putih sebesar ibu kaki dan potong nipis-nipis. Kemudian ambil 5 biji lada hitam ditumbuk halus. Campurkan bawang putih dan lada hitam tersebut dan gaulkan dengan air panas. Kemudian, minum setiap hari (waktu malam).Senggugut akan hilang.

Pilihan 9: Buah petola  boleh mengurangkan kesakitan senggugut. Anda perlu memakan sebarang masakan dari petola selama seminggu sebelum kedatangan haid.

Pilihan 10: Amalkan memakan kunyit, asam jawa dan gula merah yang direbus. Segelas rebusan ini diminum selepas makan tengahari dan segelas lagi selepas makan malam, seminggu sebelum kedatangan haid.

Pilihan 11: Ambil segenggam daun betik dan tumbuk. Airnya diminum pada setiap pagi selama 3 hari pada setiap bulan.

Pilihan 12:  Ambil sepotong gambir (10-15 gram), kunyit hidup 2 ulas dan 5 lembar daun sirih. Semua bahan itu dijadikan satu dan tumbuk halus. Selepas itu tambahkan dengan secawan air masak dan kacau rata. Kemudian dengan menggunakan kain yang bersih, tapis dan perah ramuan tersebut. Minum sekali dalam sebulan iaitu 2 atau 3 hari sebelum kedatangan haid. Minum ramuan tersebut pada waktu malam sebelum tidur.

Pilihan 13 : Tumbuk secekak daun cili padi, dan 7 biji jintan manis hingga lumat. Campurkan dengan 2 sudu besar air masak. Perah dan tapis. Amalkan meminumnya 3 kali sehari selama 4 hari.

Pilihan 14: Lenyek nasi sehingga lumat. Selepas itu campurkan dengan garam kasar atau garam biasa sehingga sekata. Gentelkan sebesar ibu jari dan embunkan semalaman. Makan pada pagi esoknya. Tidak perlu dikunyah. Lakukan selama 4 malam.

Pilihan 15 : Campurkan sedikit gula melaka dengan air kelapa. Sewaktu didatangi haid, minum 2 kali sehari dalam masa 4 hari.

 

 

 

Petua Untuk Memiliki Bentuk Badan Menawan

1. Amalkan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran secukupnya bagi mengekalkan sumber tenaga. Jangan terikat dengan sesetengah jenis buah atau sayur. Pelbagaikan pengambilan buah-buahan.

2. Susu perlu ada dalam dalam diet harian anda. Minum sekurang-kurangnya 2 cawan susu tanpa lemak. Anda juga boleh menggantikannya dengan yoghurt atau keju.

3. Anda boleh menjamah snek tetapi pilihlah yang rendah lemak, seperti sandwich, bertih jagung ataupun popia basah.

4. Anda boleh makan pelbagai jenis makanan tetapi pastikan cara masakannya betul. Masakan secara memanggang, membakar atau mengukus lebih bermanfaat.