ePsikologi: Kenapa Orang Melayu Suka Merajuk?

1. Mustahil ada orang merajuk tiada bersebab. Barangkali kita yang tidak tahu sebabnya.  Penyakit merajuk tidak kenal gender atau usia. Lelaki dan wanita sama sahaja kerana kedua-duanya pandai merajuk. Siapa kata lelaki tidak pandai merajuk? Lelaki pun ada perasaan dan sensitiviti seperti perempuan. Cuma lelaki lebih bijak apabila merajuk kerana dia tahu tiada siapa yang akan memujuk. Wanita apabila merajuk memang menakutkan terutama bagi lelaki yang tidak pandai memujuk. Penyakit merajuk ini kalau tidak pandai memujuk, meleret-leret jadinya. Malah berpanjangan sampai beberapa hari.

2. Memujuk juga kena ada cara dan gaya kerana silap-silap akan bertukar menjadi pertengkaran. Malah apabila selalu dipujuk, maksudnya setiap kali dia merajuk, kita memujuk, lama-lama dia naik tocang. Silap sikit, merajuk. Tidak kena sikit, tarik muka masam. Salah sikit, memuncung. Boleh pengsan kita dibuatnya. Merajuk orang muda yang baru bercinta atau baru mendirikan rumah tangga merupakan perkara biasa. Sesekali merajuk ada faedah juga kerana dapat menambahkan keindahan kasih sayang. Perempuan kalau pandai merajuk memang manis dan menggoda. Merajuk orang bercinta dapat memberikan kesegaran kepada cinta. Tetapi janganlah kerap sangat nanti runtuh cinta. Merajuk laksana awan gelap. Selepas awan menghilang, maka teranglah langit. Selepas hilang merajuk, muncullah kasih, timbullah sayang. Bagi suami isteri, detik-detik selepas merajuk sering digunakan untuk bermadu kasih, bertangkup sayang. Kepada si suami, inilah waktunya mendukung si isteri ke ranjang … pasti ada kelainannya.

3. Orang tua bagaimana? Orang tua lagi hebat merajuknya. Tiada detik yang paling hodoh bagi orang tua melainkan ketika dia merajuk. Namun begitu, orang tua pastinya matang dan tidak rela menanggung malu merajuk di depan cucu. Lantas, boleh sahaja merajuk secara sembunyi-sembunyi di celah pintu atau di sudut dapur. Biasanya merajuk orang tua ditujukan kepada si anak-anak yang berkumpul sekali-sekala. Bukan apa, hanya mahu manja-manja sama anak anak. Merajuk banyak puncanya. Dikatakan bahawa lelaki yang tidak peka terhadap kehendak dan kemahuan wanita boleh menyebabkan wanita merajuk. Maklumlah wanita begitu sensitif, lemah kawal emosi, suka bermanja yang kekadang berlebih-lebihan. Tetapi sifat-sifat inilah yang menjadi daya tarikan wanita. “Aku tidak akan jatuh cinta kepada wanita yang langsung tak tahu merajuk!” Itu kata sahabat saya “Aku pula tak akan kahwin sama wanita yang tak tahu manja!” Ini kata saya. Ada tak di dunia ini wanita yang tidak tahu merajuk dan manja? Kalau ada, pastilah wanita robot.

4. Lelaki mesti peka terhadap kemahuan wanita, kalau tidak lebih baik jadi wanita sahaja. Kemahuan wanita mungkin beratus atau beribu. Justeru, kepekaan lelaki seharusnya beratus dan beribu juga? Kemahuan jenis suka makan keropok lekor tidak ada masalah. Tetapi kemahuan jenis pantang terlihat pakaian baru, beg baru, perabot baru, kereta baru dan segala yang baru semuanya nak beli, botak kepala suami belum tua. “Bang, jiran sebelah dah tukar kereta baru, kita bila lagi?” Aduhai sedapnya dengar, sejuk menusuk telinga abangnya. Nak tukar kereta baru. Kemahuan jenis ini seandainya si abang gaji seciput, tambah anak pula berdozen, betapa peka sekalipun susah nak layan.

5. Adakalanya isteri merajuk ketika ibu mentua dari kampung datang ke rumah. Al-maklumlah ibu lama-lama datang sekali, menjadi tanggungjawab si anak melayannya dengan baik. Tetapi isteri pula tersalah tafsir ingat si suami sayang ibunya lebih daripada dia. Dia pun merajuk. Kalau jenis yang boleh dipujuk, tak mengapa. Kalau jenis yang tak makan pujuk? Serba salah si suami dibuatnya. Sebelah kanan ibu, sebelah kiri isteri, dan kedua-dua pun dikasihi dan disayangi. Situasi yang sukar bagi seorang suami. Suami yang bijak dapat selesaikan masalah ini dengan baik umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berterabur. Bagaimana kalau suami itu kurang bijak? Minta ibu segera balik ke kampung? Derhaka namanya. Biarkan sahaja isteri memuncung 24 jam dan berjalan menghentak-hentak kaki di depan ibu mentuanya?

6. Merajuk kadang-kadang tanpa disedari sebabnya bagai langit yang cerah, tanpa awan tanpa ribut, tiba-tiba hujan mencurah turun. Tentu anda kurang percaya kalau dikatakan wanita mahupun lelaki boleh merajuk walaupun dengan seekor ikan. Wanita begitu sensitif apabila dia mendapati kekasihnya atau suaminya melayan “benda lain”, termasuk ikan, burung, layang-layang, atau internet, melebihi layanan yang diberikan kepada dia. Seelok-eloknya, layanlah apa-apa yang ada pada wanita itu melebihi benda lain. Atau sekurang-kurangnya layanan tersebut mesti seimbang. Oleh itu, kalau anda suka ikan akuarium, masa melihat ikan berenang, jangan lupa belai-belai rambut isteri anda, cubit-cubit dagunya, gosok-gosok telinganya, atau ramas-ramas pehanya. Tetapi jangan sekeh-sekeh kepalanya. Boleh kata, lakukanlah apa-apa ke atas pasangan anda yang dapat menunjukkan bahawa anda mengambil berat dirinya lebih daripada segala-galanya.

Punca merajuk kalau hendak disenaraikan kesemuanya, tidak akan habis. Petik awan jadikan hamparan kertas, segunung pokok jadikan pensel, belum cukup untuk menulis punca merajuk. Pertimbangan akal amat diperlukan untuk menangani masalah merajuk. Sebenarnya merajuk boleh dikawal kerana puncanya daripada emosi. Setiap perlakuan emosi dapat dikawal oleh akal. Persoalannya, sama ada kita mahu menggunakan akal atau tidak? Atau kita lebih suka membiarkan emosi menguasai kita? Jangan memilih cara kedua kerana kita bakal kecundang di lembah kemusnahan berumah tangga. Dengan kata lain, merajuk harus ada batasan. Merajuk yang melampau akan mengundang kemarahan orang yang hendak memujuk. Tiada gunanya apabila merajuk tetapi tiada orang memujuk, kerana tujuan merajuk adalah untuk dipujuk.

Sumber: Dipetik

 

Petua Menangani Anak Kencing Dalam Seluar Di Sekolah

1. Beritahu anak anda bukan dia sahaja yang mengahadapi masalah ini. Katakan kepada anak anda ramai lagi kanak-kanak yang sering menghadapi masalah ini dan sesiapa yang sering terkencing di dalam seluar bukan bermakna dia masih seorang bayi kecil.

2. Cari Punca Masalah. Tanya anak anda “Apa yang adik buat sebelum itu?” “Adik sempat tak pergi bilik air waktu rehat?” Jawapannya akan membantu anda mencari punca bagaimana dia boleh terkencing di dalam seluar dan kemudian mengatasinya di kemudian hari.

3. Nasihatkan anak anda supaya berani bersuara. Sesetengah kanak-kanak malu untuk meminta izin menggunakan tandas di tadika atau di sekolah. Anda perlu beritahu anak anda semua orang memang perlu membuang air kecil walaupun orang dewasa. Oleh itu mereka tidak akan berfikir apa-apa sekiranya dia meminta izin menggunakan tandas. Sekiranya dia masih malu, minta supaya guru kelasnya mengawasinya agar dia pergi tandas pada masa rehat biasa.

4. Bekalkan pakaian lebihan. – Sekiranya anak anda mengetahui dia dibekalkan dengan seluar dan seluar dalam lebihan, dia akan menjadi lebih berkeyakinan. Malah, ianya dijadikan sebagai peringatan supaya dia lebih kerap ke tandas. Ini kerana mereka akan elak menggunakan pakaian yang dibekalkan.

Petua Untuk Memikat Orang Lelaki

1. Sentiasa tersenyum dan jangan bersikap sombong apabila berinteraksi dengan mereka.

2. Pandai memasak adalah ciri-ciri utama mengapa lelaki mudah terpikat dengan anda.

3. Berperwatakan menarik mampu menarik minat mereka.

4. Jujur dan sentiasa merendah diri.

5. Lakukan apa yang dia suka dan jangan lakukan apa yang dia tidak suka.

6. Mempunyai bentuk badan yang menarik (terpulang kepada individu).

7. Mempunyai tingkah laku yang baik dan lemah lembut.

8. Pandai dalam memainkan peranan sebagai seorang wanita ketika berada di samping lelaki yang anda minati.

9. Jangan terlalu mengongkong.

10. Ketika berinteraksi dengan mereka jangan lupa gunakan bahasa tubuh yang anda ketahui seperti mata dan tangan.

11. Jaga cara pemakaian anda, seksi atau tidak terpulang kepada lelaki yang anda minati.

12. Lelaki sukakan wanita yang suka berterus terang tanpa menyembunyikan sesuatu.

13. Apabila berhadapan dengan lelaki yang anda minati, renungi matanya dan tunjukkan sifat humor anda. Ini adalah taktik untuk memberitahu si dia bahawa anda boleh didekati tetapi bukan bererti anda ini perempuan murahan dan mudah didekati.

14. Jangan bersikap selalu jual mahal apabila berada bersama mereka.

15. Bijak menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.

16. Tidak mudah putus asa dan sentiasa berdiri di atas kaki sendiri tanpa meminta pertolongan dari orang lain.

17. Jangan suka bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah ketika bercakap dengan mereka.

18. Jangan bandingkan ‘dia’ dengan lelaki-lelaki yang pernah anda kenali.

19. Menjadi temannya ketika dia susah dan senang.

20. Lelaki suka anda menjadi pendengar yang setia dan tidak suka wanita yang suka membangkang.

21. Yang paling penting, lelaki suka dimanjai dengan belaian dan kata-kata yang romantik dan manja.

Petua Menghilangkan Penyakit Hati Busuk

1. Jangan Banyak Berbicara – Terlalu banyak bicara boleh membuat hati kita menjadi keras. Berbicaralah yang tidak penting secukupnya dan hindari menjadi orang yang cakap besar, gosip dan lain-lain.

2. Jaga Emosi dan Nafsu – Emosi dapat membuat hidup menjadi tidak tenang. Oleh kerana itu sebaik-baiknya kita perlu menjaga emosi kita agar tidak menjurus kepada penyakit hati. Beberapa contoh nafsu yang harus kita tundukkan, antara lain, seperti nafsu harta, nafsu seks, nafsu makan, nafsu pangkat, nafsu marah, nafsu mewujudkan impian, dan  sebagainya. Salah satu cara untuk melatih emosi dan nafsu kita adalah dengan melakukan ibadah puasa, baik puasa sunah maupun puasa wajib Ramadhan.

3. Selalu Mengingati Allah SWT – Rajin bersolat, baik solat wajib 5 waktu, solat tahajud, solat dhuha, solat malam, dan lain-lain. Selain itu zikir, doa dan mengaji atau membaca al-Qur’an juga dapat menghindarkan kita dari penyakit hati.

4. Jangan Bergaul dengan Orang yang ada Penyakit Hati – Dengan berteman dengan orang-orang yang penuh dengan penyakit hati hanya akan menulari kita dengan penyakit-penyakit itu sehingga kita akan semakin jauh dari Allah s.w.t.

ePsikologi: Perasaan Hasad Dengki Manusia

1. Perseteruan dan Kebencian – Ianya merupakan sebab yang paling kuat dan paling jelas. Seseorang yang disakiti kerana suatu sebab tertentu, ataupun yang tidak disetujui oleh orang lain di dalam sesuatu hal yang bercanggah dengan kehendak peribadinya, maka perasaan marah akan mengatasi kesabaran di dalam dirinya sehingga boleh mencetuskan perseteruan dan kebencian. Orang yang sedemikian akan merasa gembira apabila apa sahaja kesusahan atau bencana yang menimpa ke atas diri orang yang dimarahi dan dibencinya, sebaliknya dia akan rasa berdukacita dan bersedih jika orang yang dimusuhinya mendapat nikmat dan kesenangan. Firman Allah s.w.t, yang bermaksud : “Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya…”
( Surah Ali Imran : Ayat 120 )

2. Bangga dengan Kedudukan dan Kemuliaan – Iaitu terasa begitu berat dalam hatinya atau terasa begitu sakit dalam hatinya dengan sebab orang lain lebih atas darinya. Jika ada di antara mereka yang setaraf dengannya mendapat sesuatu yang lebih darinya, sama ada pangkat atau ilmu pengetahuan ataupun harta kekayaan, maka dia merasa bimbang kalau-kalau teman setarafnya itu bersikap angkuh atau takbur ke atas dirinya. Dia rela kalau temannya itu terus berada dalam keadaan atau kedudukan yang sama taraf dengan dirinya, sebaliknya tidak rela kalau temannya itu lebih mengatasi darinya.

3. Angkuh (Takbur) – Angkuh serta meninggi diri dengan memperkecil-kecilkan apa yang dimiliki oleh orang lain dan mengharapkan agar orang lain yang diperlekehkannya itu terus mengikut serta menuruti kehendaknya. Beliau sentiasa bimbang dan takut jika orang lain yang diperkecilkannya itu tidak lagi menurut ataupun mengikut segala kehendak hatinya. Sifat hasad yang berpunca daripada takbur ini adalah suatu sifat yang dipunyai oleh kebanyakan orang bangsawan Arab Jahiliah.

4. Ta’ajub – Rasa ta’ajub atau rasa hairan dengan kenikmatan, kemuliaan dan kelebihan yang ada pada diri. Boleh juga disebut sebagai bangga diri, tetapi tidak sampai kepada tahap angkuh dan sombong. Orang yang sedemikian akan sentiasa menceritakan kebaikan dirinya di khalayak ramai dan suka orang lain membodek serta memuji dirinya ( suka diampu). Akan lahir rasa sakit dalam hatinya jika ada orang memuji orang lain yang lebih baik darinya.

5. Bimbang dan Takut Cita-Cita Tak Tercapai – Perasaan ini terkhusus bagi mereka yang saling berlumba untuk merebut satu tujuan atau cita-cita yang yang sama, seperti adik-beradik yang berhasad dengki sesama mereka bagi mendapatkan kepercayaan bapanya. Perasaan ini juga banyak terdapat di kalangan orang-orang politik yang sentiasa bersaing untuk mendapatkan pengaruh daripada pemimpin atasan. Jika sampai ke tahap orang lain itu boleh menyekat cita-cita ataupun menghalang matlamatnya, maka hasad dengki akan menguasai dirinya bagi membolehkan dirinya berjaya dan pesaingnya gagal.

6. Gilakan Nama dan Kemasyhuran dalam Bidang-Bidang Tertentu – Seperti seseorang yang bercita-cita untuk mencapai kejayaan atau untuk menjadi juara dan jaguh dalam satu-satu bidang tertentu yang tidak ada tandingannya, ataupun yang berusaha agar rekodnya tidak dapat ditandingi oleh orang lain dengan tujuan supaya dirinya sentiasa disanjungi dan dipuja oleh orang ramai. Orang yang sedemikan, jika mendengar berita tentang terdapatnya orang lain yang mampu menandingi serta mengatasinya maka akan sakitlah hatinya. Ianya lebih suka jika pencabarnya itu diragut maut atau hilang keistimewaan yang dinikmatinya, supaya dia kekal sebagai juara tanpa ada tandingan atau saingan.

7. Busuk Hati – Hasad yang berpunca daripada busuk hati ini sukar untuk dirawat kerana sifat busuk hati ini semacam sudah sebati dalam dirinya. Orang yang hasad kerana busuk hati adalah seorang yang paling bakhil, kerana ia beranggapan bahawa orang lain yang mendapat kelebihan darinya itu telah meragut sesuatu dari miliknya, sedangkan apa yang diperolehi oleh orang lain itu adalah datangnya dari milik Allah. Orang ini cukup bakhil dan busuk hatinya kerana apa yang hendak diberi oleh Allah kepada orang lainpun beliau sanggup mempertikaikan Allah kerana memberi kenikmatan kepada orang lain.

KESIMPULAN: Jika dalam diri kita bermaharajalela hawa nafsu yang berpunca daripada ketujuh-tujuh sebab ini, maka akan lahirlah perasaan hasad dengki dan khianat dalam diri kita. Jika ianya tidak dapat dihindarkan ataupun kita tidak berusaha untuk menepisnya keluar dari dalam hati kita, maka hasad dengki dan khianat ini akan sebati dalam darah daging kita. Justeru, cara merawatnya supaya sifat hasad dengki ini terhindar dalam diri kita ialah dengan kita melakukan tindakan-tindakan positif yang bertentang dengan maksud ketujuh-tujuh punca kejahatan yang disebutkan.

eMotivasi: Petua Menghilangkan Rasa Sunyi di Hati

Apabila bersendirian, hati sering dilanda sunyi dan sayu, bahkan tidak keruan jadinya. Sepi barangkali menghantui diri apabila terkenangkan seseorang yang pernah menghuni di hati. Khusus untuk kekasih, isteri atau suami yang baharu ditinggalkan atau yang masih membujang, kesepian itu sering mengundang perasaan bukan-bukan. Puas melakukan sesuatu diharap mampu melupakan hal menyakitkan, pedih yang masih bersisa di ulu hati dan seribu satu gelodak di jiwa ada kalanya membuatkan diri hilang fokus dalam pelbagai perkara. Jika anda masih sukar menepis rasa sepi, cuba kaji diri untuk melakukan perkara berikut:

Maha Pencipta – Kembalilah kepada Pencipta. Mohonlah petunjuk daripadaNya supaya perkara lalu itu dapat mematangkan diri. Kita juga lebih berhati-hati dalam menjalani hidup ini dengan lebih tabah dan kuat. Ingatlah setiap kejadian yang Tuhan cipta mesti bersebab dan jadikan ia sebagai kayu pengukur keimanan kita terhadapNya.

Perbaiki Diri – Jangan sesekali anda berubah kerana ingin memenuhi tuntutan bekas kekasih, tetapi apa yang wajar dilakukan adalah memperbaiki diri daripada pelbagai aspek misalnya kerjaya dan kewangan serta bina keyakinan diri yang mantap demi masa depan lebih stabil. Ketahuilah apabila anda sudah takluki semua perkara yang dinyatakan dengan keadaan yang baik, di situ juga anda mungkin akan mudah dikelilingi ramai teman wanita atau lelaki yang suka mengambil kesempatan ke atas diri anda.

Bercuti – Semasa berpasangan, percutian biasanya perkara yang agak merumitkan. Untuk bercuti bersama, terdapat pelbagai perkara yang perlu diambil kira seperti cuti tahunan, pakaian pasangan, perbelanjaan dan destinasi. Semua ini harus menepati cita rasa anda, pasangan dan anak. Lazimnya, hanya beberapa hari saja dalam setahun yang sesuai untuk anda berdua atau anak. Namun, ketahuilah ketika anda berseorangan, bila-bila masa saja anda boleh pergi bercuti tanpa perlu merujuk sesiapa.

Jumpa Kawan – Seperti kebanyakan lelaki atau wanita, apabila bercinta mereka akan meninggalkan kawan rapat. Bukan lupa, tetapi tidak cukup masa sebenarnya. Sekarang waktu paling sesuai untuk anda mengambil peluang ini menggamit kembali saat bebas ketika bersama mereka. Sudah pasti anda tidak akan dikecewakan malah anda juga akan mendapat layanan mesra daripada mereka kerana mereka sudah lama tidak bersua muka dengan anda.

Bersenam – Ketika bercinta, tengok wayang, membeli-belah, jalan-jalan, minum dan makan malam itu antara sebahagian besar yang memenuhi diari kehidupan lalu. Namun, ketahuilah perkara yang lepas mungkin tidak akan sama dengan perkara yang sedang [fbliked]Insert Your “LIKED” Content Here[/fbliked] anda alami ketika ini. Apa kata anda lakukan senaman? Ketahuilah ini masanya anda membuang toksik dan lemak yang sudah lama terkumpul di dalam badan. Aktiviti riadah juga memungkinkan anda berpeluang bertemu dengan wanita atau lelaki yang lebih baik.

Kembali Nakal – Zaman kanak-kanak adalah saat yang paling indah dan menyeronokkan. Bagi orang dewasa yang sudah melupakan zaman kanak-kanak, kebiasaannya mereka tidak ceria dan tidak mempunyai nilai jenaka. Sesetengah wanita pula tidak suka lelaki yang nakal kerana rasa dirinya tercabar. Sebab itu ramai lelaki biasanya cuba mengawal perasaan mereka dan bersifat kaku seketika apabila bersama teman wanita. Apabila kembali solo, peluang untuk anda melakukan aktiviti sewaktu bujang dahulu boleh dilakukan. Bagi wanita, apabila keadaan emosi sudah stabil kembali, kebanyakan mereka suka membeli-belah.

Bermesra bersama Keluarga – Hubungan dengan keluarga biasanya tidak seerat dulu lebih-lebih lagi apabila kita sudah berumah tangga atau bersama kekasih. Keluarga pula mula jatuh pada tahap kedua manakala pasangan diberi lebih tumpuan.

ePsikologi: Petua Untuk Mengenali Orang Berbohong

Menyentuh Hidung – Apabila seseorang itu berbohong, tisu-tisu erektil pada hidungnya akan dipenuhi darah menyebabkan ianya membesar. Fenomena ini juga dikenali sebagai kesan Pinocchio. Jadi, apabila si dia bercakap dengan anda dan kerap menyentuh hidung yang tidak gatal, sebenarnya ada sesuatu yang diselindungkannya.

Menutup Mulut – Ada sesetengah orang meletakkan tangan di atas mulut mereka apabila berbohong. Ini merupakan satu tindak balas automatik yang lahir dari segi psikologi kerana dari kecil lagi sudah dididik untuk tidak berbohong. Apabila mulut mengeluarkan kata-kata dusta, tangan cuba menghalangnya.

Gagap – Apabila seseorang yang bercakap lancar dan licin tiba-tiba gagap merupakan tanda-tanda sedang mengalami tekanan emosi. Sekiranya tiada apa-apa petunjuk bahawa tekanan ini disebabkan perkara lain seperti sedih, pilu, marah dan sebagainya, kemungkinan besar orang tersebut berbohong. Jadi, jika anda bertanya pada teman lelaki/suami anda dan si dia gagap untuk menjawabnya, maka anda boleh membuat kesimpulan atas tindakannya itu.

Pergerakan Mata – Orang yang berbohong akan cuba meyakinkan pendengarnya dengan memandang tepat pada mata mangsa. Oleh itu, sekiranya kelipan mata berkurangan dari kadar biasa, ini mungkin tanda berbohong. Sebaliknya, ada juga keadaan di mana sekiranya mata seseorang itu tiba-tiba berkedip dengan banyaknya, ini merupakan tanda-tanda tekanan perasaan yang berkemungkinan disebabkan berbohong juga. Kerlipan mata yang normal sahaja menunjukkan dirinya tidak berbohong.

Melengah-lengahkan Jawapan – Orang yang berbohong perlu berfikir sebentar untuk mereka cipta pembohongannya. Berfikir terlalu lama, berdehem, batuk dan sebagainya merupakan tanda-tanda bahawa orang tersebut mungkin berdusta.

Resah – Orang yang berdusta kerap gelisah dan mengubah-ubah posturnya. Apabila seseorang yang dalam keadaan tenang tiba-tiba sahaja menjadi resah dan tidak senang duduk apabila berhadapan dengan sesuatu soalan, ini berkemungkinan merupakan bahawa seseorang itu sedang berbohong. Kesimpulannya, sekiranya anda ingin mengesan samaada seseorang itu berbohong, anda perlu sentiasa memerhatikan air muka dan gerak badannya dengan teliti. Body language sudah boleh menunjukkan samaada dirinya berbohong atau tidak. Sebarang perubahan dari keadaan normal mungkin merupakan tanda orang tersebut berbohong.

 

ePsikologi: Petua Untuk Bergaul Dengan Orang Yang Anda Benci

Sebelum tidur dan selepas bangun, amalkan istighfar banyak-banyak , mohon ampun pada Allah sebab anda berisiko untuk menyakiti orang lain dengan merasa benci dengannya atau tidak suka dengannya secara tidak sengaja tanpa anda sedari. Allah tidak suka orang yang benci-membenci, kesannya anda akan mendapat kemurkaan Allah, anda akan mendapat musibah sebagai balasan atas perbuatan anda. Maafkanlah kesalahan-kesalahan yang orang lain lakukan pada anda. Kenapa? Supaya hati anda bersih sentiasa.

Bila hati sudah bersih, anda senang untuk bergaul baik dengan orang-orang di sekeliling dalam apa jua situasi. Mereka juga akan merasa senang dengan anda, sebab anda ada aura yang menyenangkan. Aura adalah gelombang tenaga yang berada di sekeliling badan anda. Aura terbit dari minda separa sedar. Minda separa sedar pula di pengaruhi oleh hati dan fikiran anda. Itulah sebabnya amat penting sekali anda menjaga kebersihan hati dan kepositifan fikiran supaya anda senang dengan sesiapa sahaja. Jika anda merasa benci dengan seseorang, secara automatik orang itu akan benci anda. Dia akan merasa kurang senang dengan anda secara tidak semena-mena. Dia tak tahu kenapa. Apa yang dia tahu, dia merasa timbulnya rasa benci, meluat, kurang senang. Semua itu timbul secara tiba-tiba. Puncanya, anda benci dengan dia di dalam hati. Inilah sebab kenapa anda perlu belajar bagaimana mengemudi hati.

eMotivasi: Petua Untuk Melawan Keraguan

Bina keberanian. Beranikan diri. Latih diri anda untuk berani. Berani yang anda perlukan bukan berani yang tidak tahu takut, bukan berani tetapi kurang bijak. Berani cara bijak iaitu berani gagal melakukan setelah tahu risiko-risiko yang akan dihadapi nanti. Beranikan diri dalam banyak aspek. Berani membuat sesuatu yang baru, berani bertanya, berani mengutarakan pendapat, berani mengubah hidup. Kawal keraguan hari ini, apabila sudah mahir anda akan boleh mengawal kehidupan anda di masa akan datang.

Petua Untuk Melupakan Seseorang

Perasaan sayang yang mendalam dan keterlaluan mungkin sukar untuk dibuang dalam masa yang singkat. Elakkan diri anda daripada bersendirian. Carilah orang untuk berbicara dan suatu masa nanti anda akan menemui nilai-nilai tertentu dalam diri orang-orang yang bertemu dengan anda. Ia akan mengubati luka akibat kesan kekecewaan, sakit hati yang telah diperkuatkan oleh kasih sayang anda terhadap orang yang ingin anda lupakan.