Kepercayaan Orang Melayu Pada TUAH

“Di manakah kekuatan Tuah? Di tenaganya kah, di kerisnya?”

Dialog filem Nujum Pak Belalang karya Allahyarham P.Ramlee memang sudah tidak asing bagi masyarakat Melayu di sini. Namun dalam kita bergelak tawa itu, pernahkah kita terfikir adakah orang Melayu percaya pada tuah seseorang?

Anak Bertuah

Ada ibu bapa yang sentiasa mengusap kepala dan ubun-ubun anak kecilnya sambil menyebut, “bertuah, anakku..” Pada pandangan dunia orang Melayu, tuah dapat dipupuk semenjak kecil. Walau bagaimana nakal seseorang anak kecil, ibu bapa atau masyarakat biasanya memarahi anak itu dengan perkataan ‘Anak Bertuah’. Bagi orang Melayu, setiap kata itu suatu doa dan setiap anak itu membawa rezeki. Justeru gelaran ‘anak bertuah’ disebut dengan harapan anak itu akan mendapat tuah walaupun peribadinya kurang sempurna kelak. Maksudnya, sekiranya seseorang itu gagal dalam sesuatu perkara, tuah mungkin menyebelahinya kerana dia diberi peluang kedua bahkan mendapat kejayaan yang melebihi daripada jangkaan. Sebab itulah, orang Melayu suka memberi kenyataan pada suatu musibah dengan ayat, ‘ada rahmat di sebalik tiap kejadian’.

Hang Tuah Anak Bertuah?

Ada kalangan masyarakat Melayu menganggap nama seseorang membawa tuah. Gelaran ‘anak bertuah’ mungkin juga memberi gelaran tetap pada Laksmana Hang Tuah. Dalam Hikayat Hang Tuah, diceritakan bagaimana Hang Tuah menempuh pelbagai cabaran sejak kecil. Namun demikian, Hang Tuah sentiasa bertuah kerana Hang Tuah bukan sahaja hebat bermain senjata tetapi juga licik dan bijak membuat muslihat. Sebagai contoh, Hang Tuah bertuah kerana Tun Teja jatuh hati padanya dan mahu menurut segala kehendaknya. Bayangkan situasi sekiranya Tun Teja tidak jatuh hati pada Hang Tuah, mahukah Tun Teja lari ke Melaka demi mengikut Hang Tuah? Walaupun akhirnya Tun Teja sedar dia tertipu, Hang Tuah bertuah kerana Tun Teja masih mahu memaafkannya. Tun Teja akhirnya dipersembahkan kepada Sultan Melaka.

Dewa Peribadi Mengawal Tuah

Hampir semua masyarakat mempunyai kepercayaan pada tuah. Namun ada juga segelintir yang memegang kepercayaan ini secara keterlaluan. Misalnya masyarakat Ibo di Afrika, budaya mereka percaya bahawa setiap ahli masyarakatnya mempunyai ‘chi’

atau dewa peribadi yang berperanan sebagai pelindung. Dewa peribadi itu boleh menjadi baik atau tidak baik. Sekiranya seseorang mempunyai ‘chi’ yang tidak baik, dia akan mengalami nasib buruk yang akan terus membawanya hingga ke liang kubur. Mereka percaya sekiranya seseorang itu memang telah dilahirkan dengan ‘chi’ nasib buruk, nasib buruk itu akan kekal bersamanya sehingga mati. Justeru setiap anak yang dilahirkan akan melalui suatu upacara untuk menentukan ‘chi’ mereka. Banyak juga bayi yang dibunuh atau dibuang ke ‘hutan puaka’ kerana dianggap membawa sial.

Tuah Sinonim dengan Masyarakat Cina

Masyarakat Cina pula, teguh mengamalkan budaya ‘kepercayaan pada tuah’. Budaya menilik sentiasa dilakukan untuk melihat samada seseorang itu bertuah atau tidak (heng). Tuah bukan hanya dari segi rezeki tetapi juga tuah dalam hubungan cinta, tuah dalam perjudian, tuah dalam kerjaya, tuah dalam sesuatu projek dan sebagainya. Bagi mereka, tuah seseorang boleh dilihat pada garis di telapak tangan dan raut muka serta dahi. Sekiranya seseorang itu bertuah, ada ‘nur cahaya tuah’ yang terpancar pada dahi dan matanya. Mereka juga percaya bahawa tuah boleh diundang dengan memakai rantai atau tangkal khas. Ada juga yang memelihara jenis ikan yang dianggap bertuah, menanam ‘pokok duit’ dan buluh cina atau meletakkan nombor bertuah di tempat tertentu. Nasib malang atau ‘suwey’ pula boleh dibuang secara ritual.

Upacara Mandi Bunga dan Tolak Bala

Jika masyarakat Cina benar-benar percaya pada konsep tuah dan malang, ada sesetengah masyarakat Melayu juga mempunyai kepercayaan kuat terhadap tuah. Sebab itulah, masih ada upacara ‘tolak bala’ dan ‘mandi bunga’ supaya seseorang itu lebih bertuah dalam hidupnya. Sebenarnya, sejak dahulu lagi orang Melayu sudah menyedari tentang konsep tuah dan judi. Konsep perjudian terpancar dalam sastera lisan melayu, kisah Pak Kaduk menang sorak, kampung tergadai. Pertandingan laga ayam menjadi semacam perjudian kerana ada taruhan yang dibuat. Sekiranya ayam yang dilaga menang, tuannya akan mendapat habuan yang lumayan. Justeru kehebatan ayam laga itu dikatakan terletak di kakinya atau ditajinya.

Kaitan Tuah dengan Rezeki

Sekiranya orang Cina menganggap tuah adalah nasib baik, masyarakat Melayu memahami dan mengaitkan tuah dengan rezeki. Sebab itulah, kepercayaan orang Melayu dahulu tentang tuah, akan berlegar di sekitar rezeki. Contohnya, orang tua-tua dahulu sering mengatakan, sekiranya seseorang itu mempunyai banyak anak rambut, dia memang murah rezeki kerana sering disayangi dan berjaya dalam setiap bidang yang diceburi.

Kaitan Benda dan Binatang dengan Tuah

Ada masyarakat yang menganggap sesuatu benda atau binatang peliharaan membawa tuah dalam hidupnya. Contohnya, wang-wang syiling atau kertas lama disimpan di dalam dompet kerana dianggap duit boleh berlipat ganda. Wang kertas yang mempunyai nombor cantik juga disimpan di dalam dompet dengan harapan wang itu bakal ‘beranak-pinak’. Kucing buta pula kalau dipelihara dapat membawa tuah pada tuannya. Memelihara ikan kelisa, burung pelatuk bawang dan cenderawasih juga dapat memberi tuah. Pokoknya, apa sahaja keuntungan yang mereka dapat akan mereka kaitkan dengan apa yang mereka miliki.

Kesimpulan

Tuah membawa pada rezeki. Rezeki membawa kemakmuran. Kemakmuran membawa keselesaan hidup. Tidak hairanlah, sehingga hari ini, masyarakat masih mengamalkan budaya ‘cabutan nombor bertuah’. Sekiranya seseorang memenangi cabutan bertuah, dia akan kegembiraan dan merasakan dirinya sangat bertuah. Jelas, konsep tuah sudah sebati dalam masyarakat.

Kesimpulannya, walau apa pun kepercayaan yang timbul tentang tuah, andaian itu dapat dianggap sebagai warna warni budaya masyarakat supaya kehidupan lebih berbagai dan indah. Sebaiknya, kita berpegang sahaja pada qada’ dan qadar Tuhan kerana, tuah ayam boleh dilihat. Tuah manusia siapa yang tahu?

SUMBER: Noor Hasnah Adam

Kepercayaan Orang Melayu Mengenai Air Ludah

Kenapa haiwan sukamenjilat tubuh mereka?  Kenapa ibu kucing menjilat mata dan tubuh anak kucing yang dilahirkannya? Tahukah anda bahawa haiwan dilindungi alam dan mempunyai naluri untuk mudah sembuh daripada luka yang biasa berlaku? Luka yang disebabkan oleh haiwan pemangsa sering kali menyebabkan penularan bakteria kepada mangsa. Secara naluri, haiwan yang luka akan menjilati lukanya untuk membersihkannya dan menyebarkan minyak tubuh ke dalam jaringan yang terluka.  Minyak ini bertindak sebagai anti-jangkitan bakteria dan seterusnya melindungi haiwan itu.

Haiwan yang paling jinak dengan orang Melayu ialah kucing.  Kucing baik untuk dipelihara kerana kucing memiliki kebolehan untuk mengesan penyakit dan kemudian mengubatnya dengan menjilat.  Sekiranya sesiapa dalam keluarga anda (disimpang Malaikat hendaknya) menderita sakit terkehel, salah urat atau pegal-pegal, hulurkan sahaja bahagian tubuh yang sakit itu kepada kucing anda.  Kucing anda itu akan menghidu-hidu seketika dan kemudian menjilatnya.  Tidak lama kemudian, sembuhlah sakit itu.  Justeru sekiranya kucing anda tiba-tiba menjilat anda, jangan ditepis atau dipukul kucing itu, wlaupun anda terasa geli.  Bahagian yang dijilat itu mungkin merupakan punca penyakit dan jilatan yang mengeluarkan air ludah itu pula merupakan penawar atau ubat kepada penyakit itu.

Air Ludah – Air ludah atau air liur adalah cairan bening yang dihasilkan dalam mulut manusia dan beberapa jenis haiwan.   Air liur berfungsi membasahi makanan untuk membantu mengunyah dan menelan. Air liur juga mengandung enzim-enzim yang memulai dan memudahkan proses pencernaan. Fungsi lain air liur adalah membersihkan mulut daripada bakteria dan membasuh partikel makanan. Air liur yang berada di mulut merupakan bahagian terpenting dalam perawatan rongga mulut. Di dalam air ludah terkandung sistem pertahanan alamiah yang berfungsi menjaga keseimbangan ekologi flora mulut. Cairan yang dikeluarkan oleh kelenjar ludah secara terus menerus membersihkan mulut.  Oleh sebab itulah, jika seseorang kurang meminum air, maka kebersihan mulut akan berkurangan.

Menurut satu kajian sains, zat dalam air ludah dapat menyembuhkan luka.  Saintis mendapati bahawa protein kecil di dalam air ludah yang sebelum ini dipercayai hanya dapat membunuh bakteria, berguna juga untuk menyembuhkan luka.  Sebab itulah, luka pada gusi yang baru dicabut giginya cepat pulih berbanding dengan luka di bahagian anggota tubuh yang lain.  Saintis juga menjangka, air ludah boleh menjadi ubat kepada penderita penyakit kencing manis yang buruk kakinya atau mereka yang mengalami kelecuran atau kebakaran pada kulit.

Pengubatan Cara Lama

Menurut orang tua-tua Melayu dahulu, terdapat beberapa petua tentang penggunaan ludah sebagai ubat.  Dikatakan, sekiranya bayi yang baru lahir panas suhu badannya, si ibu atau ayah disuruh menjilat ubun-ubun bayi, telapak tangan kedua tangan dan telapak tangan kedua kaki.  Menjilat harus dimulai dengan anggota yang kiri dahulu.  Panas tubuh bayi itu akan serta merta beransur turun.

Petua menggunakan ludah untuk mengubat luka kecil juga sering disyorkan oleh orang tua-tua.  Sekiranya jari terluka atau terhiris, kita disuruh cepat-cepat masukkan ke dalam mulut.  Dikatakan darah akan berhenti mengalir dan luka cepat sembuh.  Sekiranya bahagian lain yang luka, ambil  sedikit air ludah sendiri dengan satu jari.  Selepas itu, baca selawat sebanyak 7 kali. Selepas membaca selawat, sapu di bahagian yang luka.  Nescaya cepat sembuh.

Menurut orang tua-tua, sekiranya seorang kanak-kanak masih lambat bercakap walau sudah berusia 3 tahun ke atas, lidah kanak-kanak itu perlu ditarik keluar lalu dikerik dengan cincin.  Ini supaya ludahnya keluar sempurna, tidak bertakung di dalam mulut lantas dapat menggalakkan kanak-kanak itu segera bercakap.

Kebiasaan orang Melayu dahulu ialah menjilat bahagian tubuh yang sakit kerana dikatakan, penderita akan cepat pulih.  Kebiasaan ini mungkin didapati daripada pengamatan terhadap tingkah laku haiwan yang sakit.

Sirih dan Ludah

Pemakan sirih mempunyai air ludah yang banyak kerana air liurnya terangsang oleh rasa sirih pinang dan tembakau.  Disebabkan campuran ramuan sirih, air ludah pemakan sirih berwarna merah.   Dahulu, ada orang kampung mengamalkan mengunyah sirih dan membuang ludahnya ke dalam sebuah bekas khas.  Air ludah yang terkumpul itu kemudian digunakan untuk tujuan pengubatan dan urut.  Dikatakan, ramuan sirih yang sememangnya berkhasiat, apabila bercampur dengan air ludah, menjadi bahan yang amat mujarab sebagai penyembuh penyakit kulit dan tulang.  Ini juga dapat menjelaskan mengapa dalam beberapa pengubatan tradisional mempunyai kaedah sembur.  Maksudnya, bomoh akan mengunyah sirih pinang dan kemudian menyembur si pesakit.  Ada juga yang hanya berkumur air jampi dan kemudian menyembur pesakit.

Air Ludah Orang Mulia

Dahulu, sekiranya seseorang yang dianggap mulia dan berilmu tinggi seperti ahli agama atau guru minum air, ramai yang menantikan peluang mengambil bekas minuman orang mulia itu.  Mereka percaya bahawa bekas air minuman itu amat berkat kerana mengandungi sisa air dan air liur orang yang mulia.  Bekas itu kemudian digunakan tanpa dicuci, dengan menambah air masak.  Biasanya, air minuman itu diberikan kepada anak-anak mereka yang kurang pandai belajar atau nakal tingkah lakunya.

Kepercayaan ini turut tercatat dalam kitab Sulalatus Salatin.  Diriwayatkan, pengislaman Raja Samudera iaitu Merah Silu, turut melalui mimpi.  Baginda bermimpi didatangi Nabi Muhammad SAW.  Mulutnya diludahi oleh Nabi.  Apabila baginda tersedar, baginda sudah boleh membaca ayat-ayat Al-Quran dengan fasih dan lancar.

Pantang Meludah

Kita meludah apabila air liur kita melimpah atau kelenjar air liur keluar lebih banyak daripada sepatutnya.  Air liur yang dibuang itu adalah ‘meludah’.  Faktor yang menyebabkan air liur keluar lebih banyak juga disebabkan rangsangan pancaindera kita.  Misalnya, rasa pahit, pedas dan masin.  Bau busuk boleh membuat kita mual lalu meludah.  Keadaan kerongkong yang tidak sihat menyebabkan batuk dan kahak juga membuat kita meludah.  Begitu juga dengan emosi jijik, muak, menyampah, jengkel, geram dan marah.

Dewasa ini, meludah dianggap perbuatan yang kotor dan mengotorkan pemandangan.  Ludah orang yang sakit juga membawa bakteria penyakit dan boleh mengakibatkan penyakit merebak.  Meludah juga dianggap satu perbuatan yang negatif apabila perbuatan meludah dilakukan ke atas tanah di hadapan orang lain.  Apatah lagi, kalau kita meludah ke muka atau tubuh orang lain.  Perbuatan itu boleh membawa pergaduhan kerana meludah sebegitu adalah satu penghinaan dan mencabar  orang yang diludah.

Natijahnya, walaupun ludah dianggap ubat yang berkhasiat menyembuhkan luka, meludah sebarangan pula boleh mengakibatkan kekotoran dan persengketaan.  Sesungguhnya meludah dianggap perbuatan negatif dan terpancar dalam peribahasa Melayu. Meludah ke langit hanya membawa kesusahan sendiri kerana cuba melawan orang yang berkuasa.  Kalau meludah jilat kembali, samalah ertinya dengan orang yang tidak berpendirian kerana setelah menghina seseorang, orang itu dimuliakan kembali.

SUMBER:  Noor Hasnah Adam

Adat dan Tatatertib Melawat dan Berkunjung Ke Rumah Orang

Panduan berhubung dengan lawatan dan kunjungan:

  • Bagi pengunjung Melayu atau yang beragama Islam, apabila tiba di rumah yang dikunjungi hendaklah memberikan salam dengan ucapan “Assalamualaikum”.
  • Sebelum masuk ke dalam rumah orang Melayu, pengunjung hendaklah menanggalkan kasut.
  • Jika pada masa itu telah ada tetamu lain, pengunjung hendaklah mengenalkan diri dan menundukkan sedikit kepala tanda hormat sambil berjabat tangan.
  • Apabila seseorang ingin berjalan lalu di hadapan satu kumpulan atau perhimpunan orang ramai, hendaklah menundukkan sedikit kepala dengan menghulurkan sebelah tangan. Ucapan – ucapan yang sesuai bagi maksud ini ialah ‘ maafkan saya, tumpang lalu, minta jalan’.
  • Secara tradisinya, adalah menjadi kebiasaan di rumah orang Melayu, tetamu dan tuan rumah duduk bersila. Bagi orang lelaki duduknya bersilang kaki dan bagi orang perempuan bersimpuh. Jika duduk di kerusi ia dianggap kurang sopan apabila seseorang itu bersilang kaki sehingga nampak tapak kaki, berlunjur lurus ataupun membuka kaki dengan luas.
  • Apabila tuan rumah menghidangkan makanan adalah tidak manis tetamu menolaknya. Jika sudah kenyang sekalipun hendaklah ia merasa sedikit hidangan yang disajikan itu.
  • Anak gadis dikehendaki menyenduk nasi ke dalam pinggan orang yang lebih tua. Jangan senduk terlalu penuh atau sedikit tetapi sederhana banyaknya. Biarkan orang lebih tua mengambil makanan dahulu kemudian barulah orang muda kerana tidak sopan membiarkan orang lebih tua memakan sisa orang muda. Disebab itulah sesetengah orang menyediakan peraturan orang muda makan berasingan daripada orang tua, atau orang tua makan dahulu. Bagaimanapun amalan ini tidak begitu sesuai jika kita mahu menanamkan kemesraan dan kekeluargaan di kalangan anak-anak.
  • Seeloknya ambillah hidangan yang berhampiran dengan kita jangan menjangkau makanan yang terletak jauh dan sukar dicapai. Jika kita berkehendakkan makanan yang sukar dicapai mintalah bantuan orang lain yang berdekatan.
  • Ketika menghulur atau menyambut seeloknya siku atau pergelangan tanggan ditampung sedikit dengan tangan sebelah lagi. Ketika menyenduk kuah atau nasi, gunakan tangan kiri supaya sudu atau senduk tidak kotor. Bunyi ketika menyenduk dianggap kurang sopan dan kasar. Jangan bercakap ketika makan apatah lagi ketika mulut penuh.
  • Jika bercakap pastikan tidak menimbulkan perkara-perkara kurang menyenangkan sehingga boleh menganggu selera makan atau menyebabkan pertengkaran.
  • Jangan bersiul terutamanya ketika berada dalam rumah kerana perbuatan itu dianggap biadap dan tidak menghormati ornag lain.
  • Gunakan nada suara sederhana bila bercakap terutamanyaa golongan muda. Jangan sesekali meninggikan suara seperti orang menengking.
  • Jika hendak bercakap sesuatu kepada oarng yang berada agak jauh dari kita, hampirilah dia. Jangan bercakap dengan menjerit-jerit dari satu sudut ke satu sudut.
  • Seorang isteri seeloknya bangun dan masuk tidur awal daripada suami. Lebih sopan kalau tidur menghadap suami bukan membelakanginya.

Konsep REZEKI dalam Falsafah Melayu Lama

Pada zaman budak-budak dahulu, pernahkah anda melihat orang tua-tua bila makan akan tinggalkan sedikit sisa di atas pinggan? Kemudian mereka akan curahkan sedikit air ke atas pinggan. Air itu samada air lebihan basuhan tangan atau air minuman (air suam atau air sejuk), sengaja dicurahkan sedikit ke atas pinggan.

Ada satu ungkapan yang berkait dengan amalan ini. Ia berbunyi: “Pandai Makan Tidak Menghabiskan”. Maksudnya, makanan yang dimakan ditinggalkan sedikit sisa di atas pinggan merupakanh suatu simbolik bahawa rezeki tidak akan putus. Rezeki akan terus murah atau subur dek kerana air yang dicurah ke dalam pinggan.  Bagi orang Melayu, air adalah lambang kehidupan dan kesuburan.

Orang tua-tua dahulu selalu berpesan agar sentiasa ingat orang belakang. Maksudnya, kita perlu tinggalkan lauk untuk yang belum lagi makan. Makanan atau lauk harus ditinggalkan untuk orang yang belum makan, apatah lagi jika orang itu lebih tua daripada kita dan dihormati dalam keluarga.  Jika tidak, dipercayai banyak ‘masalah’ yang akan timbul.

“PANDAI MINUM TIDAK MENGERINGKAN”

Orang tua-tua dahulu berpesan apabila minum sesuatu minuman yang diambil dari balang atau botol, pastikan jangan sampai kering bekas itu.  Tinggalkan sedikit air di dalam botol dan kemudian isilah semula botol dengan air hingga penuh. Apakah falsafah di sebaliknya? Sebenarnya ia mempunyai mesej bahawa kita mesti pandai memikirkan cara untuk berjimat cermat dan menimbang kira setiap tindakan.

TEKNOLOGI MAKANAN ORANG MELAYU LAMA

Orang Melayu zaman dahulu mempunyai ilmu teknologi makanan yang tersendiri. Mereka juga arif tentang proses bio-kimia. Secara tradisi, mereka mengamalkan penyimpanan makanan di atas para atau di bawah tudung saji, kerana pada masa itu teknologi peti sejuk belum ada lagi. Maka timbullah ungkapan “Pandai Menyimpan Tidak Berbau”. Mereka akan menyimpan makanan di tempat yang selamat agar tidak rosak atau hilang, dan tidak berbau. Makanan seperti ikan, sambal belacan, antara makanan yang memang berbau dan sering mengundang lalat.  Ikan yang disimpan juga boleh dicium kucing dan kemudian dicuri.  Makanan yang mudah basi akan dibungkus dengan daun pisang kerana daun pisang mengeluarkan kimia semulajadi yang melambatkan proses makanan menjadi basi.

Adab Semasa Bersama Orang Tua-Tua

Beri Salam
Setiap kali anda bertemu dengan orang yang lebih tua beri salam dengan penuh keikhlasan. Ciumlah tangan mereka sekurang-kurangnya dapat memberi perasaan kasih terhadap anda.

Penyampaian Sederhana
Ketika menyampaikan sesuatu samada gembira atau sedih, perlu disampaikan dengan berhemah dan sederhana. Elakkan keghairahan bercerita kerana mereka lebih sensitif dan peka terhadap sesuatu.

Jangan Terlebih Yakin
Jangan terlebih yakin semasa berbicara, kerana takut mengundang sifat sombong dalam diri, terutama bercerita tentang kerjaya dan kedudukan anda dalam masyarakat. Bukan semua perkara tentang anda disukai orang lain. Jangan juga bercerita tentang orang lain jika tidak pandai mengatur kata.

Sopan
Adab resam Melayu seperti membongkok ketika melintasi, atau meminta izin untuk melakukan sesuatu perlu diterapkan agar warga tua berasa sentiasa dihormati. Suatu hari nanti, anda juga akan menjadi tua.

Wajah Manis
Jika anda belajar untuk memaafkan dan berlapang dada sudah tentu anda dapat manafaatnya kemudian hari. Ucapkan sesuatu itu dengan berwajah manis dan penuh keceriaan dan bersunguh-sunguh walaupun menyampaikan berita sedih.

Jangan Ungkap Kata Kesat
Jangan sesekali mengungkap kata kesat atau mengherdik orang tua kerana ini akan mengguris hati dan perasaan mereka. Jika tidak mampu berkata-kata, anda bolehlah menulisnya bagi mengurangkan kemarahan.

Jangan Ego Minta Maaf
Jangan ego untuk meminta maaf sekiranya anda telah mengguris hati mereka. Sebaik-baiknya minta maaf setiap hari. Orang tua tidak menyatakan atau melahirkan kecalaran hati mereka. Oleh itu, yang muda perlu merendah diri.

Hormati Makan Minum
Ketika di meja makan, anda perlulah menghormati makan dan minum mereka.  Jika anda ingin makan dahulu pastikan anda tidak membiarkan mereka makan bekas anda. Asingkan makanan terlebih dahulu. Akan nampak kurang sopan membiarkan mereka memakan makanan bekas anda. Jangan merungut atau mencari kesalahan dalam masakan atau hidangan mereka.

Etika Makan Secara ISLAM

Dalam Islam, Allah s.w.t. telah memilih Rasulullah s.a.w.untuk menjadi model kepada seluruh alam sejagat. Baginda juga turut membawa perkara yang boleh disifatkan sebagai penyempurna akhlak manusia. Di antara perbuatan Rasulullah yang perlu diikuti dan dihayati bersama adalah dari aspek tatacara pemakanan sihat Rasulullah SAW.

MULAKAN dengan BISMILLAH

Dari ‘Aisyah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, ” Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni: ‘Bismillah’ ). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ “(HR Abu Dawud dan atTirmidzi.)

GUNAKAN TANGAN KANAN

Dari Salamah bin al-Akwa’ r.a., seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah s.a.w. Maka Baginda berkata: “Makanlah dengan tangan kanan mu”. Lelaki itu berkata: “Aku tak boleh”. Baginda menjawab, “Engkau tidak boleh?  Tidaklah yang menghalangnya kecuali sifat bongkak! Kemudian tidak dapat diangkat tangannya ke mulut.” (HR Muslim)

Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan engkau makan dengan (tangan) kiri mu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya.” (HR Muslim)

AMBIL MAKANAN YANG BERHAMPIRAN

Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata:”aku merupakan hamba di rumah Rasulullah s.a.w., dan pernah tanganku menjalar-jalar keserata hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah s.a.w berkata: “Wahai budak, ucapkan ‘Bismillah’, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu.” (HR Bukhari dan Muslim)

GUNAKAN TIGA JARI

Dari Ka’ab bin Malik r.a., “Aku melihat Rasulullah s.a.w. makan menggunakan tiga jari..(ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)” (HR Muslim)

JANGAN MENCELA MAKANAN

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: “Tidak sekali-kali Rasulullah s.a.w mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan” (HR Bukhari dan Muslim)

JANGAN BERSANDAR KETIKA MAKAN

Dari Abi Juhaifah Wahb bin Abdullah r.a. berkata: Rasullah s.a.w bersabda, “Aku tidak makan sambil bersandar” (HR Bukhari)

KUTIP MAKANAN YANG TERJATUH

Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah s.a.w., “Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberakartan” (HR Muslim)

MULAKAN MAKAN DARI TEPI atau PINGGIR

Dari Ibn Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: “Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah”

(HR Abu Dawud dan Tirmidzi).

JILAT JARI SETELAH SELESAI MAKAN

Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau dijilatkan (oleh orang lain)” (HR Bukhari dan Muslim)

DOA SETELAH SELESAI MAKAN

Dari Abi Umamah r.a., “Adalah Nabi s.a.w. apabila selesai makan menyebut, ‘Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi’in’. wa la mustaghnan ‘anhu rabbana’ ” (HR Bukhari).

Dari Muad bin Anas r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang selesai makan, kemudian menyebut, ‘Alhamdulillah- illazi ath’amani haaza, wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwatin’, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Tirmidzi)

DIGALAKKAN BERCAKAP SEMASA MAKAN

Dalam al-Adzkar, Imam Nawawi mengatakan, “Dianjurkan berbicara ketika makan. Berkenaan dengan ini terdapat sebuah hadits yang dibawakan oleh Jabir ra sebagaimana yang telah kami kemukakan dalam “Bab memuji makanan”. Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab al-Ihya mengatakan bahwa termasuk etika makan ialah membicarakan hal-hal yang baik sambil makan, membicarakan kisah orang-orang yang shalih dalam makanan.” (al-Adzkar hal 602, edisi terjemah cet. Sinar baru Algen Sindo)

Menurut al-Hafidz dan Syaikhul Islam Ibn al-Qayyim rh, pendapat yg benar ialah Nabi saw bercakap dan berbual semasa makan. Dalam kitabnya alZaad (2/397), ada kalanya Nabi bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu tersebut (HR Muslim: 2052), ada kala Nabi saw mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya (HR alBukhari: 5061) dan ada ketika Nabi sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah laukpauk dan minuman (HR alBukhari 6087). Adalah tidak benar meja makan menjadi tempat yg kaku dan senyap sepi dari perbualan. Tetapi, tidaklah bercakap itu apabila makanan penuh di dalam mulut.

Sumber: Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Antara Adat dan Agama – Satu Penilaian

Dalam khutbah Nabi Muhammad yang terakhir, baginda telah bersabda “Telah sempurna agama Islam untuk kamu dan aku reda agama Islam itu agama kamu”. Ini jelas menunjukkan bahawa agama Islam adalah agama yang sudah lengkap dan merangkumi setiap aspek kehidupan manusia.

Ketika Islam tersebar luas di Semenanjung Arab hingga ke Eropah dan juga ke Asia, maka banyaklah mubaligh-mubaligh Islam dari kalangan orang-orang Arab dan bukan Arab yang datang membawa agama Islam ke sebelah Asia Tenggara sebagai pedagang menyebabkan Islam mula bertapak dan berkembang pesat. Seperti contoh, Melaka menjadi pusat perdagangan yang mahsyur dan kerajaan Melaka adalah kerajaan Islam.

Bermula dari itu, timbullah perkahwinan campur dari pelbagai kaum antara Melayu tempatan dengan pedagang-pedagang Arab dan India. Kepelbagaian kaum yang wujud hasil dari perkahwinan campur ini banyak mempengaruhi dan menjadikan adat resam masyarakat Melayu pada ketika itu begitu unik dan bercampur aduk dengan adat atau budaya bangsa pendatang selain bangsa Melayu itu sendiri.

Adat ini dibawa dari generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini. Jika P.Ramlee dalam lagunya, menyatakan irama dan lagu tidak boleh dipisahkan, jika dipisahkan, rosaklah lagu pincanglah irama. Maka, begitu jugalah adat dengan agama.

Adat dan agama bukanlah dua isu yang berbeza, bahkan keduanya adalah satu. Adat didefinasikan sebagai pola kehidupan manusia dalam kelompok yang dibentuk, dihayati dan diamalkan dalam hubungan sesama anggota kelompok.

Adat dibuat dan ditentu oleh manusia, manakala budaya atau adat resam terus mengalami perubahan, baik dari sudut geografi (seperti adat perpatih, dan temenggung), waktu (seperti adat primitif dan masa kini), status sosial (bangsawan atau rakyat), mahupun usia (adat orang tua dan muda). Adat seharusnya berlandaskan kepada agama yang benar.

Masyarakat Melayu di Malaysia sinonimnya dikaitkan dengan Islam. Masyarakat Melayu Islam seharusnya tidak keliru di antara adat dan agama supaya nanti tiada yang mengatakan adat yang bercanggah dengan Islam itu adalah salah satu dari tradisi agama Islam.

Adat resam Melayu berkait dengan cara hidup Melayu itu sendiri, dari mula lahir seseorang anak hinggalah anak itu berkahwin dan seterusnya berakhir dengan kematian.

Agama Islam seharusnya membimbing adat resam atau budaya Melayu supaya berlandaskan agama dan tidak mengamalkan kepercayaan karut, khurafat dan syirik kepada tuhan.

Dalam konteks aqidah, khurafat bermaksud bidaah aqidah yang merupakan kepercayaan kepada sesuatu yang menyalahi syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Ia juga boleh diertikan sebagai amalan yang tidak mempunyai hakikat kebenaran. Selain itu ia merupakan perkara tahyul yang pada kebiasaannya tidak boleh diterima oleh akal. Seseorang itu boleh dianggap mengamalkan perkara yang khurafat apabila ia berpegang dan beriktiqad dengan perkara-perkara yang bukan daripada ajaran Islam, tidak munasabah dan tidak dapat diterima oleh akal yang waras.

Masyarakat Melayu Islam wajib mempercayai bahawa Islam merupakan agama yang suci daripada segala sesuatu yang tidak berfaedah dan Islam juga tidak menghendaki umatnya hidup dalam dunia khayalan atau berbuat sesuatu yang karut lebih-lebih lagi sekiranya ia bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya : Syaitan itu menjanjikan kepada kamu kefakiran dan menyuruh kamu dengan kejahatan, tetapi Allah menjanjikan kamu dengan keampunan daripada-nya dan kelebihan dan Allah maha luas pengetahuannya.
(Al-Baqarah ayat 268)

Ayat ini mengingatkan bahawa matlamat syaitan adalah untuk memperdaya dan mengelirukan manusia. Kepercayaan terhadap khurafat amat besar kesannya kepada umat Islam kerana ia akan merosakkan aqidah hingga boleh membawa kepada kekufuran dan syirik kepada Allah S.W.T.

Kepercayaan kepada perkara-perkara khurafat seperti kuasa penyakit berjangkit, perkara kepada burung hantu boleh membawa keburukan, atau bala’ bulan safar dan lain-lain adalah satu anggapan buruk dan bidaah yang keji serta wajib dihindari oleh umat Islam.

Sabda Rasulullah S.A.W :

Maksudnya : Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung hantu, tiada bala bulan safar dan larilah engkau dari orang yang berpenyakit kusta seperti engkau lari dari singa.
(Riwayat Bukhari)

Sesuatu bala’ atau musibah tidak akan terjadi kepada manusia kecuali dengan kehendak Allah S.W.T. disamping sebab musabab kejadian tersebut.

Namun begitu, ada kalangan sesetengah masyarakat Islam yang masih mengamalkan amalan berbentuk khurafat seperti mandi safar untuk menolak bala dan membersihkan dosa, menyembah pantai untuk meminta agar mereka selamat apabila berada dilautan, kepercayaan sesetengah orang tentang adanya sial seperti biawak yang melintasi seseorang atau masuk ke dalam rumah dikatakan kecelakaan akan menimpa, adalah karut semata-mata.

Begitu juga dengan menepung tawar untuk menolak bala. Semua itu adalah kepercayaan khurafat yang mesti dihapuskan.

Dari aspek psikologi pula, sesiapa yang mempercayai khurafat fikirannya tidak bebas dan berkembang kerana dibelenggu perasaan takut melanggar batas-batas dan kepercayaan turun menurun.

Ia boleh menyebabkan seseorang itu lemah akal dan imannya kerana kepercayaan terhadap amalan khurafat tersebut telah menafikan kepercayaan kepada konsep qada dan qadar Allah S.W.T. selain itu, ia boleh menjadikan seseorang itu malas berusaha, mudah putus asa, tidak bertawakal kepada Allah S.W.T. dan tidak yakin untuk menghadapi cabaran dan dugaan hidup.

Antara faktor yang mempengarui wujudnya amalan khurafat dalam masyarakat Melayu Islam adalah kerana kurangnya pengetahuan agama dimana sesetengah masyarakat Melayu Islam tidak mempunyai pegangan yang kuat terhadap agama Islam kerana masih mencampuradukkannya dengan kepercayaan-kepercayaan karut yang diterima turun-temurun dari nenek moyang. Oleh itu, masyarakat Melayu Islam sepatutnya sedar dan insaf dan kembali kepada Allah S.W.T. dan rasulnya dengan merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Di samping itu, masyarakat Melayu Islam mestilah memperkukuhkan keimanan kepada Allah S.W.T. dengan menolak kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Tiada konsep sial atau bertuah kerana orang yang beriman dan menurut perintah Allah dan rasulnya itulah orang yang bertuah, manakala orang yang ingkar dan tidak taat kepada Allah S.W.T. adalah orang yang akan mendapat kecelakaan.

Bulan Safar adalah salah satu bulan di antara bulan-bulan Islam yang sama dengan bulan-bulan yang lain, tiada bala’ atau sial dalam bulan Safar.

Banyak adat resam masyarakat Melayu yang boleh dikupas satu persatu mengikut penilaian agama, dan jika dinilai dari sudut agama Islam, banyak yang telah lari dan terpesong.

Persoalannya kenapakah masih ada masyarakat Melayu Islam yang masih lagi mengamalkan adat resam yang nyata bercanggah dengan agama Islam yang dianuti? Pepatah ada mengatakan bahawa “biar mati anak, jangan mati adat”, begitu sekali ungkapan yang diberi menunjukkan bahawa adat resam telah sebati dalam pemakaian kehidupan harian masyarakat Melayu sehinggakan ada yang tidak dapat membezakan yang mana satu baik atau buruk untuk amalan seharian.

SUMBER:  Anak Waris http://resam-melayu.com

Artikel: Adab Bertandang

Dalam kehidupan orang-orang Melayu persoalan adab dihubungkan dengan perlakuan dan juga tutur kata yang lemah lembut. Adab memainkan peranan yang amat penting untuk membentuk satu masyarakat yang aman dan harmoni. Anak-anak dididik supaya menghormati orang-orang yang lebih tua daripadanya, kedua ibu bapa, hormat pada gurunya, alim ulamak dan sebagainya. Adab ini adalah peraturan yang wujud secara tidak langsung berfungsi untuk menjaga keharmonian sebuah kelompok masyarakat.  Ianya bukanlah satu paksaan kepada seseorang itu untuk mematuhinya. Namun jika seseorang yang hidup bermasyarakat itu tahu adab, kehidupan sesama manusia akan menjadi lebih harmoni.  Dalam Kitab Sejarah Melayu, persoalan adab merupakan inti pengajaran utama yang hendak disampaikan kepada anak cucu Melayu.

Konsep bertandang dalam budaya Melayu bermaksud berkunjung, bertamu atau lawatan ke sesebuah tempat lain.  Orang Melayu terkenal sebagai insan yang rendah hati, bukan rendah diri, yang selalu menempatkan dirinya pada kedudukan yang tidak sombong dan bongkak, yang selalu menghormati orang lain dengan tulus dan ikhlas serta bersangka baik.  Sebagai orang yang bertandang, sering diingat-ingatkan:

“Sebagaimana tuan-tuan sedia maklum, yang rumah ada tuannya, yang tepian ada bahasanya, yang kampong ada penghulunya, yang negeri ada rajanya, yang masyarakat ada adat resamnya, ada lembaga dengan undangnya. Kerananya, patut diingat dan disemak, supaya jangan tersalah sifat, supaya jangan tersalah buat. Seperti kata orangtua-tua kami: “Di mana bumi dipijak, disana langit dijunjung, di mana air disauk disitu ranting dipatah. Dan seperti kata orang tua-tua yang hidup ada pantang larangnya, yakni: jangan mengorang-orang di kampong orang, jangan menghulu-hulu di kampong penghulu, jangan meraja-raja di kampung raja. Jangan pula memandai-mandai pada yang pandai, yang mengada-ada pada yang berada, jangan melagak-lagak pada orang banyak, jangan menengking dalam berunding, jangan mengumpat dalam mufakat, jangan memfitnah dalam berpetuah..”

Orang Melayu terkenal pula dengan keramah-tamahannya terhadap pendatang dan para tetamunya. Mereka lazimnya disambut dengan muka yang jernih dan dada lapang serta sangka baik.  Perilaku ini lazimnya terpancar dari ucapan mereka yang lazimnya berbunyi:

“Kedatangan tuan kami sambut dengan patut,

Kami terima dengan muka yang jernih

Kami nanti dengan hati yang suci

Kami pandang dengan dada lapang

Kami jangka dengan  berbaik sangka

Dalam Sejarah Melayu, beberapa perbuatan adab bertandang kurang diperhatikan.  Orang Melaka menampakkan kebiadaban mereka di tempat orang.  Ini terlihat dengan beberapa cerita yang tertulis seperti ‘Telatah Budak-budak Raja Melaka’ (halaman 121) yang bertandang ke Majapahit.  Pada zamannya, Tun Bijaya Sura (Budak Melaka) mungkin dianggap cerdik kerana licik mempermainkan maharajapahit dengan menari sehingga menakutkan anjing maharaja.  Tun Bija Sura juga bermain sapu rengit yang menghadapkan kakinya kepada Betara Majapahit.  Tun Bijaya Sura kemudian bermain permainan ‘berkeliling gelagat’ yang menyebabkan sapu tangan Sultan Melaka yang dipegangnya mengenai muka orang besar Majapahit dan hampir terkena muka Betara Majapahit.  Biarpun perbuatannya dengan izin Betara Majapahit dan dilakukan dengan aksi berjenaka, itu bukanlah budaya tetamu bertandang ke tempat orang.  Sebenarnya, perbuatan Tun Bijaya Sura yang dianggap bijak pada zamannya adalah sikap yang amat biadab dan memalukan orang Melayu.

Begitu juga dengan perlakuan Hang Tuah lima sekawan yang begitu biadab naik ke Balai Larangan istana Majapahit hanya untuk ‘bermain’ iaitu menunjukkan kehandalan mereka menangkis tombak Jawa.  Perbuatan mereka bermegah dan menunjuk-nunjuk kehandalan amat memalukan.  Adat tempatan tak diambil kira.  Mereka begitu bongkak menunjukkan kehebatan sehingga melanggar adab bertandang.  Siapa yang lebih memegang adab bertandang?  Nampaknya Betara Majapahitlah, orang Jawa, yang begitu rendah hatinya, begitu berlapang dada dan bersangka baik terhadap tetamunya.

Kisah pembunuhan Tun Telanai(halaman 181) turut memperlihatkan kebiadapan tetamu.  Seri Akar Raja yang pangkatnya hulubalang, diperintah oleh Raja Muhammad di Pahang untuk membunuh Tun Telanai kerana Tun Telanai menyembah Raja Melaka tetapi tidak menyembah Sultan Pahang.  Tun Telanai sempat ingkar dengan mengatakan tidak patut Hulubalang diperintah sesama hulubalang.  Namun Tun Telanai akhirnya mati dibunuh Seri Akar Raja.

Kedatangan Laksmana bersama kuncu-kuncunya dari Melaka yang bertujuan untuk menuntut bela kematian Tun Telanai boleh dianggap biadab.  Mereka datang sebagai tetamu di tempat orang tetapi memulakan pertemuan itu dengan membunuh sepupu Seri Akar Raja.  Disebabkan Sultan Muhammad di Pahang tahu kesilapannya membunuh Tun Telanai, Sultan Muhammad menitahkan bahawa Tun Telanai dibunuh kerana biadab dengan mengatakan Melaka di bawah kelengkang Tun Telanai.  Ini memberi gambaran bahawa perintah membunuh Tun Telanai adalah demi membela kedaulatan Melaka.  Jelas, Sultan Muhammad umpama lempar batu sembunyi tangan.  Sultan Muhammad turut mengatakan pembunuhan sepupu Seri Akar Raja dianggap adalah urusan antara Laksamana dan Seri Akar Raja, tidak bersangkutan dengan dirinya.  Maka mereka haruslah merundingkan jalan penyelesaiannya sendiri.  Sultan Muhammad lepas tangan, dan tidak pula membela pembesarnya.  Terlihat kebiadaban Laksmana Melaka sebagai tetamu di Pahang dan kebiadaban Raja Pahang terhadap hambanya.

Kedatangan Tun Perpatih Putih mengadap Maharaja Cina (halaman 133) turut dianggap licik dan bijak pada zamannya kerana berjaya ‘menipu’ maharaja Cina dan dapat pula memandang wajah maharaja.  Kangkung panjang yang tidak dikerat itu perlu dimakan dengan mendongakkan kepala.   Padahal, adat negeri itu adalah rakyatnya tidak boleh mengangkat wajah memandang Maharaja Cina.  Disebabkan Tun Perpatih Putih kurang peka terhadap budaya dan adat resam di tempat orang, dirinya boleh dianggap biadab.

Kesimpulannya, karya sastera merupakan satu biografi dan catatan sosial sesuatu masyarakat.  Justeru adab bertandang yang terpapar dalam Sejarah Melayu, perlu dipegang nilai yang baik sahaja.  Walau di mana kita berada, adab bertandang di tempat orang harus diamalkan.  Janganlah kita memandang rendah dan melangkah adat serta budaya masyarakat lain sehingga kita pula dipandang rendah sebagai bangsa yang tak tahu adat.  Sikap kita di tempat orang, mencerminkan adab bangsa.

SUMBER:  Noor Hasnah Adam

Adab Memotong Kuku

Adab memotong kuku yang disunahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah seperti berikut:
1. Bismillah
2. Potong bermula dengan jari telunjuk kanan.
3. Di ikuti jari hantu kanan.
4. Kemudian jari kelingking dan
5. Di akhiri dengan jari manis

Manakala yang jari yang sebelah kiri pula ikut seperti jari kanan tadi dan sama juga untuk jari kaki. Seelok-eloknya potong kuku jari anda pada hari Jumaat kerana nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Bahawa sesiapa yang memotong kuku jari dan tangannya pada hari Jumaat, maka manafaatnya ialah membuang penyakit.”

Adat dan Tatatertib Orang Melayu

Orang Melayu zaman dahulu amat mementingkan adat dan sopan santun semasa makan samaada di rumah mahupun di majlis-majlis keramaian.Ia bukan sahaja bertujuan untuk pengajaran tetapi juga untuk menjaga sopan santun orang Melayu. Pantang larang ini diadakan bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi bertujuan untuk menjaga tatasusila supaya kita tidak melakukan perkara yang kurang sopan. Orang Melayu memang terkenal dengan sopan santun mereka sejak zaman dahulu lagi. Maka itu diadakan beberapa pantang larang supaya ia dapat dikekalkan hingga ke generasi yang akan datang.

Berikut adalah beberapa pantang larang Melayu yang berkaitan dengan MAKAN:

*  Makan mencangkung payah dapat rezeki.

*  Makan dalam belanga dapat anak rupa hodoh.

*  Makan beras mentah dapat penyakit kuning.

*  Makan telur tembelang dapat penyakit barah.

*  Makan kepala ayam nanti mengantuk semasa bersanding.

*  Makan sisa anak nanti anak menjadi degil.

*  Makan dalam pinggan sumbing dapat anak bibir sumbing.

*  Makan tak basuh pinggan nanti lambat dapat menantu.

*  Makan pisang kembar nanti dapat anak kembar.

*  Makan piggan bertindih nanti beristeri dua.

*  Makan sambil berjalan akan dapat penyakit perut.

*  Makan buah berangan songsang, nanti lambat dapat jodoh.

*  Makan nasi di senduk nanti payah dapat rezeki.

*  Tidur selepas makan nanti perut jadi buncit.

*  Makan pedal ayam, akan mengantuk ketika bersanding.

*  Makan tidak basuh pinggan, nanti lambat dapat menantu.

*  Makan pisang kembar, akan beranak kembar.

*  Makan waktu Maghrib, makan bersama hantu.

*  Makan sisa anak, anak akan degil.

*  Tidur selepas makan, nanti perut buncit.

*  Makan sambil berjalan, dapat penyakit perut.

*  Bila makan, pinggan tidak boleh diletak atas riba, nanti suami diambil orang.

*  Jangan makan nasi di senduk, nanti payah rezeki.

*  Makan bertindih pinggan, akan beristeri dua.

*  Makan telur tembelang, mendapat penyakit barah.

*  Makan dalam pinggan sumbing, dapat anak bibir sumbing.

*  Makan dalam belanga, dapat anak rupa hodoh.

*  Makan berlunjur,akan jadi pemalas.

* Makan mencangkung, payah dapat rezeki.

* Makan dalam belanga dapat anak rupa hodoh.

* Makan beras mentah dapat penyakit kuning.

* Makan telur tembelang dapat penyakit barah.

* Makan kepala ayam akan berlaku mengantuk semasa bersanding.

* Makan sisa anak, anak akan menjadi degil.

* Makan dalam pinggan sumbing dapat anak bibir sumbing.

* Makan kalau tidak basuh pinggan sendiri, nanti lambat dapat menantu.

* Makan pisang kembar nanti dapat anak kembar.

* Makan pinggan bertindih nanti beristeri dua.

* Makan sambil berjalan akan dapat penyakit perut.

* Makan buah berangan songsang, nanti lambat dapat jodoh.

* Makan nasi di senduk nanti payah dapat rezeki.

* Tidur selepas makan nanti perut jadi buncit.

ADAT & TATATERTIB

+ Ketika berkunjung ke rumah orang, apabila tuan rumah menghidangkan makanan atau minuman, jangan sekali menolaknya. Jika kenyang sekalipun kita hendaklah setidak-tidaknya menjamah sedikit hidangan yang disajikan itu.

+ Setelah makanan dihidangkan, pastikan orang yang lebih tua duduk dahulu. Kemudian baru diikuti oleh orang muda pula mengambil tempat masing-masing.

+ Anak gadis pula dikehendaki menyenduk nasi ke dalam pinggan orang yang lebih tua. Biarkan orang yang lebih tua mengambil makanan dahulu kemudian barulah diikuti oleh orang muda. Adalah tidak sopan jika membiarkan orang yang lebih tua makan sisa orang muda. Maka itu sesetengah orang membuat peraturan supaya orang muda makan berasingan daripada orang yang lebih tua atau orang tua makan dahulu daripada orang muda. Bagaimanapun, amalan ini tidak begitu sesuai jika kita ingin menanamkan kemesraan dan semangat kekeluargaan di kalangan anak-anak.

+ Ketika makan seelok-eloknya ambillah makanan yang berhampiran dengan kita. Jangan menjangkau makanan yang sukar dicapai. Mintalah bantuan orang lain yang berdekatan jika kita mahukan makanan itu.

+ Ketika menghulur atau menyambut makanan, sebaik-baiknya gunakan tangan kanan, tetapi jika tangan kanan kotor, bolehlah kita menggunakan tangan kiri. Semasa menghulur dan menyambut makanan, seelok-eloknya siku atau pergelangan tangan ditampung sedikit dengan tangan yang sebelah lagi.

+ Semasa mengambil kuah atau nasi, gunakan tangan kiri supaya sudu atau senduk tidak kotor.

Pastikan sudu, piring atau mangkuk tidak berlaga dan berbunyi ketika menyenduk. Ini dianggap kurang sopan dan kasar jika berlaku pergeseran antara sudu, piring atau mangkuk sehingga berbunyi.

+ Ketika makan pula janganlah bercakap-cakap. Lebih-lebih lagi jika mulut penuh dengan makanan. Jika bercakap pun pastikan tidak menimbulkan perkara yang kurang menyenangkan sehingga boleh mengganggu selera makan orang lain. Jangan makan berbunyi, umpamanya menghirup minuman atau mengunyah makanan. Ketika orang lain sedang makan janganlah menghembus hingus, berkehak atau berludah.

+ Jangan makan terlalu kenyang. Makanlah setakat mengenyangkan atau mengalas perut sahaja.

Jika selesai makan terlebih dahulu jangan sekali-kali mengangkat pinggan dan meninggalkan orang yang sedang makan. Seelok-eloknya tunggu dan pastikan semua orang sudah selesai makan barulah bangun.

+ Jika mahu mengemaskan tempat makan atau meja makan, pastikan semua orang sudah selesai makan. Tidak sopan jika mengemas ketika orang lain masih menikmati hidangan Jika dilakukan kita seolah-olah menyindirya supaya menghentikan makan atau melarangnya menghabis makanannya.

+ Jangan pergi ke rumah orang pada waktu makan dan waktu maghrib. Ini mengganggu tuan rumah kerana mungkin dia telah memasak makanan cukup untuk keluarganya sahaja. Waktu maghrib pula adalah waktu sembahyang yang paling singkat dan kedatangan tetamu menyebabkan tuan rumah serba salah untuk meninggalkan tetamu keseorangan. Oleh itu seelok-eloknya datanglah selepas waktu sembahyang isyak.