Petua Merawat Demam Panas dan Demam Biasa

Pilihan 1: Ambil 3 helai daun sirih dan ramaskan ke dalam semangkuk air bersih bersama sebiji buah pinang muda yang telah dihancurkan. Seterusnya, jaramkan/perapkan pada kepala sampai ia kering. Lakukan beberapa kali sehingga panas badan berkurangan.

Pilihan 2: Rendam dan ramaskan beberapa kuntum bunga raya ke dalam air sehingga keluar lendirnya. Kemudian, sapukan ke dahi. Hasilnya, suhu badan anda akan berkurangan.

Pilihan 3: Ambil segenggam daun betik. Tumbuk sehingga halus dan saring airnya dengan sehelai kain putih. Kemudian, minumlah air tersebut. Hasilnya, dalam jangka masa 12 jam, anda akan merasa lega.

 

Petua Untuk Melawaskan Kencing

Pilihan 1: Ambil  beberapa biji lobak putih campur dengan batang kangkung bersama akarnya,  direbus sekali. Selepas air itu menjadi suam, amalkan meminum air itu.  Bersihkan kedua-dua bahan ini dan rebus pada kadar air yang sederhana banyaknya. Apabila sudah cukup masak, angkat dan biarkan air menjadi agak-agak suam, barulah diminum. Petua ini selain dapat melawaskan kencing, juga dapat memecahkan batu karang yang belum serius. Sekiranya seseorang itu baru hendak menjadi penyakit batu karang,  ia akan memecahkan batu karang tersebut. Sekiranya tidak ada penyakit, ia  mencegah dari mendapat penyakit batu karang.

Pilihan: 2: Ambil madu lebah,limau oren, dan air panas. Perah limau diperah dan ambil airnya. Campurkan dengan madu lebah dan air panas lalu diminum apabila menghadapi masalah tersebut.

Pilihan 3: Ambil bawang merah, panaskan di atas api dan gosokkan di atas buah pinggang dan pundi kencing.

 

Petua Menangani Alahan

Alahan atau alergi merupakan suatu reaksi abnormal dalam tubuh.  Elemen-elemen yang menyebabkan alergi adalah seperti  serbuk tanaman, jenis rumput tertentu, jenis pokok yang berkulit halus dan tipis,  penisilin, seafood, telur, kacang panjang, kacang tanah, susu, jagung dan tepung jagung, sengatan, bulu binatang, debu dan kutu. Ini termasuklah  perasa makanan,  pewarna dan pengawet makanan. Gejala yang mungkin terjadi akibat alergi adalah rasa gatal pada mulut, gatal pada mata, gatal pada kulit atau bahagian tubuh lainnya, sakit kepala, hidung tersumbat atau hidung meleleh, sesak nafas, sukar menelan,  bersin dan lain-lain.

PETUANYA – Ambil air panas, letakkan ke dalam satu bekas. Tumbuk 2 ruas halia dan 2 batang serai, lalu masukkan ke dalam bekas tersebut. Masukkan juga hirisan limau nipis. Tutup bekas itu supaya udara yang naik itu berkumpul. Perlahan-lahan buka penutupnya dan dengan perlahan-lahan juga sedut udara panas yang keluar dari bekas tersebut. Lakukan berulang-ulang sehingga alahan tersebut sembuh.

Kuku Rosak dan Tandanya

Ada banyak faktor menyebabkan kuku tidak sihat. Selain trauma kecederaan atau tabiat menggigit kuku, jangkitan juga boleh menjadi satu faktor mengapa kuku tidak sihat. Fungus pada kuku menyebabkan perubahan warna, tekstur dan bentuk kuku. Jangkitan bakteria boleh menyebabkan perubahan warna dan jika jangkitan itu serius anda mungkin hilang nail plate (lapisan kuku paling atas).

Kuku juga boleh rosak sebagai tanda kaitannya dengan penyakit kronik seperti berikut:

• Sakit berkaitan hati – Kuku yang berwarna putih

• Sakit buah pinggang – Kuku yang separuh berwarna pink dan separuh putih

• Sakit jantung – Nail bed berwarna merah

• Sakit paru-paru – Kuku berwarna kuning, tebal dan lambat panjang

• Kurang darah (anemia) – Kuku berwarna pucat

• Diabetes – Kuku berwarna kuning dan sedikit kemerahan di pangkalnya

Petua Mengatasi Telinga Berdengung

Telinga berdengung boleh berlaku kerana kepanasan suhu badan, telinga bernanah, dimasuki air atau ada masalah dengan gegendang telinga.

Pilihan 1: Perah daun pudina bersama sedikit air dan titikkan airnya ke dalam telinga. Amalkan sekurang-kurangnya 3 kali sehari. Bunyi dengungan itu akan hilang.

Pilihan 2: Panaskan madu lebah asli di atas api. Tadahkan lubang telinga kita itu pada wapnya.

Pilihan 3: Ambil air pelepah pisang emas dan titikkan ke dalam telinga yang bermasalah itu.

 

Petua Melegakan Tekak Akibat Batuk

Asam jawa boleh dijadikan ubat penawar bagi melegakan tekak yang pedih dan suara yang serak akibat batuk. Ambil sedikit air asam jawa yang telah dibancuh dengan air suam-suam kuku, bancuh bersama sedikit gula dan masukkan ke dalam botol. Kemudian tutup rapat-rapat. Rendamkan botol yang berisi air asam jawa yang pekat itu ke dalam air selama satu malam. Keesokan harinya, minumlah. Tekak anda akan merasa lega dan suara tidak serak lagi.

Petua Mengubati Bisul

Pada kebiasaannya bisul tumbuh pada bahagian badan sekitar punggung. Namun terdapat juga bisul yang tumbuh pada bahagian badan seperti paha dan belakang. Bisul ini agak menyakitkan, terutama apabila bila tumbuh di bahagian punggung yang akan menyukarkan kita duduk. Bila kita hendak tidur malam, sesetengah orang akan berasa berdenyut-denyut pada bahagian yang ditumbuhi bisul. Bisul yang tumbuh akan membengkak kerana mengandungi nanah dan darah kotor yang dicemari kuman.

Pilihan 1: Untuk mencegah dari ditumbuhi bisul, banyakkan memakan makanan yang membersihkan darah seperti karot, tomato, sayuran hijau, buah-buahan serta makanan yang mengandungi vitamin C.

Pilihan 2: Tampalkan ubi keledek yang telah ditumbuk pada bisul.

Pilihan 3: Asahkan kulit mempelam pada pasu dan sapukan pada bisul.

Pilihan 4: Jika bisul di peringkat serius tampalkan bunga rumput

Pilihan 5:  Ambil sedikit kapur makan dan sapukan di tempat yang ditumbuhi bisul. Amalkan selalu dan ia akan hilang dan sembuh

Pilihan 6: Tumbuk bawang putih hingga hancur.Sapukan bawang putih ditempat yang kena bisul dan balutkan supaya bawang putih tidak jatuh. Lakukan beberapa kali hingga bisul itu hilang.

Pilihan 7: Tumbuk beberapa tangkai pucuk daun semalu hingga lumat.Tampalkan pada keliling bisul. Biarkan sehingga ia kering. Amalkan selalu sehingga bisul itu sembuh.

Pilihan 8: Rendam segenggam beras dan beberapa ketul kunyit hidup dengan air sejuk. Kemudian tumbuk hingga hancur. Letakkan pada bisul sehingga ia kering.

Pilihan 9: Asah kulit buah delima yang basah. Campurkan dengan daun lidah buaya. Sapukan pada permukaan bisul.

Pilihan 10: Ambil segumpal kapas dan celupkan seketika ke dalam cuka makan sehingga meresap. Sapu sekeliling bisul tersebut setiap malam. Lakukan sehingga sembuh.

Pilihan 11: Tumbuk beberapa ulas bawang putih hingga hancur. Tepek pada bisul dan balut dengan kain supaya tidak jatuh. Biarkan kering. Lakukan beberapa kali sehingga bisul hilang.

Pilihan 12: Kunyah daun sirih dan tepekkan pada bisul hingga kering. Ulang beberapa kali sehingga sembuh.

Pilihan 13: Ambil beberapa helai daun petai belalang. Bersih dan keringkan daun tersebut terlebih dahulu. Kemudian, anda kisar atau tumbukkan kesemua daun tersebut sehingga hancur. Seterusnya, campurkan daun yang telah hancur dengan minyak kelapa. Selepas itu, pupuk atau letakkan bahan-bahan tersebut pada kawasan bisul atau kudis. Amalkannya sehingga bisul atau kudis anda pulih.

Pilihan 14: Sapukan madu lebah asli di atas bisul dan sekitarnya.  Tunggu sekitar 40 minit. Selepas itu,  pecahkan bisul.

 

Petua Penjagaan Sendiri

a. Amalkan kebersihan diri terutama di kawasan yang mudah terjadinya bisul. Mandi sekurang-kurangnya 2 kali sehari untuk memastikan badan sentiasa bersih. Menggunakan sabun antibakteria mungkin dapat menolong individu yang mudah berpeluh dengan banyak atau bekerja di kawasan yang kurang bersih.

b. Elak diri dari memakai pakaian yang ketat.

c. Jangan menggaru kulit kerana kulit yang pecah akan menyebabkan jangkitan. Gunakan losyen antiseptik seperti Cetrimide atau Acriflavine pada kulit yang pecah untuk mencegah dari jangkitan atau perebakan jangkitan.

d. Cuci mana-mana bahagian badan yang tersentuh dengan bisul yang pecah.

e. Jangan memicit, menggaru atau memecahkan bisul kerana bisul yang pecah atau luka yang terbuka boleh menggalakkan jangkitan. Memicit bisul boleh menekan jangkitan jauh ke dalam kulit. Manakala menggaru bisul yang pecah boleh merebakkannya ke tempat-tempat lain.

f. Apabila bisul terjadi, tuamkannya dengan bahan yang suam selama 10 minit sebanyak 3 kali sehari untuk membantu memasakkan bisul yang kemudiannya akan pecah dengan sendiri. Selain itu, ambilkan botol berisi air panas atau pad pemanas yang kalis air dan letakkannya di atas tuala lembap. Kemudian tuamkan ke kawasan bisul. Ini juga boleh membantu meredakan keadaan.

g. Makan ubat penahan sakit jika anda tidak berdaya menahan kesakitan.

h. Apabila bisul telah pecah, cuci bahagian itu secara menyeluruh dengan sabun antibakteria untuk mengelakkan jangkitan dari merebak ke kawasan lain. Teruskan penggunaan penuam yang suam selama 3 hari selepas bisul telah pecah. Balut dengan kapas yang kering dan tukar setiap hari sehingga bahagian tersebut telah betul-betul sembuh.

i. Cuci tangan dengan teliti sebelum menyediakan makanan kerana bakteria yang terkandung di dalam bisul boleh menyebabkan keracunan makanan.

j. Mandi dengan air pancuran (shower) kerana menggunakan air pancuran dapat mengurangkan jangkitan dari merebak.

 

 

 

 

Petua Mengubati Lelah atau Asma

Pilihan 1: Ambil sebiji buah petola. Buangkan bijinya (buat lubang di tengah-tengah) dan masukkan 2 hingga 3 ketul gula batu ke dalamnya. Kemudian, bakar petola itu sehingga masak dan perahkan petola itu untuk diminum jusnya.

Pilihan 2: Rebus seberapa banyak biji buah mata kucing. Apabila telah mendidih, sejukkan airnya untuk diminum. Lakukan amalan ini seberapa kerap yang boleh. Selain mengubati sesak nafas, ia juga boleh melancarkan haid.

Pilihan 3: Tumbuk 7 helai daun sirih hingga lumat bersama satu sudu teh lada putih. Kemudian, campurkan minyak kayu putih secukupnya agar menjadi pepesan. Sapukan pada dada serta leher pesakit. Petua ini amat berkesan untuk mengubati penyakit asma.

Pilihan 4: Ambil 2 ulas bawang putih dan tumbuk dan 3 sudu minyak masak. Campurkan kedua-dua bahan tersebut dan sapu pada leher, dada dan belakang. Dalam masa 15 minit anda dapat lihat perubahannya.

Pilihan 5: Ambil satu sudu besar madu dan 4-5 titik getah betik. Campurkan madu dan getah betik dan beri munum dengan cair yang telah dibaca selawat.

Pilihan 6: Bersihkan 2 tangkai bunga belimbing buluh. Masukkan ke dalam bekas tahan panas dan campurkan 5 gm gula batu (lebih kurang besar ibu jari). Masukkan bekas tersebut ke dalam periuk nasi masak, keluarkan bekas dan biarkan sejuk. Kemudian, berikan pesakit lelah minum air terumata kanak-kanak kurang dari 5 tahun dalam bekas itu (lebih elok jika ditapis dahulu). Amalkan setiap hari selama seminggu.

Pilihan 7: Rebus sehingga lembut beberapa biji bawang merah kecil. Kisar sehingga hancur. Tapis airnya. Amalkan meminumnya seminggu sekali.

Pilihan 8: Tujuh helai sirih bertemu urat, tujuh helai daun lalang muda dan seulas lengkuas sebesar ibu jari kaki.  Rebuskan dengan satu liter air hingga mendidih sepenuhnya. Minum setengah gelas air rebusan dengan mencampurkan sesudu makan madu lebah serta sesudu teh air limau nipis, sebelum tidur.

Pilihan 9: Ambil 2 atau 3 helai daun ‘Hati-hati atau ‘Ati-ati hijau serta secubit kapur sirih. Ramaskan kedua- duanya hingga hancur kemudian sapukan di dada dan dibelakang anda atau kanak-kanak yang mengidap asma tadi. Atau boleh juga di cuba dengan mengambil 2-4 helai daun. Rebus bersama 2 cawan air sehingga menjadi kira-kira secawan sahaja. Minum atau boleh juga direbus dengan sedikit gula batu jika anda suka.

 

Rawatan Kecemasan Untuk Serangan Asma

Tenangkan pesakit dan bantu dia duduk. Letakkan dia pada kedudukan yang selesa dengan tubuhnya menunduk ke depan sedikit serta boleh bertongkat. Pastikan pesakit mendapat udara bersih yang mencukupi. Benarkan dia mendapatkan ubatnya, kalau ada. Ini akan memberi kelegaan kepadanya. Seandainya simptom serangan asma seperti rasa gelisah, payah bernafas dan muka bertukar biru berulang lagi, hendaklah segera dapatkan bantuan perubatan.

 

Petua Untuk Menghilangkan Batuk Berterusan

Jika batuk anda berterusan ia boleh mengakibatkan badan menjadi kurus. Batuk sering melanda di sebelah malam, sehinggakan anda mungkin tidak dapat tidur lena. Jika perkara ini berlanjutan, akan mengganggu diri anda.

Pilihan 1: Ambil sebiji bawang merah dan dilumatkan. Setelah itu campurkan dengan satu sudu madu lebah. Minum 3 kali sehari.

Pilihan 2:  Tuangkan satu sudu kecil kicap. Campurkan dengan sebiji pati   limau kasturi. Kacau dengan menggunakan jari kelingking sambil berselawat 3 kali dan  terus minum.

Pilihan 3: Ambil 8 helai daun pudina  dan rebus dengan beberapa ketul gula batu selama  5 minit. Minum airnya beberapa kali agar batuk anda tidak berterusan.
Setiap rebusan mesti menggunakan 8 helai daun pudina.

Pilihan 4: Ambil daun lidah buaya (ambil isinya sahaja), hiris halus-halus kira-kira 20 gram, kemudian bubuh madu kira-kira 40 cc. Ramuan ini anda minum 2 kali sehari, selama lebih kurang 9 hari.

Di samping itu anda perlu berpantang seperti berikut:

  1. Jangan terlalu banyak makan makanan manis
  2. Jangan tidur tidak menentu (jangan kurang tidur)
  3. Jangan masukkan jari ke dalam mulut (seperti kebiasaan kanak-kanak)
  4. Jangan makan banyak mekanan pedas
  5. Perbanyakkan gizi (zat) dalam makanan seharian.

 

 

Petua Merawat Batuk Rejan

Pilihan 1: Ambil 10 helai daun sirih, 5 biji cengkih, ½ biji pala, sepotong kecil kayu manis, dan 1 biji limau nipis dipotong-potong. Rebus semua bahan tersebut dengan 1 liter air. Apabila mendidih dan airnya tinggal ½ liter, angkat. Minum 1/3 gelas dan anda boleh tambah mudu lebah sebanyak 1 sudu teh. Minum 3 kali sehari. Elakkan makanan berminyak, pedas, makanan sejuk, rokok serta minuman keras.

Pilihan 2: Ambil 1 sudu teh daun kaki kuda yang telah ditumbuk halus. Masukkan air panas ½ cawan ke dalam daun kaki kuda dan masukkan gula batu secukupnya. Kacau dan minum 4 kali sehari.

Pilihan 3: Ambil kuntum bunga kembang sepatu dan hancurkan bunga tersebut. Masukkan ½ cawan air masak. Perah dan tapis. Minum 2 kali sehari.

Pilihan 4: Ambil 7 helai daun sirih, gula batu secukupnya dan 1 gelas air biasa. Cuci daun sirih dengan bersih dan rebus. Campukan pula dengan gula dan air. Biarkan ia mendidih sehingga tinggal ½ gelas. Minum 3 kali sehari.