Sibuk mengejar kemewahan material membuatkan ada antara kita tidak sempat bertegur sapa dengan jiran walaupun di sebelah rumah sehingga perhubungan menjadi hambar. Kegagalan memahami konsep kejiranan menyebabkan berlaku perselisihan faham, bertekak dan bermasam muka, malah lebih serius hingga peringkat mencederakan dan membunuh jiran. Keadaan seperti itu pasti merosakkan perpaduan dan mem bangkitkan permusuhan di kalangan masyarakat sedangkan Islam adalah agama yang mendambakan perhubungan baik sesama manusia.
Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah satu daripada cara hidup yang dituntut Allah kerana amalan kejiranan yang sempurna memupuk semangat ke bersamaan, persefahaman dan keharmonian. Kemakmuran sesebuah negara juga bergantung kepada kemantapan dan keutuhan hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya.
Malah, ciri masyarakat berkualiti dan masyarakat contoh juga tergambar melalui persefahaman dan hubungan yang erat. Justeru, Islam menekankan umatnya menjaga hubungan dalam kehidupan bermasyarakat dan ia tidak terbatas kepada sesama masyarakat Islam, malah melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit dan bahasa pertuturan.
Dalam kejiranan, umat Islam wajib mengekalkan hubungan baik dan menyemai kemesraan kerana sifat sebegitu akan membentuk kehidupan aman dan harmoni, malah jika berdepan masalah, ia diselesaikan dengan baik.
“Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.” (an-Nisaa’: 36)
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jibril sentiasa berwasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka jiran itu akan saling mewarisi.”
Dalam realiti kehidupan hari ini manusia tidak boleh lari daripada hidup berjiran, baik di kota mahupun di desa. Suka atau tidak terpaksa berdepan dengan jiran, walaupun mempunyai minat dan cita rasa berbeza, malah ragam yang berlainan.
Dalam adab berjiran, umat Islam dilarang membuka aib jiran seperti menceritakan rahsia mereka kepada orang lain, menceroboh kediaman mereka dan mengambil hak mereka. Dalam hubungan ini sesuai juga dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.”
Ibnu Qayyim (rahimahullah) menghuraikan hadis itu dengan menjelaskan, sesiapa yang berbuat baik kepada orang lain Allah akan berbuat baik kepada dirinya dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya.
Malah, sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, Allah akan menutup keaibannya dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan ber muamalah dengannya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat.
Hadis nabi mengenai tanda kecil kiamat ada berbunyi: “Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan ber sikap yang buruk dengan jiran.” (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)
Speak Your Mind