Petua Merawat Demam Panas dan Demam Biasa

Pilihan 1: Ambil 3 helai daun sirih dan ramaskan ke dalam semangkuk air bersih bersama sebiji buah pinang muda yang telah dihancurkan. Seterusnya, jaramkan/perapkan pada kepala sampai ia kering. Lakukan beberapa kali sehingga panas badan berkurangan.

Pilihan 2: Rendam dan ramaskan beberapa kuntum bunga raya ke dalam air sehingga keluar lendirnya. Kemudian, sapukan ke dahi. Hasilnya, suhu badan anda akan berkurangan.

Pilihan 3: Ambil segenggam daun betik. Tumbuk sehingga halus dan saring airnya dengan sehelai kain putih. Kemudian, minumlah air tersebut. Hasilnya, dalam jangka masa 12 jam, anda akan merasa lega.

 

Petua Merawat Anak Demam Panas

Petua 1: Bancuhkan asam jawa dengan sedikit air. (Lebih pekat, lebih baik.) Kemudian, sapukan ke semua bahagian kepala dan pelipat-pelipat anggota badan. Airnya juga boleh diminum dengan ditambah sedikit gula.

Petua 2: Anda juga boleh menyapukan lendir daun lidah buaya ke bahagian kepala dan pelipat-pelipat anggota badan anak.

Petua 3: Anda juga boleh gunakan beberapa ulas bawang merah, hiris halus dan campurkan dengan perahan air limau nipis dan sedikit air suam. Kemudian, sapu ke kepala anak sehingga

rata. Panasnya akan berkurangan.

Cara Menyimpan Perahan Susu Ibu

1. Simpan perahan susu ibu dalam bekas yang bersih dan bertutup.
2. Tuliskan tarikh dan masa perahan di setiap bekas simpanan susu.
3. Simpanan susu ibu:-
– Di dalam peti sejuk beku tahan selama 3 bulan.
– Di bahagian rak pertama bawah ‘freezer’ tahan selama 72 jam.
– Suhu bilik tahan selama 8 jam.
4. Susu ibu tidak boleh dimasak. Panaskan dengan merendam bekas susu ke dalam air suam.
5. Baki susu perahan yang telah dipanaskan tidak boleh disimpan semula.

Petua Mencegah Bayi Sakit Kuning

Sakit Kuning atau juga dikenali sebagai jaundis merupakan penyakit yang biasa menyerang minggu pertama kanak-kanak dilahirkan. Ia kerap berlaku kepada bayi yang lahir tidak cukup bulan. Sebenarnya hampir semua bayi baru lahir mengalami jaundis tetapi tidak kelihatan dengan jelas. Pada sesetengah bayi, ia berlaku sekejap, tidak merbahaya dan akan hilang sendiri atau hilang dengan rawatan yang ringkas sahaja. Tetapi dalam kes-kes tertentu, ia boleh menjadi serius dan perlu diberi perhatian. Jaundis boleh dikesan dengan melihat tanda-tanda seperti bahagian mata putih dan kulit berwarna kekuningan. Kesan ini akan dapat dilihat dengan jelas apabila ditekan. Ia bermula dari bahagian kepala dan semakin menurun ke bahagaian bawah badan. Semakin besar kawasan kuning, semakin berisiko tinggi kanak-kanak tersebut.

Kebanyakan kes jaundis tidak merbahaya. Namun jika tahapnya adalah tinggi dan dibiarkan tanpa rawatan ia akan menyebabkan kerosakan kekal ke atas sistem saraf. Ia boleh menyebabkan pekak dan pertumbuhan yang lembab dan membentuk cerebral palsy. Jika bayi anda mendapat jaundis dalam masa 24 jam selepas lahir, ini dianggap serius dan perlu pemerhatian rapi dan rawatan. Ia boleh disebabkan oleh masalah yang serius pada hati, usus kecil dan kelainan intestinal, infeksi atau kelahiran yang trauma atau kelahiran pra matang sebelum 28 minggu. Bayi yang menghidap jaundis perlu mendapat susu yang cukup untuk mengelak menjadi kekeringan.

Petua Untuk Mencegah
1. Minum air yang sudah dimasak sampai mendidih
2. Makan makanan yang baru dimasak
3. Makan buah-buahan yang baru dikupas
4. Lindungi makanan dari lalat atau tikus
5. Cuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas keluar tandas atau sebelum menyiapkan hidangan
6. Hindari tempat makanan yang kurang bersih

eMedik: Info Mengenai Jaundis

Kekuningan Pada Bayi Baru Lahir (Neonatal Jaundice)

Jaundis adalah warna kekuningan yang kelihatan pada kulit yang disebabkan oleh meningkatnya kadar bilirubin dalam darah. Jaundis pada bayi adalah jaundis yang berlaku dalam masa sebulan selepas bayi lahir.

Apa itu bilirubin? Bilirubin adalah sejenis pigmen yang dihasilkan dari pemecahan sel darah merah. Ia kemudian diproses di dalam hati sebelum dikeluarkan ke dalam najis.

Adakah sering terjadi jaundis di kalangan bayi? Jaundis sering berlaku pada bayi. 50% bayi akan mengalami jaundis pada minggu pertama kehidupan.

Jenis-jenis jaundis pada bayi dan Penyebabnya

1. Fisiologi Jaundis

Merupakan jaundis yang paling sering terjadi pada bayi dan tidak merbahaya. Jaundis bermula selepas 48 jam dan akan beransur hilang pada akhir minggu pertama kelahiran. Jaundis jenis ini terjadi disebabkan oleh pemecahan sel-sel darah merah dan keadaan organ hati yang belum cukup matang.

2. Patologi Jaundis

Jaundis jenis ini bermula dalam masa dua hari selepas lahir. Ini disebabkan oleh pemecahan sel-sel darah merah yang berlebihan akibat:

* Ketidakserasian kumpulan darah antara ibu dan anak. (Bila ibu mempunyai Rhesus negative atau kumpulan darah ‘O’).

* G6PD defisiensi pada bayi. Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu. Bagaimanapun tidak lebih dari 5% bayi mengalami masalah ini. Sekarang semua bayi akan diperiksa status G6PD nya sejurus selepas lahir. (Rujuk senarai makanan,ubat-ubatan yang harus dielakkan oleh penghidap G6PD defisiensi ). (Rujuk senarai makanan, ubat-ubatan yang harus dielakkan oleh penghidap G6PD defisiensi)

* Jangkitan kuman pada bayi. Bayi biasanya kelihatan lemah dan memerlukan rawatan di hospital.

Apakah yang menyebabkan jaundis berpanjangan?

Jaundis dianggap berpanjangan apabila keadaan kekuningan berlanjutan sehingga melebihi 14 hari bagi bayi yang cukup bulan dan 21 hari bagi bayi pramatang. Ianya disebabkan oleh:

* Penyusuan susu ibu sepenuhnya ( breast milk jaundice). Jaundis yang berpanjangan ini tidak membahaya pada bayi selagi ibu tidak megambil ubat-ubatan tradisional.

* Penyekatan aliran hempedu dari hati ke usus yang akhirnya menyebabkan najis yang pucat dan air kencing yang pekat. Bagaimanapun kes ini jarang terjadi.

* Kekurangan hormon tiroid. Kes ini sangat jarang, seorang dari 4000 kelahiran. Melalui program saringan kebangsaan, semua bayi yang lahir akan dilakukan pemeriksaan saringan menggunakan darah tali pusat.

Haruskah anda bimbang jika anak anda kena jaundis?

Bayi anda mungkin sihat jika :

* Bayi anda cukup bulan dan tidak berisiko untuk terjadi jaundis yang teruk.

* Jaundis terjadi selepas 48 jam selepas lahir dan tiada peningkatan jaundis yang teruk.

* Bayi anda sihat dan aktif.

Walau bagaimanapun sila dapatkan pemeriksaan doktor untuk penilaian lanjut.

Apakah tanda-tanda bahaya yang patut anda perhatikan?

Anda harus dapatkan pemeriksaan doktor segera sekiranya :

* Jaundis terjadi dalam masa 24 jam selepas dilahirkan.

* Peningkatan kekuningan yang cepat

* Bayi anda mengalami G6PD defisiensi

* Anak anda terdahulu pernah mengalami jaundis teruk

* Bayi anda kelihatan tidak aktif dan tidak mahu menyusu

* Najis bayi anda kelihatan pucat atau air kencingnya menjadi pekat

Apakah yang doktor akan lakukan?

Doktor akan memeriksa bayi anda dan melakukan ujian darah serta memberikan rawatan yang sesuai. Mereka juga akan memberikan nasihat yang berkaitan.

Apakah masalah yang akan timbul akibat jaundis teruk?

Kadar indirect bilirubin yang tinggi pada bayi baru lahir boleh mencapai tahap bahaya sehingga menyebabkan:

* Gangguan pendengaran dimana terjadi kerosakan otak di bahagian kawalan pendengaran.

* Kerosakan otak yang teruk (kernicterus)

Oleh itu intervensi awal perlu bagi mengelakkan terjadinya komplikasi yang teruk.

Apakah rawatan yang diberikan?

Terdapat 2 jenis rawatan iaitu:

1. Rawatan foto –  Bayi akan diletakkan di bawah sinaran komponen cahaya biru tertentu sehingga indirect bilirubin akan ditukarkan kepada bahan yang tidak bahaya.

Nota: jangan dedahkan bayi anda pada cahaya matahari pagi secara terus kerana ini membahayakan bayi anda.

2. Pertukaran darah – Kadar bilirubin yang dianggap bahaya bagi bayi baru lahir adalah melebihi 20 mg/dL (340 umol/L). Rawatan pertukaran darah adalah pilihan cara terakhir bagi menghindarkan terjadinya kerosakan otak. Kadar bilirubin untuk rawatan ini bergantung kepada banyak faktor termasuk usia bayi dan penyebab jaundis itu sendiri.

Pencegahan Jaundis

Adalah penting untuk mengesan dan memantau bayi yang berisiko tinggi untuk terjadi jaundis yang teruk. Tindakan awal mengesan jaundis dapat memastikan rawatan yang sesuai dan mengurangkan komplikasi.

Apakah yang perlu dilakukan kepada bayi yang mengalami Jaundis yang teruk?

Semua bayi dengan kadar bilirubin lebih 20 mg/dL harus mendapat rawatan lanjut diklinik pakar kanak-kanak bagi memantau perkembangan dan pendengaran. Sekiranya terjadi kerosakan otak akibat jaundis teruk, kanak-kanak tersebut harus dirujuk kepada sekumpulan pakar untuk pemulihan.

Apendiks

Senarai makanan, ubat-ubatan yang harus dielakkan oleh pengidap G6PD defisiensi:

* Makanan : kacang parang

* Herba Cina yang tertentu

* Ubat-ubatan (rujuk doktor untuk senarai yang lengkap)

* Antibiotik seperti sulfamethozazol, nalidiixic acid

* Bahan kimia

Info Mengenai Demam Campak

Apa itu demam campak?
Demam campak ( Rubeola ) adalah jangkitan akut pada kanak-kanak disebabkan virus measles. Pesakit demam campak biasanya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan disertai ruam pada kulit. Penyakit ini sangat mudah menular kepada orang lain melalui titisan cecair dari mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin. Bagaimana pun kebanyakan kanak-kanak di Malaysia telah kebal (immun) pada penyakit ini sejak adanya program campak kebangsaan.

Apakah tanda-tanda demam campak?
Antara 10 – 12 hari selepas dijangkiti penyakit, pesakit mula menunjukkkan tanda dan gejala demam campak seperti:

* Demam tinggi
* Batuk, selsema dan sakit tekak
* Mata berair dan sensitif kepada cahaya
* Sakit otot

Dua atau tiga hari kemudian timbul ruam-ruam, bermula dibahagian muka dan kepala kemudian merebak kebahagian badan, tangan dan kaki. Ruam akan kekal selama 4 – 7 hari. Semasa ruam timbul, suhu badan biasanya sangat tinggi.

Demam campak boleh menjangkiti orang lain dalam masa seminggu sebelum timbul ruam sehingga 4 hari selepasnya.

Adakah setiap demam yang disertai ruam merupakan demam campak?
Tidak. Deman campak sering dikelirukan dengan penyakit Rosela Infantum yang disebabkan oleh virus lain tetapi mempunyai ciri-ciri yang sama dengan deman campak melainkan selepas 2–3 hari ruam timbul, demam biasanya akan berkurangan.

Apakah kesan demam campak pada kanak-kanak?
Kebanyakan kanak-kanak yang menghidapi demam campak akan sembuh dengan sempurna. Bagaimana pun kadangkala boleh terjadi komplikasi yang serius terutama golongan yang menghidapi kekurangan zat makanan dan mempunyai imum sistem kekebalan yang rendah.

Antara lain komplikasi yang sering terjadi:
* Jangkitan pada telinga
* Jangkitan paru-paru (Pneumonia )
* Jangkitan pada otak (encephalitis)
* Cirit birit

Kes yang serius boleh berakhir dengan kematian. Bagi wanita hamil pula, boleh menyebabkan keguguran atau kelahiran pramatang.

Bagaimana merawat demam campak?

Tiada rawatan yang spesifik tetapi hal-hal berikut dapat mengurangkan gejala :
* Panadol untuk mengurangkan demam
* Hindari cahaya terang kerana ia menyakitkan mata
* Berehat dan minum air yang cukup.

Ruam tidak perlu dirawat kerana ia akan hilang sendiri. Pesakit dinasihatkan untuk tinggal di rumah supaya tidak menjangkiti orang lain. (4 hari selepas ruam timbul).

Bolehkah demam campak dicegah?
Demam campak boleh dicegah melalui pemberian suntikan immunisasi MMR (Measles, Mumps and Rubella) pada usia 12 bulan dan kemudian ketika berumur 7 tahun. MMR adalah vaksin yang selamat. Adalah tanggungjawab ibubapa untuk memastikan anak mereka mendapat immunisasi.

Petua Untuk Hilangkan Kuning Bayi Baru Lahir

1. Jemur bayi di sebelah pagi. Jangan jemur dalam keadaan terlalu panas. Seeloknya dalam pukul 8 pagi, sebab belum panas terik lagi. Jika cuaca luar telalu panas nanti bayi anda kekurangan air pula. Tutup mata bayi supaya tidak terkena silau.

2. Beri bayi anda lebih air masak supaya kekotoran yang ada dalam tubuh bayi dapat disingkirkan dengan lebih cepat.

3. Susukan bayi anda dengan lebih kerap kerana bayi anda akan lebih kerap buang air atau buang air besar, yang akan sama-sama keluar dengan kekotoran yang ada dalam tubuhnya.

4. Jika anda mengambil herba atau jamu, hentikan buat seketika sehingga bayi anda sembuh.

5. Rebus daun bunga raya, daun sirih dengan air kelapa. Selepas dimandikan, bilas dan bersihkan.  Mandikan bayi dalam berapa hari.

6.Rebus kacang bendi dengan secawan air. Ambil air lendir kacang bendi yang di rebus dan beri minum pada bayi anda sekali sehari.

Penyusuan Susu Ibu Yang Berkesan

Apabila ibu-ibu menyusukan bayi, perhatikan tanda-tanda penyusuan ibu yang berkesan seperti berikut:

  1. Tanda Penghisapan yang Berkesan
    1. Hisapan perlahan dan dalam
    2. Nada hisapan: hisap-telan-hisap-telan
    3. Dengar bunyi bayi menelan
    4. Hisapan cepat dan cetek
  2. Kekerapan Penyusuan
    1. Susukan bayi dengan kerap mengikut kemahuannya
    2. Sentiasa bersama bayi supaya boleh menyusukannya dengan kerap
    3. Minggu pertama – susukan bayi lebih kerap
    4. Bayi yang tidur lama (lebih daripada 2-3 jam) perlu digerakkan untuk disusukan
    5. Menyusu kerap pada waktu malam
    6. Purata penyusuan 8-12 kali dalam 24 jam
  3. Tanda Bayi Mendapat Cukup Susu
    1. Bayi berhenti sendiri apabila kenyang
    2. Penyusuan kerap 8-12 kali dalam 24 jam
    3. Kencing lebih 6 kali dalam 24 jam
    4. Kekerapan membuang air besar yang normal (4-8 kali dalam 24 jam)
    5. Bayi kelihatan puas, ceria dan kulit bayi sihat
    6. Payudara ibu penuh sebelum menyusu dan ‘ringan’ selepas menyusu
  4. Memberhentikan Penyusuan
    1. Biar bayi melepaskan puting payudara dengan spontan
    2. Payudara kedua diberi selepas bayi selesai menghisap payudara pertama
    3. Berikan kedua-dua payudara secara bergilir selagi bayi hendak terus menyusu
    4. Jangan alihkan bayi dari payudara selagi dia sedang menyusu kecuali untuk membetulkan pelekapan
    5. Untuk memberhentikan pelekapan bayi, masukkan jari kelingking ke tepi mulut bayi untuk mengeluarkan puting payudara dari mulutnya