Petua Menangani Medu Angin

1. Medu angin berpunca daripada angin kotor yang mengandungi karbon dioksida dan bahan-bahan perkumuhan lain. Angin kotor tersebut terperangkap di dalam tubuh kita yang bermula daripada perut semasa proses pencernaan makanan. Kandungan asid hidroklorik yang tinggi dalam tubuh juga akan menyebabkan urat-urat/usus pengidapnya lemah/kembang dan ini memberikan ruang kepada angin kotor untuk mendudukinya. Faktor keturunan adalah pendorong utama kepada penyakit ini. Pada umumnya, pengidap sakit ini akan selalu mengalami masalah kembung perut, lemah badan, hilang semangat dan seumpamanya.

2. Angin kotor yang terperangkap di dalam usus akan mengakibatkan sembelit dan rasa senak diperut. Angin kotor yang menyongsong ke atas, akan menyebabkan pedih ulu hati dan mengganggu sistem pernafasan seperti batuk berpanjangan dan sesak nafas. Apabila ia naik ke kepala, pengidap sakit ini akan mengalami sakit kepala, pelupa, pemarah, murung, sukar tidur, selalu mengantuk atau berserabut tanpa sebab. Angin kotor yang menyongsong ke bawah akan masuk ke dalam sistem pembiakan. Bagi kaum wanita, mereka berkemungkinan besar akan mengalami senggugut angin dan boleh menyukarkan kehamilan serta ketidakselesaan. Bagi kaum lelaki pula, mereka akan mengalami sakit uluran, di mana buah zakar mereka akan membesar dan kebiasaannya besar sebelah sehingga boleh mencapai saiz sebesar sebiji buah kelapa.

3. Apabila angin kotor tersebut masuk ke dalam urat, sistem peredaran darah pesakit akan terganggu. Segala zat-zat makanan dan oksigen yang di bawa oleh darah tidak akan sampai dengan sempurna kepada organ-organ pengidap sakit ini. Oleh kerana itu, seluruh sistem tubuh mereka akan menjadi lemah dan tidak dapat berfungsi dengan baik. Mereka juga akan lebih terdedah kepada penyakit angin ahmar atau lumpuh dan pelbagai lagi jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan seumpamanya.

Petua 1: Amalkan meminum rebusan akar hempedu bumi. Ambil segenggam akar tersebut dan rebuskan dengan seperiuk kecil air. Biarkan air tersebut mendidih sehingga airnya tinggal ½ periuk. Minum segelas pagi, tengahari dan malam.

Petua 2: Ambil segenggam daun gentang guri. Rebus dan minum airnya. Manakala, akarnya diasah dan sapukan pada perut, dada dan belakang pada waktu pagi, tengahari dan malam.

Nasihat Untuk Pengidap Medu Angin – Anda dinasihatkan menjaga pemakanan. Berikut ialah di antara jenis-jenis makanan dan minuman yang dilarang makan/minum untuk sementara waktu:

1.    Makanan/Minuman yang Sejuk

  • Tembikai, pisang goreng/mentah, duku, ciku, manggis dan betik.
  • Kangkung, kacang panjang, kacang bendi, labu, terung, keladi dan kacang hijau.
  • Air batu, air wap, air kelapa dan air teh.

2.    Makanan/Minuman Masam (berasid)

  • Mempelam masam, semua jenis jeruk, acar, cuka dan limau masam.
  • Daging kerbau.

3.       Makanan/Minuman Bergas

a.      Durian.

b.     Tapai.

c.      Air botol/tin bergas.

4.     Makanan/Minuman mengandungi Kafein.

a.      Kopi, Nescafe, Indo Cafe dan seumpamanya.

b.     Rokok.

5.     Lain-lain Makanan/Minuman Yang Boleh Mendatangkan Angin

a.      Petai, jering dan kerdas.

b.     Susu tin (cair, krimer atau pekat manis).

AMALAN LAIN YANG PERLU 

  • Buatlah senaman regangan urat sewaktu hendak tidur dan baru bangun dari tidur.
  • Kalau boleh, jangan tidur malam dengan berkipas. Seandainya hendak berkipas juga, jangan pasang kipas terlalu kuat. Jika anda menggunakan penghawa dingin, hendaklah mengenakan selimut.
  • Selalu amalkan meminum segelas air masak/suam pada waktu pagi supaya perut anda tidak kosong.
  • Jangan biarkan perut kosong. Sekiranya terasa lapar dan tidak dapat makan banyak, makanlah sedikit agar perut tidak masuk angin.
  • Apabila anda terasa ingin buang air besar atau kecil, bersegeralah ke tandas.
  • Jika anda terasa ingin buang angin, jangan ditangguh-tangguhkan. Lepaskanlah.

 

Petua Untuk Mengurangkan Selera Makan

1. Makan secara perlahan.

2. Makan hidangan yang kecil dan menggunakan pinggan yang kecil. Ini akan membuatkan makanan nampak banyak.

3. Ambil makanan yang tinggi serat seperti sayur, buah, roti wholemeal, dan lain-lain. Serat akan menyebabkan anda berasa cepat kenyang dan mengurangkan selera makan anda.

4. Makan makanan yang pedas. Ini akan membuatkan perut terasa penuh.

5. Jangan membiarkan diri dalam keadaan terlampau lapar. Ini akan membuatkan kita akan makan lebih banyak pada waktu makan seterusnya.

6. Minum segelas air kosong sebelum makan supaya perut terasa penuh.

7. Jangan minum semasa makan. Ini akan meningkatkan selera untuk makan.

8. Hirup/minum sup juga boleh menyebabkan anda cepat kenyang.

9. Letakkan makanan jauh dari pandangan. Ini kerana, jika makanan ada di depan mata, akan membuatkan  anda berselera untuk makan.

10. Sebelum makan, amalkan minum air suam atau minum jus oren atau minum jus epal atau pun  minumlah air suam  diperah limau nipis/kasturi. Ia pasti akan membantutkan  selera makan.

Petua Kecergasan Badan

  1. Banyakkan makanan segar dan elakkan makanan yang telah lama dan berperam serta yang mengandungi bahan awet.
  2. Hanya makan nasi yang dimasak sekali sahaja. Maksudnya, nasi yang sudah sejuk kita panaskan semula tidak baik untuk kecergasan badan.
  3. Minum susu segar setiap hari.
  4. Minum sedikit madu setiap hari. Boleh juga amalkan minum madu 1 sudu sebanyak 3 kali sehari.
  5. Kurangkan gula putih dalam minuman, gantikan dengan gula kabung atau gula kelapa atau yang seumpamanya, yang tidak melalui proses kimia. Kurangkan minum air teh, kopi dan sebagainya. Sebaliknya banyakkan minum air suam atau air kosong.
  6. Tidur awal dan bangun awal.
  7. Banyakkan menghirup udara segar. Pastikan bilik atau rumah yang kita diami memiliki sistem pengaliran udara yang baik.

 

Petua Untuk Mencairkan Kahak

1. Ambil 2 ketul  lengkuas dan 2 ketul halia (semuanya sebesar ibu jari). Rebus bersama daun atau kulit kayu manis beserta 300 ml air. Minum setiap pagi dan malam selama 3 hari.

2. Tingkatkan kelembapan udara dengan alat pelembap, pengewap atau sedut udara yang berkelembapkan tinggi. Ia mencairkan rembesan bronkus atau kahak.

3.  Minum banyak air.

4. Kurangkan makanan yang menyebabkan banyak lendir seperti bahan tenusu, makanan yang diproses banyak kali (seperti minyak yang lama digunakan), daging, makanan remeh, gula pasir, buah-buah manis, dan makanan daripada tepung seperti roti putih.

5. Kurangkan makanan yang menghasilkan angin seperti kacang, kobis atau kobis bunga.

 

Pilihan Petua Untuk Menghilangkan Panau

Pilihan 1: Tumbuk beberapa ketul lengkuas dan perah airnya. Sapu air lengkuas pada kulit yang terkena panau. Ketika mengamalkan petua ini hendaklah tidak memakan sebarang lengkuas.

Pilihan 2: Tumbuk daun pinang hingga lumat dan sapukan pada bahagian yang terkena panau.

Pilihan 3: Tumbuk beberapa helai daun belimbing hingga lumat. Campurkan dengan asam jawa dan sedikit beras. Kemudian tampalkan ramuan pada bahagian kulit berpanau. Lakukan setiap hari sehingga panau tersebut hilang.

Pilihan 4: Tumbuk beberapa helai daun lengkuas, ambil airnya dan sapukan pada tompok-tompok panau. Lakukan beberapa kali. Untuk lebih mempercepatkan kesannya, elakkan mengambil makanan yang menggunakan lengkuas.

Pilihan 5: Campurkan secekak daun kesum dengan sedikit minyak tanah. Gosokkan pada bahagian yang mempunyai panau setiap hari sehingga panau itu sembuh.

Pilihan 6: Tumbuk lumat beberapa helai daun gelenggang. Sapu pada panau dan biarkan selama 15 minit sebelum dicuci bersih. Amalkan selalu sehingga panau hilang.

Pilihan 7: Ambil air perahan buah pinang dan sapukan pada bahagian yang berpanau. Amalkan berulang kali sehingga berhasil.

Pilihan 8: Tenyehkan pucuk lada pada kulit yang berpanau sambil berselawat. Amalkan selalu.

Pilihan 9: Tumbuk dua ulas bawang putih dan sedikit halia. Sapukan pada bahagian yang berpanau. Lihatlah hasilnya dalam beberapa hari.

Pilihan 10: Tumbuk halia sebesar ibu jari hingga lumat.Tempelkan halia ke bahagian kulit yang berpanau selama 15 hingga 20 minit. Amalkan selalu.