eMotivasi: Penyakit Dengki Boleh Membinasakan Diri

Hasad atau dengki satu daripada maksiat batin yang boleh membinasakan seseorang. Kata Imam Al-Ghazali, ia sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syarak. Katanya lagi, ketahuilah hasad itu haram dan maknanya ialah engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki atau turun bala kepada orang itu – (Hidayatus Salikin 206).

Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah. Ia boleh membinasakan diri seseorang dan amalannya. Rasulullah bersabda bermaksud: “Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” – (Riwayat Abu Daud daripada Abi Hurairah – Riadus Salihin 4:1441)

Menurut Imam Al-Ghazali, dengki itu ada tiga macam: Pertama menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan digantikan kepadanya.

Kedua, menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana merasa mustahil dirinya akan dapat menggantikannya atau memang kurang senang memperolehinya atau sebab lain. Asal orang itu jatuh, ia gembira. Ini lebih jahat daripada dengki yang pertama.

Ketiga, tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang tetapi ia benci kalau orang itu mendapat kenikmatan lebih daripada kenikmatan yang dimilikinya.

Dengki hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain.

Di dalam diri setiap manusia, memang ada keinginan kepada persaingan untuk melebihi atau mendapat nikmat yang sama. Sifat ingin bersaing secara sihat adalah halal. Ia dikenal sebagai ghibtah.

Seseorang yang menyedari dirinya serba kurang, apabila melihat orang lain maju dan mendapat lebih nikmat maka ia berusaha bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh orang lain itu. Ini bukanlah dengki sebenarnya.

Ibn Masud meriwayatkan, Rasulullah ada bersabda bermaksud: “Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan pada dua keadaan. Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda dan membelanjakannya kepada perkara kebajikan.

“Kedua keadaan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan Agama lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya.” – (Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi – Mustika Hadis 106)

Dalam hadis ini, Rasulullah menerangkan dua nikmat pemberian itu amat besar kelebihannya sehingga mustahaklah tiap-tiap orang beriri hati dan berusaha dengan bersungguh-sungguh semoga Allah mengurniakan nikmat itu. Dengan itu dapatlah ia menggunakannya menurut cara sebaik-baiknya seperti yang digunakan oleh dua orang itu.

Kesimpulannya, hasad yang membawa kerosakan dan bala tidaklah dihalalkan. Yang dituntut oleh agama ialah iri hati untuk turut berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkan nikmat Allah dan menggunakannya kepada perkara yang diredai-Nya.

eMotivasi: Petua Untuk Cepat Kaya

1. Perlu mempunyai daya fokus yang tinggi. Tetapkan matlamat kita untuk menjadi kaya, dan tetapkan jangka masa sasaran. Kemudian, berusaha dan beri tumpuan untuk mencapainya tanpa menghiraukan perkara lain yang boleh menganggu dan melambatkan usaha kita.

2. Masa memainkan peranan penting sekiranya ingin cepat kaya. Uruskan masa dengan sebaik mungkin. Lakukan banyak kerja dalam masa yang singkat. Kebiasaan manusia kerja 5 hingga 7 jam sehari, anda perlu kerja 12 hingga 14 jam setiap hari. Dengan melakukan ini, anda dapat mencapai matlamat 2 kali ganda lebih cepat daripada majoriti manusia.

3. Berjimat bila berbelanja. Wang yang diterima jangan pula dibelanja sesuka hati oleh kerana kekayaan bukan bermakna berapa banyak kita peroleh, tetapi ia bermaksud berapa banyak kita simpan. Jauhkan dari skim cepat kaya, pelaburan internet yang hanya akan membazirkan wang anda saja.

4. Aliran pendapatan berganda. Fokus pada matlamat. Sekiranya matlamat menjadi kaya, cara menjadi kaya boleh dipelbagaikan. Mulakan perniagaan kerana sembilan per sepuluh rezeki datang dari perniagaan. Kalau kerja sepenuh masa di pejabat, mulakan perniagaan sambilan. Kemudian, melabur juga wang kita (bukan pelaburan internet) untuk mendapatkan aliran pendapatan berganda. Dalam masa yang sama, pelbagaikan peluang perniagaan dan pelaburan. Ini akan gandakan pendapatan.

5. Aturkan strategi. Kejayaan kewangan bukanlah nasib. Susun strategi simpanan, pelaburan. Aturkan strategi perniagaan. Apakah langkah yang perlu diambil untuk mencapai matlamat itu? Ilmu apa yang patut ditambah untuk menjadi kaya? Siapa perlu kita dampingi untuk memudahkan kita mencapai kejayaan? Sekiranya langkah tidak menjadi, apakah pelan B yang boleh dilaksanakan?

6. Menjadi cepat kaya, bukanlah nasib (selain menang loteri). Duduk dan drafkan perancangan seperti jurubina memerlukan pelan untuk membina bangunan yang megah, anda juga perlu pelan untuk mencapai kebebasan kewangan. Untuk kaya cepat, pelan lebih mantap dan sempurna perlu dilakukan.

Petua Tenangkan Hati dan Selalu Gembira

1. Dirikan solat dan banyakkan berdoa . Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdoa turut katakan “Ya,Allah jadikan hatiku bersih.”

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 kali sebelum tidur. Di samping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat Taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa,penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah “Qulhu-allah” (Surah Ikhlas) sebanyak 3 kali.

5. Berma’af-ma’ afan sesama kawan setiap hari – Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6. Bisikan kepada diri sendiri mengenai perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. Katakanlah “Aku sebenarnya.. ….(perkara yang elok-elok belaka).

7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati “Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif”. Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya.

8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa).

10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan

14. Berkawan dengan orang baik-baik

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi)

16.  Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut…dan sebagainya), jangan dengar orang mengumpat. ?

eMotivasi: Setiap Wanita itu CANTIK

Allah s.w.t. berfirman:

“Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan.”

“Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya.”

“Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh.”

“Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya.”

“Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya.”

“Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahwa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada disisi suaminya tanpa ragu.”

” Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan bilapun ia perlukan.”

“Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya.Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya, tempat di mana cinta itu ada.”

Petua Untuk Mengubat Hati Yang Luka

1. Disiplinkan Diri Untuk Lupakan Kenangan Pahit –  Mengaku saja yang anda sering berasa sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang lalu. Anda perlu kikiskan fikiran itu dan jangan terbawa-bawa dengan emosi yang lalu. Mulai sekarang, tekad untuk melupakan semua itu. Bulatkan azam untuk memfokus kepada masa depan anda, cita-cita anda, keluarga, kerjaya, kewangan,  dan rakan-rakan.  Anda tidak akan dapat melupakan kesemua memori pahit sekaligus, tetap lakukan satu persatu dengan mengalihkan perhatian anda kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa, tetapi ia boleh dipercepatkan dengan disiplin diri.

2. Jangan Asyik Risau – Ada 2 kesan dari sikap risau ini. Pertama ia menarik nasib tidak baik, masalah dan musibah tanpa anda pinta. Kedua, ia memberi kesan buruk pada kesihatan anda dari segi fizikal dan mental. Risau membuat anda selalu menjadi sedih dan kecewa, kekadang takut. Untuk buang sikap risau, belajar untuk bertenang dan latih diri anda mengawal emosi.

3. Rajin Bersyukur – Ucap syukur atas kesemua yang anda ada. Bersyukur kerana anda masih ada 5 deria yang lengkap, Anda boleh melihat dan menarik nafas setiap kali bangun tidur.  Anda ada kawan rapat yang memahami anda. Ucap syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin, seikhlas mungkin hingga rasa syukur itu meresap jauh ke dalam diri anda. Lakukan sebanyak mungkin setiap hari.

4. Mesti Memaafkan Orang – Sikap pemaaf dapat membersihkan hati dari perasaan negatif dan emosi-emosi negatif (takut, sedih, kecewa, gusar, menyampah, marah, geram, cemburu, tidak puas hati, dendam, dan busuk hati). Ketahuilah, anda selalu rasa sedih dan kecewa kerana anda tidak memaafkan kesalahan diri anda di masa lalu ataupun anda tidak memaafkan kesalahan orang lain tehadap diri anda satu ketika dulu.  Mungkin anda susah menerima hakikat perbuatan salah orang lain terhadap diri anda, yang membuat anda sedih, kecewa dan geram.

5. Ketawa – Ketawa bukan dibuat-buat, tetapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan anda dan menjadikan anda girang. Tonton video yang lucu, baca cerita yang lucu, dekatkan diri anda dengan rakan-rakan yang lucu serta cari “funny side” dalam setiap situasi, agar anda boleh ketawa secara automatik. Ketawa dapat menghilangkan sedih. Buat apa LAYAN kecewa sedangkan anda boleh ketawa?

6. Ubah Fikiran – Anda tidak boleh merubah situasi yang boleh membuat anda kecewa, sedih dan murung. Tetapi, anda boleh merubah fikiran anda dan apa yang anda fikirkan tentang situasi-situasi tersebut walau seburuk manapun ia. Rahsianya, cari sinar mentari di sebalik mendungnya awan. Walaupun perkara tidak berpihak kepada anda, cari cara bagaimana anda boleh jumpa nilai-nilai positif di dalamnya. Fikir yang baik-baik saja, kerana ia memberi keuntungan jangka masa panjang. Rezeki anda murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada anda. Anda menjadi apa yang anda selalu fikirkan. Buat apa fikir yang buruk sedangkan anda boleh “tarik” semua yang baik-baik? Fikir yang buruk, anda dapat yang buruk. Ini hukum alam dan dinamakan Hukum Sebab dan Akibat.

7. Hati Mesti Keras – Bukan keras sembarangan. Maksudnya kekerasan hati,kesabaran yang tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka. Allah s.w.t. menurunkan musibah, permasalahan dan macam-macam lagi bukan sekadar dugaan, tetapi balasan pada perbuatan-perbuatan kita di masa lalu. Buat baik, dibalas baik, begitu juga sebaliknya. Cuba imbas kembali kejahatan kecil yang kita lakukan pada orang lain. Mungkin ada walaupun kita tidak sedar. Itulah perlunya kita bersikap baik dan berfikir yang baik-baik pada semua orang, benda, perkara, situasi dan keadaan. Sebelum masuk tidur, set minda untuk jadi ceria pada keesokan harinya. Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks dan jangan terlalu mendesak diri. Selepas bangun tidur, katakan pada diri,  ini adalah hari yang baru untuk anda.Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru itu hari yang baik, sungguh baik, sebaik yang mungkin dari hari yang sebelumnya.

ePendidikan:Petua Menghilangkan Mengantuk Semasa Belajar

1. Pasang Niat – Untuk apa anda belajar, kenapa pula anda belajar? Bila semua ini anda telah mampu jawab dengan jelas, jerit kuat-kuat dalam hati. Katakan dalam minda anda bahawa anda mesti belajar untuk menggapai matlamat anda itu. Tidak ada orang malas yang boleh berjaya. Matlamat yang benar-benar jelas akan membawa seseorang itu ke suatu tahap yang tidak pernah dijangka-jangka dan mampu menewaskan apa pun halangan yang ada di hadapannya. Mengantuk, bosan dan sebagainya bukanlah masalah.

2.Belajar dalam jangka waktu yang pendek – Ini penting. Selepas 1 jam seeloknya, berhenti sekejap. Kalau 30 minit sudah rasa penat pun tidak mengapa, berhenti sejenak. Buatlah apa-apa hobi anda. Baca novel-novel, komik-komik, main game pun tak apa, asal anda mendapat semula semangat study anda. Amalkan tabiat begini selalu, dan anda akan rasa anda tidak akan jemu untuk menelaah buku-buku pelajaran anda.

3.Dapatkan tidur yang cukup – Ramai yang terlepas pandang mengenai hal ini. Tidak ada gunanya menelaah berjam-jam tetapi hasilnya sama saja dengan mereka yang menelaah hanya sejam. Apa bezanya? Belajar dengan berkualiti nilainya memang tidak sama dengan mereka yang belajar, tetapi tiada kualiti. Jika inginkan kualiti masa belajar, pastikan anda benar-benar segar dan cergas semasa belajar. Otak yang letih sukar untuk memproses segala maklumat yang dihantar kepadanya dengan berkesan. Jadi, pastikan anda mendapat tidur yang mencukupi. Ingat, tidur yang sempurna juga merupakan salah satu strategi untuk anda berjaya di dalam pelajaran.

4. Minum Air Masak (kosong) – Jadikan amalan minum air masak sebagai amalan harian. Makan buah-buahan  selalu pun bagus. Tubuh yang kekurangan air akan lebih mudah untuk berasa letih. Letakkan sama air mineral di sebelah meja anda. Air ini akan membantu anda jadi penenang apabila anda gelisah. Jadikanlah ia suatu amalan dalam hidup anda, agar anda berasa lebih cergas dan lebih sihat dalam urusan harian.

eMotivasi: Siapa itu Wanita Ibu?

Wanita Ibu ialah wanita yang baik hati yang sentiasa menyintai rumah tangganya, Memuja anak-anaknya dan  menjunjung suaminya. Dia lebih pentingkan keluarga daripada dirinya sendiri. Dia juga adalah seorang suri rumah tangga yang sentiasa lincah bekerja dan berusaha di merata pelusok rumahnya dan tidak jemu-jemu melaksanakan tugas rumah tangga yang tidak habis itu.

Jangan Bersedih Kerana Putus Cinta

Kita mungkin pernah menangis dalam hidup ini. Tetapi adakah tangisan air mata yang keluar itu kerana takutkan Allah atau menangis kerana perkara-perkara dunia? Contohnya apabila putus cinta. Ada orang yang bersedih kerana terlalu kecewa dengan putus cinta. Ketahuilah yang dunia ini adalah bersifat sementara dan akhirat jualah yang bersifat kekal. Bersabarlah dengan ujian yang diterima dan hendaklah kita tenang menghadapinya.

eMotivasi: Jangan Bersungut Kerana Hidup Susah

Jangan bersungut kerana hidup susah, kerana ada orang yang lebih susah daripada kita. Salah satu ujian yang kita akan terima adalah dengan mengalami kesusahan hidup. Setiap orang pasti akan merasai kesusahan dalam hidup kecuali orang yang telah lahir dalam keadaan atau keluarga yang kaya raya. Sebagai seorang hamba yang beriman kita hendaklah bersyukur atas rezeki yang dikurniakan. Kesusahan yang kita alami adalah salah satu ujian dari Allah kepada kita. Apabila bangun di pagi hari janganlah sama sekali kita merungut tentang kesusahan hidup yang kita alami tetapi hendaklah sentiasa berdoa supaya dimurahkan rezeki olehNya.

Rasulullah SAW telah bersabda:

“Barang siapa yang bangun di waktu pagi sambil bersungut kerana kesusahan hidup, maka seolah-olah ia bersungut kerana perbuatan Tuhannya. Barang siapa menjadi sedih kerana perkara-perkara dunia bererti ia telah marah kepada Allah. Dan barang siapa merendahkan dirinya kepada orang kaya kerana kekayaannya maka telah hilang dua pertiga agamanya.”

Petua Membina Keyakinan Diri

  1. Anggapkan diri anda yang diciptakan oleh Allah adalah sama seperti orang lain.
  2. Jika orang lain boleh buat, kenapa anda tidak boleh buat?
  3. Kenal pasti kekurangan atau kelemahan yang ada pada diri anda dan baikinya.
  4. Jangan takut-takut atau teragak-agak untuk melakukan sesuatu yang positif.
  5. Elakkan perasaan malu yang tidak bertempat.
  6. Lakukan riadah yang ringan sebelum melakukan sesuatu pekerjaan, ianya sebagai pemanas badan yang dapat mengaktifkan diri seseorang.
  7. Sentiasa mengemas diri dan anggapkan diri anda adalah terbaik pada hari itu.
  8. Apabila berinteraksi pandang tepat pada muka dan mata orang yang kita sedang berinteraksi dan gunakan sedikit pergerakan tangan untuk menerangkan sesuatu. Jangan terlalu kaku.
  9. Apabila memulakan sesuatu tugas jangan memikirkan tentang masalah, tetapi fikirkan tentang hasilan yang akan diperolehi selepas tugas tersebut selesai.
  10. Sentiasa peka terhadap waktu, jangan berlengah-lengah atau bertangguh dalam melaksanakan sesuatu tugas.