Minum air rebusan serai dan halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Jika anda meminum air rebusan ini pagi dan malam, badan akan menjadi ringan dan bertenaga. Selain itu untuk meningkat tenaga wanita, amalkan pengambilan 4 biji telur mentah sehari.
Petua Lama Untuk Kulit Cantik Berseri
2. Selain berlulur, amalan mandi susu (berendam), juga disukai untuk mencerahkan kulit.
3. Jika ingin berseri, sesekali mereka mandi bunga dengan mencampurkan tujuh jenis bunga bersama sedikit perahan limau. Bagi wanita bersalin, mandian daun-daun kayu paling digemari untuk membuang angin di dalam badan, melancarkan peredaran darah serta mengharumkan badan.
4. Hampas kelapa digunakan untuk menyental daki. Selain itu, campuran kapur makan dan perahan limau nipis pula untuk menyental daki pada ketiak dan pelipat kaki.
5. Ada juga menggunakan beras pulut. Caranya mudah, goreng beras pulut tanpa minyak hingga kuning, kemudian tumbuk lumat. Ambil segenggam, titikkan air agar lembap,gosok pada bahagian bermasalah.
6. Bagi mengelakkan kulit kering, mereka sapukan pula gel aloe vera (lidah buaya) ataupun minyak sayur-sayuran.
7. Bedak sejuk daripada beras juga sangat elok untuk menyejukkan muka, menghilangkan ruam serta menghaluskan kulit. Biasanya beras direndam berbulan-bulan hingga lembut, dititik di atas daun pisang dan dijemur berhari-hari. Setelah kering, disimpan di dalam mangkuk tanah dan dicampur hirisan daun pandan, bunga melati atau mawar agar berbau harum.
8. Bagi mengelakkan jerawat atau gatal-gatal, kunyit hidup yang ditumbuk lumat disapu pada seluruh wajah kerana ia mengandungi antiseptik semulajadi.
9. Parutan buah jambu muda juga elok untuk menghilangkan jerawat. Bagi menegangkan kulit muka, putih telur segar (baru bertelur) disapu, manakala pupur parutan lobak dan timun untuk menyegarkan kulit.
10. Selain itu, pupur kacang hijau dan badam juga kerap digunakan untuk menjaga muka. Gel aloe vera boleh digunakan sebagai pelembap.
11. Bagi menghilangkan parut yang masih baru pada muka, kulit pisang emas (bahagian dalam) disental pada kulit muka ataupun buih daripada kayu api (misalnya kayu getah) disapukan.
Petua Menjaga Rambut Wanita
1. Walaupun pelbagai teknologi canggih diperkenalkan bagi merawat serta mencantikkan rambut, masih ramai wanita suka mengamalkan petua orang tua-tua untuk menjaga ‘mahkota’ mereka. Antara yang paling terkenal dikalangan orang Melayu ialah penggunaan santan. Khasiatnya memang terkenal untuk melembut serta melebatkan rambut. Caranya mudah, ambil kelapa tua dan perah pekat-pekat. Biarkan sejam agar patinya naik, baru disapu pada rambut. Gunakan jari atau sikat bergigi jarang. Balut dengan tuala bersih dan perap selama setengah jam.
2. Selain itu, minyak kelapa yang dibuat sendiri juga elok untuk merawat rambut kering, pecah hujung serta mudah gugur. Caranya mudah, perah santan daripada 2 atau 3 biji kelapa tua. Ambil yang pekat sahaja (dua kali perahan). Kemudian jerang di dalam kuali besar tebal. Sebaik-baiknya guna dapur kayu kerana tempoh memasak minyak kelapa ini sangat lama (hampir sehari). Kemudian biarkan ia sejuk dan baru dijaram pada kepala.
3. Minyak bijan juga elok untuk melebatkan serta menghitamkan rambut. Agar lebih harum, minyak dicampurkan dengan bunga melati atau daun pandan. Bagi mengelakkan rambut hapak, sisa minyak dipastikan telah dibasuh sebersih-bersihnya.
4. Wanita Jawa pula gemar menggunakan abu batang padi untuk mencuci rambut. Biasanya batang padi yang baru dituai, dibakar. Kemudian direndam semalaman, baru ditapis. Hampas tapisan batang padi digunakan untuk mencuci rambut kemudian dibilas dengan air rendamannya. Selepas itu baru dicuci dengan air biasa sebersih-bersihnya.
5. Bagi menghilangkan kelemumur, campur air perahan limau nipis dengan sedikit air dan genyeh pada kulit kepala. Ada juga yang rajin, mengumpul embun pada awal pagi dan diusap-usap pada pangkal rambut. Ia dipercayai mampu mempercepatkan pertumbuhan rambut serta mengelakkan sakit kepala.
6. Lendir daun bunga raya atau gel lidah buaya elok disapu pada kulit kepala untuk menyejukkannya serta mengelakkan rambut gugur. Ia juga bertindak sebagai perapi.
7. Di kalangan wanita Barat, penggunaan minyak buah pic, ginseng dan minyak bunga kesumba digunakan secara meluas untuk mengatasi rambut gugur. Ada yang menggunakan gel kaktus dan lidah buaya (aloe vera). Wanita Cina dan Jepun pula menyukai pelbagai jenis akar ginseng, akar Dong Quoi, teh herba Cina dan halia untuk merawat rambut mereka.
Petua Untuk Meningkatkan Seri Wajah
Pilihan 1: Menggunakan beras dan kunyit hidup. Goreng secawan beras dengan kunyit hidup hingga bertukar ke warna hitam. Kemudian blend, dan sapukan ke muka dan badan sebelum mandi.
Pilihan 2: Ambil beberapa helai daun pegaga. Basuh dan blend sehingga hancur. Kemudian perahkan beberapa titis air limau. Gaul rata sebelum disapukan ke seluruh wajah. Biarkan kering dan kemudian bilas dengan air bersih. Buat selalu.
Pilihan 3: Air rebusan kurma merah. Rebus kurma merah (sukatan ikut suka, kalau nak banyak kena rebus banyak juga). Setelah masak, masukkan air rebusan ke dalam gelas dan campurkan 1 sudu besar madu dan 2 sudu besar jus buah prun ke dalamnya. Minum 1 atau 2 kali sehari.
Pilihan 4: Rendam serbuk teh, masukkan ke peti ais dan biarkan semalaman. Pagi esoknya, selawat sebanyak 3 kali dan sapulah air rendaman serbuk teh ke seluruh muka sebelum mandi. Kulit anda akan beransur-ansur menjadi licin, halus dan juga berseri.
Pilihan 5: Ambil segenggam inai, rebus dan biarkan sejuk. Bila sejuk, berselawat 3 kali sambil menyapu air inai ke seluruh muka. Amalkan selama 3 malam berturut-turut. Anda akan dapat melihat hasilnya nanti.
Petua Bayi Kelihatan Pucat, Tidak Bermaya dan Letih Lesu
Petua Kembung Perut, Perut Masuk Angin atau Senudung
Pilihan 1: Ambil 3 helai daun mengkudu yang muda dan sapukan sedikit minyak kelapa. Seterusnya, layurkan ke atas api selama 2 minit. Lepas itu, tekapkan kepada perut anda. Hasilnya, angin dalam perut anda akan hilang.
Pilihan 2: Ambil 2 ulas bawang putih, kemudian, bakar hingga separuh masak. Selepas itu, kupas kulitnya dan makanlah bawang tersebut. Hasilnya, dalam masa beberapa minit sahaja, angin dalam perut akan berkurangan (keluar) dan anda akan berasa lebih selesa.
Petua Membersih dan Memutihkan Wajah
1. Ambil 4 hingga 5 helai pucuk jambu batu muda dan bersihkannya.
2. Tumbuk sampai hancur dan campurkan dengan sedikit air bersih.
3. Kemudian, sapu serta gosokkan secara perlahan-lahan bahan tersebut pada muka anda.
4. Lakukan langkah no.3 sekurang-kurang dalam 5 minit.
5. Selepas itu, cucilah muka anda dengan air bersih dan lapkannya dengan tuala lembut. Jadikan proses ini sebagai amalan untuk memutihkan kulit wajah anda.
Petua Merawat Sakit Tumit Kaki
Biasanya orang yang sudah berusia sering mengadu sakit pada bahagian tumit. Ia bukan sahaja menyukarkan berjalan tetapi juga ketika berdiri agak lama pada satu-satu tempat. Sediakan lebih kurang satu kilogram garam kasar dan goreng tanpa minyak di dalam kuali menggunakan api yang sederhana besar. Apabila semua garam mulai panas, angkat dan bungkus dalam kain bersih. Gunakan untuk menuam pada bahagian tumit anda yang sakit itu. Amalkan selalu.
Petua Untuk Kurus dan Langsing
Jika anda mengalami berat badan yang berlebihan, air limau nipis yang anda minum boleh menurunkan berat badan anda. Sediakan 2 biji limau nipis atau limau kasturi setiap hari. Perah airnya ke dalam gelas yang berisi dengan air sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk. Setelah itu bolehlah dijadikan air minuman setiap kali selepas anda makan tengahari dan makan malam. Cara ini boleh diikuti dengan senaman ringan. Amalkanlah meminumnya selama sebulan, berat badan anda akan beransur turun.
Petua Menangani Medu Angin
1. Medu angin berpunca daripada angin kotor yang mengandungi karbon dioksida dan bahan-bahan perkumuhan lain. Angin kotor tersebut terperangkap di dalam tubuh kita yang bermula daripada perut semasa proses pencernaan makanan. Kandungan asid hidroklorik yang tinggi dalam tubuh juga akan menyebabkan urat-urat/usus pengidapnya lemah/kembang dan ini memberikan ruang kepada angin kotor untuk mendudukinya. Faktor keturunan adalah pendorong utama kepada penyakit ini. Pada umumnya, pengidap sakit ini akan selalu mengalami masalah kembung perut, lemah badan, hilang semangat dan seumpamanya.
2. Angin kotor yang terperangkap di dalam usus akan mengakibatkan sembelit dan rasa senak diperut. Angin kotor yang menyongsong ke atas, akan menyebabkan pedih ulu hati dan mengganggu sistem pernafasan seperti batuk berpanjangan dan sesak nafas. Apabila ia naik ke kepala, pengidap sakit ini akan mengalami sakit kepala, pelupa, pemarah, murung, sukar tidur, selalu mengantuk atau berserabut tanpa sebab. Angin kotor yang menyongsong ke bawah akan masuk ke dalam sistem pembiakan. Bagi kaum wanita, mereka berkemungkinan besar akan mengalami senggugut angin dan boleh menyukarkan kehamilan serta ketidakselesaan. Bagi kaum lelaki pula, mereka akan mengalami sakit uluran, di mana buah zakar mereka akan membesar dan kebiasaannya besar sebelah sehingga boleh mencapai saiz sebesar sebiji buah kelapa.
3. Apabila angin kotor tersebut masuk ke dalam urat, sistem peredaran darah pesakit akan terganggu. Segala zat-zat makanan dan oksigen yang di bawa oleh darah tidak akan sampai dengan sempurna kepada organ-organ pengidap sakit ini. Oleh kerana itu, seluruh sistem tubuh mereka akan menjadi lemah dan tidak dapat berfungsi dengan baik. Mereka juga akan lebih terdedah kepada penyakit angin ahmar atau lumpuh dan pelbagai lagi jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan seumpamanya.
Petua 1: Amalkan meminum rebusan akar hempedu bumi. Ambil segenggam akar tersebut dan rebuskan dengan seperiuk kecil air. Biarkan air tersebut mendidih sehingga airnya tinggal ½ periuk. Minum segelas pagi, tengahari dan malam.
Petua 2: Ambil segenggam daun gentang guri. Rebus dan minum airnya. Manakala, akarnya diasah dan sapukan pada perut, dada dan belakang pada waktu pagi, tengahari dan malam.
Nasihat Untuk Pengidap Medu Angin – Anda dinasihatkan menjaga pemakanan. Berikut ialah di antara jenis-jenis makanan dan minuman yang dilarang makan/minum untuk sementara waktu:
1. Makanan/Minuman yang Sejuk
- Tembikai, pisang goreng/mentah, duku, ciku, manggis dan betik.
- Kangkung, kacang panjang, kacang bendi, labu, terung, keladi dan kacang hijau.
- Air batu, air wap, air kelapa dan air teh.
2. Makanan/Minuman Masam (berasid)
- Mempelam masam, semua jenis jeruk, acar, cuka dan limau masam.
- Daging kerbau.
3. Makanan/Minuman Bergas
a. Durian.
b. Tapai.
c. Air botol/tin bergas.
4. Makanan/Minuman mengandungi Kafein.
a. Kopi, Nescafe, Indo Cafe dan seumpamanya.
b. Rokok.
5. Lain-lain Makanan/Minuman Yang Boleh Mendatangkan Angin
a. Petai, jering dan kerdas.
b. Susu tin (cair, krimer atau pekat manis).
AMALAN LAIN YANG PERLU
- Buatlah senaman regangan urat sewaktu hendak tidur dan baru bangun dari tidur.
- Kalau boleh, jangan tidur malam dengan berkipas. Seandainya hendak berkipas juga, jangan pasang kipas terlalu kuat. Jika anda menggunakan penghawa dingin, hendaklah mengenakan selimut.
- Selalu amalkan meminum segelas air masak/suam pada waktu pagi supaya perut anda tidak kosong.
- Jangan biarkan perut kosong. Sekiranya terasa lapar dan tidak dapat makan banyak, makanlah sedikit agar perut tidak masuk angin.
- Apabila anda terasa ingin buang air besar atau kecil, bersegeralah ke tandas.
- Jika anda terasa ingin buang angin, jangan ditangguh-tangguhkan. Lepaskanlah.