Petua Untuk Mengurangkan Perasaan Malu

Untuk mengurangkan perasaan malu, lakukan langkah sedikit demi sedikit. Lama kelamaan, perasaan malu akan berkurangan sedikit demi sedikit. Perasaan malu datangnya terutama dari kita risaukan tanggapan orang. Contoh, kita takut “apa pula nanti orang kata kalau saya bersuara”. Anda perlu berfikiran positif dan sentiasa fikirkan orang ramai tidak akan bertanggapan negatif tentang anda. Fikirkan orang ramai ingin mendengar apa yang anda ingin kongsikan. Pada hakikatnya, ia memang benar- orang disekeliling anda ingin mengetahui lebih dalam mengenai anda. Berlakon macam anda tidak malu. Orang ramai sebenrnya tidak tahu yang anda malu. Oleh itu, tidak perlu tunjukkan yang anda pemalu.

eMotivasi: Orang Berjaya Itu Pemilih Orangnya

Orang yang berjaya sebenarnya adalah orang yang pemilih. Mereka jadi pemilih sebab mereka menjaga tahap motivasi mereka. Mereka menjaga kepositifan minda mereka. Mereka memilih dengan siapa mereka bergaul, dengan siapa mereka berkawan, makanan mereka, pakaian, kereta dan suasana tempat tinggal mereka. Apabila kita tekad untuk menjadi orang yang berjaya, kita perlu berkawan dengan orang yang mentalnya diprogramkan ke arah kejayaan. Dengan cara ini, semangat kita tidak akan pudar dari semasa ke semasa. Kita akan jadi orang pemilih, sebab kita perlu jaga motivasi kita. Jika orang yang mahu berjaya “berkepit” atau sehaluan dengan orang yang tidak mahu berjaya, pasti dia tidak akan berjaya.

Petua Untuk Anak Cepat Bercakap

1. Anda perlu selalu berkomunikasi dan berinteraksi dengan anak-anak dari usia mereka masih bayi atau ketika mereka masih belum lagi pandai bercakap.

2. Gunakan ayat yang pendek dan mudah. Apabila anda mahu menerangkan sesuatu kepada anak anda, pastikan ada ruang (pause) antara satu ayat dengan yang lain supaya anak anda berpeluang memberi maklum atau tindak balas

3. Mimik muka anda semasa bercakap amat penting. Ia mestilah bersesuaian apabila menyampaikan sesuatu maksud perkataan atau ayat

4. Selalu membacakan buku untuk anak dan meluangkan masa bercerita kepada anak

5. Dedahkan anak-anak anda kepada interaksi sosial kerana dengan cara ini anda memberi peluang kepada mereka mendengar perbualan di samping berjumpa dengan orang yang baru dikenali.

6. Anda mesti menjadi pendengar yang baik dan berusaha memberi perhatian serta cuba memahami apa yang disampaikan oleh anak-anak anda. Jika apa yang disebutnya tidak jelas, anda mesti bantunya dengan menyebut beberapa perkataan yang anda rasa mungkin itulah yang cuba disebutkan oleh anak anda.

7. Amalkan selalu menyanyi bersama-sama anak atau bercerita kepadanya.

8. Selagi mana anak boleh menggunakan beberapa patah perkataan, menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi, dan memahami arahan mudah, maka boleh dikatakan perkembangan bahasa mereka adalah normal. Perbanyakkan berbual dengan anak-anak, membacakan buku cerita kepada mereka, bertanya kepada mereka, dan cuba minta mereka bercakap.

Petua Tenangkan Hati dan Selalu Gembira

1. Dirikan solat dan banyakkan berdoa . Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdoa turut katakan “Ya,Allah jadikan hatiku bersih.”

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 kali sebelum tidur. Di samping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat Taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa,penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah “Qulhu-allah” (Surah Ikhlas) sebanyak 3 kali.

5. Berma’af-ma’ afan sesama kawan setiap hari – Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6. Bisikan kepada diri sendiri mengenai perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. Katakanlah “Aku sebenarnya.. ….(perkara yang elok-elok belaka).

7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati “Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif”. Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya.

8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa).

10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan

14. Berkawan dengan orang baik-baik

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi)

16.  Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut…dan sebagainya), jangan dengar orang mengumpat. ?

Nasihat Untuk Orang Yang Putus Cinta

Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang tidak serupa dengan anda, supaya anda dapat menjadi penilai yang baik.

Memang ALLAH sengaja menemukan anda dengan orang yang tidak sama fikirannya dengan anda, supaya anda sedar bahawa kita hanyalah makhluk yang sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH.

Memang ALLAH sengaja menemukan anda dengan orang yang tidak memahami keadaan diri anda, supaya anda dapat kasih sayang yang terbaik, khas untuk diri anda.

Memang ALLAH sengaja menemukan anda dengan orang yang tidak sempurna, supaya anda sedar bahawa ALLAH Maha Pemurah dan penyayang, kerana mengingatkan anda bahawa dia bukanlah pilihan yang hebat untuk anda dan kehidupan anda pada masa hadapan.

Memang ALLAH sengaja menemukan anda dengan orang yang sangat lain perangainya dengan anda supaya anda dapat mengutip pengalaman yang tidak semua orang berpeluang untuk mengalaminya.

Memang ALLAH sengaja menemukan anda dengan orang yang banyak rungutan itu dan ini, supaya anda  menjadi  seorang manusia yang hebat jiwanya.

Memang ALLAH sengaja menemukan anda dengan orang yang tidak penyayang, supaya anda lebih faham bahawa cinta yang terbaik hanya ada bersama Allah s.w.t.

Memang ALLAH sengaja menemukan anda dengan orang yang banyak sombong dan bangga diri, supaya anda lebih mengenali kehidupan yang tidak selamanya kekal.

Wahai sahabat yang kecewa, menderita dan sengsara kerana cinta, fahamilah bahawa kehidupan kita semakin sampai ke penghujungnya. Hari esok pun kita sendiri tidak pasti samaada ia menjadi milik kita.

Gapailah keredhaan ALLAH dengan melaksanakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Percayalah,  sesungguhnya ALLAH s.w.t. akan mendengar segala permintaan hambaNya  yang menadah tangan meminta dengan penuh pengharapan HANYA kepadaNya.

Sabarlah sahabatku. Ceriakan hatimu. Kerana ALLAH itu sentiasa ada bersamamu, selagi mana anda taat padaNya.

Petua Untuk Mengubat Hati Yang Luka

1. Disiplinkan Diri Untuk Lupakan Kenangan Pahit –  Mengaku saja yang anda sering berasa sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke memori silam yang lalu. Anda perlu kikiskan fikiran itu dan jangan terbawa-bawa dengan emosi yang lalu. Mulai sekarang, tekad untuk melupakan semua itu. Bulatkan azam untuk memfokus kepada masa depan anda, cita-cita anda, keluarga, kerjaya, kewangan,  dan rakan-rakan.  Anda tidak akan dapat melupakan kesemua memori pahit sekaligus, tetap lakukan satu persatu dengan mengalihkan perhatian anda kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa, tetapi ia boleh dipercepatkan dengan disiplin diri.

2. Jangan Asyik Risau – Ada 2 kesan dari sikap risau ini. Pertama ia menarik nasib tidak baik, masalah dan musibah tanpa anda pinta. Kedua, ia memberi kesan buruk pada kesihatan anda dari segi fizikal dan mental. Risau membuat anda selalu menjadi sedih dan kecewa, kekadang takut. Untuk buang sikap risau, belajar untuk bertenang dan latih diri anda mengawal emosi.

3. Rajin Bersyukur – Ucap syukur atas kesemua yang anda ada. Bersyukur kerana anda masih ada 5 deria yang lengkap, Anda boleh melihat dan menarik nafas setiap kali bangun tidur.  Anda ada kawan rapat yang memahami anda. Ucap syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin, seikhlas mungkin hingga rasa syukur itu meresap jauh ke dalam diri anda. Lakukan sebanyak mungkin setiap hari.

4. Mesti Memaafkan Orang – Sikap pemaaf dapat membersihkan hati dari perasaan negatif dan emosi-emosi negatif (takut, sedih, kecewa, gusar, menyampah, marah, geram, cemburu, tidak puas hati, dendam, dan busuk hati). Ketahuilah, anda selalu rasa sedih dan kecewa kerana anda tidak memaafkan kesalahan diri anda di masa lalu ataupun anda tidak memaafkan kesalahan orang lain tehadap diri anda satu ketika dulu.  Mungkin anda susah menerima hakikat perbuatan salah orang lain terhadap diri anda, yang membuat anda sedih, kecewa dan geram.

5. Ketawa – Ketawa bukan dibuat-buat, tetapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan anda dan menjadikan anda girang. Tonton video yang lucu, baca cerita yang lucu, dekatkan diri anda dengan rakan-rakan yang lucu serta cari “funny side” dalam setiap situasi, agar anda boleh ketawa secara automatik. Ketawa dapat menghilangkan sedih. Buat apa LAYAN kecewa sedangkan anda boleh ketawa?

6. Ubah Fikiran – Anda tidak boleh merubah situasi yang boleh membuat anda kecewa, sedih dan murung. Tetapi, anda boleh merubah fikiran anda dan apa yang anda fikirkan tentang situasi-situasi tersebut walau seburuk manapun ia. Rahsianya, cari sinar mentari di sebalik mendungnya awan. Walaupun perkara tidak berpihak kepada anda, cari cara bagaimana anda boleh jumpa nilai-nilai positif di dalamnya. Fikir yang baik-baik saja, kerana ia memberi keuntungan jangka masa panjang. Rezeki anda murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada anda. Anda menjadi apa yang anda selalu fikirkan. Buat apa fikir yang buruk sedangkan anda boleh “tarik” semua yang baik-baik? Fikir yang buruk, anda dapat yang buruk. Ini hukum alam dan dinamakan Hukum Sebab dan Akibat.

7. Hati Mesti Keras – Bukan keras sembarangan. Maksudnya kekerasan hati,kesabaran yang tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka. Allah s.w.t. menurunkan musibah, permasalahan dan macam-macam lagi bukan sekadar dugaan, tetapi balasan pada perbuatan-perbuatan kita di masa lalu. Buat baik, dibalas baik, begitu juga sebaliknya. Cuba imbas kembali kejahatan kecil yang kita lakukan pada orang lain. Mungkin ada walaupun kita tidak sedar. Itulah perlunya kita bersikap baik dan berfikir yang baik-baik pada semua orang, benda, perkara, situasi dan keadaan. Sebelum masuk tidur, set minda untuk jadi ceria pada keesokan harinya. Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks dan jangan terlalu mendesak diri. Selepas bangun tidur, katakan pada diri,  ini adalah hari yang baru untuk anda.Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru itu hari yang baik, sungguh baik, sebaik yang mungkin dari hari yang sebelumnya.

Petua Memahami Cemburu Wanita

Kebanyakan lelaki berkata mereka tidak faham apa sebenarnya yang dimahukan oleh wanita yang cemburu. Menurut mereka, walau apa sekalipun yang mereka buat, isteri mereka yang cemburu tetap juga cemburu. Ditinjau daripada satu sudut, cemburu ialah manifestasi hilangnya rasa selamat dari dalam hati si pencemburu. Hilangnya rasa selamat bukan hanya menimbulkan cemburu, tetapi juga menghilangkan rasa kepuasan. Menurut pakar-pakar psikologi, bagi seseorang wanita apabila dia berkahwin, dia mendapat kepuasan daripada 2 sumber. Sumber kepuasan wanita yang pertama ialah tingkah-laku suaminya kepadanya. Dalam erti kata yang lain, dia mendapat kepuasan daripada cara-cara suaminya melayan dirinya. Setiap kali suaminya melayan dia dengan cara yang positif, maka wanita berasa sangat puas. Sebagai contoh, perbuatan membantu isteri membasuh pinggan lepas makan adalah tingkah-laku positif. Setiap kali si suami membasuh pinggan selepas makan, maka si isteri berasa sangat puas. Ini bermakna, untuk memuaskan hati isteri, lelaki digalakkan membuat banyak perkara-perkara yang positif.

Sumber kepuasan wanita yang kedua datang daripada makna yang diberikan olehnya ke atas tingkah-laku suaminya. Mana-mana perbuatan lelaki yang diberi makna dan nilai tinggi oleh wanita mecipta rasa kepuasan yang tinggi kepada wanita. Hasilnya, setiap kali seseorang suami melakukan perbuatan-perbuatan begitu, maka isterinya berasa sangat puas. Sebagai contoh, perbuatan lelaki memuji masakan isterinya diberi makna dan yang tinggi oleh si isteri. Setiap kali seseorang suami memuji masakan isterinya, maka isterinya berasa sangat puas. Ini bermakna lelaki perlu mengetahui pelbagai tingkah-laku suami yang diberi makna dan nilai tinggi oleh isterinya, dan mereka digalakkan banyak menunjukkan tingkah-laku jenis itu kepada isteri.

Katakan suami melakukan berbagai-bagai perkara. Setiap perkara yang dilakukannya diberi makna dan nilai oleh isterinya. Apabila perkara itu diberi nilai tinggi, setiap kali si suami melakukan perkara itu ke atas diri si isteri, maka si isteri mengecapi rasa puas yang sangat tinggi. Begitu juga yang sebaliknya. Setiap kali suami melakukan perkara-perkara yang diberi nilai rendah oleh isterinya, maka si isteri akan berasa amat tidak puas. Sebagai contoh, perbuatan balik lambat diberi nilai yang amat rendah oleh wanita, maka setiap kali lelaki balik lambat, isterinya akan berasa amat tidak puas. Tetapi lelaki ingin tahu, bagaimanakah wanita memberikan nilai tinggi ataupun nilai rendah ke atas perbuatan dan tingkah-laku suami? Beginilah cara wanita memberikan makna dan nilai ke atas tingkah-laku suami mereka. Sebahagian daripada apa yang dilakukan oleh lelaki, mereka hanya melakukan perkara itu dengan isteri sahaja. Sebahagiannya pula mereka tidak pernah melakukannya dengan isteri. Manakala ada pula perkara-perkara yang mereka lakukan baik dengan isteri mahupun dengan orang-orang lain.

Berikut ialah kriteria yang digunakan oleh wanita untuk memberikan nilai tinggi ataupun rendah ke atas tiap-tiap tingkah-laku suami :

1. Eksklusif Dengan Isteri
Bagi wanita, tingkah-laku suaminya yang bersifat eksklusif, iaitu ia hanya dilakukan oleh si suami dengan si isteri seorang sahaja, diberi nilai yang amat tinggi oleh wanita. Contoh perbuatan eksklusif yang dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja ialah seks. Jadi, semua tingkah-laku seksual si suami diberi nilai yang sangat tinggi oleh isteri selagi tingkah-laku seksual itu hanya dilakukan oleh si suami dengan si isteri sahaja. Tingkah-laku seksual termasuklah semua perbuatan yang mengiringi nafsu seks, dengan persetubuhan sebagai perbuatan yang paling tinggi nilainya. Itulah sebabnya setiap kali suaminya melakukan perbuatan-perbuatan seksual ke atas si isteri, maka si isteri mengecapi kepuasan yang sangat tinggi.

Kajian pakar-pakar mendapati lain-lain perbuatan lelaki yang dianggap eksklusif oleh wanita ialah:

a. Bercakap-cakap dan berbual-bual mesra lama-lama
Ramai lelaki menyangka mereka boleh melakukan perbuatan ini dengan wanita-wanita yang menjadi rakan-rakan rapat mereka dan lelaki menganggap perbuatan itu tidak patut menimbulkan rasa curiga di hati isteri mereka. Tetapi, bagi wanita perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja, tidak boleh dengan mana-mana wanita lain. Itulah sebabnya wanita berasa cemburu yang kuat apabila suaminya menghabiskan waktu yang panjang bercakap-cakap dan berbual-bual mesra dengan wanita lain, tanpa mengira siapa wanita itu kepada suaminya.

b. Usik-mengusik, bergurau senda dan bergelak ketawa
Bagi wanita perbuatan ini juga hanya boleh dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja, tidak boleh dengan mana-mana wanita lain. Itulah sebabnya perbuatan ini juga menimbulkan perasaan cemburu yang amat kuat di hati wanita.

c. Mencurahkan masalah peribadi
Bagi wanita, suaminya tidak patut mencurahkan perasaan dan masalah peribadinya kepada wanita lain kecuali dirinya. Oleh yang demikian perbuatan ini juga menimbulkan perasaan cemburu yang amat kuat.
Apabila lelaki melakukan tingkah-laku yang sepatutnya sangat eksklusif itu dengan wanita lain, nilai tingkah-laku itu jatuh menjunam-junam di mata si isteri. Kepada si isteri, kini tingkah-laku itu tidak lagi membawa makna dan kepuasan yang sama seperti dulu. Itulah sebabnya, sebarang tingkah-laku seksual suaminya yang menyebabkan perbuatan itu kini tidak lagi ekslusif dengan dirinya seorang, ia menimbulkan reaksi cemburu yang sangat kuat daripada isteri.

2. Eksklusif Tanpa Isteri
Lelaki juga melakukan pelbagai perkara dengan orang-orang lain tetapi tidak pernah dengan isterinya. Sebagai contoh, lelaki tidak bermain bola dengan isterinya. Tingkah-laku suami yang tidak pernah dibuat dengan isterinya diberikan nilai yang rendah oleh si isteri. Jadi, perbuatan suaminya bermain bola dengan lelaki-lelaki lain tidak menimbulkan cemburu isterinya.

3. Inklusif
Ada kalanya lelaki melakukan perbuatan-perbuatan baik dengan isterinya, mahupun dengan orang-orang lain. Sebagai contoh ialah perbuatan makan. Perbuatan makan dilakukan oleh lelaki baik dengan isterinya dan juga dengan orang-orang lain. Perbuatan jenis ini diberi nilai yang sederhana tingginya. Setiap kali si suami makan bersama isterinya, si isteri berasa sederhana puas. Jadi perbuatan suaminya duduk makan semeja dengan rakan-rakan wanita sekerjanya menimbulkan reaksi cemburu yang sederhana kuatnya. Inilah asas kepada rasa kepuasan seorang isteri. Apabila tingkah-laku yang dulu eksklusif dengan dirinya, kini dilakukan juga oleh suaminya dengan wanita lain, maka nilai tingkah-laku itu turun, ataupun hilang sama sekali. Akibatnya, tingkah-laku suaminya itu tidak lagi memberi kepuasan kepadanya. Sebagai contoh, jikalau suaminya menciumnya, dia berasa sangat puas kerana perbuatan itu adalah eksklusif. Apabila suaminya juga mencium wanita lain, dia akan berasa sangat cemburu. Akibatnya, apabila suaminya mencium dia, ciuman suaminya itu tidak lagi memuaskannya.

Itulah sebabnya, setelah seseorang lelaki berkahwin lain, seks yang serupa tidak lagi memberi kepuasan yang serupa kepada isteri tuanya. Malah ia mungkin tidak memberikan apa-apa kepuasan lagi kepadanya, kerana kini seks bukan lagi tingkah-laku suaminya yang eksklusif dengan dirinya seorang. Kini suaminya juga melakukan tingkah-laku seksual itu dengan wanita lain. Inilah faktor yang membuat nafsu seks isteri tua menurun ataupun hilang sama sekali apabila dia mengetahui bahawa suaminya melakukan hubungan seks dengan mana-mana wanita lain. Jadi, walaupun seseorang lelaki masih memberikan seks yang serupa kepada isterinya, si isteri tidak lagi mengecapi nikmat yang sama, kerana kini nilai tingkah-laku seksual suaminya sudah turun amat rendah, ataupun hapus sama sekali.

Tetapi apakah faktor yang sebenarnya menurunkan ataupun menghapuskan nilai tingkah-laku si suami?

1. Perubahan tafsiran
Nilai itu turun kerana setelah suaminya melakukan seks dengan wanita lain, kini si isteri memberikan tafsiran yang berbeza kepada semua tingkah-laku suaminya. Perubahan tafsiran itulah yang menurunkan nilai tersebut.
Kalau dulu si suami membelikan kain batik untuk si isteri dan pemberian itu ditafsirkan oleh si isteri sebagai “Tanda kasih suaminya kepada dirinya”, tetapi setelah suaminya kahwin lain, kini si isteri mengatakan “Dia belikan kain batik sebab dia hendak menutup rasa bersalahnya.” Tafsiran seperti itulah yang menyebabkan si isteri tidak lagi mendapat kepuasan yang sama daripada kain batik itu.

2. Perubahan Penilaian
Kepuasan wanita juga hilang disebabkan cara-cara bagaimana dia kini menilai hubungannya dengan suaminya. Nilai itu berubah apabila dia tahu bahawa suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain. Dulu si isteri berasa puas dengan apa yang dinikmati dalam perkahwinannya. Dulu dia puas kerana sebelum suaminya curang kepadanya, dia menilai mutu hubungannya tanpa membandingkan dengan hubungan lain. Kini, dia percaya hubungan suaminya dengan dirinya tidak sebaik hubungan suaminya dengan wanita lain itu. Akibat perbandingan itu, si isteri percaya dia tidak menikmati hubungan yang sebaik apa yang dinikmati oleh suaminya dengan wanita tersebut. Dia percaya kini suaminya menikmati lebih banyak kepuasan dengan wanita itu, manakala dia sendiri berasa dia tidak sepuas suaminya. Dia juga percaya suaminya tidak berapa puas dengan dirinya dan suaminya lebih puas dengan wanita itu.

3. Ramalan Negatif
Dengan persepsi seperti itu, si isteri yakin suaminya akan melabur lebih banyak ke dalam hubungannya dengan wanita lain itu. Malah dia percaya ada kemungkinan suaminya akan meninggalkan dirinya sama sekali. Itulah sebabnya kini dia tidak lagi menikmati rasa puas dengan hubungannya dengan suaminya, walaupun suaminya masih memberikan layanan yang sama seperti dulu.

4. Perubahan Persepsi
Rasa tidak puas juga datang daripada persepsinya bahawa kini kasih sayang suaminya sudah berkurangan, walaupun suaminya beria-ia mengatakan itu tidak benar. Rasa tidak puas hati itu datang daripada perasaan bahawa dirinya kini sudah tersisih dan terkeluar daripada sebahagian aktiviti suaminya. Dalam lain perkataan, dia kini tahu bahawa ada kalanya suaminya melakukan aktiviti-aktiviti di mana dia tidak diberi tempat sama sekali, seperti apabila suaminya berada bersama-sama dengan wanita lain itu. Dia juga juga membayangkan bahawa di dalam aktiviti-aktiviti tertentu, suaminya mendapat lebih banyak keseronokan apabila aktiviti itu dilakukan bersama wanita itu. Seterusnya, dia juga tidak puas hati lagi dengan apa-apa yang diterima daripada suaminya kerana kini perkara-perkara itu tidak lagi eksklusif baginya seorang.

Semoga anda dapat membantu para suami memahami pasangan masing-masing dengan lebih baik.

SUMBER: Artikel ini dipetik

ePsikologi: Tabiat Merajuk

Punca Merajuk – Merajuk ini berpunca dari hati yang kurang ada rasa kehambaan. Bila tidak rasa diri hamba, dia akan merasakan yang dirinya itu tuan. Sebagai tuan, dia perlulah dimuliakan. Kata-katanya perlu didengar dan dikotakan. Sebenarnya, hatinya marah kerana tidak diberi perhatian. Tetapi mungkin kerana malu atau tidak ada kuasa, ataupun mungkin kerana beranggapan yang marah-marah itu satu sikap yang lebih tidak baik, marahnya pun tidak dilepaskan. Sebaliknya, dia mengalihkan marahnya kepada merajuk. Dengan merajuk, orang akan faham yang dia sebenarnya marah walaupun dia sekadar mendiamkan diri sahaja.

Apakah Merajuk Lebih Baik dari Marah? – Kedua-duanya adalah sifat terkeji yang mesti diungkai. Kedua-duanya timbul dari rasa diri mulia yang mesti dihormati. Lebih ditakuti lagi kalau orang yang merajuk itu menyangka yang sikapnya itu tidak salah atau dirinya itu lebih baik daripada orang yang marah-marah. Dia sebenarnya sudah tertipu. Dan kalau dia tidak bertaubat atas dosanya ini, dia akan dihukum di akhirat kelak.

Bagaimana Mengubati Sikap Merajuk? – Untuk mengubati sikap merajuk, kita perlulah tanamkan sifat berTuhan dan sifat kehambaan. Sifat berTuhan ialah merasakan yang Tuhan itu Maha Berkuasa. Dia boleh timpakan apa sahaja ke atas kita sama ada perkara yang kita suka ataupun tidak. Kalau kita membantah sama ada dengan cara marah-marah atau merajuk, kita bukan sahaja marah atau merajuk kepada orang yang menyakiti hati kita itu, tetapi kita juga sebenarnya menentang takdir Tuhan ke atas diri kita. Kalau Tuhan tidak izinkan perkara itu berlaku ke atas kita, tentu ia tidak akan berlaku. Berlakunya ia ke atas kita ialah kerana Tuhan memang hendakkan perkara itu berlaku.

Sifat kehambaan pula ialah merasakan yang kita ini hamba yang lemah dan tidak berkuasa. Siapalah kita yang hendak menolak takdir Tuhan. Kita harus terima apa sahaja yang Tuhan timpakan ke atas kita. Kalau orang tidak muliakan kita, memang kita pun tidak layak untuk dimuliakan. Sebagai hamba, kita juga merasakan yang diri kita banyak berdosa. Justeru itu, layak sangatlah kalau hati kita disakiti, moga-moga dengan kita bersabar, Tuhan akan hapuskan dosa-dosa kita. Kita juga mungkin sudah lebih banyak menyakiti hati orang lain. Lantaran itu, kita patutlah bersabar bila hati kita sedikit sebanyak disakitkan pula.

Petua Untuk Menghadapi Hari Tua

Anda merasakan anda sudah tua kerana sikap anda yang pelupa? Anda asyik lupa dimana kali terakhir anda meletakkan sesuatu? Orang di sekeliling selalu marahkan anda kerana lupa tarikh penting, lupa letak barang, lupa makan ubat, lupa fakta-fakta, lupa tutup kipas, lupa arah jalan, lupa nama orang dan macam-macam lagi. Sebenarnya, kita dapat meningkatkan daya ingatan atau mengurangkan risiko menjadi pelupa dengan mengamalkan petua-petua ini secara berterusan. Lebih baik jika kita mempraktikkan ketika usia masih muda supaya kelak di hari tua kita tidak menjadi terlalu pelupa.

Amalkan tidur yang cukup
1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yang cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat/data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Oleh itu, amalan tidur yang cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.

Mengawal Tekanan
Tekanan hanya akan membuat jiwa anda tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan anda terganggu. Anda juga lebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran. Anda tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan anda juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan anda dengan baik seperti bermeditasi, membaca Al-Quran, sauna, aromaterapi dan sebagainya.

Berhati-hati dengan pengambilan vitamin atau makanan tambahan.
Sesetengah produk yang dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan kita. Ada yang kononnya dapat meningkatkan daya ingatan. Tetapi sebaliknya ada yang memberi kesan sampingan. Oleh itu, lebih baik jika kita mendapatan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan kita dengan pemakanan seimbang atau rujuk dulu doktor yang bertauliah sebelum membeli makanan tambahan.

Bersenam.
bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak. Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik. Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.

Elakkan kemurungan
Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup anda tidak ceria. Anda sentiasa berada dalam kedaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama-kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan anda dan membuat anda tidak hirau dengan persekitaran anda. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatrik atau beramal ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.

Awasi pengambilan ubat
Daya ingatan mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.

Belajar sesuatu yang baru
Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya Bahasa Jepun, kursus kemahiran jangka pendek, menjahit, atau menghadiri ceramah dan motivasi.

Permainan
Bermain sesuatu permainan seperti board games dapat merangsang minda. Contohnya, Catur, scrabble (sahibba) dan monopili. Selain itu, teknologi sekarang lebih baik seperti permainan komputer dan playstation. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.

Banyak membaca
Jadikan amalan membaca sabagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit sebanyak fakta yang terkandung didalam bahan bacaan.

Katakan berulang kali
Untuk mengingati ingatan anda tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga anda benar-benar ingat akan maklumat tersebut.

Bermain dengan angka
Asahkan minda anda dengan cuba bermain dengan angka seperti mengingati nombor telefon raan-rakan. Selain itu, anda boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

Membaca Al-Quran
Sekiranya anda seorang muslim, amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat sehari. Membaca Al-Quran dapat menerangkan jiwa, menenangkan perasaaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik.

Petua Untuk Meningkatkan Kekuatan Minda

1. Ajar Kepada Orang Lain

Jika ada sesuatu yang ingin anda pelajari, ajarkannya kepada orang lain. Proses pembelajaran secara tradisional ini akan membantu anda untuk mudah menghafal sesuatu idea. Pun begitu, anda mesti benar-benar memahami konsep dan bagaimana cara mengaplikasikannya. Untuk mengajar seseorang, kita harus bersedia dengan segala pertanyaan yang akan diajukan terhadap anda serta bersedia melihat topik dari sudut pandangan yang berbeza. Dengan berbuat begitu, kita sendiri mudah meningkatkan pemahaman kita. Mengajar orang lain juga bermaksud kita sentiasa mengulang-ulang ilmu yang kita perolehi. Secara tidak langsung ilmu itu akan berkembang dan lebih mendalam di dalam minda kita.

2. Tulis Artikel

Memang mudah untuk mempelajari sesuatu dari buku. Hanya dengan membaca anda boleh memperolehi ilmu itu. Tapi apakah ilmu yang anda pelajari itu akan lebih mendalam dan berkesan hanya dengan membaca? Dalam sesuatu keadaan, jika anda perlu menulis sebuah artikel berkenaan dengan sesuatu topik, apakah anda dapat menghasilkan sesuatu yang lebih baik hanya dengan menulis? Oleh itu, jika anda mahu menjadi ahli dalam suatu topik pilihan anda, baca dan tulislah buku mengenai hal tersebut. Ini akan memungkinkan anda untuk menelusuri aspek-aspek lain yang sedang anda pelajari. Dengan menuliskannya juga, anda akan menghubungkannya dengan idea-idea yang sudah anda ketahui dan menciptakan sebuah jaringan pengetahuan yang lebih baik.

3. Bermula dengan sebuah Blog.

Belajar sesuatu melalui sebuah blog dengan menulis dan bercerita mengenai pengalaman anda. Ini akan meningkatkan proses pembelajaran anda. Menulis sebuah blog membuatkan anda berfikir sesuatu yang pernah berlaku dan akan berlaku di masa hadapan yang kemudian anda tulis orang lain dapat mengetahuinya. Jika anda ingin meningkatkan kemampuan otak anda ke-level yang berikutnya, saya menyarankan anda untuk bermula dengan blog anda sendiri. Menulis blog akan menjadi hal yang menarik secara intelektual sekaligus dapat menjadi aktiviti harian yang akan menjana kemampuan minda anda.

4. Jagalah tubuh anda dengan baik.

Sementara anda mencuba untuk meningkatkan kemampuan belajar anda, anda harus memastikan otak dan tubuh anda dalam keadaan sihat. Otak adalah sebahagian dari tubuh yang memerlukan banyak bahan bakar dan oksigen jika anda mengharapkannya dapat berfungsi secara efisyen. Dalam proses pembelajaran, anda harus memberi makan dan merawat tubuh dan otak anda untuk memaksimakan proses.

Untuk mencapai matlamat tersebut, anda harus:

  • Makan setiap beberapa jam untuk mempertahankan gula darah anda pada level yang tinggi.
  • Bersukan setiap hari.
  • Melakukan rekreasi secara releks beberapa minit setiap hari.
  • Tidur sekurang-kurangnya tujuh jam setiap hari.
  • Minum banyak air.
  • Makan sedikit. Makan yang berlebihan cenderung membuat orang menjadi mengantuk.

5. Belajar dengan Teknik Gambaran.

Belajar sesuatu dengan teknik gambaran. Mulakan proses pembelajaran dengan melihat gambar dan menterjemahkannya menjadi satu idea. Dari buku bergambar, cuba belajar dengan menggunakan panca indera dan penglihatan. Saat anda perlu memahami suatu hal dengan cepat, indera penglihatan akan membantu anda untuk membuat gambaran tentang suatu topik pada fikiran anda. Gambarkan juga pada selembar kertas. Anda boleh gambarkan apapun, sebuah imaginasi, grafik, atau hanya aliran waktu. Sentiasa tambahkan gambaran pada fikiran anda sementara anda belajar dan cuba menciptakan terus gambar di fikiran anda selagi anda berfikir. Lebih baik lagi jika anda tidak membatasi diri anda dengan gambar visual. Belajarlah dengan kekuatan panca indera tersebut yang disertakan sekali dengan idea pemikiran anda.

6. Tingkatkan Motivasi Anda.

Motivasi adalah alat untuk meningkatkan daya ingatan dan kesedaran. Cuba fikirkan mahasiswa sekolah yang berusaha sebelum ujian bermula. Mereka memiliki motivasi yang tinggi kerana ingin memperolehi sesuatu yang lebih baik dalam peperiksaan tersebut. Mereka dapat menguasai sesuatu ilmu itu kerana mereka mahu. Motivasi ini membuat proses pembelajaran mereka pada tahap motivasi yang tinggi. Jika anda bukan lagi mahasiswa yang suka menunggu dan menanti namun tetap ingin memotivasikan diri anda, cubalah berfikir sesuatu yang berkaitan dengan cita-cita. Jika anda menciptakan suatu cita-cita yang terus anda kejar, maka anda akan belajar lebih cepat sebagai motivasi untuk mendapatkan cita-cita tersebut.  Sebagai contoh, jika anda belajar atau bekerja untuk memahami satu subjek yang berlembar-lembar, anda mungkin akan memberi motivasi diri anda untuk pergi ke kedai buku atau perpustakaan, bermain video game, atau mungkin menonton rancangan TV kegemaran anda. Oleh itu, pilihlah jenis motivasi yang sesuai dengan anda.

7. Belajarlah Selagi Anda Belum Tidur.

Alangkah indahnya bila anda dapat menghabiskan waktu tidur sambil mempelajari bahan pelajaran dengan hanya menekan  CD player anda? Tentu saja indah. Tetapi bolehkah kita belajar sesuatu perkara semasa kita tidur? Satu kajian dari sebuah universiti mengatakan bahawa kita dapat belajar semasa tidur, namun perkara itu tidak dapat dilakukan jika anda tertidur nyenyak. Namun,  menunjukan bahwa anda dapat belajar pada masa tidur ringan, sebuah keadaan sebelum anda tertidur nyenyak. Perlu diingat bahwa apa yang anda dengar itu tidak lebih dari fakta, kosa kata, dan perkara yang ringan lainnya. Anda tidak dapat mempelajari sesuatu yang berat pada tahap tidur ringan.