Petua Untuk Bersabar

1. Jangan terlalu memikirkan mengenai masalah, sakit kepala dan kesakitan serta mengharapkan simpati dan perhatian daripada orang lain.

2. Terimalah hakikat bahawa lebih banyak perhatian yang anda berikan kepada perkara-perkara ini lebih teruklah keadaan anda nanti. Semua perkara akan menjadi kelam kabut dan hati anda terluka dan berasa tidak sabar kerana orang lain tidak ambil peduli.

3. Jangan fikir anda harus menunjuk kepada orang lain bahawa anda berada dalam keadaan yang betul dan dapat memenangi hati mereka dalam setiap perkara yang anda lakukan.

4. Terimalah hakikat betapa sukarnya untuk menyenangkan hati setiap orang pada setiap masa. Pastikan bahawa anda bersikap adil dan wajar dan biarkan masa menentukannya.

5. Jangan fikir anda mengetahui benar apa yang terbaik untuk orang lain.

6. Terimalah hakikat sementara anda boleh terus cuba memujuk, tetapi akan menimbulkan kesusahan untuk mengharapkan mereka melakukan apa yang anda hendakkan. Ini tentunya mencetuskan ketidaksabaran ke atas kedua-dua pihak.

7. Jangan memikirkan bahawa kerana terdapat mereka yang tidak bersetuju dengan anda, mereka bersifat tidak wajar terhadap anda.

8. Terimalah hakikat bahawa manusia berhak kepada pandangan yang dikemukakan. Anda mengharapkan mereka membenarkan anda mendapat hak yang sama itu.

9. Jangan fikirkan mengenai semua perkara buruk yang akan berlaku ke atas diri anda.

10. Terimalah keadaan bahawa setiap orang mempunyai masa rehatnya. Cuba lihat di luar daripada diri anda.

11. Bersimpati terhadap orang lain akan membantu anda bersifat lebih sabar.

12. Jangan fikirkan bahawa sifat yang tidak menentu itu (moodiness) dalam diri seseorang adalah terlalu penting.

13. Terimalah hakikat kadangkala diri kita yang baik inipun boleh mengalami sifat berubah-ubah atau tidak menentu itu.

14. Jangan fikir bahawa cita-clta dan apa yang anda kehendaki adalah terlalu penting.

15. Terimalah hakikat bahawa wujudnya kesulitan jika terlalu mengharapkan sesuatu perkara dalam hidup, terhadap diri anda dan orang lain. Jika anda terlalu berharap, kedukaan dan kekecewaan akan menjadikan anda sedih dan berkelakuan hilang sabar.

Etika Makan Secara ISLAM

Dalam Islam, Allah s.w.t. telah memilih Rasulullah s.a.w.untuk menjadi model kepada seluruh alam sejagat. Baginda juga turut membawa perkara yang boleh disifatkan sebagai penyempurna akhlak manusia. Di antara perbuatan Rasulullah yang perlu diikuti dan dihayati bersama adalah dari aspek tatacara pemakanan sihat Rasulullah SAW.

MULAKAN dengan BISMILLAH

Dari ‘Aisyah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, ” Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni: ‘Bismillah’ ). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ “(HR Abu Dawud dan atTirmidzi.)

GUNAKAN TANGAN KANAN

Dari Salamah bin al-Akwa’ r.a., seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah s.a.w. Maka Baginda berkata: “Makanlah dengan tangan kanan mu”. Lelaki itu berkata: “Aku tak boleh”. Baginda menjawab, “Engkau tidak boleh?  Tidaklah yang menghalangnya kecuali sifat bongkak! Kemudian tidak dapat diangkat tangannya ke mulut.” (HR Muslim)

Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan engkau makan dengan (tangan) kiri mu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya.” (HR Muslim)

AMBIL MAKANAN YANG BERHAMPIRAN

Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata:”aku merupakan hamba di rumah Rasulullah s.a.w., dan pernah tanganku menjalar-jalar keserata hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah s.a.w berkata: “Wahai budak, ucapkan ‘Bismillah’, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu.” (HR Bukhari dan Muslim)

GUNAKAN TIGA JARI

Dari Ka’ab bin Malik r.a., “Aku melihat Rasulullah s.a.w. makan menggunakan tiga jari..(ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)” (HR Muslim)

JANGAN MENCELA MAKANAN

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: “Tidak sekali-kali Rasulullah s.a.w mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan” (HR Bukhari dan Muslim)

JANGAN BERSANDAR KETIKA MAKAN

Dari Abi Juhaifah Wahb bin Abdullah r.a. berkata: Rasullah s.a.w bersabda, “Aku tidak makan sambil bersandar” (HR Bukhari)

KUTIP MAKANAN YANG TERJATUH

Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah s.a.w., “Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberakartan” (HR Muslim)

MULAKAN MAKAN DARI TEPI atau PINGGIR

Dari Ibn Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: “Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah”

(HR Abu Dawud dan Tirmidzi).

JILAT JARI SETELAH SELESAI MAKAN

Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau dijilatkan (oleh orang lain)” (HR Bukhari dan Muslim)

DOA SETELAH SELESAI MAKAN

Dari Abi Umamah r.a., “Adalah Nabi s.a.w. apabila selesai makan menyebut, ‘Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi’in’. wa la mustaghnan ‘anhu rabbana’ ” (HR Bukhari).

Dari Muad bin Anas r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang selesai makan, kemudian menyebut, ‘Alhamdulillah- illazi ath’amani haaza, wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwatin’, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Tirmidzi)

DIGALAKKAN BERCAKAP SEMASA MAKAN

Dalam al-Adzkar, Imam Nawawi mengatakan, “Dianjurkan berbicara ketika makan. Berkenaan dengan ini terdapat sebuah hadits yang dibawakan oleh Jabir ra sebagaimana yang telah kami kemukakan dalam “Bab memuji makanan”. Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab al-Ihya mengatakan bahwa termasuk etika makan ialah membicarakan hal-hal yang baik sambil makan, membicarakan kisah orang-orang yang shalih dalam makanan.” (al-Adzkar hal 602, edisi terjemah cet. Sinar baru Algen Sindo)

Menurut al-Hafidz dan Syaikhul Islam Ibn al-Qayyim rh, pendapat yg benar ialah Nabi saw bercakap dan berbual semasa makan. Dalam kitabnya alZaad (2/397), ada kalanya Nabi bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu tersebut (HR Muslim: 2052), ada kala Nabi saw mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya (HR alBukhari: 5061) dan ada ketika Nabi sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah laukpauk dan minuman (HR alBukhari 6087). Adalah tidak benar meja makan menjadi tempat yg kaku dan senyap sepi dari perbualan. Tetapi, tidaklah bercakap itu apabila makanan penuh di dalam mulut.

Sumber: Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Adab Memotong Kuku

Adab memotong kuku yang disunahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah seperti berikut:
1. Bismillah
2. Potong bermula dengan jari telunjuk kanan.
3. Di ikuti jari hantu kanan.
4. Kemudian jari kelingking dan
5. Di akhiri dengan jari manis

Manakala yang jari yang sebelah kiri pula ikut seperti jari kanan tadi dan sama juga untuk jari kaki. Seelok-eloknya potong kuku jari anda pada hari Jumaat kerana nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Bahawa sesiapa yang memotong kuku jari dan tangannya pada hari Jumaat, maka manafaatnya ialah membuang penyakit.”

Petua dan Adab Membaca Al-Quran

  • Berniat ikhlas kerana Allah SWT.
  • Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.
  • Membaca dalam keadaan berwuduk.
  • Mengadap ke arah kiblat.
  • Memulakan dengan at-Ta’awwuz.
  • Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat. Walaupun begitu bagi yang ingin menghafaznya, diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.
  • Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain. Al-Imam al-Ghazali ada menyatakan, jika kita bimbang akan timbul riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk, maka membaca secara perlahan itu lebih utama. Sebaliknya jika dapat menjaga daripada timbulnya penyakit berkenaan, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring – Ihya’ Ulumiddin.
  • Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.
  • Membaca dengan tadabbur dan menangis. Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh mengenai sifat Allah SWT menurut tafsiran orang kafir. Sebagai contoh orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah SWT seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30. Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah SWT tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maidah.
  • Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan mengenai sesuatu yang amat penting.
  • Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.
  • Beramal dengan ajaran al-Quran itu.
  • Sentiasa membaca al-Quran terutama pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu. Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang yang lalai.” ? (2085, hadis sahih mengikut syarat Muslim)
  • Berusaha menghafaz ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.
  • Meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran itu.
  • Memanjatkan doa sebaik tamat membaca al-Quran kerana waktu itu adalah antara waktu mustajab doa.
  • Dilarang membaca al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas.
  • Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup Hajar al-Aswad kerana ia juga hadiah kepada Allah SWT.
  • Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada Hajar al-Aswad.
  • Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi.
  • Berusaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis atau menitiskan air mata.
  • Tidak memberi salam kepada seseorang yang sedang membaca al-Quran.

Dipetik dari Kitab “At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran” oleh al-Imam an-Nawawi

Petua Untuk Menghafal Al-Quran

  • Harus mulakan niat untuk menghafaz ayat-ayat al Quran itu kerana Allah s.w.t.
  • Menggunakan naskhah al Quran yang sama setiap kali membaca, menghafaz, dan membuat rujukan (semakan bacaan). Ini bertujuan mengelakkan kekeliruan tempat (kedudukan) ayat yang dihafaz.
  • Gunakan naskhah al Quran mushaf Uthmani kerana kedudukan, struktur, dan susunan ayat nya diatur dalam bentuk yang mudah untuk dihafaz, dirujuk, dan diingati.
  • Ayat atau surah yang hendak di hafal hendaklah di lancarkan bacaanya terlebih dahulu. Pastikan tajwidnya betul. Sebagai contoh jika hendak hafal surah ali-Imran. Mulakan dari muka surat yang pertama surah tersebut. Lancarkan muka surat yang pertama itu dahulu.
  • Bacaan hendaklah diulang-ulang sehingga betul-betul lancar. Pastikan tidak mula menghafaz ayat sebelum bacaan betul-betul lancar kerana ini akan menjadikan anda mudah lupa semula ayat tersebut, dan mungkin juga mengakibatkan hafalan anda bercelaru.
  • Mulakan hafalan dari ayat ke ayat. Pastikan hafazan mengikut langkah. Hafaz dahulu ayat yang pertama sehingga hafaz (baca ayat pertama berulang-ulang kali sebagai satu cara menghafaz yang baik), barulah berpindah ke ayat yang kedua. Kemudian hafaz ayat ke kedua, ulang balik dari ayat yang pertama. Kemudian baru masuk ayat yang seterusnya.
  • Pastikan ada kawan atau ustaz yang dipercayai ilmu tajwidnya dan baik bacaannya untuk anda tasmi’ (memperdengarkan atau semak) bacaan dan hafazan anda.
  • Amalkan membaca ayat-ayat yang telah anda hafaz dalam solat-solat yang anda lakukan. Banyakkan solat sunat sebagai satu cara yang baik bagi melatih bacaan ayat-ayat yang telah dihafaz. Ini bertujuan membiasakan ayat-ayat yang telah di hafaz ke dalam amalan harian anda.
  • Amalkan membaca ayat-ayat Quran yang telah anda hafaz di mana-mana sahaja sebagai zikir atau nyanyian hati atau mulut. Contohnya, ketika menunggang motosikal, ketika termenung, ketika hendak tidur, dan lain-lain yang difikirkan baik. Hal ini akan menambahkan lagi keupayaan anda untuk  mengingati ayat-ayat hafazan tersebut.
  • Amalkan memakan manisan seperti kurma atau madu bagi tujuan menguatkan daya ingatan.
  • Jauhi amalan maksiat. Jaga bicara lidah, jaga kewajipan dan adab sebagai seorang Muslim.
  • Tanamkan semangat yang kuat untuk menghafaz bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Cuba hafaz sebanyak mungkin, InsyaAllah sehingga hafiz. walaupun memakan masa yang lama.
  • Banyakkan memohon doa kepada Allah s.w.t. supaya dipermudahkan hati dan minda untuk menerima al-Quran.
  • Pilih waktu yang sesuai untuk menghafaz. Sebagai contoh, waktu selepas solat fardhu. Utamakan sebelum waktu SUBUH atau selepas SUBUH, kerana waktu ini tenang dan damai. Pastikan waktu yang anda gunakan untuk menghafaz adalah istiqamah.
  • Tidak perlu menghafaz secara terburu-buru. Biar sedikit-sedikit, asalkan istiqamah dan berkesan.