Petua Moden Untuk Kekal Langsing

Di zaman moden ini banyak jenis makanan yang boleh memudaratkan jika dimakan berlebihan. Makanan yang diproses dan juga makanan segera, sering menjadi pilihan. Namun adakah kita prihatin dengan kesan sampingannya pada tubuh badan? Makanan yang ada di pasaran sering mengandungi gula dan lemak yang tersembunyi. Pengambilan secara berlebihan akan membawa kepada masalah kegemukan dan obesiti. Sebelum masalah ini terjadi pada kita, sewajarnya kita mengambil sikap berhati-hati. Manakala bagi mereka yang sedang menghadapi masalah berat badan, ikutilah petua yang mudah dan boleh diamalkan semua. Yang penting adalah keazaman untuk menjayakannya dan diamalkan secara berterusan dan bukan sekerat jalan. Selain itu, senaman dan mengawal nafsu makan yang keterlaluan adalah jalan terbaik untuk gaya hidup sihat.

Caranya ialah mengubah cara pemakanan yang diamalkan daripada kebiasaan kepada satu kaedah yang baru iaitu:

1. Apa yang kita ambil untuk sarapan di waktu pagi ditukar kepada apa yang sepatutnya dimakan di tengah hari dibawa dan dimakan pada waktu pagi.

2. Waktu tengah hari jangan makan makan yang mengenyangkan, cukup sekadar buah- buahan atau jangan makan langsung.

3. Makan malam diawalkan dan diambil dalam lingkungan waktu jam 7.00 malam.

4. Jangan makan selepas pukul 9.00 malam, walaupun anda belum makan apa apa sebelumnya. Jika perlu, cukup sekadar segelas susu atau buah- buahan atau makanlah sedikit tetapi jangan mengambil makanan yang telah dimasak (makan berat).

5. Sebagai amalan tambahan, berpuasa 2 kali seminggu (setiap hari Isnin dan Khamis). Pada hari ketika anda berpuasa, anda disarankan untuk melakukan senaman.

6. Setiap kali bangun pagi, waktu tengahari dan sebelum masuk tidur di sebelah malam, amalkan meminum secawan teh cina (hijau) yang dicampurkan dengan limau nipis atau kasturi. Anda akan lihat kesannya selepas 7-14 hari mengamalkannya.

 

Petua Untuk Kelihatan Langsing dan Menawan

Pakai Seluar Hitam – Salah satu pakaian yang perlu ada di wardrobe anda ialah seluar berwarna hitam. Warna hitam memainkan peranan penting dalam memudarkan penglihatan orang ramai supaya mereka lihat tubuh anda bersaiz yang lebih kecil. Anda  perlu membeli beberapa helai seluar hitam yang berpotongan lurus. Paling penting, dapatkan seluar yang sesuai dengan bentuk fizikal anda. Jangan terlalu ketat atau sendat. Sebaik-baiknya, anda perlu ada paling minima 3 helai seluar hitam sebagai koleksi.

Pakai Seluar Denim – Seluar denim mampu menonjolkan keistimewaan dan menutupi kelemahan fizikal anda. Sama seperti seluar hitam, dapatkan seberapa banyak seluar denim yang sesuai sebagai koleksi anda.

PANDUAN MEMBELI:

a. Punggung yang besar akan kelihatan kecil jika anda memakai seluar denim, potongan khusus untuk kaum lelaki.

b. Jika anda ingin kaki kelihatan panjang, beli seluar denim yang panjang dan gandingkan bersama dengan pemakaian sepatu bertumit tinggi.

c. Anda perlu beri perhatian khusus kepada bahagian poket belakang. Ini kerana, ia membantu mengubah pandangan orang lain terhadap dimensi punggung anda.

d. Jika anda memiliki peha yang besar, jangan pakai seluar denim yang dilunturkan warnanya di bahagian kaki, terutamanya peha. Ia akan menarik perhatian orang lain untuk melihat bahagian berkenaan.

Petua Menjaga Kesihatan Mata

1. Setiap kali mandi atau berwudhu, pastikan jangan pejamkan mata semasa air melalui mata anda, sebaliknya kelip-kelipkan mata anda beberapa kali, biar air mandian itu mencuci mata anda. Memang mata kita akan terasa pedih sikit. Walaupun tiada kajian saintifik mengenai petua ini, tetapi setelah mengamalkannya beberapa lama, setakat ini mata tidak mudah rabun (melainkan berpenyakit),  biarpun berjam-jam di depan komputer.

2. Untuk menyegarkan mata yang letih atau rasa gatal-gatal akibat sakit mata, ambil beberapa helai daun sirih muda, basuh bersih-bersih. Ramas-ramaskan sampai lumat dan didihkan seketika. Tapis airnya dengan kain bersih ke dlm mangkuk dan biar hingga suam-suam kuku. Lepas itu rendamkan atau jiruskan terus pun boleh pada mata anda sambil kelip-kelipkan mata berulang kali.

3. Amalkan senaman untuk mata anda.

Caranya:

a. Pergi ke luar rumah, lihat satu objek berdekatan anda, kemudian beransur-ansur lihat pula objek yang lebih jauh, dan jauh, jauh lagi, sejauh-jauhnya. Selepas itu balik semula beransur-ansur lihat objek yang berdekatan anda. Ulang proses ini beberapa kali.

b. Gerakkan mata anda ke kanan semaksimum mungkin,berhenti sekejap, kemudian ke kiri, berhenti sekejap, seterusnya ke atas, bawah dan tengah (sampai mata naik juling), beransur-ansur lajukan proses ini.

c. Setelah 1-2 jam di depan komputer, berhenti sekejap, lihatlah objek-objek berwarna hijau di luar rumah anda, seperti pokok-pokok dan sebagainya. Sesungguhnya warna hijau itu menenangkan dan merehatkan mata anda.

4. Amalkan makan makanan yang kaya dengan vitamin A & C – susu, sayur (terutama carrot dan broccoli) dan buah-buahan (terutama aprikot dan anggur) dan sebagainya.

 

Petua Membersih dan Memutihkan Wajah

1. Ambil 4 hingga 5 helai pucuk jambu batu muda dan bersihkannya.

2. Tumbuk sampai hancur dan campurkan dengan sedikit air bersih.

3. Kemudian, sapu serta gosokkan secara perlahan-lahan bahan tersebut pada muka anda.

4. Lakukan langkah no.3 sekurang-kurang dalam 5 minit.

5. Selepas itu, cucilah muka anda dengan air bersih dan lapkannya dengan tuala lembut. Jadikan proses ini sebagai amalan untuk memutihkan kulit wajah anda.

 

Petua Pemilihan Sabun Untuk Kulit Cantik

Pemilihan sabun yang betul dan sesuai amat penting dalam penjagaan kulit. Oleh itu, pilihlah sabun yang berkualiti dan sesuai dengan kulit anda. Jika sabun yang digunakan tidak berkualiti, pasti ada di antaranya yang menyebabkan kulit kering dan alahan. Jika anda tidak membilas sabun dengan bersih selepas menggunakannya, ia akan menyebabkan kulit menjadi kering dan berlakunya iritasi. Selain itu, ia turut menutup pori-pori dalam jangkawaktu panjang. Jika kulit anda terlalu kering, pilihlah sabun yang mengandungi formula gliserin, petroleum dan beeswax kerana ketiga-tiga bahan itu boleh membantu melindungi dan mencegah kulit dari iritasi dan jerawat. Selain itu, sabun yang mengandungi rumusan bahan semulajadi, misalnya oren, limau, anggur dan timun juga baik untuk kulit.

Anda perlu tahu jenis-jenis sabun yang perlu dielakkan yang menggunakan formula-formula seperti berikut:

1. Sodium Hydroxide & Alkaline – Ia menyebabkan kulit mengalami iritasi dan kering.

2. Anti Bacterial Formula – Ia hanya membersihkan bahagian luar tetapi tidak mematikan kuman dan bakteria yang ada pada jerawat.

3. Lemak Haiwan – Ia mengakibatkan jerawat.

4. PH di atas 7 – Ia meningkatkan kewujudan Propionobacteria, iaitu sejenis bakteria penyebab jerawat.

Anda perlu memilih serta mengenali sabun dan fungsinya seperti berikut:

Acne Soap – Sabun ini dikhususkan untuk membunuh bakteria-bakteria pada jerawat. Sabun ini mudah mengakibatkan kulit kering. Sebaiknya, sapukan pelembap atau losyen selepas menggunakannya.

Cosmetics Soap atau Bar Cleanser – Biasanya banyak dijual digerai kecantikan. Cosmetic soap memfokuskan formulanya untuk memberi hasil tertentu, seperti pada whitening facial soap dan firming facial soap.

Natural Soap – Sabun yang mengandungi rumusan semulajadi ini memiliki formula yang sangat lengkap seperti vitamin, ekstrak buah, ekstrak bunga, aloe vera dan minyak essential. Sesuai untuk semua jenis kulit dan kebarangkalian membahayakan kulit sangat kecil.

Deodorant Soap – Sabun ini bersifat aktif untuk menghilangkan bau kurang enak pada bahagian tubuh. Ia juga sesuai digunakan bagi mereka yang sentiasa menjalani kehidupan aktif. Anda tidak boleh menggunakan sabun ini pada kulit wajah kerana ia memiliki kandungan yang cukup keras yang dapat menyebabkan kulit mengalami alahan.

Petua Solekan Agar Kelihatan Segar

1. Bersihkan kulit wajah anda menggunakan pembersih yang lembut. Guna penyegar yang tidak mengandungi alkohol. Alkohol akan membuat kulit kering, malah ia tidak sesuai untuk kulit wajah. Ia akan menyebabkan kulit mengelupas. Sapukan pelembab untuk mencegah kulit kering.

2. Sapukan ‘highlighter’di atas tulang pipi, tulang alis, dan bahagian tengah hidung sebelum menyapu bedak.

3. Çoncealer’ berfungi untuk menutup cela pada wajah tetapi jika terlalu tebal dan banyak, ia akan membuatkan mekap kelihatan seperti topeng. Cara terbaik ialah sapukan ‘concealer’ secara tipis di tempat ternoda sebelum menggunakan alas bedak.

4. Jika kulit anda berminyak, pilih bedak tabur yang ‘translucent’ untuk mencegah kulit semakin berminyak. Sapukan secara merata, lebih-lebih  lagi sekitar mata dan mulut. Sapukan bedak dengan menggunakan sponge besar.

5. Tampil dengan make-up tipis bukan bererti wajah anda kelihatan pucat. Naikkan seri wajah dengan memilih warna kontra pada gincu bibir. Pilihlah warna yang lembut seperti merah jambu (pink) cerah.

Petua Untuk Kulit Wanita Cantik Berseri

Wanita zaman dahulu mengutamakan kecantikan kulit dan rambut. Justeru, mandi lulur sangat digemari. Mungkin kerana mereka kerap berjemur di bendang dan ladang. Kesannya kulit mudah dibakar matahari, menjadi gelap, kering dan bersisik. Lantas mereka rajin menyediakan ramuan mandi lulur, sama ada menggunakan beras tumbuk ataupun rempah-ratus. Ia bertujuan melembut serta menghaluskan kulit. Biasanya, padi yang baru dituai diasingkan secupak dua, dibuang kulit dan direndam berhari-hari. Airnya mesti diganti 2 kali sehari agar tidak busuk. Setelah separuh lembut, ia ditapis dan ditumbuk separuh lumat.

a. Setiap kali sebelum bersiram, beras lumat yang dicampur perahan limau nipis disapu pada seluruh badan. Apabila separuh kering, baru disental untuk mengeluarkan daki degil dan sel mati. Selain berlulur, amalan mandi susu (berendam), juga disukai untuk mencerahkan kulit.

b. Jika ingin kelihatan berseri, sesekali mereka mandi bunga, campurkan 7 jenis bunga bersama sedikit perahan limau. Bagi wanita bersalin, mandian daun-daun kayu paling digemari untuk membuang angin di dalam badan, melancarkan peredaran darah serta mengharumkan badan.

c. Hampas kelapa digunakan untuk menyental daki. Selain itu, campuran kapur makan dan perahan limau nipis pula untuk menyental daki pada ketiak dan pelipat kaki.

d. Ada juga menggunakan beras pulut. Caranya mudah. Goreng beras pulut tanpa minyak hingga kuning, kemudian tumbuk lumat. Ambil segenggam, titikkan air agar lembap,gosok pada bahagian bermasalah. Bagi mengelakkan kulit kering, mereka sapukan pula gel aloe vera (lidah buaya) ataupun minyak sayur-sayuran.

e. Bedak sejuk daripada beras juga sangat elok untuk menyejukkan muka, menghilangkan ruam serta menghaluskan kulit. Biasanya beras direndam berbulan-bulan hingga lembut, dititik di atas daun pisang dan dijemur berhari-hari. Setelah kering, disimpan di dalam mangkuk tanah dan dicampur hirisan daun pandan, bunga melati atau mawar agar berbau harum.

f. Bagi mengelakkan jerawat atau gatal-gatal, kunyit hidup yang ditumbuk lumat disapu pada seluruh wajah kerana ia mengandungi antiseptik semulajadi. Parutan buah jambu muda juga elok untuk menghilangkan jerawat. Bagi menegangkan kulit muka, putih telur segar (baru bertelur) disapu, manakala pupur parutan lobak dan timun untuk menyegarkan kulit.

g. Pupur kacang hijau dan badam juga kerap digunakan untuk menjaga muka. Gel aloe vera boleh digunakan sebagai pelembap. Bagi menghilangkan parut yang masih baru pada muka, kulit pisang emas (bahagian dalam) disental pada kulit muka ataupun buih daripada kayu api (misalnya kayu getah) disapukan.

 

 

Petua Moden Untuk Melembutkan Bibir

1. Pakai gincu bibir yang  mengandungi pelembap dan bahan antioksida.

2. Sapukan balm bibir sebelum membersihkan wajah anda sebelum tidur.

3. Hindari sinaran matahari berlebihan. Ia akan mudah mengering atau merosakkan bibir. Sekiranya anda banyak terdedah kepada matahari, pastikan bibir anda tersalut balm bibir yang mengandungi pelindung matahari.
4. Gunakan balm bibir semasa musim dingin atau semasa anda di dalam bilik yang berhawa dingin bagi memastikan kelembutan bibir tetap terpelihara.

5. Bagi mengelakkan bibir mengelupas akibat penggunaan gincu bibir yang kering, sapukan sedikit “Vaselin” sebelum bergincu.

6. Gunakan pelembab bibir sebelum dan selepas berenang atau berjemur.

 

 

Petua Kecantikan Tradisional Melayu

Biasakan mencuci wajah menggunakan air embun pagi,dan air hujan yang turun pada malam jumaat. Air hujan yang turun pada malam jumaat amat berkhasiat untuk melembutkan kulit wajah dan boleh menyegarkan badan serta mampu dijadikan ubat penyembuh pelbagai penyakit jika dibuat mandian pagi.

 

Petua Awet Muda Untuk Umur 50-an

Amalkan meminum sup kaki ayam sewaktu usia muda lagi seminggu sekali. Hasilnya usia 50-an akan kelihatan segar dan cantik seperti 30-an. Ia juga boleh menggantikan pengurangan lendir dalam lutut.