Kepercayaan Orang Melayu Pada TUAH

“Di manakah kekuatan Tuah? Di tenaganya kah, di kerisnya?”

Dialog filem Nujum Pak Belalang karya Allahyarham P.Ramlee memang sudah tidak asing bagi masyarakat Melayu di sini. Namun dalam kita bergelak tawa itu, pernahkah kita terfikir adakah orang Melayu percaya pada tuah seseorang?

Anak Bertuah

Ada ibu bapa yang sentiasa mengusap kepala dan ubun-ubun anak kecilnya sambil menyebut, “bertuah, anakku..” Pada pandangan dunia orang Melayu, tuah dapat dipupuk semenjak kecil. Walau bagaimana nakal seseorang anak kecil, ibu bapa atau masyarakat biasanya memarahi anak itu dengan perkataan ‘Anak Bertuah’. Bagi orang Melayu, setiap kata itu suatu doa dan setiap anak itu membawa rezeki. Justeru gelaran ‘anak bertuah’ disebut dengan harapan anak itu akan mendapat tuah walaupun peribadinya kurang sempurna kelak. Maksudnya, sekiranya seseorang itu gagal dalam sesuatu perkara, tuah mungkin menyebelahinya kerana dia diberi peluang kedua bahkan mendapat kejayaan yang melebihi daripada jangkaan. Sebab itulah, orang Melayu suka memberi kenyataan pada suatu musibah dengan ayat, ‘ada rahmat di sebalik tiap kejadian’.

Hang Tuah Anak Bertuah?

Ada kalangan masyarakat Melayu menganggap nama seseorang membawa tuah. Gelaran ‘anak bertuah’ mungkin juga memberi gelaran tetap pada Laksmana Hang Tuah. Dalam Hikayat Hang Tuah, diceritakan bagaimana Hang Tuah menempuh pelbagai cabaran sejak kecil. Namun demikian, Hang Tuah sentiasa bertuah kerana Hang Tuah bukan sahaja hebat bermain senjata tetapi juga licik dan bijak membuat muslihat. Sebagai contoh, Hang Tuah bertuah kerana Tun Teja jatuh hati padanya dan mahu menurut segala kehendaknya. Bayangkan situasi sekiranya Tun Teja tidak jatuh hati pada Hang Tuah, mahukah Tun Teja lari ke Melaka demi mengikut Hang Tuah? Walaupun akhirnya Tun Teja sedar dia tertipu, Hang Tuah bertuah kerana Tun Teja masih mahu memaafkannya. Tun Teja akhirnya dipersembahkan kepada Sultan Melaka.

Dewa Peribadi Mengawal Tuah

Hampir semua masyarakat mempunyai kepercayaan pada tuah. Namun ada juga segelintir yang memegang kepercayaan ini secara keterlaluan. Misalnya masyarakat Ibo di Afrika, budaya mereka percaya bahawa setiap ahli masyarakatnya mempunyai ‘chi’

atau dewa peribadi yang berperanan sebagai pelindung. Dewa peribadi itu boleh menjadi baik atau tidak baik. Sekiranya seseorang mempunyai ‘chi’ yang tidak baik, dia akan mengalami nasib buruk yang akan terus membawanya hingga ke liang kubur. Mereka percaya sekiranya seseorang itu memang telah dilahirkan dengan ‘chi’ nasib buruk, nasib buruk itu akan kekal bersamanya sehingga mati. Justeru setiap anak yang dilahirkan akan melalui suatu upacara untuk menentukan ‘chi’ mereka. Banyak juga bayi yang dibunuh atau dibuang ke ‘hutan puaka’ kerana dianggap membawa sial.

Tuah Sinonim dengan Masyarakat Cina

Masyarakat Cina pula, teguh mengamalkan budaya ‘kepercayaan pada tuah’. Budaya menilik sentiasa dilakukan untuk melihat samada seseorang itu bertuah atau tidak (heng). Tuah bukan hanya dari segi rezeki tetapi juga tuah dalam hubungan cinta, tuah dalam perjudian, tuah dalam kerjaya, tuah dalam sesuatu projek dan sebagainya. Bagi mereka, tuah seseorang boleh dilihat pada garis di telapak tangan dan raut muka serta dahi. Sekiranya seseorang itu bertuah, ada ‘nur cahaya tuah’ yang terpancar pada dahi dan matanya. Mereka juga percaya bahawa tuah boleh diundang dengan memakai rantai atau tangkal khas. Ada juga yang memelihara jenis ikan yang dianggap bertuah, menanam ‘pokok duit’ dan buluh cina atau meletakkan nombor bertuah di tempat tertentu. Nasib malang atau ‘suwey’ pula boleh dibuang secara ritual.

Upacara Mandi Bunga dan Tolak Bala

Jika masyarakat Cina benar-benar percaya pada konsep tuah dan malang, ada sesetengah masyarakat Melayu juga mempunyai kepercayaan kuat terhadap tuah. Sebab itulah, masih ada upacara ‘tolak bala’ dan ‘mandi bunga’ supaya seseorang itu lebih bertuah dalam hidupnya. Sebenarnya, sejak dahulu lagi orang Melayu sudah menyedari tentang konsep tuah dan judi. Konsep perjudian terpancar dalam sastera lisan melayu, kisah Pak Kaduk menang sorak, kampung tergadai. Pertandingan laga ayam menjadi semacam perjudian kerana ada taruhan yang dibuat. Sekiranya ayam yang dilaga menang, tuannya akan mendapat habuan yang lumayan. Justeru kehebatan ayam laga itu dikatakan terletak di kakinya atau ditajinya.

Kaitan Tuah dengan Rezeki

Sekiranya orang Cina menganggap tuah adalah nasib baik, masyarakat Melayu memahami dan mengaitkan tuah dengan rezeki. Sebab itulah, kepercayaan orang Melayu dahulu tentang tuah, akan berlegar di sekitar rezeki. Contohnya, orang tua-tua dahulu sering mengatakan, sekiranya seseorang itu mempunyai banyak anak rambut, dia memang murah rezeki kerana sering disayangi dan berjaya dalam setiap bidang yang diceburi.

Kaitan Benda dan Binatang dengan Tuah

Ada masyarakat yang menganggap sesuatu benda atau binatang peliharaan membawa tuah dalam hidupnya. Contohnya, wang-wang syiling atau kertas lama disimpan di dalam dompet kerana dianggap duit boleh berlipat ganda. Wang kertas yang mempunyai nombor cantik juga disimpan di dalam dompet dengan harapan wang itu bakal ‘beranak-pinak’. Kucing buta pula kalau dipelihara dapat membawa tuah pada tuannya. Memelihara ikan kelisa, burung pelatuk bawang dan cenderawasih juga dapat memberi tuah. Pokoknya, apa sahaja keuntungan yang mereka dapat akan mereka kaitkan dengan apa yang mereka miliki.

Kesimpulan

Tuah membawa pada rezeki. Rezeki membawa kemakmuran. Kemakmuran membawa keselesaan hidup. Tidak hairanlah, sehingga hari ini, masyarakat masih mengamalkan budaya ‘cabutan nombor bertuah’. Sekiranya seseorang memenangi cabutan bertuah, dia akan kegembiraan dan merasakan dirinya sangat bertuah. Jelas, konsep tuah sudah sebati dalam masyarakat.

Kesimpulannya, walau apa pun kepercayaan yang timbul tentang tuah, andaian itu dapat dianggap sebagai warna warni budaya masyarakat supaya kehidupan lebih berbagai dan indah. Sebaiknya, kita berpegang sahaja pada qada’ dan qadar Tuhan kerana, tuah ayam boleh dilihat. Tuah manusia siapa yang tahu?

SUMBER: Noor Hasnah Adam

Kepercayaan Orang Melayu Mengenai Air Ludah

Kenapa haiwan sukamenjilat tubuh mereka?  Kenapa ibu kucing menjilat mata dan tubuh anak kucing yang dilahirkannya? Tahukah anda bahawa haiwan dilindungi alam dan mempunyai naluri untuk mudah sembuh daripada luka yang biasa berlaku? Luka yang disebabkan oleh haiwan pemangsa sering kali menyebabkan penularan bakteria kepada mangsa. Secara naluri, haiwan yang luka akan menjilati lukanya untuk membersihkannya dan menyebarkan minyak tubuh ke dalam jaringan yang terluka.  Minyak ini bertindak sebagai anti-jangkitan bakteria dan seterusnya melindungi haiwan itu.

Haiwan yang paling jinak dengan orang Melayu ialah kucing.  Kucing baik untuk dipelihara kerana kucing memiliki kebolehan untuk mengesan penyakit dan kemudian mengubatnya dengan menjilat.  Sekiranya sesiapa dalam keluarga anda (disimpang Malaikat hendaknya) menderita sakit terkehel, salah urat atau pegal-pegal, hulurkan sahaja bahagian tubuh yang sakit itu kepada kucing anda.  Kucing anda itu akan menghidu-hidu seketika dan kemudian menjilatnya.  Tidak lama kemudian, sembuhlah sakit itu.  Justeru sekiranya kucing anda tiba-tiba menjilat anda, jangan ditepis atau dipukul kucing itu, wlaupun anda terasa geli.  Bahagian yang dijilat itu mungkin merupakan punca penyakit dan jilatan yang mengeluarkan air ludah itu pula merupakan penawar atau ubat kepada penyakit itu.

Air Ludah – Air ludah atau air liur adalah cairan bening yang dihasilkan dalam mulut manusia dan beberapa jenis haiwan.   Air liur berfungsi membasahi makanan untuk membantu mengunyah dan menelan. Air liur juga mengandung enzim-enzim yang memulai dan memudahkan proses pencernaan. Fungsi lain air liur adalah membersihkan mulut daripada bakteria dan membasuh partikel makanan. Air liur yang berada di mulut merupakan bahagian terpenting dalam perawatan rongga mulut. Di dalam air ludah terkandung sistem pertahanan alamiah yang berfungsi menjaga keseimbangan ekologi flora mulut. Cairan yang dikeluarkan oleh kelenjar ludah secara terus menerus membersihkan mulut.  Oleh sebab itulah, jika seseorang kurang meminum air, maka kebersihan mulut akan berkurangan.

Menurut satu kajian sains, zat dalam air ludah dapat menyembuhkan luka.  Saintis mendapati bahawa protein kecil di dalam air ludah yang sebelum ini dipercayai hanya dapat membunuh bakteria, berguna juga untuk menyembuhkan luka.  Sebab itulah, luka pada gusi yang baru dicabut giginya cepat pulih berbanding dengan luka di bahagian anggota tubuh yang lain.  Saintis juga menjangka, air ludah boleh menjadi ubat kepada penderita penyakit kencing manis yang buruk kakinya atau mereka yang mengalami kelecuran atau kebakaran pada kulit.

Pengubatan Cara Lama

Menurut orang tua-tua Melayu dahulu, terdapat beberapa petua tentang penggunaan ludah sebagai ubat.  Dikatakan, sekiranya bayi yang baru lahir panas suhu badannya, si ibu atau ayah disuruh menjilat ubun-ubun bayi, telapak tangan kedua tangan dan telapak tangan kedua kaki.  Menjilat harus dimulai dengan anggota yang kiri dahulu.  Panas tubuh bayi itu akan serta merta beransur turun.

Petua menggunakan ludah untuk mengubat luka kecil juga sering disyorkan oleh orang tua-tua.  Sekiranya jari terluka atau terhiris, kita disuruh cepat-cepat masukkan ke dalam mulut.  Dikatakan darah akan berhenti mengalir dan luka cepat sembuh.  Sekiranya bahagian lain yang luka, ambil  sedikit air ludah sendiri dengan satu jari.  Selepas itu, baca selawat sebanyak 7 kali. Selepas membaca selawat, sapu di bahagian yang luka.  Nescaya cepat sembuh.

Menurut orang tua-tua, sekiranya seorang kanak-kanak masih lambat bercakap walau sudah berusia 3 tahun ke atas, lidah kanak-kanak itu perlu ditarik keluar lalu dikerik dengan cincin.  Ini supaya ludahnya keluar sempurna, tidak bertakung di dalam mulut lantas dapat menggalakkan kanak-kanak itu segera bercakap.

Kebiasaan orang Melayu dahulu ialah menjilat bahagian tubuh yang sakit kerana dikatakan, penderita akan cepat pulih.  Kebiasaan ini mungkin didapati daripada pengamatan terhadap tingkah laku haiwan yang sakit.

Sirih dan Ludah

Pemakan sirih mempunyai air ludah yang banyak kerana air liurnya terangsang oleh rasa sirih pinang dan tembakau.  Disebabkan campuran ramuan sirih, air ludah pemakan sirih berwarna merah.   Dahulu, ada orang kampung mengamalkan mengunyah sirih dan membuang ludahnya ke dalam sebuah bekas khas.  Air ludah yang terkumpul itu kemudian digunakan untuk tujuan pengubatan dan urut.  Dikatakan, ramuan sirih yang sememangnya berkhasiat, apabila bercampur dengan air ludah, menjadi bahan yang amat mujarab sebagai penyembuh penyakit kulit dan tulang.  Ini juga dapat menjelaskan mengapa dalam beberapa pengubatan tradisional mempunyai kaedah sembur.  Maksudnya, bomoh akan mengunyah sirih pinang dan kemudian menyembur si pesakit.  Ada juga yang hanya berkumur air jampi dan kemudian menyembur pesakit.

Air Ludah Orang Mulia

Dahulu, sekiranya seseorang yang dianggap mulia dan berilmu tinggi seperti ahli agama atau guru minum air, ramai yang menantikan peluang mengambil bekas minuman orang mulia itu.  Mereka percaya bahawa bekas air minuman itu amat berkat kerana mengandungi sisa air dan air liur orang yang mulia.  Bekas itu kemudian digunakan tanpa dicuci, dengan menambah air masak.  Biasanya, air minuman itu diberikan kepada anak-anak mereka yang kurang pandai belajar atau nakal tingkah lakunya.

Kepercayaan ini turut tercatat dalam kitab Sulalatus Salatin.  Diriwayatkan, pengislaman Raja Samudera iaitu Merah Silu, turut melalui mimpi.  Baginda bermimpi didatangi Nabi Muhammad SAW.  Mulutnya diludahi oleh Nabi.  Apabila baginda tersedar, baginda sudah boleh membaca ayat-ayat Al-Quran dengan fasih dan lancar.

Pantang Meludah

Kita meludah apabila air liur kita melimpah atau kelenjar air liur keluar lebih banyak daripada sepatutnya.  Air liur yang dibuang itu adalah ‘meludah’.  Faktor yang menyebabkan air liur keluar lebih banyak juga disebabkan rangsangan pancaindera kita.  Misalnya, rasa pahit, pedas dan masin.  Bau busuk boleh membuat kita mual lalu meludah.  Keadaan kerongkong yang tidak sihat menyebabkan batuk dan kahak juga membuat kita meludah.  Begitu juga dengan emosi jijik, muak, menyampah, jengkel, geram dan marah.

Dewasa ini, meludah dianggap perbuatan yang kotor dan mengotorkan pemandangan.  Ludah orang yang sakit juga membawa bakteria penyakit dan boleh mengakibatkan penyakit merebak.  Meludah juga dianggap satu perbuatan yang negatif apabila perbuatan meludah dilakukan ke atas tanah di hadapan orang lain.  Apatah lagi, kalau kita meludah ke muka atau tubuh orang lain.  Perbuatan itu boleh membawa pergaduhan kerana meludah sebegitu adalah satu penghinaan dan mencabar  orang yang diludah.

Natijahnya, walaupun ludah dianggap ubat yang berkhasiat menyembuhkan luka, meludah sebarangan pula boleh mengakibatkan kekotoran dan persengketaan.  Sesungguhnya meludah dianggap perbuatan negatif dan terpancar dalam peribahasa Melayu. Meludah ke langit hanya membawa kesusahan sendiri kerana cuba melawan orang yang berkuasa.  Kalau meludah jilat kembali, samalah ertinya dengan orang yang tidak berpendirian kerana setelah menghina seseorang, orang itu dimuliakan kembali.

SUMBER:  Noor Hasnah Adam

Konsep REZEKI dalam Falsafah Melayu Lama

Pada zaman budak-budak dahulu, pernahkah anda melihat orang tua-tua bila makan akan tinggalkan sedikit sisa di atas pinggan? Kemudian mereka akan curahkan sedikit air ke atas pinggan. Air itu samada air lebihan basuhan tangan atau air minuman (air suam atau air sejuk), sengaja dicurahkan sedikit ke atas pinggan.

Ada satu ungkapan yang berkait dengan amalan ini. Ia berbunyi: “Pandai Makan Tidak Menghabiskan”. Maksudnya, makanan yang dimakan ditinggalkan sedikit sisa di atas pinggan merupakanh suatu simbolik bahawa rezeki tidak akan putus. Rezeki akan terus murah atau subur dek kerana air yang dicurah ke dalam pinggan.  Bagi orang Melayu, air adalah lambang kehidupan dan kesuburan.

Orang tua-tua dahulu selalu berpesan agar sentiasa ingat orang belakang. Maksudnya, kita perlu tinggalkan lauk untuk yang belum lagi makan. Makanan atau lauk harus ditinggalkan untuk orang yang belum makan, apatah lagi jika orang itu lebih tua daripada kita dan dihormati dalam keluarga.  Jika tidak, dipercayai banyak ‘masalah’ yang akan timbul.

“PANDAI MINUM TIDAK MENGERINGKAN”

Orang tua-tua dahulu berpesan apabila minum sesuatu minuman yang diambil dari balang atau botol, pastikan jangan sampai kering bekas itu.  Tinggalkan sedikit air di dalam botol dan kemudian isilah semula botol dengan air hingga penuh. Apakah falsafah di sebaliknya? Sebenarnya ia mempunyai mesej bahawa kita mesti pandai memikirkan cara untuk berjimat cermat dan menimbang kira setiap tindakan.

TEKNOLOGI MAKANAN ORANG MELAYU LAMA

Orang Melayu zaman dahulu mempunyai ilmu teknologi makanan yang tersendiri. Mereka juga arif tentang proses bio-kimia. Secara tradisi, mereka mengamalkan penyimpanan makanan di atas para atau di bawah tudung saji, kerana pada masa itu teknologi peti sejuk belum ada lagi. Maka timbullah ungkapan “Pandai Menyimpan Tidak Berbau”. Mereka akan menyimpan makanan di tempat yang selamat agar tidak rosak atau hilang, dan tidak berbau. Makanan seperti ikan, sambal belacan, antara makanan yang memang berbau dan sering mengundang lalat.  Ikan yang disimpan juga boleh dicium kucing dan kemudian dicuri.  Makanan yang mudah basi akan dibungkus dengan daun pisang kerana daun pisang mengeluarkan kimia semulajadi yang melambatkan proses makanan menjadi basi.

Petua Wanita Untuk Mencari Jodoh

Memilih calon suami adalah suatu keputusan yang sangat kritikal dalam kehidupan seorang wanita. Ini kerana kebahagiaan berumahtangga seluruhnya bergantung kepada lelaki yang menjadi pilihannya. Sekalipun wanita ini ditakdirkan hidup merana kerana sesuatu sebab, namun jika mempunyai seorang suami yang setia dan penyayang, dia dapat menghadapi sebarang krisis dan tragedi. Sebaliknya, betapa pun hidupnya bertuah dibaluti kemewahan, suami yang tidak bertanggungjawab akan meruntuhkan seluruh kehidupannya.

Begitulah yang dialami ramai wanita. Saban hari kita boleh membaca kisah mereka di media massa – pasangan jutawan, pasangan miskin – mempunyai kisah tragedi masing-masing dalam mengharungi hidup berumahtangga. Permulaannya yang berbunga cinta dan kasih sayang, berakhir dengan kisah ngeri lagi memalukan. Semuanya bermula daripada keputusan yang dibuat untuk memilih lelaki itu sebagai teman hidup. Apakah perkara penting yang mesti dilakukan si gadis sebelum membuat keputusan tepat memilih kekasihnya itu sebagai bakal suami?

Pertama, dia mestilah berhadapan dengan kenyataan. Dalam zaman moden sekarang, saingan terlalu hebat ‘merebut’ lelaki idaman. Wanita zaman ini tidak boleh lagi menerima apa yang diberikan kepadanya atau menunggu kedatangan putera raja seperti cerita Cinderella. Gadis yang bersikap tunggu dan lihat ini akan ketinggalan dan hidupnya menjadi sukar dari awal lagi.

Dalam masyarakat hari ini, pertemuan jodoh biasanya berlaku secara tidak sengaja, maka mengharapkan satu pertemuan yang normal seperti yang diuruskan datuk nenek kita dahulu, tidak mustahil tetapi kini jarang berlaku. Dalam suasana seperti inilah anda perlu menggunakan segala kebijaksanaan untuk menilai lelaki yang bakal menjadi suami. Semua lelaki asing adalah orang yang tidak dikenali, dengan pujuk rayu mungkin akan memerangkap anda ke dalam kancah masalah yang tidak berkesudahan. Anda mungkin pernah mendengar kata-kata ini :

  • Saya sepatutnya sedar. Jika ikut naluri dan tidak berkata ‘Ya’ mungkin saya tidak jadi begini…
  • Apabila saya melihat permainan anak di tempat duduk belakang keretanya, saya sepatutnya sedar dia sudah mempunyai anak.
  • Apabila dia berhenti di bar untuk bertemu rakannya, sepatutnya saya sedar, dia kaki botol.
  • Apabila dia menceritakan teman sebiliknya balik ke kampung dalam perjalanan ke apartmentnya, sepatutnya saya sedar apa yang akan berlaku selepas itu.

Secara semulajadi, manusia dijadikan Allah s.w.t. dengan deria penyelamat yang membolehkan setiap orang secara spontan dan tepat menganalisis teman barunya dalam beberapa minit setelah bertemu. Setiap wanita juga mempunyai kebolehan yang sama seandainya dia melatih diri untuk membinanya. Dengan mudah dia dapat mengenali lelaki mana yang tidak boleh didampingi dan memilih lelaki terbaik daripada barisan lelaki yang baik.

Penilaian Personaliti

Setiap orang secara tidak disedari membongkar rahsia peribadinya dalam pelbagai bentuk. Setiap perkataan, tingkah laku, cara dia berpakaian, setiap tindak balas, dapat menceritakan ciri-ciri personaliti individu tersebut. Penilaian yang spontan dalam pertemuan pertama sudah boleh digunakan untuk membuat keputusan sama ada perhubungan itu boleh diteruskan atau berhenti setakat itu sahaja.

Ada 2 kategori yang menjadi petanda –  1.Hentikan  2. Berwaspada.

Tanda-tanda yang menunjukkan perhubungan itu perlu dihentikan adalah serius dan perlu diberi perhatian sekiranya anda tidak mahu menghadapi kesusahan apabila mendirikan rumahtangga nanti. Manakala tanda-tanda yang anda perlu berwaspada pula juga perlu diberi perhatian. Jika banyak tanda-tanda waspada ini, ia menunjukkan yang si gadis ini dalam keadaan berisiko tinggi.

Ada 3 ciri penting yang perlu diberi perhatian apabila anda bertemu lelaki:

  • Bentuk fizikalnya: rambut, mata, mulut
  • Pakaiannya: Seluar, baju, kasut
  • Imej tubuhnya: Perawakannya, gaya berdiri dan tangannya.

Katakan anda menghadiri satu jamuan hari terbuka dan anda terserempak dengan tetamu. Kacak, pendiam dan tersenyum simpul memandang anda. Dengan menggunakan teknik penilaian spontan, anda boleh membaca dirinya seperti anda membaca sebuah buku.

1. Rambut

Gaya rambutnya mestilah sesuai. Gaya rambut panjang atau pendek tidak kisah asalkan rambutnya sesuai. Ia mesti bersih kemas dan serasi dengan keseluruhan personalitinya.

Ciri-ciri dijauhi: Rambut diwarnakan, rambut dihitamkan di bawah usia 40-an dan rambut dikerintingkan.

Ciri Waspada: Kepala botak kerana rambut dicukur, gaya rambut yang keterlaluan

2. Mata

Ciri-ciri Dijauhi: Mata yang tidak boleh menentang mata anda menceritakan mengenai dirinya – Kamu mesti mendengar cakap saya.

Ciri Waspada: Bulu kening dicabut dan mata yang rabun tidak menggunakan cermin mata.

3. Mulut

Ia adalah ciri penting dalam membongkar rahsia dalaman.

Ciri-ciri Dijauhi: Senyuman yang tidak kena pada tempatnya atau tidak ada sebab untuk tersenyum, bercakap dari sudut bibirnya dan sudah tentulah dengan mulutnya yang herot.

Ciri Waspada: Gigi yang kotor, menggigit bibir, bernafas dengan mulut dan memainkan bibirnya.

Cara berpakaian juga boleh menggambarkan pelbagai ciri personaliti seorang lelaki. Ia sangat banyak dan untuk memudahkan pengenalan, dibahagikan kepada tiga bahagian.

1. Kasut

Ciri-ciri Dijauhi: Kasut yang sudah lusuh dan kemungkinan boleh digunakan oleh wanita.

Ciri Waspada: Kasut yang dikenakan dengan pakaian yang tidak sesuai misalnya kasut jogging dipadankan dengan kot dan kasut yang terlalu berfesyen.

2. Seluar

Ciri-ciri Dijauhi: Seluar yang terlalu ketat terutamanya di celah kelengkang dan seluar baggy. Begitu juga dengan seluar yang telah digunakan seharian di pantai perlu juga diberi perhatian.

Ciri Waspada: Seluar yang tidak dikenakan zip dengan kemas.

Penyesuaian Pakaian – Kesesuaian secara keseluruhan pakaian lelaki sangat penting diambil kira.

Ciri-ciri Dijauhi: Pakaian yang digunakan supaya kelihatan asing misalnya berpakaian T dalam majlis perkhawinan rasmi.

Ciri Waspada: Cara berpakaiannya adalah untuk menarik perhatian, tidak lebih daripada itu fesyen dan warnanya.

CARA BERJALAN – Cara lelaki berjalan dapat menceritakan bagaimana dia menjalani hidupnya.

Ciri-ciri Dijauhi: Gaya yang menyerupai lenggok wanita. Menghayunkan punggung dan bahu yang dinaik dan diturunkan, menandakan masalah besar sedang menunggu.

Ciri Waspada: Langkah keras.

CARA BERDIRI

Ciri-ciri Dijauhi: Tangan di pinggang dan sentiasa menyeluk kocek seluar serta sentiasa tunduk.

Ciri Waspada: Kedua-dua tangan di pinggang dan tidak berdiri tegak.

TANGAN

Ciri-ciri Dijauhi: Menggigit kuku, menggerakkan tangan, menggenggam dan membuka jari, menggosok-gosok tangan dan tangan yang nampak menggeletar.

Ciri Waspada: Tangan yang tidak tahu di mana hendak diletakkan, sekejap menyeluk saku, sekejap dikeluarkan dan kemudian menyeluk saku semula, begitu juga dengan tangan yang terkulai lemah dengan telapak tangannya menghadap ke belakang.

Ciri Lain: Tingkah laku pelik mengenai peribadinya yang sukar anda tentukan seperti sentiasa berpakaian hitam atau berkaca mata hitam, juga perlu diawasi.

Tingkah laku seseorang mencerminkan personaliti dalamannya. Gabungan ciri-ciri yang dinyatakan umpama nota muzik apabila digabungkan dapat melahirkan bunyian. Begitu juga ciri-ciri tadi, apabila dibaca keseluruhannya, dapat member gambaran yang jelas siapa lelaki yang anda baru kenali itu. Jika dalam pertemuan pertama  anda rasa berkenan dengan tingkah lakunya, mungkin anda bersetuju untuk membuat pertemuan yang lebih peribadi, untuk mengenali teman baru ini dengan lebih mendalam. Kemungkinan anda bercadang menjadikan dia teman hidup anda.

Melalui kaedah ini, dalam 3 atau 4 kali pertemuan, anda sudah dapat meramalkan bentuk perkahwinan anda 30 tahun akan datang. Pertemuan ini sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk menilai peribadi teman baru ini. Selain senarai tersebut, sebagai mengukuh pilihan anda selidikilah sejauh mana kekuatannya pada agama sebagai langkah terakhir menoktah sebuah pilihan hidup.

SUMBER: Dipetik

Petua Memahami Cemburu Wanita

Kebanyakan lelaki berkata mereka tidak faham apa sebenarnya yang dimahukan oleh wanita yang cemburu. Menurut mereka, walau apa sekalipun yang mereka buat, isteri mereka yang cemburu tetap juga cemburu. Ditinjau daripada satu sudut, cemburu ialah manifestasi hilangnya rasa selamat dari dalam hati si pencemburu. Hilangnya rasa selamat bukan hanya menimbulkan cemburu, tetapi juga menghilangkan rasa kepuasan. Menurut pakar-pakar psikologi, bagi seseorang wanita apabila dia berkahwin, dia mendapat kepuasan daripada 2 sumber. Sumber kepuasan wanita yang pertama ialah tingkah-laku suaminya kepadanya. Dalam erti kata yang lain, dia mendapat kepuasan daripada cara-cara suaminya melayan dirinya. Setiap kali suaminya melayan dia dengan cara yang positif, maka wanita berasa sangat puas. Sebagai contoh, perbuatan membantu isteri membasuh pinggan lepas makan adalah tingkah-laku positif. Setiap kali si suami membasuh pinggan selepas makan, maka si isteri berasa sangat puas. Ini bermakna, untuk memuaskan hati isteri, lelaki digalakkan membuat banyak perkara-perkara yang positif.

Sumber kepuasan wanita yang kedua datang daripada makna yang diberikan olehnya ke atas tingkah-laku suaminya. Mana-mana perbuatan lelaki yang diberi makna dan nilai tinggi oleh wanita mecipta rasa kepuasan yang tinggi kepada wanita. Hasilnya, setiap kali seseorang suami melakukan perbuatan-perbuatan begitu, maka isterinya berasa sangat puas. Sebagai contoh, perbuatan lelaki memuji masakan isterinya diberi makna dan yang tinggi oleh si isteri. Setiap kali seseorang suami memuji masakan isterinya, maka isterinya berasa sangat puas. Ini bermakna lelaki perlu mengetahui pelbagai tingkah-laku suami yang diberi makna dan nilai tinggi oleh isterinya, dan mereka digalakkan banyak menunjukkan tingkah-laku jenis itu kepada isteri.

Katakan suami melakukan berbagai-bagai perkara. Setiap perkara yang dilakukannya diberi makna dan nilai oleh isterinya. Apabila perkara itu diberi nilai tinggi, setiap kali si suami melakukan perkara itu ke atas diri si isteri, maka si isteri mengecapi rasa puas yang sangat tinggi. Begitu juga yang sebaliknya. Setiap kali suami melakukan perkara-perkara yang diberi nilai rendah oleh isterinya, maka si isteri akan berasa amat tidak puas. Sebagai contoh, perbuatan balik lambat diberi nilai yang amat rendah oleh wanita, maka setiap kali lelaki balik lambat, isterinya akan berasa amat tidak puas. Tetapi lelaki ingin tahu, bagaimanakah wanita memberikan nilai tinggi ataupun nilai rendah ke atas perbuatan dan tingkah-laku suami? Beginilah cara wanita memberikan makna dan nilai ke atas tingkah-laku suami mereka. Sebahagian daripada apa yang dilakukan oleh lelaki, mereka hanya melakukan perkara itu dengan isteri sahaja. Sebahagiannya pula mereka tidak pernah melakukannya dengan isteri. Manakala ada pula perkara-perkara yang mereka lakukan baik dengan isteri mahupun dengan orang-orang lain.

Berikut ialah kriteria yang digunakan oleh wanita untuk memberikan nilai tinggi ataupun rendah ke atas tiap-tiap tingkah-laku suami :

1. Eksklusif Dengan Isteri
Bagi wanita, tingkah-laku suaminya yang bersifat eksklusif, iaitu ia hanya dilakukan oleh si suami dengan si isteri seorang sahaja, diberi nilai yang amat tinggi oleh wanita. Contoh perbuatan eksklusif yang dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja ialah seks. Jadi, semua tingkah-laku seksual si suami diberi nilai yang sangat tinggi oleh isteri selagi tingkah-laku seksual itu hanya dilakukan oleh si suami dengan si isteri sahaja. Tingkah-laku seksual termasuklah semua perbuatan yang mengiringi nafsu seks, dengan persetubuhan sebagai perbuatan yang paling tinggi nilainya. Itulah sebabnya setiap kali suaminya melakukan perbuatan-perbuatan seksual ke atas si isteri, maka si isteri mengecapi kepuasan yang sangat tinggi.

Kajian pakar-pakar mendapati lain-lain perbuatan lelaki yang dianggap eksklusif oleh wanita ialah:

a. Bercakap-cakap dan berbual-bual mesra lama-lama
Ramai lelaki menyangka mereka boleh melakukan perbuatan ini dengan wanita-wanita yang menjadi rakan-rakan rapat mereka dan lelaki menganggap perbuatan itu tidak patut menimbulkan rasa curiga di hati isteri mereka. Tetapi, bagi wanita perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja, tidak boleh dengan mana-mana wanita lain. Itulah sebabnya wanita berasa cemburu yang kuat apabila suaminya menghabiskan waktu yang panjang bercakap-cakap dan berbual-bual mesra dengan wanita lain, tanpa mengira siapa wanita itu kepada suaminya.

b. Usik-mengusik, bergurau senda dan bergelak ketawa
Bagi wanita perbuatan ini juga hanya boleh dilakukan oleh lelaki dengan isterinya sahaja, tidak boleh dengan mana-mana wanita lain. Itulah sebabnya perbuatan ini juga menimbulkan perasaan cemburu yang amat kuat di hati wanita.

c. Mencurahkan masalah peribadi
Bagi wanita, suaminya tidak patut mencurahkan perasaan dan masalah peribadinya kepada wanita lain kecuali dirinya. Oleh yang demikian perbuatan ini juga menimbulkan perasaan cemburu yang amat kuat.
Apabila lelaki melakukan tingkah-laku yang sepatutnya sangat eksklusif itu dengan wanita lain, nilai tingkah-laku itu jatuh menjunam-junam di mata si isteri. Kepada si isteri, kini tingkah-laku itu tidak lagi membawa makna dan kepuasan yang sama seperti dulu. Itulah sebabnya, sebarang tingkah-laku seksual suaminya yang menyebabkan perbuatan itu kini tidak lagi ekslusif dengan dirinya seorang, ia menimbulkan reaksi cemburu yang sangat kuat daripada isteri.

2. Eksklusif Tanpa Isteri
Lelaki juga melakukan pelbagai perkara dengan orang-orang lain tetapi tidak pernah dengan isterinya. Sebagai contoh, lelaki tidak bermain bola dengan isterinya. Tingkah-laku suami yang tidak pernah dibuat dengan isterinya diberikan nilai yang rendah oleh si isteri. Jadi, perbuatan suaminya bermain bola dengan lelaki-lelaki lain tidak menimbulkan cemburu isterinya.

3. Inklusif
Ada kalanya lelaki melakukan perbuatan-perbuatan baik dengan isterinya, mahupun dengan orang-orang lain. Sebagai contoh ialah perbuatan makan. Perbuatan makan dilakukan oleh lelaki baik dengan isterinya dan juga dengan orang-orang lain. Perbuatan jenis ini diberi nilai yang sederhana tingginya. Setiap kali si suami makan bersama isterinya, si isteri berasa sederhana puas. Jadi perbuatan suaminya duduk makan semeja dengan rakan-rakan wanita sekerjanya menimbulkan reaksi cemburu yang sederhana kuatnya. Inilah asas kepada rasa kepuasan seorang isteri. Apabila tingkah-laku yang dulu eksklusif dengan dirinya, kini dilakukan juga oleh suaminya dengan wanita lain, maka nilai tingkah-laku itu turun, ataupun hilang sama sekali. Akibatnya, tingkah-laku suaminya itu tidak lagi memberi kepuasan kepadanya. Sebagai contoh, jikalau suaminya menciumnya, dia berasa sangat puas kerana perbuatan itu adalah eksklusif. Apabila suaminya juga mencium wanita lain, dia akan berasa sangat cemburu. Akibatnya, apabila suaminya mencium dia, ciuman suaminya itu tidak lagi memuaskannya.

Itulah sebabnya, setelah seseorang lelaki berkahwin lain, seks yang serupa tidak lagi memberi kepuasan yang serupa kepada isteri tuanya. Malah ia mungkin tidak memberikan apa-apa kepuasan lagi kepadanya, kerana kini seks bukan lagi tingkah-laku suaminya yang eksklusif dengan dirinya seorang. Kini suaminya juga melakukan tingkah-laku seksual itu dengan wanita lain. Inilah faktor yang membuat nafsu seks isteri tua menurun ataupun hilang sama sekali apabila dia mengetahui bahawa suaminya melakukan hubungan seks dengan mana-mana wanita lain. Jadi, walaupun seseorang lelaki masih memberikan seks yang serupa kepada isterinya, si isteri tidak lagi mengecapi nikmat yang sama, kerana kini nilai tingkah-laku seksual suaminya sudah turun amat rendah, ataupun hapus sama sekali.

Tetapi apakah faktor yang sebenarnya menurunkan ataupun menghapuskan nilai tingkah-laku si suami?

1. Perubahan tafsiran
Nilai itu turun kerana setelah suaminya melakukan seks dengan wanita lain, kini si isteri memberikan tafsiran yang berbeza kepada semua tingkah-laku suaminya. Perubahan tafsiran itulah yang menurunkan nilai tersebut.
Kalau dulu si suami membelikan kain batik untuk si isteri dan pemberian itu ditafsirkan oleh si isteri sebagai “Tanda kasih suaminya kepada dirinya”, tetapi setelah suaminya kahwin lain, kini si isteri mengatakan “Dia belikan kain batik sebab dia hendak menutup rasa bersalahnya.” Tafsiran seperti itulah yang menyebabkan si isteri tidak lagi mendapat kepuasan yang sama daripada kain batik itu.

2. Perubahan Penilaian
Kepuasan wanita juga hilang disebabkan cara-cara bagaimana dia kini menilai hubungannya dengan suaminya. Nilai itu berubah apabila dia tahu bahawa suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain. Dulu si isteri berasa puas dengan apa yang dinikmati dalam perkahwinannya. Dulu dia puas kerana sebelum suaminya curang kepadanya, dia menilai mutu hubungannya tanpa membandingkan dengan hubungan lain. Kini, dia percaya hubungan suaminya dengan dirinya tidak sebaik hubungan suaminya dengan wanita lain itu. Akibat perbandingan itu, si isteri percaya dia tidak menikmati hubungan yang sebaik apa yang dinikmati oleh suaminya dengan wanita tersebut. Dia percaya kini suaminya menikmati lebih banyak kepuasan dengan wanita itu, manakala dia sendiri berasa dia tidak sepuas suaminya. Dia juga percaya suaminya tidak berapa puas dengan dirinya dan suaminya lebih puas dengan wanita itu.

3. Ramalan Negatif
Dengan persepsi seperti itu, si isteri yakin suaminya akan melabur lebih banyak ke dalam hubungannya dengan wanita lain itu. Malah dia percaya ada kemungkinan suaminya akan meninggalkan dirinya sama sekali. Itulah sebabnya kini dia tidak lagi menikmati rasa puas dengan hubungannya dengan suaminya, walaupun suaminya masih memberikan layanan yang sama seperti dulu.

4. Perubahan Persepsi
Rasa tidak puas juga datang daripada persepsinya bahawa kini kasih sayang suaminya sudah berkurangan, walaupun suaminya beria-ia mengatakan itu tidak benar. Rasa tidak puas hati itu datang daripada perasaan bahawa dirinya kini sudah tersisih dan terkeluar daripada sebahagian aktiviti suaminya. Dalam lain perkataan, dia kini tahu bahawa ada kalanya suaminya melakukan aktiviti-aktiviti di mana dia tidak diberi tempat sama sekali, seperti apabila suaminya berada bersama-sama dengan wanita lain itu. Dia juga juga membayangkan bahawa di dalam aktiviti-aktiviti tertentu, suaminya mendapat lebih banyak keseronokan apabila aktiviti itu dilakukan bersama wanita itu. Seterusnya, dia juga tidak puas hati lagi dengan apa-apa yang diterima daripada suaminya kerana kini perkara-perkara itu tidak lagi eksklusif baginya seorang.

Semoga anda dapat membantu para suami memahami pasangan masing-masing dengan lebih baik.

SUMBER: Artikel ini dipetik

Firasat Melayu: Tafsiran Mengenal Lelaki Dari Segi Anggotanya

KULIT

Warna kemerahan tanda pemarah, daya fikir lemah, tidak tetap dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Warna hijau kemerahan tanda bersungguh melakukan kerja hingga selesai. Warna hijau kehitaman tanda jahat kelakuannya. Warna kulit yang sangat putih (pucat) tanda penyakit dan kekurangan darah. Selain dari warna itu melambangkan kelakuannya baik.

RAMBUT

Jika rambut kasar dan keras, itu tanda berani dan otaknya sihat. Jika hitam tanda berakal dan pertimbangannya sempurna. Kerinting tidak dapat dipercayai. Hitam berkilat tanda sempurna akal. Kerinting Iembut tanda pintar. Kerinting dan merah warnanya tanda tamak dan jahat. Kekuningan rambutnya tanda pemalas dan pemarah

KEPALA

Saiz yang besar tanda tetap pendirian dan berakal. Sederhana tanda berpengetahuan. Terlalu besar tidak sepadan dengan leher tanda tidak sihat otaknya. Kepala kecil tanda suka menurut nafsu dan kurang akalnya.

DAHI

Dahi yang luas tanda bijak dan sempurna akalnya. Sedang luasnya dan berkerut tanda pengasih dan berani. Dahi yang kecil tanda kurang akal. Dahi yang banyak kerut antara kening tanda pemarah.

MATA

Mata yang jarang dikerdipkan tanda bijaksana. Mata besar tersembul tanda tamak dan tidak dapat dipercayai, dan dia ingin harta orang lain. Mata yang merah tanda beraNI tetapi kurang akal. Mata yang seperti mata kanak-kanak serta bercahaya tanda dikasihi oleh manusia lain dan panjang umur. Mata yang kerap dikerdipkan tanda pemaaf. Mata kecil tanda kurang sempurna pertimbangan. Mata biru keputihan tanda suka membuat jahat. Mata kekuningan keputihan tanda jahat dan suka menipu. Mata serupa mata Iembu dan merah serta selalu dikerdipkan tanda suka mencuri. Alis mata yang kusut tanda mungkir janji dan bodoh.

HIDUNG

Hidung yang sederhana saiznya tanda berakal. Sangat mancung dan panjang tanda kurang akalnya. Hidung yang dan besar tanda suka mengikut hawa nafsu. Batang tudung yang nipis tanda suka berkelahi. Lubang hudung yang luas tanda dengki dan hidung tebal di tengahnya tanda pendusta. Hidung bongkok tanda manusia paling jahat.

MULUT

Mulut yang kecil tanda bijaksana. Mulut yang luas tanda berani. Mulut sederhana tanda sempurna akalnya.

BIBIR

Bibir yang tebal tanda kurang akal. Bibir yang nipis tanda suka menghasut. tanda sihat. Bibir yang merah keputihan tanda berakal dan mudah faham. Bibir pucat tanda putus asa dan berpenyakit. Bibir hijau seperti lintah tanda banyak makan makanan yang haram.

GIGI

Panjang dan besar-besar tanda pendusta. Sederhana tanda berakal. Besar dan jarang tidak dapat menyimpan rahsia. Tersusun rapat tanda jujur.

DAGU

Dagu yang luas tanda takbur. Dagu yang tirus tanda kurang akal dan jahat. Dagu sederhana tanda sempurna kelakuannya

SUARA

Nyaring tanda berani. Perlahan tanda pendusta dan bebal. Tidak tetap bodoh. Suara yang merdu tanda jujur tetapi kurang bijak.

TELINGA

Telinga yang besar tanda berakal tetapi Iekas marah. Telinga kecil kurang akal. Cuping telinga yang melekat tanda kejam. Cuping telinga yang lembut dan panjang tanda penyamun.

BAHU

Bahu besar tanda kurang akal tetapi berani. Bahu yang singkat tanda suka mengerjakan pekerjaan jahat. Belikat bahu yang ditumbuhi bulu roma tanda kuat berjima’.

BELAKANG

Belakang yang lebar tanda keras hati, takbur dan pemarah. Bonngkok tanda gigih dan bijaksana. Belakang yang tebal tanda dia seorang yang bijaksana.

MUKA

Muka bujur tanda baik. Sangat bujur tanda jahat. Bundar tanda perangainya baik. Sederhana tanda pemalu.

LEHER

Leher sangat pendek tanda jahat dan pendusta. Panjang dan lurus tanda bebal dan berpenyakit. Leher besar tanda suka berolok-dok tetapi berani. Urat leher yang timbul tanda pemarah.

DADA

Dada yang sederhana tanda berakal. Dada yang ditumbuhi bulu kurang berakal dan suka melakukan perkara jahat.

LIDAH

Lidah yang panjang tanda fasih bertutur.

LENGAN

Lengan yang panjang hingga ke lutut tanda pemarah, berani, berjaya dalam kerjanya tetapi takbur dan suka meninggi diri. Lengan yang pendek tanda tidak sihat dan suka berbuat jahat.

TAPAK TANGAN

Berjari panjang tanda berani dan berakal. Tapak tangan yang lembut tanda mudah memahami. Tapak tangan yang nipis tanda kurang akal.

JARI

Jari yang panjang dan besar tanda kuat. Jari yang pendek tanda bebal. Jari yang sederhana tanda tidak sempurna akal tetapi budiman.

PERUT

Perut yang besar tanda tidak malu dan penyakit. Perut yang sederhana tanda bijak dan sihat.

PINGGANG

Pinggang yang lembut tanda berani. Pinggang yang tiada tiada berdaging tanda keras hati dan takbur.

BETIS

Betis yang sederhana tanda sihat. Betis yang sangat kecil tanda kurang akal dan bebal.

KAKI

Kaki yang sederhana tanda sempurna akal. Kaki yang kecil tanda fasik. Kaki yang besar tanda bodoh.

TUMIT

Tumit yang besar tanda sihat. Tumit yang sederhana suka berbuat kebajikan. Tumit yang kecil tanda kurang sihat.

LANGKAH

Langkah yang panjang dan teratur tanda sempurna pekerjaannya. Langkah pendek dan kurang tetap tanda kurang berakal.

Demikian mengenai mengenal lelaki menerusi bentuk anggota tubuhnya, yang mana ianya merupakan pengetahuan yang dipraktikkan oleh orang-orang Melayu zaman dahulu dalam banyak aspek pergaulan. Walau bagaimana pun ini cuma merupakan falsah-falsah yang umum. Banyak lagi aspek-aspek lain yang perlu diketahui sebelum membuat rumusan mengenai personaliti seorang lelaki.

Petikan dari Kitab Tajul Muluk

Pantang Larang Melayu: Semasa Wanita Hamil

Dalam masyarakat Melayu terdapat beberapa pantang larang yang masih lagi menjadi ikutan. Wanita-wanita hamil dilarang dari melakukan perkara-perkara berikut:

  • Dilarang mencaci atau mengumpat, membuat fitnah, iri hati juga bergaduh terutamanya dengan ibu mertua. Perbuatan tersebut dipercayai akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir. Ibu mengandung juga akan mengalami kesulitan semasa melahirkan anak. Yang sebenarnya, tujuannya larangan di sini adalah untuk melahirkan rasa hormat kepada orang tua da selalunya ibu mertua turut menjaga dan membantu sewaktu dalam pantang.
  • Dilarang memaku, memahat dan menggali lubang. Tidak boleh memukul atau mencederakan binatang kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak yang bakal lahir cacat anggota badan.
  • Dilarang keluar rumah pada waktu petang atau senja kerana dikhuatiri hantu akan menggusiknya.
  • Hendaklah menjauhi pergaulan dengan orang yang tidak jujur atau rendah maruahnya, kerana dipercayai ini akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir.
  • Dilarang melihat gerhana bulan ataupun matahari kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir akan cacat atau berkulit gelap.
  • Dilarang duduk di anak tangga kerana dipercayai perbuatan ini akan mendatangkan kecelakaan kepada ibu sewaktu hendak melahirkan anak.
  • Ibu juga dilarang memikul batu kerana dikhuatiri anak dalam kandungan menjadi lumpuh. Tidak boleh menanam pokok pisang kerana dikatakan perbuatan ini boleh menyebabkan anak berkepala besar yang luar biasa.
  • Ditegah menyusun tempurung kerana dikhuatiri anak yang dilahirkan akan botak kepalanya.
  • Ibu mengandung juga tidak boleh membiarkan anak-anak melangkah perut kerana dikhuatiri anak akan lahir cacat atau dilahirkan tidak cukup bulan. Dilarang tidur pada waktu tengah hari kerana dikhuatiri kepala anak yang bakal lahir akan menjadi besar.

Selain pantang larang yang dinyatakan, terdapat beberapa pantang larang lagi yang bersangkut dengan suami kepada ibu mengandung:

  • Suami kepada ibu mengandung pula dilarang meniup seruling atau alat bunyi bunyian kerana dikhuatiri anak yang akan dilahirkan sentiasa menangis.
  • Suami juga dilarang menyembelih ataupun pergi memburu binatang kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir cacat anggota badannya.
  • Suami juga dilarang memukul, membunuh binatang seperti ular dan sebagainya kerana dipercayai anak yang lahir akan cacat atau kenan binatang tersebut.

Sejauh mana benar pantang larang ini. Namun apa yang penting di sini ialah sebagai bakal ibu dan ayah, manusia perlu senantiasa menjaga sikap dan tingkah laku, apatah lagi ketika hamil.

Pantang Larang Melayu: Semasa Masuk Hutan

Orang Melayu pada zaman dahulu merupakan peneroka hutan yang gigih. Hutan belantara yang begitu tebal bertukar menjadi kampung halaman dan ladang. Tradisi meneroka hutan untuk kegunaan manusia, tidak dapat dielakkan kerana  ia mempunyai hubung kait yang rapat dengan kepentingan manusia. Selain darpada penerokaan hutan untuk dijadikan kampung halaman, masyarakat Melayu zaman dahulu juga begitu gigih meneroka hutan bagi mencari bahan-bahan hutan untuk dijual atau digunakan sendiri. Pada masa dahulu kepercayaan terhadap semangat hutan begitu tebal di kalangan orang Melayu. Mereka menganggap bahawa hutan mempunyai ‘semangat’ yang keras. Selain didiami oleh binatang-binatang buas, hutan juga didiami oleh berbagai jenis jembalang, pari-pari dan mambang.

Kumpulan syaitan ini dipercayai mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan boleh menyebabkan bencana kepada manusia. Lantaran kepercayaan tersebut, mereka beranggapan perlu mengadakan upacara khas bagi mereka yang akan pergi ke hutan untuk mencari rotan, damar, kayu, buluh, akar kayu dan sebagainya atau untuk membuka tanah baru. Adat ini menjadi semacam kemestian untuk dilaksanakan demi menjamin keselamatan seseorang semasa berada di dalam hutan. Jika adat ini diamalkan,  dipercayai gangguan daripada kuasa-kuasa ghaib akan berkurangan atau tiada sama sekali.

Hubungan Manusia dengan Hutan
Hutan merupakan tumbuhan semula jadi yang begitu bernilai dari segi ekonominya. Hutan adalah harta atau khazanah bagi sesebuah negara. Keperluan manusia terhadap hutan juga begitu penting dari banyak aspek.
Manusia memerlukan kayu-kayan dan hutan untuk mendirikan rumah, membuat perabot dan sebagainya. Umumnya, tumbuh-tumbuhan di hutan sangat penting kepada manusia. Penerokaan hutan telah lama dilakukan dan sehingga kini masih berterusan dilakukan oleh manusia. Umumnya tujuan manusia ke hutan pada masa dahulu adalah sekadar untuk memenuhi keperluan asas sahaja. Usaha mencari damar yang dilakukan adalah bertujuan untuk mendapatkan cahaya dari damar tersebut. Selain itu bahan tersebut juga boleh dijual untuk kegunaan pembuatan sarung peluru. Semasa zaman penjajahan British dahulu, damar dibeli untuk dieksport ke luar negeri.
Selain mencari damar, masyarakat dahulu juga memasuki hutan untuk mencari rotan serta buluh. Rotan pada masa itu bukanlah untuk tujuan industri. Rotan digunakan untuk membina rumah. Buluh pula digunakan untuk membuat bubu atau lukah dan sebagainya. Mereka juga ke hutan untuk mencari petai, jering, umbut, keladi dan sebagainya. Kesemua bahan ini menjadi makanan kepada manusia.

Sumber Perubatan

Orang Melayu  dahulu juga menganggap hutan sebagai punca untuk mendapatkan bahan-bahan perubatan. Akar-akar kayu dan lain-lain mudah diperolehi dari hutan rimba tempatan. Bahan yang diperoleh dari hutan ini amat penting kepada manusia untuk ramuan membuat ubat.

Pemburuan Binatang

Penerokaan manusia ke dalam hutan juga dilakukan bagi tujuan menjerat atau memburu binatang. Berbagai-bagai ikhtiar dilakukan oleh manusia untuk memperolehi sesuatu daripada hutan. Dengan kata lain, manusia memang tidak dapat mengelakkan dirinya daripada hutan. Di dalam meneroka hutan belantara ini, orang Melayu pada zaman itu perlu mempunyai berbagai petua yang patut dipatuhi demi menjaga kesejahteraan mereka ketika berada di dalam hutan.

Kepercayaan Orang Melayu Berhubung Hutan

Umumnya manusia menganggap hutan sebagai tempat tinggal berbagai-bagai jenis binatang liar, jin dan jembalang. Warisan pemikiran masyarakat Melayu dikuatkan dengan beberapa dakwaan yang kononnya jika tidak mengikut adat atau tertib ke hutan, seseorang yang meneroka hutan akan ditimpa kesulitan seperti sesat di dalam hutan atau diresapi kuasa ghaib dan sebagainya.

Selain daripada menjadi tempat tinggal kumpulan syaitan, hutan juga merupakan daerah tempat pemasungan hantu. Dalam masyarakat Melayu, pawang adalah orang yang disegani. Kawasan hutan yang belum diterokai juga dianggap keras dan mempunyai berbagai-bagai rahsia dan kerenah yang tersendiri. Oleh itu kawasan-kawasan ini jika hendak diterokai haruslah melalui adat-adat yang tertentu. Maka atas anggapan dan kepercayaan ini, masyarakat Melayu pada masa dahulu telah membuat beberapa peraturan yang dikenali sebagai ADAT ketika berada di hutan.

Hutan rimba merupakan daerah atau tempat tinggal berbagai jenis binatang yang berbahaya kepada manusia. Binatang-binatang seperti ayam hutan, kambing gurun,badak sumbu dan sebagainya dikatakan mempunyai badi. Sekiranya seseorang cuba menembak binatang tersebut, maka dipercayai badi binatang itu akan menghinggapinya. Manusia yang terkena badi biasanya akan ditimpa kesulitan seperti sakit meracau, gila dan sebagainya.

Sebagai jalan untuk mengelakkan manusia yang pergi ke hutan daripada terkena badi tersebut, beberapa peraturan tertentu diwujudkan.

Peraturan Upacara
Bahan-bahan tempatan diperlukan bagi tujuan melaksanakan adat atau petua ke hutan ini. Bahan-bahan kegunaan harian seperti limau nipis, daun kelapa, bertih adalah keperluan asas yang penting.

Di dalam perlaksanaan adat ini, bahan-bahan seperti limau nipis, telur, bertih, sirih sekapur, kemenyan dan penunggal diperlukan. Bahan-bahan tersebut perlu disediakan untuk upacara sajian pada peringkat permulaan melaksanakan adat ini. Kegunaan terhadap bahan-bahan ini ditentukan oleh pawang.

Adat Permulaan ke Hutan

Bagi adat permulaan ke hutan, beberapa peringkat harus dilakukan demi mendapat kesejahteraan yang sewajarya. Adat ini boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian tertentu. Pengenalan adat atau permulaan ke hutan ini akan dilakukan oleh mereka yang akan ke hutan.

Pemilihan Hari
Orang Melayu masih lagi mempercayai kelebihan sesuatu hari bagi melakukan sesuatu upacara. Bulan atau hari yang dikira dalam hal ini ialah mengikut tahun Hijrah. Hari yang kurang baik untuk masuk ke hutan ialah hari Selasa akhir bulan Melayu.

Hari yang baik untuk melakukan upacara seumpama ini ialah hari Rabu, Khamis dan Jumaat. Hari-hari tersebut dipercayai mendatangkan manfaat yang lebih. Waktu yang baik bagi melaksanakan adat ini ialah pada sebelah pagi.

Pada peringkat permulaan, jika seseorang itu hendak ke hutan, dia perlu menjemput pawang untuk melaksanakan Adat Sajian. Upacara adat sajian ini diadakan sebagai suatu persembahan kepada penunggu hutan. Sebuah dulang yang telah diisikan dengan segala peralatan yang berkaitan perlu disediakan. Apabila segala peralatan tersebut telah disediakan, maka pawang akan menjampinya. Ia bertujuan menghalau atau menjauhkan hantu dan segala bahaya yang ada di dalam hutan. Upacara ini dilakukan di atas rumah.

Setelah sajian itu dijampi oleh pawang, dia akan melakukan upacara pancak penunggal pula dan semua peralatan dibawa ke halaman rumah. Orang yang akan meneroka atau yang akan masuk ke hutan pula akan diberi pinang sepiak, iaitu pinang yang telah dijampi. Segala peralatan tersebut kemudiannya diletakkan pada suatu tempat khas, iaitu pada pangkal pokok atau sebagainya, kecuali sebiji limau nipis yang akan diambil oleh pawang. Limau yang telah diambil oleh pawang tersebut akan diberikan kepada orang yang akan ke hutan sebagai ‘pengeras semangat’. Kononnya syaitan takut kepada bau limau itu.

PANTANG LARANG SEMASA DI HUTAN

Permulaan Turun ke Hutan
Andainya seseorang yang baru turun dari rumah untuk ke hutan tiba-tiba dilintasi ular dalam perjalanannya, maka dipercayai ini merupakan suatu petanda yang tidak baik. Orang tersebut haruslah naik semula ke atas rumah dan mengambil pinang sepiak dan memakannya kemudian barulah turun semula untuk meneruskan perjalanan.

Turun tangga haruslah dengan langkah kaki kanan. Sebelum turun didahului dengan bacaan Bismillahirrahmanirrahhim. Mereka juga tidak boleh berpatah balik.

Bersiul Semasa Dalam Perjalanan
Bersiul semasa dalam perjalanan adalah ditegah. Ia dipercavai menjemput kedatangan ular. Bersiul di dalam hutan pula dilarang sama sekali kerana ini akan menarik perhatian berbagai jenis binatang buas. Apabila kehadiran orang yang memasuki hutan itu diketahui oleh binatang buas, dirinya berada dalam keadaan bahava.

Melaung Semasa di Hutan
Perbuatan melaung di hutan juga ditegah. Melaung atau bercakap dengan kuat dipercayai akan menarik perhatian berbagai-bagai jenis jembalang serta binatang buas yang ada di dalam hutan.
Sekiranya orang yang masuk hutan itu melaung, maka laungan itu dipercayai akan disahut oleh jembalang dan andainya perkara seumpama ini terjadi, maka kejadian seperti sesat di hutan akan berlaku.

Berburu Binatang
Sekiranya tujuan seseorang ke hutan adalah untuk memburu, dia tidak boleh berpecah daripada kumpulan kawan-kawannya. Sekiranya dia berpecah juga, maka akan terjadi sesuatu yang tidak baik. Misalnya akan berlaku insiden tertembak rakan sendiri atau sebagainya. Mengikut kepercayaan, jembalang akan menyerupai wajah rakan seseorang dan wajah rakan itu pula akan menyerupai binatang yang hendak diburu. Sekiranya hal ini terjadi, maka malanglah bagi mereka yang pergi berburu di hutan itu.

Tidur di Atas Pokok
Mereka yang pergi ke hutan dilarang tidur di atas pokok. Perbuatan itu akan dipercayai akan  diganggu oleh jembalang terbang. Tujuan sebenarnya jika seseorang tidur di atas pokok, sukar baginya melarikan diri apabila berlaku sebarang musibah.

Lain-Lain Pantang Larang:

1. Jika sesat di hutan, jangan tidur di tepi sungai, nanti dimakan hantu.
2. Dilarang pegang pokok merah, nanti badan menjadi gatal.
3. Jangan tidur di atas pokok jika sesat, nanti dilapah hantu.
4. Dilarang bercakap besar ketika di hutan, nanti mendapat bencana.
5. Pantang bersiul di hutan, nanti disambar langsuir.
6. Jangan melaung di tengah hutan, nanti disahut hantu.
7. Jika terdengar sahutan, jangan dijawab, dikhuatiri suara hantu.
8. Jangan mengambil batu atau benda ganjil di hutan, takut berpenunggu.
9. Dilarang menegur sesuatu yang aneh atau ganjil dihutan, nanti dirasuk atau dapat malang.

Firasat Melayu Lama: Tanda Alam dan Orang Melayu

Terdapat banyak kepercayaan orang Melayu yang berhubungan dengan tanda-tanda alam. Ramai yang masih mempercayainya dan tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai kepercayaan tahayul. Tanda-tanda alam itu boleh memberi gambaran negatif atau positif.

KUPU-KUPU

Seseorang yang sedang sakit tenat, tiba-tiba didekati atau dihinggapi kupu-kupu, dipercayai nyawanya akan berakhir tidak lama lagi. Jikalau kupu-kupu masuk ke dalam sesebuah rumah, itu menandakan ada orang jauh yang akan datang ke rumah.

ANJING MENYALAK

Jika anjing menyalak lama di tengah malam, orangt Melayu percaya adanya makhluk halus yang berkeliaran.

BURUNG HANTU

Jika kedengaran bunyi burung hantu atau gagak hitam di tengah malam, itu petanda musibah.

LANGIT CERAH DI WAKTU MALAM

Sekiranya langit cerah dan berwarna merah di waktu malam, itu menandakan seorang raja atau pemimpin besar sedang nazak atau sudah menemui ajalnya.

KATAK

Biasanya kita difahamkan, kalau katak berbunyi, itu petanda hari nak hujan. Namun ada juga yang mempercayai kalau katak berbunyi bersahut-sahutan, bermaksud akan berlaku ribut puting beliung.

KELKATU
Jika banyak kelkatu naik menghurungi cahaya lampu, itu menandakan akan berlaku banjir.

KUCING

Kucing adalah binatang yang rapat dengan orang Melayu selain ayam. Justeru banyak petanda yang ditunjukkan oleh kucing yang ditanggap orang Melayu mempunyai maksud tertentu.  Kata orang, kalau ada kucing membersihkan muka di hadapan pintu, itu menunjukkan akan didatangi tetamu yang cantik dan pembersih.

BURUNG SESAT

Sekiranya ada burung yang tersesat ke dalam rumah kita, itu menunjukkan tuan rumah akan mendapat rezeki dan ada tetamu yang akan datang.

KUMBANG atau BELALANG PELESIT
Jikalau kumbang atau belalang pelesit masuk ke dalam rumah, itu petanda ada benda mistik yang tidak elok bertandang.

CICAK
Cicak memang ada di mana-mana. Jika cicak berbunyi, itu menunjukkan cicak mengiyakan percakapan kita. Cicak dianggap berkata atas dasar kebenaran.

BINATANG MELINTAS

Sekiranya kita berjalan dan dilintasi binatang juga mempunyai beberapa petanda Kalau kucing yang melintas jalan kita, itu petanda kita akan berjumpa kawan di dalam perjalanan.

Kalau biawak yang melintas jalan kita, bersedia untuk menanggung beban.
Mungkin melalui kepercayaan inilah wujudnya peribahasa ‘biawak hidup’ yang menyamakannya dengan manusia yang tidak memberi hasil dan hanya membebankan orang lain.

Sekiranya kita didatangi binatang-binatang tertentu seperti kala jengking, katak, cengkerik, belalang, kupu-kupu, kumbang, dan sebagainya, sebaik-baiknya tidak diganggu atau dibunuh. Sewajarnya ditangkap dan dilepaskan di luar rumah kerana kehadiran binatang-binatang ini terjadi secara alamiah.

Kesimpulannya, walaupun kebenaran daripada tanda-tanda yang terjadi ini kadangkala banyak diragui, namun ada kalanya memang wujud hubungan antara kejadian-kejadian tersebut dengan hukum alam.

SUMBER: Noor Hasnah Adam

Petua Melayu:Kaitan Benda dan Binatang dengan TUAH

Ada masyarakat Melayu yang menganggap sesuatu benda atau binatang peliharaan membawa tuah dalam hidupnya. Contohnya, wang-wang syiling atau kertas lama disimpan di dalam dompet kerana dianggap duit boleh berlipat ganda. Wang kertas yang mempunyai nombor cantik juga disimpan di dalam dompet dengan harapan wang itu bakal ‘beranak-pinak’. Kucing buta pula kalau dipelihara dapat membawa tuah pada tuannya. Memelihara ikan kelisa, burung pelatuk bawang dan cenderawasih juga dapat memberi tuah. Pokoknya, apa sahaja keuntungan yang mereka dapat akan mereka kaitkan dengan apa yang mereka miliki.