Pesanan Orang Tua-Tua Untuk Isteri

  1. Hendaklah isteri ingat bahawa dirinya (perempuan) itu dijadikan oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana untuk lelaki. Lelaki dijadikan menguasai perempuan dan menjadi pemimpin baginya. Oleh itu tidak patut bagi seorang perempuan berfikiran atau bercita-cita hendak menguasai dan menundukkan suami dalam segala hal.
  2. Hendaklah ia bekerja dan berusaha dengan seberapa daya untuk menambat dan menggembirakan hati suami supaya suami cinta dan sayang kepadanya dengan berkekalan. Setengah ikhtiar itu ialah: Manis muka, Halus perkataan, Bersolek setiap hari dan waktu dan Bersikap manja di hadapannya.
  3. Isteri hendaklah memerhatikan tabiat suami tiap-tiap hari tentang kesukaan dan kebenciannya. Apa-apa kesukaannya disempurnakan oleh isteri dan apa-apa kebencian ditinggalkan.
  4. Jangan banyakkan permintaan atau memberati suami dalam perkara yang tidak dapat menyempurnakannya apatah lagi jika ia tidak mampu kerana perbuatan demikian merunsingkan suami.
  5. Jangan sekali-kali meninggalkan rumah tanpa izin suami atau melanggar perkara yang tiada gemar dan jangan pula suka membantah jika disuruh. Apabila disuruh eloklah dilaksanakan.
  6. Isteri hendaklah sentiasa ada di rumah ketika suami pulang dari kerja, melainkan kerana terpaksa atau ada hajat besar dan bila-bila suami batik hendaklah disambut dengan balk dan bersolek pula.
  7. Janganlah pergi mendapatkan bomoh, pawang, tukang sihir atau tukang tilik untuk memperlihatkan hal suami atau  menambat hatinya. Ini semua berdosa serta membuang wang dan membazir.
  8. Jangan suka menceritakan kecantikkan perempuan lain atau memuji-muji anak isteri orang lain di hadapan suami apatah lagi memburuk-burukkan mereka kerana memuji perempuan lain itu mungkin membukakan pintu nafsu suaminya kepada perempuan lain. Manakala mengeji atau memburukkannya pula dikhuatiri kalau-kalau perempuan itu kerabat suami.
  9. Hendaklah cermat dalam perbelanjaan hari-hari. Umpamanya jika diberi belanja untuk seminggu, janganlah habiskan kesemuanya. Bahkan hendaklah disimpan sedikit. Wang simpanan itu jangan pula dibelanjakan untuk perkara yang tidak penting bahkan untuk persiapan atau persediaan apabila datang kesusahan kerana barang siapa bercermat akan terselamat daripada kepapaan.
  10. Jangan suka berhutang. Jika terpaksa sebaik-baik beritahu suami dan hutang itu ialah kerana muslihat rumahtangga dan bukan muslihat diri sendiri.
  11. Jangan ceritakan perbelanjaan harian sama ada banyak atau sedikit kepada orang lain.
  12. Hendaklah makan minum untuk suami sama ada di sebelah pagi, tengah hari dan malam disediakan pada waktunya. Jangan sampai diminta atau disuruh, supaya tidak tergendala pekerjaan suami.
  13. Hendaklah suami dan isteri menjaga kesihatan dengan seboleh-bolehnya dengan melakukan senaman dan jaga makanan dan minuman, jaga kebersihan dan jaga perasaan yang tenteram. Jika semua nasihat itu disempurnakan oleh para suami dan isteri, rumahtangga dan pergaulan suami isteri akan berada di dalam aman dan bahagia.

 

Kepercayaan Melayu: Hujan Panas Bawa Alamat?

Ku sangka panas hingga ke petang ..  rupanya hujan di tengah hari ..

Kadangkala cuaca berubah tanpa disangka. Panas yang menggigit tiba-tiba diiringi hujan. Apabila fenomena alam ini berlaku secara tiba-tiba, orang Melayu lama berfirasat hujan panas itu membawa petanda buruk.

Menurut kepercayaan orang tua-tua, hujan panas yang turun membawa alamat bahawa suatu perkara yang tidak diingini akan berlaku. Sekiranya hujan panas berlaku ketika kita sedang mengerjakan sesuatu, itu juga bermaksud pekerjaan itu tidak akan menjadi. Sekiranya kita dalam perjalanan ke sesuatu tempat dan hujan panas turun tiba-tiba, sebaiknya kita berpatah balik. Sekiranya diteruskan, musibah akan menimpa. Sekiranya kita di dalam rumah dan hujan panas tiba-tiba turun, orang tua-tua pastinya melarang sama sekali anak-anak keluar rumah. Sekiranya keluar dan terkena hujan panas, anak-anak akan jatuh sakit. Ada kepercayaan yang mengatakan roh-roh dan hantu-hantu suka merayau tatkala hujan panas.

Menurut kepercayaan itu juga, roh-roh manusia yang meninggal dunia kerana bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami akan turun ke bumi diiringi hujan panas. Anak-anak juga dilarang duduk di tepi jendela sambil merenung hujan panas. Sebabnya, air hujan itu juga boleh memercik ke muka dan kepala. Biasanya, orang tua-tua melarang kita berhujan panas kerana takut dihinggapi sakit kepala. Paling dahsyat lagi, mereka melarang kita kerana takut ‘keteguran’. Menurut orang tua-tua, sekiranya roh-roh jahat turun ketika hujan panas, kita mungkin ditegur makhluk halus. Musibah lebih buruk akan berlaku sekiranya apabila ditegur, kita menoleh ke belakang atau menyahut. Kita mungkin disampuk dan mengalami demam panas yang teruk. Namun orang Melayu dahulu tetap mempunyai petua untuk menghalang musibah hujan panas berlaku ketika dalam perjalanan. Sekiranya hujan panas turun secara tiba-tiba, kita disuruh menyelitkan rumput lalang di celah telinga kanan.

Menurut orang tua-tua, burung murai akan berkicau ketika hujan panas. Dalam kepercayaan masyarakat Melayu lama, sekiranya burung murai berkicau bukan pada waktu biasanya, itu petanda ada makhluk halus di sekeliling kawasan itu. Mengikut kajian saintifik, hujan memang boleh menyebabkan sakit kepala. Apatah lagi sekiranya ubun-ubun dan kepala kita dibasahi hujan yang pertama, atau hujan yang mula-mula turun. Secara logik, hujan awal itu membawa turun sekali bahan-bahan toksik yang terkumpul. Itulah yang menyebabkan kepala menjadi pening. Justeru memang tidak salah pesan orang tua-tua agar kita cepat-cepat mencuci kepala atau membasahi atas kepala dengan air, sekiranya terkena hujan. Hujan turun bukan tanpa sebab. Tanpa hujan, udara akan semakin panas dan pengap, air tanah akan mengering dan tanaman akan semakin gersang. Namun banyak kejadian aneh yang berkaitan hujan berlaku di dunia.

Pada 2000 di Ethiopia, berlaku keganjilan alam apabila berlakunya hujan ikan. Bertan-tan ikan turun dari langit dan banyak yang masih hidup. Pada 1873, Bandar Misouri pula dilanda hujan katak. Hujan katak turut berlaku di bandar Minneapolis pada 1901. Hujan katak masih berlaku pada 1981 di Naphlion Greece. Pada 1995, hujan katak berlaku di Scotland. Ada juga kejadian hujan buaya, hujan ketam, hujan sotong, hujan obor-obor dan hujan jagung!

Apabila kita meneliti fenomena hujan sebegini, pastinya kita dapat kaitkan dengan ungkapan Melayu yang sering mengatakan ‘hujan itu rezeki’. Fenomena yang berlaku membuktikan bahawa hujan bukan sahaja memberi  makhluk dan tumbuhan air yang diperlukan tetapi juga rezeki yang sebenar. Ungkapan ‘menanti rezeki dari langit’ pula difahami bermaksud negatif. Kita tidak disuruh ‘menanti rezeki dari langit’ untuk mengelakkan kita pasrah dan hanya menanti dibantu untuk mendapatkan rezeki. Falsafah orang Melayu menganggap hujan itu menyatukan manusia dengan dunia ghaib. Hujan adalah penyatuan kerohanian dan diliputi misteri. Hujan juga penyatuan antara wujud dengan tidak. Tranformasi hujan yang menjadi air dan bertukar kepada wap adalah misteri alam yang perlu direnungkan.

Manusia Melayu menganggap hujan itu adalah sumber kehidupan sebenar.

Sumber: Noor Hasnah Adam

Kepercayaan Orang Melayu Mengenai Air Ludah

Kenapa haiwan sukamenjilat tubuh mereka?  Kenapa ibu kucing menjilat mata dan tubuh anak kucing yang dilahirkannya? Tahukah anda bahawa haiwan dilindungi alam dan mempunyai naluri untuk mudah sembuh daripada luka yang biasa berlaku? Luka yang disebabkan oleh haiwan pemangsa sering kali menyebabkan penularan bakteria kepada mangsa. Secara naluri, haiwan yang luka akan menjilati lukanya untuk membersihkannya dan menyebarkan minyak tubuh ke dalam jaringan yang terluka.  Minyak ini bertindak sebagai anti-jangkitan bakteria dan seterusnya melindungi haiwan itu.

Haiwan yang paling jinak dengan orang Melayu ialah kucing.  Kucing baik untuk dipelihara kerana kucing memiliki kebolehan untuk mengesan penyakit dan kemudian mengubatnya dengan menjilat.  Sekiranya sesiapa dalam keluarga anda (disimpang Malaikat hendaknya) menderita sakit terkehel, salah urat atau pegal-pegal, hulurkan sahaja bahagian tubuh yang sakit itu kepada kucing anda.  Kucing anda itu akan menghidu-hidu seketika dan kemudian menjilatnya.  Tidak lama kemudian, sembuhlah sakit itu.  Justeru sekiranya kucing anda tiba-tiba menjilat anda, jangan ditepis atau dipukul kucing itu, wlaupun anda terasa geli.  Bahagian yang dijilat itu mungkin merupakan punca penyakit dan jilatan yang mengeluarkan air ludah itu pula merupakan penawar atau ubat kepada penyakit itu.

Air Ludah – Air ludah atau air liur adalah cairan bening yang dihasilkan dalam mulut manusia dan beberapa jenis haiwan.   Air liur berfungsi membasahi makanan untuk membantu mengunyah dan menelan. Air liur juga mengandung enzim-enzim yang memulai dan memudahkan proses pencernaan. Fungsi lain air liur adalah membersihkan mulut daripada bakteria dan membasuh partikel makanan. Air liur yang berada di mulut merupakan bahagian terpenting dalam perawatan rongga mulut. Di dalam air ludah terkandung sistem pertahanan alamiah yang berfungsi menjaga keseimbangan ekologi flora mulut. Cairan yang dikeluarkan oleh kelenjar ludah secara terus menerus membersihkan mulut.  Oleh sebab itulah, jika seseorang kurang meminum air, maka kebersihan mulut akan berkurangan.

Menurut satu kajian sains, zat dalam air ludah dapat menyembuhkan luka.  Saintis mendapati bahawa protein kecil di dalam air ludah yang sebelum ini dipercayai hanya dapat membunuh bakteria, berguna juga untuk menyembuhkan luka.  Sebab itulah, luka pada gusi yang baru dicabut giginya cepat pulih berbanding dengan luka di bahagian anggota tubuh yang lain.  Saintis juga menjangka, air ludah boleh menjadi ubat kepada penderita penyakit kencing manis yang buruk kakinya atau mereka yang mengalami kelecuran atau kebakaran pada kulit.

Pengubatan Cara Lama

Menurut orang tua-tua Melayu dahulu, terdapat beberapa petua tentang penggunaan ludah sebagai ubat.  Dikatakan, sekiranya bayi yang baru lahir panas suhu badannya, si ibu atau ayah disuruh menjilat ubun-ubun bayi, telapak tangan kedua tangan dan telapak tangan kedua kaki.  Menjilat harus dimulai dengan anggota yang kiri dahulu.  Panas tubuh bayi itu akan serta merta beransur turun.

Petua menggunakan ludah untuk mengubat luka kecil juga sering disyorkan oleh orang tua-tua.  Sekiranya jari terluka atau terhiris, kita disuruh cepat-cepat masukkan ke dalam mulut.  Dikatakan darah akan berhenti mengalir dan luka cepat sembuh.  Sekiranya bahagian lain yang luka, ambil  sedikit air ludah sendiri dengan satu jari.  Selepas itu, baca selawat sebanyak 7 kali. Selepas membaca selawat, sapu di bahagian yang luka.  Nescaya cepat sembuh.

Menurut orang tua-tua, sekiranya seorang kanak-kanak masih lambat bercakap walau sudah berusia 3 tahun ke atas, lidah kanak-kanak itu perlu ditarik keluar lalu dikerik dengan cincin.  Ini supaya ludahnya keluar sempurna, tidak bertakung di dalam mulut lantas dapat menggalakkan kanak-kanak itu segera bercakap.

Kebiasaan orang Melayu dahulu ialah menjilat bahagian tubuh yang sakit kerana dikatakan, penderita akan cepat pulih.  Kebiasaan ini mungkin didapati daripada pengamatan terhadap tingkah laku haiwan yang sakit.

Sirih dan Ludah

Pemakan sirih mempunyai air ludah yang banyak kerana air liurnya terangsang oleh rasa sirih pinang dan tembakau.  Disebabkan campuran ramuan sirih, air ludah pemakan sirih berwarna merah.   Dahulu, ada orang kampung mengamalkan mengunyah sirih dan membuang ludahnya ke dalam sebuah bekas khas.  Air ludah yang terkumpul itu kemudian digunakan untuk tujuan pengubatan dan urut.  Dikatakan, ramuan sirih yang sememangnya berkhasiat, apabila bercampur dengan air ludah, menjadi bahan yang amat mujarab sebagai penyembuh penyakit kulit dan tulang.  Ini juga dapat menjelaskan mengapa dalam beberapa pengubatan tradisional mempunyai kaedah sembur.  Maksudnya, bomoh akan mengunyah sirih pinang dan kemudian menyembur si pesakit.  Ada juga yang hanya berkumur air jampi dan kemudian menyembur pesakit.

Air Ludah Orang Mulia

Dahulu, sekiranya seseorang yang dianggap mulia dan berilmu tinggi seperti ahli agama atau guru minum air, ramai yang menantikan peluang mengambil bekas minuman orang mulia itu.  Mereka percaya bahawa bekas air minuman itu amat berkat kerana mengandungi sisa air dan air liur orang yang mulia.  Bekas itu kemudian digunakan tanpa dicuci, dengan menambah air masak.  Biasanya, air minuman itu diberikan kepada anak-anak mereka yang kurang pandai belajar atau nakal tingkah lakunya.

Kepercayaan ini turut tercatat dalam kitab Sulalatus Salatin.  Diriwayatkan, pengislaman Raja Samudera iaitu Merah Silu, turut melalui mimpi.  Baginda bermimpi didatangi Nabi Muhammad SAW.  Mulutnya diludahi oleh Nabi.  Apabila baginda tersedar, baginda sudah boleh membaca ayat-ayat Al-Quran dengan fasih dan lancar.

Pantang Meludah

Kita meludah apabila air liur kita melimpah atau kelenjar air liur keluar lebih banyak daripada sepatutnya.  Air liur yang dibuang itu adalah ‘meludah’.  Faktor yang menyebabkan air liur keluar lebih banyak juga disebabkan rangsangan pancaindera kita.  Misalnya, rasa pahit, pedas dan masin.  Bau busuk boleh membuat kita mual lalu meludah.  Keadaan kerongkong yang tidak sihat menyebabkan batuk dan kahak juga membuat kita meludah.  Begitu juga dengan emosi jijik, muak, menyampah, jengkel, geram dan marah.

Dewasa ini, meludah dianggap perbuatan yang kotor dan mengotorkan pemandangan.  Ludah orang yang sakit juga membawa bakteria penyakit dan boleh mengakibatkan penyakit merebak.  Meludah juga dianggap satu perbuatan yang negatif apabila perbuatan meludah dilakukan ke atas tanah di hadapan orang lain.  Apatah lagi, kalau kita meludah ke muka atau tubuh orang lain.  Perbuatan itu boleh membawa pergaduhan kerana meludah sebegitu adalah satu penghinaan dan mencabar  orang yang diludah.

Natijahnya, walaupun ludah dianggap ubat yang berkhasiat menyembuhkan luka, meludah sebarangan pula boleh mengakibatkan kekotoran dan persengketaan.  Sesungguhnya meludah dianggap perbuatan negatif dan terpancar dalam peribahasa Melayu. Meludah ke langit hanya membawa kesusahan sendiri kerana cuba melawan orang yang berkuasa.  Kalau meludah jilat kembali, samalah ertinya dengan orang yang tidak berpendirian kerana setelah menghina seseorang, orang itu dimuliakan kembali.

SUMBER:  Noor Hasnah Adam

Pesanan Orang Tua-Tua Untuk Suami

PERJUMPAAN YANG MANIS
Setelah pulang dari bekerja, perjalanan jauh atau kegiatan lain yang memisahkan anda berdua, mulakan salam atau sapaan yang baik ketika bertemu. Berikan salam sambil memberikan senyuman, ikhlaskan hati dan berdoa untuk isteri tersayang. Salah dan senyum adalah sunnah manakala mendoakan isteri adalah kewajipan anda. Jabat tangannya dan jika perlu, cium pipinya. Jika ada berita yang tidak begitu menyenangkan hati isteri, tunda dulu niat untuk menyampaikan berita itu.

UCAPKAN PERKATAAN YANG BAIK
Dalam tutur kata dengan isteri, pilih kata-kata positif dan hindari perkataan yang memberikan kesan negatif supaya isteri memahami apa yang diperkatakan. Berikan perhatian ketika mendengar kata-katanya. Ini akan membuatkan dia rasa dihargai seperti mana anda ingin rasa dihargai apabila kata-kata anda didengar dengan baik. Jangan lupa panggilan mesra yang disukainya kerana ia dapat menambah kemesraan hubungan anda berdua.

BERSAHABAT DAN SANTAI
Jangan melayan isteri seperti rakan sepejabat atau orang bawahan seolah-olah di tempat kerja, sehingga menyebabkan suasana menjadi serius dan kaku. Jangan pula terlalu sibuk dengan urusan sendiri, sediakan waktu untuk bersamanya. Sampaikan padanya berita yang menyenangkan dan sering ingatkan kenangan indah bersamanya.

GURAUAN DAN SELINGAN
Senda gurau pasti menceriakan lagi suasana berumah tangga. Ajaklah isteri menonton pertunjukan yang tentunya menggembirakan, selain beriadah di luar bersama.

BANTU DALAM TUGAS
Lakukan apa saja yang anda sukai dengan membantu melakukan tugas rumah tangga terutama jika dia letih atau sakit. Ini penting untuk membuatkan si isteri rasa dihargai. Pada masa yang sama, jangan lupa berikan penghargaan atas usahanya dalam melaksanakan tugas rumah tangga.

MUSYAWARAH
Biasakan bermusyawarah khususnya dalam menyelesaikan masalah keluarga. Biarkan isteri berasa pendapatnya penting untuk anda. Jika pandangannya bernas dan tepat, berterima kasih padanya.

BIJAK MERANCANG KEWANGAN KELUARGA

Sebagai suami, kita hendaklah bijak dalam merancang perbelanjaan kewangan, sesuai dengan kemampuan kewangan kita.

TEGUR PERBUATAN ISTERI TETAPI MAAFKAN DIRINYA
Setiap insan melakukan kesalahan, justeru, jangan menjadi pendendam. Jangan mengungkit kesalahannya yang kecil, dan tidak rugi jika anda memaafkan isteri apabila dia melakukan.

Petua Untuk Sakit Kaki

Jika anda terasa sakit  di bahagian kaki seperti lenguh lutut, sakit tumit, lenguh-lenguh kaki sebelah samaada bahagian kanan atau kiri atau sebagainya, biasakan berjalan kaki di atas rumput yang dipenuhi embun waktu pagi. Ini kerana , mengikut orang tua-tua zaman dahulu,  tapak kaki dan bumi yang dipijak oleh tapak kaki itu adalah dua kembar. Dalam erti kata lain, pasangan tapak kaki secara semulajadinya adalah bumi. Amalkanlah.

Pesanan Orang Tua-Tua Untuk Suami

PERJUMPAAN YANG MANIS
Setelah pulang dari bekerja, perjalanan jauh atau kegiatan lain yang memisahkan anda berdua, mulakan salam atau sapaan yang baik ketika bertemu. Berikan salam sambil memberikan senyuman, ikhlaskan hati dan berdoa untuk isteri tersayang. Salah dan senyum adalah sunnah manakala mendoakan isteri adalah kewajipan anda. Jabat tangannya dan jika perlu, cium pipinya. Jika ada berita yang tidak begitu menyenangkan hati isteri, tunda dulu niat untuk menyampaikan berita itu.

UCAPKAN PERKATAAN YANG BAIK
Dalam tutur kata dengan isteri, pilih kata-kata positif dan hindari perkataan yang memberikan kesan negatif supaya isteri memahami apa yang diperkatakan. Berikan perhatian ketika mendengar kata-katanya. Ini akan membuatkan dia rasa dihargai seperti mana anda ingin rasa dihargai apabila kata-kata anda didengar dengan baik. Jangan lupa panggilan mesra yang disukainya kerana ia dapat menambah kemesraan hubungan anda berdua.

BERSAHABAT DAN SANTAI
Jangan melayan isteri seperti rakan sepejabat atau orang bawahan seolah-olah di tempat kerja, sehingga menyebabkan suasana menjadi serius dan kaku. Jangan pula terlalu sibuk dengan urusan sendiri, sediakan waktu untuk bersamanya. Sampaikan padanya berita yang menyenangkan dan sering ingatkan kenangan indah bersamanya.

GURAUAN DAN SELINGAN
Senda gurau pasti menceriakan lagi suasana berumah tangga. Ajaklah isteri menonton pertunjukan yang tentunya menggembirakan, selain beriadah di luar bersama.

BANTU DALAM TUGAS
Lakukan apa saja yang anda sukai dengan membantu melakukan tugas rumah tangga terutama jika dia letih atau sakit. Ini penting untuk membuatkan si isteri rasa dihargai. Pada masa yang sama, jangan lupa berikan penghargaan atas usahanya dalam melaksanakan tugas rumah tangga.

MUSYAWARAH
Biasakan bermusyawarah khususnya dalam menyelesaikan masalah keluarga. Biarkan isteri berasa pendapatnya penting untuk anda. Jika pandangannya bernas dan tepat, berterima kasih padanya.

BIJAK MERANCANG KEWANGAN KELUARGA
Sebagai suami, kita hendaklah bijak dalam merancang perbelanjaan kewangan, sesuai dengan kemampuan kewangan kitaa.

TEGUR PERBUATAN ISTERI TETAPI MAAFKAN DIRINYA
Setiap insan melakukan kesalahan, justeru, jangan menjadi pendendam. Jangan mengungkit kesalahannya yang kecil, dan tidak rugi jika anda memaafkan isteri apabila dia melakukan kesilapan.