Petua Menangani Anak Kencing Dalam Seluar Di Sekolah

1. Beritahu anak anda bukan dia sahaja yang mengahadapi masalah ini. Katakan kepada anak anda ramai lagi kanak-kanak yang sering menghadapi masalah ini dan sesiapa yang sering terkencing di dalam seluar bukan bermakna dia masih seorang bayi kecil.

2. Cari Punca Masalah. Tanya anak anda “Apa yang adik buat sebelum itu?” “Adik sempat tak pergi bilik air waktu rehat?” Jawapannya akan membantu anda mencari punca bagaimana dia boleh terkencing di dalam seluar dan kemudian mengatasinya di kemudian hari.

3. Nasihatkan anak anda supaya berani bersuara. Sesetengah kanak-kanak malu untuk meminta izin menggunakan tandas di tadika atau di sekolah. Anda perlu beritahu anak anda semua orang memang perlu membuang air kecil walaupun orang dewasa. Oleh itu mereka tidak akan berfikir apa-apa sekiranya dia meminta izin menggunakan tandas. Sekiranya dia masih malu, minta supaya guru kelasnya mengawasinya agar dia pergi tandas pada masa rehat biasa.

4. Bekalkan pakaian lebihan. – Sekiranya anak anda mengetahui dia dibekalkan dengan seluar dan seluar dalam lebihan, dia akan menjadi lebih berkeyakinan. Malah, ianya dijadikan sebagai peringatan supaya dia lebih kerap ke tandas. Ini kerana mereka akan elak menggunakan pakaian yang dibekalkan.

Petua Untuk Persediaan Anak Sebelum ke Sekolah

1. Latih anak bertanggungjawab terhadap barang-barang sendiri seperti beg sekolah, buku teks, alat tulis, buku tulis dan sebagainya.

2. Beri peluang anak jalin hubungan baik bukan sahaja dengan ahli keluarga tetapi juga bukan keluarga dan rakan sebaya untuk memupuk kemahiran bergaul dan berjaya di sekolah.

3. Gunakan bahasa yang sempurna di rumah kerana penguasaan sesuatu bahasa dengan baik dapat membantu meningkatkan kefahaman anak di sekolah.

4. Asuh anak tentang kemahiran berpakaian khususnya apabila bertukar pakaian untuk latihan jasmani serta cara melipat dan menyimpan pakaian di tempat selamat.

5. Latih anak menggunakan tandas secara betul seperti amalan beristinjak, menanggalkan pakaian dan memakai semula serta amalan mencuci tangan selepas ke tandas.

6. Selain mengajar menggunakan telefon awam, bekalkan anak-anak dengan nombor telefon yang betul dan minta mereka hafal beberapa nombor seperti rumah, pejabat atau telefon genggam.

7. Terangkan keadaan bagaimana mereka boleh menghubungi ibu bapa seperti sakit perut, demam, tertinggal bas, waktu persekolahan tamat lebih awal dan sebagainya.

8. Latih anak-anak menyampaikan pesanan yang betul dalam bentuk lisan atau bertulis agar apa yang dipesan guru kepada ibu bapa dapat diingat dengan betul.

9. Terangkan keadaan bila dan bagaimana untuk meminta bantuan guru atau orang dewasa seperti terjatuh, terluka, dipukul murid dan sebagainya.

10. Perkenalkan anak dengan nilai wang dan banyak mana yang patut diberi apabila membeli makanan di kantin sekolah.

11. Latih anak mengawasi waktu bila seharusnya mereka patut bangun tidur, mandi, gosok gigi, dan berpakaian untuk ke sekolah

12. Ajar anak anda cara membaca jadual waktu sekolah. Mulakan dengan menunjukkan buku-buku berkaitan dan mengemaskannya untuk anak anda.

Petua Untuk Meningkatkan Motivasi Anak

1. Penerangan  Jelas – Penyelelidikan menunjukkan kebanyakan kanak-kanak dan remaja tidak cemerlang dalam kerja rumah dan tugasan kerana mereka tidak tahu apa yang patut mereka lakukan. Ibu bapa sepatutnya perlu menjelaskan perkara berikut:

a. Kenapa tugasan yang diberikan itu penting?
b. Apa kaitan sesuatu tugasan dengan kehidupan?
c. Memastikan pengetahuan asas mereka mantap.
d. Beritahu bagaimana hasil kerja mereka akan dinilai.
e. Jelaskan kepada mereka apa yang mereka akan perolehi dan kecapi hasil sesuatu tugasan atau kerja.

2. Ganjaran – Anak yang tidak mempunyai motivasi dalaman yang kuat boleh dimotivasikan secara luaran dengan menyediakan pelbagai bentuk ganjaran. Lihat apa kebaikan dan kelebihan anak dan suburkannya, mereka pasti mengulangi kebaikan ini di lain masa. Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti hadiah, puji-pujian, pelepasan daripada tugas harian dan sebagainya. Ganjaran bukan sahaja diberikan terhadap pencapaian yang diperoleh tetapi juga terhadap usaha ynag diberikan. Berikan insentif agar anak berusaha untuk menguasai pengetahuan dan maklumat bukan sekadar bersaing antara satu sama lain. Ganjaran luar yang berkesan ialah yang mampu menjana motivasi dalaman anak.

3. Tetap dan Mantapkan Matlamat- Setiap anak mestilah disuruh menetapkan matlamat untuk pendidikan dan masa depan. Ikuti perkembangan anak dan pastikan setiap anak mampu merealisasikan matlamat masing-masing.

4. Berikan Perhatian – Anak akan memberikan tindak balas yang positif terhadap ibu bapa yang ambil berat tentang diri dan masalah mereka. Memahami adalah lebih baik daripada menghukum. Ada ketikanya ibu bapa perlu bercerita kisah lampau, memberitahu kesilapan-kesilapan yang pernah mereka lakukan dan lain-lain sebagai satu teladan untuk pelajar. Ini penting untuk mewujudkan jambatan emosi, saling mempercayai dan saling bertanggungjawab. Sekiranya mereka lakukan kesilapan, pastikan mereka faham bahawa semua orang boleh lakukan kesilapan tetapi jelaskan kepada pelajar iaitu manusia berjaya ialah mereka yang belajar dari kesilapan. Sentiasa tanya apa matlamat mereka? Apa perancangan mereka? Sejauh mana progres mereka? Apa minat mereka? Apa kerjaya pilihan mereka? Dan sebagainya.

5. Penglibatan dan Penyertaan – Salah satu kunci motivasi diri ialah penglibatan aktif dan penyertaan dalam setiap aktiviti kekeluargaan. Rangsang anak untuk terlibat dalam aktiviti luar, interaksi antara adik-beradik dan saling membantu. Anak akan lebih bermotivasi apabila mereka rasa diri mereka penting dan diperlukan. Oleh itu libatkan setiap pelajar dalam pelbagai kerja ibu bapa seperti memasak, mengemas rumah atau berkebun.

6. Penuhi Keperluan – Ibu bapa mestilah sedar bahawa setiap anak memerlukan daya hidup, kasih sayang, kuasa memilih, keseronokan dan kebebasan. Misalnya, memberikan peluang anak yang tua menyelesaikan masalah-masalah kecil di kalangan adik-beradik. Atau memberi peluang kepada mereka memberikan pendapat dan pandangan sepert aspek hiasan dalaman atau sebagainya.

7. Kepelbagaian Emosi dan Watak – Kekuatan memori ada kaitannya dengan tahap emosi yang membentuk pengalaman seseorang. Anak akan lebih mudah mengingat dan memahami sesuatu yang disertai dengan pendekatan emosi. Anak akan lebih bersedia untuk belajar apabila ada unsur-unsur kepelbagaian emosi dan watak kerana mereka tidak akan bosan. Jangan malu untuk mempelbagaikan watak, gaya dan pendekatan anda demi menarik minat anak terhadap apa yang mahu anda sampaikan.

8. Terapkan Aspek Kemahiran – Ajarkan mereka beberapa aspek kemahiran komunikasi dan sosial. Contohnya beri peluang untuk mereka ‘memberi ceramah’ atau melayan tetamu yang datang. Juga terapkan kepada mereka teknik pembelajaran yang berkesan, pengurusan masa, kaedah membaca, kaedah mengambil nota dan sebagainya. Tanam dalam fikiran ‘boleh’ dalam setiap yang dilakukan.

Petua Agar Anak Murid Ikut Cakap Guru

1. Letakkan kedua-dua telapak tangan anda dan rapatkan atas kepala anak murid tersebut tanpa sentuh kepala, lebih kurang  1 inci dari rambut.

2. Bacakan al Fatihah dan Alam-nash-rah … hingga habis.

3. Niat dalam hati mohon pada Allah: “Ya Allah  permudahkanlah anak murid ini untuk belajar dan diterangkan hati, lembutkan hati dan ditetapkan iman dan mohon agar anak murid ini mendengar cakap”.

4. Sentuh dia dengan ikhlas tanpa rasa geram dengantelapak tangan anda. Telapak tangan anda ada aura dan gunakannya sebaik-baiknya.

Petua Untuk Anak Cepat Bercakap

1. Anda perlu selalu berkomunikasi dan berinteraksi dengan anak-anak dari usia mereka masih bayi atau ketika mereka masih belum lagi pandai bercakap.

2. Gunakan ayat yang pendek dan mudah. Apabila anda mahu menerangkan sesuatu kepada anak anda, pastikan ada ruang (pause) antara satu ayat dengan yang lain supaya anak anda berpeluang memberi maklum atau tindak balas

3. Mimik muka anda semasa bercakap amat penting. Ia mestilah bersesuaian apabila menyampaikan sesuatu maksud perkataan atau ayat

4. Selalu membacakan buku untuk anak dan meluangkan masa bercerita kepada anak

5. Dedahkan anak-anak anda kepada interaksi sosial kerana dengan cara ini anda memberi peluang kepada mereka mendengar perbualan di samping berjumpa dengan orang yang baru dikenali.

6. Anda mesti menjadi pendengar yang baik dan berusaha memberi perhatian serta cuba memahami apa yang disampaikan oleh anak-anak anda. Jika apa yang disebutnya tidak jelas, anda mesti bantunya dengan menyebut beberapa perkataan yang anda rasa mungkin itulah yang cuba disebutkan oleh anak anda.

7. Amalkan selalu menyanyi bersama-sama anak atau bercerita kepadanya.

8. Selagi mana anak boleh menggunakan beberapa patah perkataan, menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi, dan memahami arahan mudah, maka boleh dikatakan perkembangan bahasa mereka adalah normal. Perbanyakkan berbual dengan anak-anak, membacakan buku cerita kepada mereka, bertanya kepada mereka, dan cuba minta mereka bercakap.

Petua Menangani Anak Tidak Mahu Pergi Sekolah

Ada kanak-kanak yang memang suka pergi sekolah tapi ada juga segelintir yang tak suka pergi sekolah. Yang pasti, mesti ada sesuatu sebab kenapa mereka tidak mahu pergi sekolah.  Masalah ini biasanya berlaku bagi anak berumur 4 -7 tahun yang baru hendak mula bersekolah. Walaupun demikian ada juga kes anak yang tidak suka ke sekolah yang berlarutan sehingga sekolah rendah.

Antara Penyebabnya –

1. Tidak mahu berpisah dengan ibu dan adik-adik di rumah
2. Dibuli oleh kawan-kawan di sekolah
3. Guru yang tidak disukainya; mungkin gurunya selalu menegur dan marah secara yang tidak disukainya.
4. Tidak suka berkawan, suka tinggal berseorangan disebabkan tidak dibiasakan sebelumnya
5. Tidak selesa, takut, tidak pernah berenggang dengan ibu bapa dan tidak rasa selamat
6. Perasaan takut dan tidak selesa berdepan dengan guru dan kawan-kawan
7. Tidak suka bangun awal pagi
8. Tidak suka dengan persekitaran sekolah

Cadangan Penyelesaian

Selidiki punca masalah; apakah sebab anak tidak mahu pergi sekolah. Pujuk dan tanya kenapa dia tidak mahu pergi sekolah; adakah sebab kena buli, takut kawan atau guru atau sebagainya. Berdasarkan punca masalah tersebut, cuba cari jalan penyelesaian yang sesuai seperti;

1. Ceritakan suasana positif dan keseronokan di sekolah, seperti “ada ramai kawan”, “guru yang baik”, “boleh main dengan kawan” dan sebagainya..

2. Beri ganjaran (umpan) kepada anak yang tidak mahu ke sekolah dengan sesuatu yang disukai sekiranyanya dia rajin ke sekolah tetapi janji tersebut mestilah jangan keterlaluan dan di dalam kemampuan ibu bapa.

3. Latih anak bangun awal, sebaik-baiknya dapat solat subuh bersama-sama. Sediakan mereka dengan pakaian yang kemas.

4. Mungkin juga ibu atau bapa perlu temankan dia di sekolah untuk berapa ketika sehingga dia rasa selamat dan yakin

5. Buat kerja rumah dan ulangkaji bersama-sama. Tanya hal-hal aktiviti, siapa kawan dia di sekolah dan sebagainya. Tunjukkan minat dan sokongan anda terhadap persekolahannya.

6. Berbincang dengan guru sekiranya anak anda dibuli atau takut kepada kawan. Biasanya guru juga dapat mengesan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

7. Bantu anak dapatkan kawan seramai yang mungkin dan secepat mungkin. Ada juga kanak-kanak yang lambat mendapat kawan, dan ada yang cepat (bergantung kepada sifat genetik, persekitaran dan asuhan).

8. Tukar sekolah. Ini adalah pilihan terakhir sekiranya masalah persekitaran, guru dan rakan sukar diatasi. Kemungkinan juga anak tidak minat dengan silibus di sekolah berkenaan.

9. Berdoa semoga diberikan minat dan keinginan yang tinggi bagi anak-anak menuntut ilmu yang bermanfaat.

Kenapa Pelajar Mudah Mengantuk Dalam Kelas?

  1. Tiada Persediaan – Ramai di kalangan pelajar tidak kira di alam persekolahan mahu pun ketika di university, tidak membuat persediaan yang cukup sebelum ke kelas. Apabila anda tidak membaca dahulu apa yang akan diajar oleh guru dan pensyarah pada hari tersebut, anda akan cepat hilang tumpuan. Apa yang diajar oleh guru anda tidak pernah pun tahu. Bagaimana mahu rasa seronok? Macam mana ingin merasa mudah ketika guru mengajar? Justeru, pastikan anda membaca dahulu apa yang akan disampaikan oleh guru atau pensyarah pada hari tersebut sebelum ke kelas.
  2. Kurang Tidur – Ramai yang beranggapan bahawa, tidur lewat adalah jalan penyelesaian terbaik untuk score di dalam peperiksaan. Memang pernah berlaku bahawa ramai orang berjaya yang berbuat demikian. Tetapi lebih ramai orang berjaya yang tidak mengamalkan kaedah sedemikian. Apabila anda tidur lewat, anda akan mengantuk di dalam kelas.
  3. Tiada Fokus – Ramai juga pelajar yang tidak memberikan perhatian ketika guru atau pensyarah mengajar di kelas. Kelas dan dewan kuliah bukan tempat untuk anda berangan atau membiarkan fikiran anda bebas ke mana-mana.
  4. Kurang Minat – Kalau anda ingin berjaya anda harus minat. Wajib menyukai setiap pelajaran dan subjek yang anda ambil. Sesuatu yang sukar itu seringkali bermula dengan yang sukar-sukar. Kuatkan hati, tanamkan azam yang jitu. Tambahkan minat terhadap mata pelajaran yang kurang diminati. Lakukanlah apa sahaja untuk memastikan anda minat dan seronok terhadap  tajuk dan subjek berkenaan.
  5. Fizikal dan Mental – Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa mental dan fizikal kita juga perlu rehat yang mencukupi. Dapatkah anda bayangkan sebuah kereta yang bergerak 24 jam tanpa henti dan ia terus bergerak lagi untuk 24 jam, yang seterusnya tanpa henti? Begitu juga tubuh kita. Pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya. Rehat fizikal, rehat juga minda. Buang segala masalah yang sedang melanda dan mengusutkan anda.

Petua Untuk Anak Menduduki Peperiksaan

Petuanya adalah dengan mengumpulkan alat tulis anak-anak dan genggam alat tulis tersebut (dalam keadaan berwuduk ), kemudian baca bacaan-bacaan berikut:

  1. Al-Fatihah  7 kali
  2. Selawat  7 kali
  3. Subhanallah  44 kali
  4. Alhamdulillah  44 kali
  5. Allah hu Akbar  44 kali
  6. Ya Hayyu Ya Qayyum  21 kali
  7. Teruskan dengan bacaan doa..

” Ya Allah Ya Hayyu Ya Qayyum,Ya Rahman,Ya Rahim,Ya Latif,Ya Jabbar,Ya Khaliq,Ya Allah permudahkanlah anak-anak kami di dalam urusan mereka dalam menimba ilmu di atas seruan dan perintah-Mu. Tenangkanlah hati mereka untuk menerima ilmu-Mu,lapangkanlah jiwa mereka untuk mengharungi ujian-Mu dan berkatilah mereka dengan rahmat-Mu.Amin Ya Rabbalalamin..”

Kemudian tiupkan pada alatulis tersebut dan hati-hati jangan di biarkan bersepahan sehingga di langkah anak-anak. Keesokan harinya ambil segelas air, baca Al-Fatihah 7 kali dan Selawat 7 kali, bacalah doa yang sama seperti di atas dan beri anak-anak minum air tersebut.Insyaalah kita berusaha, semoga dapat membantu anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan.

Petua Untuk Mengurangkan Menonton TV

1. Jangan letak TV di ruang tamu. Ini kerana apabila kita balik, kita akan terus buka TV dan ada kemungkinan TV tersebut akan pasang tanpa sesiapa yang menontonnya. Seelok-eloknya disediakan satu bilik khas untuk menonton sahaja.

2. Jangan letak TV di dalam bilik tidur anak-anak. Ini akan memudahkan mereka untuk menonton TV tanpa pengawasan dari ibu bapa.

3. Hadkan masa menonton TV dan juga hadkan kepada rancangan-rancangan tertentu sahaja. Misalannya dalam seminggu, anak-anak dibenarkan menonton 4 hari seminggu. Dalam 4 hari tersebut cuma rancangan-rancangan tertentu sahaja. Elok diamalkan begini sejak anak-anak masih kecil lagi.

4. Ibu bapa mestilah berkorban untuk kebaikan anak-anak. Kurangkan masa menonton. Beri contoh yang baik kepada anak-anak. Kita harus bijak memilih program-program yang hendak ditonton. Fikirkan kebaikan dan keburukan dan juga kesan-kesannya. Kesannya bukan dalam jangka masa pendek sahaja, tetapi juga dalam jangka masa panjang.

5. Berhati-hati dengan program TV yang anda tonton, kerana tv memang benar-benar mampu memprogram minda anda. Kita mungkin secara sedar tidak merasa apa-apa. Bagi kita hanya hiburan, tetapi realitinya nilai-nilai yang disampaikan dalam rancangan tersebut terakam masuk langsung ke dalam minda dan mempengaruhi pemikiran kita.

ePendidikan:Petua Menghilangkan Mengantuk Semasa Belajar

1. Pasang Niat – Untuk apa anda belajar, kenapa pula anda belajar? Bila semua ini anda telah mampu jawab dengan jelas, jerit kuat-kuat dalam hati. Katakan dalam minda anda bahawa anda mesti belajar untuk menggapai matlamat anda itu. Tidak ada orang malas yang boleh berjaya. Matlamat yang benar-benar jelas akan membawa seseorang itu ke suatu tahap yang tidak pernah dijangka-jangka dan mampu menewaskan apa pun halangan yang ada di hadapannya. Mengantuk, bosan dan sebagainya bukanlah masalah.

2.Belajar dalam jangka waktu yang pendek – Ini penting. Selepas 1 jam seeloknya, berhenti sekejap. Kalau 30 minit sudah rasa penat pun tidak mengapa, berhenti sejenak. Buatlah apa-apa hobi anda. Baca novel-novel, komik-komik, main game pun tak apa, asal anda mendapat semula semangat study anda. Amalkan tabiat begini selalu, dan anda akan rasa anda tidak akan jemu untuk menelaah buku-buku pelajaran anda.

3.Dapatkan tidur yang cukup – Ramai yang terlepas pandang mengenai hal ini. Tidak ada gunanya menelaah berjam-jam tetapi hasilnya sama saja dengan mereka yang menelaah hanya sejam. Apa bezanya? Belajar dengan berkualiti nilainya memang tidak sama dengan mereka yang belajar, tetapi tiada kualiti. Jika inginkan kualiti masa belajar, pastikan anda benar-benar segar dan cergas semasa belajar. Otak yang letih sukar untuk memproses segala maklumat yang dihantar kepadanya dengan berkesan. Jadi, pastikan anda mendapat tidur yang mencukupi. Ingat, tidur yang sempurna juga merupakan salah satu strategi untuk anda berjaya di dalam pelajaran.

4. Minum Air Masak (kosong) – Jadikan amalan minum air masak sebagai amalan harian. Makan buah-buahan  selalu pun bagus. Tubuh yang kekurangan air akan lebih mudah untuk berasa letih. Letakkan sama air mineral di sebelah meja anda. Air ini akan membantu anda jadi penenang apabila anda gelisah. Jadikanlah ia suatu amalan dalam hidup anda, agar anda berasa lebih cergas dan lebih sihat dalam urusan harian.