Petua Elakkan Rambut Beruban

1. Ambil segenggam biji betik yang telah masak dan jemur hingga keringkan.

2. Setelah kering, goreng biji betik tersebut tanpa menggunakan minyak sampai hangus dan tumbuk hingga lumat.

3. Masak dengan semangkuk santan pekat hingga menjadi minyak.

4. Jadikan minyak ini sebagai minyak rambut seharian. Rambut anda akan lambat beruban.

Petua Penjagaan Rambut Untuk Wanita Bertudung

1. Cuci Rambut Setiap Hari
Jika anda biasanya mencuci rambut setiap hari, ubahlah kebiasaan ini. Jika anda bertudung, memang tidak sesuai jika anda mencuci rambut setiap hari. Keadaan ini akan menjadi lebih teruk jika anda jika anda suka mencuci rambut pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja. Tidak kira panjang mana sekali pun rambut anda, ia tetap memerlukan masa yang lama untuk betul-betul kering sebelum mengenakan tudung. Walaupun anda menggunakan pengering rambut, rambut tetap tidak akan kering dengan sempurna secara menyeluruh.

PETUA: Cucilah rambut anda sekurang-kurangnya 3 kali dalam seminggu. Lebih afdhal, cucilah rambut anda pada waktu petang, sebaik sahaja anda pulang dari kerja. Selebihnya cucilah pada hujung minggu. Keringkan rambut secara semulajadi. Biarkan ia lepas bebas dan elakkan daripada membungkusnya dengan tuala.

2. Pilih Kain Tudung Berfabrik Lembut
Pilihlah fabrik lembut untuk tudung anda. Jangan pilih fabrik kapas, kerana kain tudung yang memerangkap haba tidak baik untuk kulit kepala dan rambut anda.

PETUA: Kalau anda selesa, elakkan memakai serkup kepala. Pastikan tudung betul-betul dipin dengan selesa agar rambut tidak terkeluar.

3. Sentiasa Merawat Rambut
Sebulan sekali, periksa jika ada sel rambut mati atau hujung rambut yang terbelah. Jika anda membiarkannya, rambut akan menjadi lebih mudah gugur kerana tidak dirawat.

4. Atasi Masalah Rambut Jika Ada
Apapun masalah anda, jangan pandang remeh dan berharap ia akan hilang dengan sendirinya. Kalau anda tidak mempunyai bajet lebih untuk mendapatkan rawatan di salun, anda boleh mendapatkan nasihat dari pakar farmasi untuk syampu yang sesuai untuk anda. Masalah rambut kadang-kadang bukan disebabkan oleh cara anda menjaga dan mengendalikanya sahaja, bahkan ia mungkin disebabkan oleh penyakit lain. Masalah ini tidak akan selesai dengan sendirinya jika anda tidak mencari penyelesaianya.

PETUA: Jika anda sudah selesa dengan satu syampu, kekalkanya. Dapatkan maklumat yang betul dan tepat mengenai cara mencuci dan membilas rambut dengan sempurna. Cucian bukan setakat mengurut syampu di rambut dan membilasnya sekali lalu sahaja. Setelah mencuci dengan sempurna, pastikan anda mengeringkannya dengan betul kerana rambut yang bersimpul-simpul juga menjadi sebab rambut mudah rosak.

5. Berehat Dahulu Sebelum Membersihkan Diri
Sebaik sahaja sampai di rumah selepas bekerja mahupun dari beriadah, terus buka tudung anda dan biarkan kulit kepala bernafas terlebih dahulu. Berehatlah seketika dalam masa 1/2 jam sehingga peluh di tubuh dan kulit kepala anda benar-benar kering. Sebaiknya, bukalah ikatan rambut anda dan biarkan angin meresap ke seluruh kulit kepala. Jangan biarkan rambut terus bertudung atau pun jangan pula terus mandi sebaik sahaja sampai di rumah.

PETUA: Sebaik-baiknya anda perluberehat sepenuhnya. Jangan lakukan apa-apa kerja kerana anda akan lebih berpeluh. Berbaringlah di atas katil dan bukalah penghawa dingin di bilik anda. Nikmatilah saat ini sebaiknya agar keadaan rambut dan kulit kepala anda betul-betul kering dan “rehat” dengan sempurna.

Petua Elak Rambut Gugur

Petua 1:

1. Selepas anda makan buah tembikai, jangan dibuang dulu kulitnya.

2.Gunakanlah bahagian kulit tembikai dengan menggosokkannya pada kulit kepala anda.

3. Kemudian, biarkan ia meresap ke kulit kepala anda. Tunggu dalam masa  25 hingga 35 minit dan cucilah sampai bersih.

4. Jika anda ingin biarkannya semalaman pun boleh. Buat sebelum masuk tidur dan keesokannya baru cuci. Gunakan shower cap atau balut dengan kain supaya tidak meleleh pada bantal tidur anda.

5. Amalkan petua ini hanya sekali dalam seminggu

Petua 2:

1.  Ambil segenggam daun bunga raya dan beberapa helai daun lidah buaya. Basuh bersih dan kisarkan kedua-dua hingga lumat. Perapkan bahan ini di atas kepala selama satu jam. Lakukan 2 kali seminggu. Rambut akan kekal kuat dan hitam semulajadi.

2. Rendamkan secawan kacang hijau semalaman. Kemudian tapis dan ambil airnya untuk disapu di atas kulit kepala sambil kulit kepala dipicit perlahan. Amalkan selalu. Selain itu, elakkan mengikat rambut dengan getah.

Petua Sesuaikan Rambut dengan Bentuk Tubuh

Petua sesuaikan rambut dengan bentuk tubuh

Tubuh Kurus

  • Potongan rambut seharusnya dapat memperlihatkan wajah kelihatan berisi. Untuk tampil feminin, rambut paras bahu, berombak dan dipotong layer sesuai untuk mereka bertubuh kurus. Bagaimanapun, elakkan menggayakan rambut panjang lurus kerana ia akan membuatkan anda lebih kurus. Rambut pendek pula membuatkan anda kelihatan lebih maskulin.


Tubuh Gemuk

  • Rambut yang tidak terlalu panjang (melepasi bahu) dengan layer pada sisi kiri dan kanan rambut boleh membuatkan anda kelihatan kecil. Elakkan potongan rambut yang terlalu pendek, terlalu panjang, kerinting dan bergelombang kerana ia membuatkan tubuh kelihatan bertambah besar.

Tubuh Kecil atau Mungil

  • Rambut lurus yang halus sesuai dengan anda. Panjang rambut tidak terlalu pendek dan tidak terlalu panjang. Rambut pendek dengan layer dan gelombang pada bahagian atas kepala juga sesuai.

Tubuh Tinggi

  • Mungkin mereka bertubuh tinggi tidak menghadapi sebarang masalah untuk menggayakan apa juga gaya rambut. Gaya rambut berombak dan beralun semula jadi boleh merubah penampilan anda kelihatan feminin.

Petua Penjagaan Rambut Panjang

Petua penjagaan rambut panjang

1.  Gunakan Jari Anda

Sebaik sahaja anda bangun tidur, jangan gunakan sikat untuk menyikat rambut. Sebaliknya, gosokkan jari anda di kulit kepala dan uraikan helaian rambut untuk meleraikan rambut yang kusut dan berpintal. Jika anda ubah taktik  ini mulai sekarang dengan menggunakan jari anda, ia akan memberi kesan yang positif pada rambut anda serta mampu mengurangkan pengguguran rambut.

2. Berus Rambut Anda Selalu

a. Ada sesetengah wanita khuatir jika mereka menyikat rambut selalu akan mengakibatkan rambut gugur. Sebenarnya, jika anda selalu memberus rambut, rambut anda akan bertambah sihat. Bagi anda yang berambut panjang, anda dinasihatkan supaya menggunakan berus rambut berbulu dengan permukaan bulat. Mulakan memberus dari bahagian atas kepala sehingga ke bawah. Kemudian, berus dari bahagian rambut yang dalam pula. Selepas memberus, gunakan jari untuk memberi kesan yang lebih.

b. Jangan berus rambut anda semasa ia masih basah. Sebaiknya, gunakan berus bergigi besar untuk menyikat secara lembut supaya tidak merosakkan akar-akar rambut. Ini kerana, rambut yang basah mempunyai struktur yang lemah dan akan mengakibatkan rambut mudah gugur.

3. Jangan Lupa Sikat Rambut

Menyikat rambut adalah untuk memperkemas, mencantik dan menggayakan rambut. Bahagikan rambut anda kepada beberapa bahagian yang kecil dengan menggunakan sikat bergigi jarang. Sikat rambut anda perlahan-lahan bermula dari atas ke bawah. Jangan sesekali menyikat rambut jika ia berpintal.

4. Keringkan Rambut

Jika anda berambut panjang ia perlu dikeringkan terlebih dahulu. Gunakan alat pengering rambut yang sesuai. Semasa anda mengeringkan rambut, pilih pengering rambut yang boleh mengeluarkan suhu yang sejuk. Ia baik untuk rambut panjang.

5. Pilih Syampu YangTerbaik

Pastikan syampu anda mempunyai perapi yang dapat membantu memberi pelembapan pada rambut secara menyeluruh. Semasa mencuci rambut dengan syampu, ratakan sedikit syampu pada seluruh kepala dan bilas dengan air. Seterusnya, bilas dan syampu rambut untuk kali kedua. Ketika ini, urut kepala secara perlahan-lahan untuk menyihatkan akar-akar rambut.

6. Peka dengan Keadaan Sekeliling

Lindungilah  rambut anda daripada pendedahan berterusan pancaran matahari, air bergaram, air berklorin, angin dan pencemaran. Semua ini boleh merosakkan rambut dan mudah membuatkan rambut anda kusut masai. Anda juga boleh mengenakan tudung untuk melindungi rambut panjang daripada persekitaran yang tercemar. Penggunaan topi dan skaf juga digalakkan untuk mengekalkan kesihatan rambut.

Petua Untuk Merawat Rambut Yang Bermasalah

Petua Untuk Rambut Beruban

Gosokkkan kulit kepala anda dengan air kelapa tua secara perlahan-lahan. Amalkannya setiap hari atau 3 kali seminggu. Biasanya kelemumur dan uban akan hilang.

Petua Untuk Menghilangkan Kelemumur

a. Tumbuk 13 helai daun pandan hingga lumat. Campurkan dengan 2 gelas air. Selepas itu disaring dan usaplah air saringan tadi ke kepala anda yang terdapat kelemumur. Seterusnya bilas rambut anda dengan air biasa.

b. Perahkan air limau purut atau limau nipis ke atas kulit kepala anda. Lumurkan rata-rata dan biarkannya beberapa jam. Biarkan rambut anda diperapkan dengan tuala yang kering dan bersih. Basuh rambut anda dengan air suam.

Petua Untuk Melembutkan Rambut

Ambil secekak kangkung dan bersihkan. Masukkan ke dalam bekas. Tuangkan 8 camca air suam dan ramas kangkung hingga mengeluarkan lendir. Sapukanlah lendir tersebut pada seluruh rambut anda dan biarkan seketika. Kemudian, bilas rambut dengan air bersih. Amalkannya selama 3 minggu berturut-turut.

Petua Untuk Mengelak Rambut Berbuah

Ambil daun pinang dan ramaskannya. Campurkan sedikit garam kasar dan air. Sapukannya pada rambut anda dan biarkan selama 30 minit. Selepas itu anda bolehlah bilas dengan air bersih. Amalkannya selama 3 minggu sekali.

Petua Menangani Keguguran Rambut Selepas Hamil

Benarkah rambut anda gugur kerana bayi anda menyemburkan air liur? Ada juga ibu-ibu yang baru lepas bersalin akan terkejut apabila mendapati mereka kehilangan rambut lebih dari kebiasaan dalam beberapa bulan yang pertama selepas bersalin. Sebenarnya ini perkara biasa dan anda tidak perlu panik. Rambut anda akan kembali seperti biasa normal pada hari ulang tahun pertama kelahiran bayi anda.

Kebiasaannya, lebih kurang 85 hingga 95 % rambut anda tumbuh, dan 5 hingga 15 % di dalam keadaan peringkat berehat. Selepas peringkat berehat, rambut akan gugur dan digantikan dengan rambut baru. Purata keguguran rambut bagi wanita adalah lebih kurang 100 helai rambut sehari.

Ketika anda mengandung, peningkatan tahap estrogen akan melambatkan proses pertumbuhan rambut anda. Jadi, terdapat sedikit sahaja rambut yang berada dalam keadaan berehat dan kurang rambut yang gugur setiap hari.

Tetapi selepas bersalin, tahap estrogen akan jatuh dan banyak folik rambut memasuki peringkat berehat. Ini bermakna lebih banyak rambut akan gugur ketika mandi atau bersikat. Keguguran luarbiasa ini akan berkurangan dan rambut anda akan kembali seperti sebelum pra-mengandung. Ini mengambil masa di antara 6 hingga 12 bulan selepas bersalin. Namun begitu, tidak semua wanita akan mengalami perubahan dramatik pada rambut mereka ketika mengandung atau ketika menjalani tempuh berpantang.

Apa yang anda perlu buat?

Anda tidak dapat memberhentikan rambut daripada gugur tetapi anda boleh mengubah stail rambut anda. Mungkin dengan memotong pendek. Secara praktikalnya,  dengan kehadiran bayi anda dan kesuntukan masa, rambut pendek akan lebih memudahkan lagi penjagaan rambut anda.