Petua Untuk Wanita Sentiasa Cantik

Pernahkah anda terfikir apa yang anda amalkan sewaktu muda akan mempengaruhi kecantikan dan kesihatan anda apabila usia meningkat? Kenyataannya, pemakanan dan penjagaan diri yang baik sepanjang hidup akan membentuk personaliti yang lebih sihat di usia tua. Berikut merupakan 5 perkara berguna yang patut diambil berat dari usia muda belia:

1) Senaman membina peribadi positif – Bersenam akan meningkatkan hormon endorfin yang membantu anda mengurangkan tekanan. Dengan bersenam, risiko untuk mendapat penyakit kronik juga akan berkurangan. Di samping itu,  bersenam akan membantu pengaliran darah yang lebih lancar ke permukaan kulit yang menyebabkan kulit mendapat oksigen secukupnya. Hasilnya, kulit lebih cantik dan berseri-seri. Bonus yang lain, berat badan ideal akan dikecapi sepanjang hayat.

2) Merokok menambah usia wajah anda – Tar dan nikotin dalam rokok bukan sahaja akan memberikan kesan buruk kepada paru-paru anda, malah ia mengakibatkan kulit berkedut dan kendur. Setiap kali anda menghisap sebatang rokok, bahan-bahan kimia merbahaya tersebut akan memusnahkan kapilari darah halus yang mengelakkan oksigen dan nutrien dalam darah menghampiri kulit anda.

3) Makanan berlemak akan menghantui anda di usia tua – Walaupun berat badan anda tidak bertambah sepanjang anda menikmati makanan berlemak, kesannya akan lebih ketara apabila usia anda meningkat. Ini kerana lemak tepu yang biasanya melekat pada salur darah akan meningkat dengan meningkatnya usia anda. Penyelidikan telah membuktikan lebih 90% penyakit jantung dapat dielakkan jika anda mengamalkan pemakanan sihat sejak dari usia muda.

4) Perkembangan tulang wanita akan berhenti pada usia 35 tahun – Siapa kata hanya kanak-kanak sahaja yang memerlukan susu untuk tulang yang sihat dan kuat. Sebagai wanita, penjagaan tulang anda sama penting dengan penjagaan wajah. Pengambilan harian kalsium dan vitamin D di usia 20-an dan 30-an sangat penting untuk mengelakkan keretakan tulang akibat tulang reput. Jika susah untuk anda komited pada pengambilan susu setiap hari, multivitamin dengan kandungan kandungan kalsium dan vitamin D juga memadai. Amalkan juga senaman seperti joging untuk menguatkan tulang.

5) Sayangi diri anda lebih dari orang lain – Sebagai isteri dan ibu yang berkarier, saya sering meletakkan keperluan suami dan anak sebagai perkara utama. Situasi ini tidak salah, tetapi keperluan peribadi juga sangat penting untuk kesihatan anda. Keperluan peribadi yang dimaksudkan adalah seperti rehat yang mencukupi, bersenam dan masa untuk melakukan hobi anda. Ketiga-tiga perkara ini akan mengelakkan stres dalam hidup anda sehari-hari. Jangan cuba untuk menjadi “superwoman” yang boleh melakukan semua perkara. Belajar untuk katakan TIDAK pada perkara-perkara remeh yang boleh mencuri masa santai anda. Sokongan dan bantuan suami amat penting untuk anda merealitikan masa berkualiti untuk diri sendiri.

 

Petua Moden Untuk Kekal Langsing

Di zaman moden ini banyak jenis makanan yang boleh memudaratkan jika dimakan berlebihan. Makanan yang diproses dan juga makanan segera, sering menjadi pilihan. Namun adakah kita prihatin dengan kesan sampingannya pada tubuh badan? Makanan yang ada di pasaran sering mengandungi gula dan lemak yang tersembunyi. Pengambilan secara berlebihan akan membawa kepada masalah kegemukan dan obesiti. Sebelum masalah ini terjadi pada kita, sewajarnya kita mengambil sikap berhati-hati. Manakala bagi mereka yang sedang menghadapi masalah berat badan, ikutilah petua yang mudah dan boleh diamalkan semua. Yang penting adalah keazaman untuk menjayakannya dan diamalkan secara berterusan dan bukan sekerat jalan. Selain itu, senaman dan mengawal nafsu makan yang keterlaluan adalah jalan terbaik untuk gaya hidup sihat.

Caranya ialah mengubah cara pemakanan yang diamalkan daripada kebiasaan kepada satu kaedah yang baru iaitu:

1. Apa yang kita ambil untuk sarapan di waktu pagi ditukar kepada apa yang sepatutnya dimakan di tengah hari dibawa dan dimakan pada waktu pagi.

2. Waktu tengah hari jangan makan makan yang mengenyangkan, cukup sekadar buah- buahan atau jangan makan langsung.

3. Makan malam diawalkan dan diambil dalam lingkungan waktu jam 7.00 malam.

4. Jangan makan selepas pukul 9.00 malam, walaupun anda belum makan apa apa sebelumnya. Jika perlu, cukup sekadar segelas susu atau buah- buahan atau makanlah sedikit tetapi jangan mengambil makanan yang telah dimasak (makan berat).

5. Sebagai amalan tambahan, berpuasa 2 kali seminggu (setiap hari Isnin dan Khamis). Pada hari ketika anda berpuasa, anda disarankan untuk melakukan senaman.

6. Setiap kali bangun pagi, waktu tengahari dan sebelum masuk tidur di sebelah malam, amalkan meminum secawan teh cina (hijau) yang dicampurkan dengan limau nipis atau kasturi. Anda akan lihat kesannya selepas 7-14 hari mengamalkannya.

 

Petua Lama Untuk Kulit Cantik Berseri

2. Selain berlulur, amalan mandi susu (berendam), juga disukai untuk mencerahkan kulit.

3. Jika ingin berseri, sesekali mereka mandi bunga dengan mencampurkan tujuh jenis bunga bersama sedikit perahan limau. Bagi wanita bersalin, mandian daun-daun kayu paling digemari untuk membuang angin di dalam badan, melancarkan peredaran darah serta mengharumkan badan.

4. Hampas kelapa digunakan untuk menyental daki. Selain itu, campuran kapur makan dan perahan limau nipis pula untuk menyental daki pada ketiak dan pelipat kaki.

5. Ada juga menggunakan beras pulut. Caranya mudah, goreng beras pulut tanpa minyak hingga kuning, kemudian tumbuk lumat. Ambil segenggam, titikkan air agar lembap,gosok pada bahagian bermasalah.

6. Bagi mengelakkan kulit kering, mereka sapukan pula gel aloe vera (lidah buaya) ataupun minyak sayur-sayuran.

7. Bedak sejuk daripada beras juga sangat elok untuk menyejukkan muka, menghilangkan ruam serta menghaluskan kulit. Biasanya beras direndam berbulan-bulan hingga lembut, dititik di atas daun pisang dan dijemur berhari-hari. Setelah kering, disimpan di dalam mangkuk tanah dan dicampur hirisan daun pandan, bunga melati atau mawar agar berbau harum.

8. Bagi mengelakkan jerawat atau gatal-gatal, kunyit hidup yang ditumbuk lumat disapu pada seluruh wajah kerana ia mengandungi antiseptik semulajadi.

9. Parutan buah jambu muda juga elok untuk menghilangkan jerawat. Bagi menegangkan kulit muka, putih telur segar (baru bertelur) disapu, manakala pupur parutan lobak dan timun untuk menyegarkan kulit.

10. Selain itu, pupur kacang hijau dan badam juga kerap digunakan untuk menjaga muka. Gel aloe vera boleh digunakan sebagai pelembap.

11. Bagi menghilangkan parut yang masih baru pada muka, kulit pisang emas (bahagian dalam) disental pada kulit muka ataupun buih daripada kayu api (misalnya kayu getah) disapukan.

 

Petua Untuk Meningkatkan Seri Wajah

Pilihan 1: Menggunakan beras dan kunyit hidup. Goreng secawan beras dengan kunyit hidup hingga bertukar ke warna hitam. Kemudian blend, dan sapukan ke muka dan badan sebelum mandi.

Pilihan 2: Ambil beberapa helai daun pegaga. Basuh dan blend sehingga hancur. Kemudian perahkan beberapa titis air limau. Gaul rata sebelum disapukan ke seluruh wajah. Biarkan kering dan kemudian bilas dengan air bersih. Buat selalu.

Pilihan 3: Air rebusan kurma merah. Rebus kurma merah (sukatan ikut suka, kalau nak banyak kena rebus banyak juga). Setelah masak, masukkan air rebusan ke dalam gelas dan campurkan 1 sudu besar madu dan 2 sudu besar jus buah prun ke dalamnya. Minum 1 atau 2 kali sehari.

Pilihan 4: Rendam serbuk teh, masukkan ke peti ais dan biarkan semalaman. Pagi esoknya, selawat sebanyak 3 kali dan sapulah air rendaman serbuk teh  ke seluruh muka sebelum mandi. Kulit anda akan beransur-ansur  menjadi licin, halus dan juga berseri.

Pilihan 5: Ambil segenggam inai, rebus dan biarkan sejuk. Bila sejuk, berselawat 3 kali sambil menyapu air inai ke seluruh muka. Amalkan selama 3 malam berturut-turut. Anda akan dapat melihat hasilnya nanti.

 

Petua Untuk Kurang Selera Makan

Bahan-Bahan:

3 sm bahagian ubi lempuyung, 3 sm bahagian ubi cekur, dan 3 sm bahagian ubi temu kuning.

1. Tumbukkkan keseluruhan ramuan hingga lumat dan perahkan airnya ke dalam satu bekas.

2. Minum air hasil tumbukkan tersebut  setiap pagi.

 

Petua Untuk Membentuk Bibir Yang Menarik

Sebelum bersolek, bersihkan bibir anda terlebih dahulu dengan “cleanser” dan tonik. Kemudian pakailah pelembab ke seluruh wajah termasuklah leher. Setelah memakai pelembab, pakailah “foundation” ke seluruh muka termasuk bibir. Khusus pada bahagian bibir, anda boleh bentuk dengan menggunakan pensil lipstik. Kemudian barulah sapu lipstik ke seluruh bibir. Hasilnya, bibir anda menjadi indah dan menarik.

Petua Membersih dan Memutihkan Wajah

1. Ambil 4 hingga 5 helai pucuk jambu batu muda dan bersihkannya.

2. Tumbuk sampai hancur dan campurkan dengan sedikit air bersih.

3. Kemudian, sapu serta gosokkan secara perlahan-lahan bahan tersebut pada muka anda.

4. Lakukan langkah no.3 sekurang-kurang dalam 5 minit.

5. Selepas itu, cucilah muka anda dengan air bersih dan lapkannya dengan tuala lembut. Jadikan proses ini sebagai amalan untuk memutihkan kulit wajah anda.

 

Petua Untuk Kurus dan Langsing

Jika anda mengalami berat badan yang  berlebihan, air limau nipis yang anda minum boleh menurunkan  berat badan anda. Sediakan 2 biji limau nipis atau limau kasturi setiap hari. Perah airnya ke dalam gelas yang berisi dengan air sejuk, masukkan ke dalam  peti sejuk. Setelah itu bolehlah dijadikan air minuman setiap kali selepas  anda makan tengahari dan makan malam. Cara ini boleh diikuti dengan senaman  ringan. Amalkanlah meminumnya selama sebulan, berat badan anda akan beransur  turun.

Petua Mengurangkan Bintik Putih Di Muka

Pilihan 1: Ambil beberapa biji badam dan campurkan dengan kulit oren. Kisar bahan itu hingga lumat. Kemudian, ambil sedikit bahan  tersebut  dan campurkan dengan sedikit air.  Gosok ke muka anda dan di tempat-tempat yang ada bintik putih. Jika anda rajin mengamalkannya, bintik-bintik putih di muka akan berkurangan.

Pilihan 2 : Ambil beras pulut dan cuci bersih. Toskan sehingga kering airnya. Kisar beras pulut tersebut dan ayak halus. Gunakan beras ini untuk mencuci muka. Basahkan muka dan gosok beras ini pada kulit perlahan-lahan selama 5 minit. Cuci hingga bersih. Wajah akan lebih halus, licin dan tiada lagi bintik-bintik putih.

Petua Pemilihan Sabun Untuk Kulit Cantik

Pemilihan sabun yang betul dan sesuai amat penting dalam penjagaan kulit. Oleh itu, pilihlah sabun yang berkualiti dan sesuai dengan kulit anda. Jika sabun yang digunakan tidak berkualiti, pasti ada di antaranya yang menyebabkan kulit kering dan alahan. Jika anda tidak membilas sabun dengan bersih selepas menggunakannya, ia akan menyebabkan kulit menjadi kering dan berlakunya iritasi. Selain itu, ia turut menutup pori-pori dalam jangkawaktu panjang. Jika kulit anda terlalu kering, pilihlah sabun yang mengandungi formula gliserin, petroleum dan beeswax kerana ketiga-tiga bahan itu boleh membantu melindungi dan mencegah kulit dari iritasi dan jerawat. Selain itu, sabun yang mengandungi rumusan bahan semulajadi, misalnya oren, limau, anggur dan timun juga baik untuk kulit.

Anda perlu tahu jenis-jenis sabun yang perlu dielakkan yang menggunakan formula-formula seperti berikut:

1. Sodium Hydroxide & Alkaline – Ia menyebabkan kulit mengalami iritasi dan kering.

2. Anti Bacterial Formula – Ia hanya membersihkan bahagian luar tetapi tidak mematikan kuman dan bakteria yang ada pada jerawat.

3. Lemak Haiwan – Ia mengakibatkan jerawat.

4. PH di atas 7 – Ia meningkatkan kewujudan Propionobacteria, iaitu sejenis bakteria penyebab jerawat.

Anda perlu memilih serta mengenali sabun dan fungsinya seperti berikut:

Acne Soap – Sabun ini dikhususkan untuk membunuh bakteria-bakteria pada jerawat. Sabun ini mudah mengakibatkan kulit kering. Sebaiknya, sapukan pelembap atau losyen selepas menggunakannya.

Cosmetics Soap atau Bar Cleanser – Biasanya banyak dijual digerai kecantikan. Cosmetic soap memfokuskan formulanya untuk memberi hasil tertentu, seperti pada whitening facial soap dan firming facial soap.

Natural Soap – Sabun yang mengandungi rumusan semulajadi ini memiliki formula yang sangat lengkap seperti vitamin, ekstrak buah, ekstrak bunga, aloe vera dan minyak essential. Sesuai untuk semua jenis kulit dan kebarangkalian membahayakan kulit sangat kecil.

Deodorant Soap – Sabun ini bersifat aktif untuk menghilangkan bau kurang enak pada bahagian tubuh. Ia juga sesuai digunakan bagi mereka yang sentiasa menjalani kehidupan aktif. Anda tidak boleh menggunakan sabun ini pada kulit wajah kerana ia memiliki kandungan yang cukup keras yang dapat menyebabkan kulit mengalami alahan.