Petua Menjaga Rambut Wanita

1. Walaupun pelbagai teknologi canggih diperkenalkan bagi merawat serta mencantikkan rambut, masih ramai wanita suka  mengamalkan petua orang tua-tua untuk menjaga ‘mahkota’ mereka. Antara yang paling terkenal dikalangan orang Melayu ialah penggunaan santan. Khasiatnya memang terkenal untuk melembut serta melebatkan rambut. Caranya mudah, ambil kelapa tua dan perah pekat-pekat. Biarkan sejam agar patinya naik, baru disapu pada rambut. Gunakan jari atau sikat bergigi jarang. Balut dengan tuala bersih dan perap selama setengah jam.

2. Selain itu, minyak kelapa yang dibuat sendiri juga elok untuk merawat rambut kering, pecah hujung serta mudah gugur. Caranya mudah, perah santan daripada 2 atau 3 biji kelapa tua. Ambil yang pekat sahaja (dua kali perahan). Kemudian jerang di dalam kuali besar tebal. Sebaik-baiknya guna dapur kayu kerana tempoh memasak minyak kelapa ini sangat lama (hampir sehari). Kemudian biarkan ia sejuk dan baru dijaram pada kepala.

3. Minyak bijan juga elok untuk melebatkan serta menghitamkan rambut. Agar lebih harum,  minyak dicampurkan dengan bunga melati atau daun pandan. Bagi mengelakkan rambut hapak, sisa minyak dipastikan telah dibasuh sebersih-bersihnya.

4. Wanita Jawa pula gemar menggunakan abu batang padi untuk mencuci rambut. Biasanya batang padi yang baru dituai, dibakar. Kemudian direndam semalaman, baru ditapis. Hampas tapisan batang padi digunakan untuk mencuci rambut kemudian dibilas dengan air rendamannya. Selepas itu baru dicuci dengan air biasa sebersih-bersihnya.

5. Bagi menghilangkan kelemumur, campur air perahan limau  nipis dengan sedikit air dan genyeh pada kulit kepala. Ada juga yang rajin, mengumpul embun pada awal pagi dan diusap-usap pada pangkal rambut. Ia dipercayai mampu mempercepatkan pertumbuhan rambut serta mengelakkan sakit kepala.

6. Lendir daun bunga raya atau gel lidah buaya elok disapu pada kulit kepala untuk menyejukkannya serta mengelakkan rambut gugur. Ia juga bertindak sebagai perapi.

7. Di kalangan wanita Barat, penggunaan minyak buah pic, ginseng dan minyak bunga kesumba digunakan secara meluas untuk mengatasi rambut gugur. Ada yang menggunakan gel kaktus dan lidah buaya (aloe vera). Wanita Cina dan Jepun pula menyukai pelbagai jenis akar ginseng, akar Dong Quoi, teh herba Cina dan halia untuk merawat rambut mereka.

 

Petua Rambut Lembut dan Mudah Dibelai

Ambil secekak kangkung, kemudian bersihkan  Ramaskan dengan 6 sudu air suam kuku. Biarkan ia lembut dan keluar lender. Kemudian tapis dan sapukan pada rambut. Sambil disapu, picit-picitkan kepala supaya ia meresap. Biarkan lebih kurang 8 minit sebelum dicuci. Amalkan 2 kali seminggu.

 

Petua Untuk Mengguna Sikat Rambut

JENIS RAMBUT:

1. Rambut Kerinting – Jika anda berambut kerinting, gunakan sikat yang bergigi jarang. Ini bagi mengelakkan rambut anda putus semasa disikat. Elakkan daripada terlalu kerap menyikat rambut. Nanti ia akan kelihatan lebih leper dan merosakkan keindahan semulajadi rambut anda.

2. Rambut Lurus Yang Tipis – Gunakan sikat yang bergigi jarang. Tujuannya supaya rambut anda nampak mengembang sedikit. Selain itu, gunakan sikat bulat ketika anda blowdry rambut untuk mendapat kesan yang lebih lebat.

3. Rambut Lurus Yang Tebal – Gunakan sikat yang pipih dan bergigi rapat bagi melembutkan rambut. Di samping itu, ia memudahkan anda untuk menggayakan rambut. Lebih-lebih lagi dalam mengurangkan ketebalan rambut yang terlampau lebat.

JENIS SIKAT:

Oval Paddle Brush – Untuk semua jenis rambut, pilih paddle brush berbentuk oval dengan bulu sikat nylon untuk menyisir rambut setiap hari. Kombinasi bulu sikat ini tidak akan  mematahkan rambut ketika disikat.

Hourglass-shaped Round Brush
 – Untuk blow dry, meluruskan, dan mencegah rambut kusut, pilih sikat bulat dengan bentuk seperti jam pasir, yang mengumpulkan rambut ke bahagian tengah sikat. Pilih sikat bulat besar untuk rambut panjang, dan sikat dengan diameter lebih kecil untuk rambut pendek.

Metal/ceramic Barrel Round Brush – Untuk blow dry dan mengikalkan rambut, pilih sikat bulat dari keramik atau metal dalam diameter berbeda-beda, mulai dari kecil sampai dengan besar. Bahagian tengah sikat yang terbuat dari metal atau keramik berfungsi untuk menghasilkan panas, dan bekerja seperti curling iron ketika digunakan dengan semburan panas blow-dryer.

Basic Round Brush
 – Untuk menambahkan volume di bahagian akar rambut, pilih sikat bulat biasa untuk menarik rambut dari kulit kepala. Sikat akar rambut ke atas menjauh dari kulit kepala, sambil mengarahkan blow dryer mengikuti arah sikat.

Square Paddle Brush – Gunakan paddle brush petak yang datar dan lebar untuk meluruskan, menghaluskan, dan mengurai rambut basah setiap hari. Jika rambut anda terlalu kerinting, gunakan dahulu sisir bergigi jarang untuk meluruskannya pertama kali.

 


Petua Untuk Mengelakkan Rambut Gugur atau Botak

Pilihan 1: Ambil perahan air limau nipis dan sapu rata-rata di kulit kepala. Amalkannya untuk selama 2 minggu. Seterusnya anda ambil santan untuk menyuburkan rambut anda. Lumurkan keseluruhan rambut hingga ke kulit kepala bagi mendapatkan hasil yang baik. Jangan cepat-cepat hendak membasuh rambut anda. Perapkan rambut anda dengan tuala untuk ½ jam. Biarkan ia berminyak dan meresap. Kemudian basuh dengan air suam. Amalkannya selama 2 bulan.

Pilihan 2: Ambil beberapa helai daun bunga raya dan lidah buaya. Basuh hingga bersih dan kisarkan hingga hancur. Perap ramuan di atas kepala selama 1 jam. Lakukan 2 kali seminggu. Anda akan memperolehi rambut lebat, hitam dan berkilat semulajadi.

Pilihan 3: Setiap kali anda makan buah tembikai, jangan buang kulitnya. Ambil bahagian kulit tembikai dan gosok kulit kepala anda. Biarkan ia meresap ke kulit kepala dan tunggu dalam masa 20 hingga 30 minit. Selepas itu barulah anda cuci rambut anda sebersih-bersihnya. Jika anda ingin biarkan semalaman pun tak mengapa. Gunakan “shower cap” atau balut dengan kain supaya ia tidak meleleh ke bantal tidur anda. Anda hanya perlu amalkan petua ini sekali dalam seminggu.

Pilihan 4: Ambil lendir daun lidah buaya, lendir pokok bunga raya, dan lendir pokok litup bumi. Semua daun-daun tersebut dimasukkan ke dalam satu bekas.  Kemudian campur sedikit minyak zaitun. Sapulah di seluruh rambut lepas mandi malam dan bungkus kepala dengan tuala selama setengah jam. Bangun pagi barulah dicuci. Amalkan seminggu sekali. Selain rambut tidak gugur, rambut juga lambat beruban.

Pilihan 5: Ambil kulit landak, lalu dibakar. Kemudian masak dalam minyak zaitun.  Seterusnya anda minyakkanlah rambut anda dengannya selama  9 hari.

Pilihan 6: Belah buah limau nipis dan gosokkan pada kulit kepala hingga rata. Setelah kering, oleskan telur ayam pada kulit hingga rata dan bungkus kepala anda dengan tuala selama 1 malam. Keesokan paginya, bersihkan rambut anda. Amalkan petua ini 4 kali seminggu.

Pilihan 7: Tumbuk bawang merah sehingga halus. Campurkan air masak secukupnya. Sapukan pada kulit kepala dan biarkan selama 30 minit. Kemudian, bersihkan seperti biasa. Amalkan petua ini selalu.

Pilihan 8: Kisar biji halba sampai hancur dan sapukan di atas rambut. Selepas itu biarkan selama ½ jam. Seterusnya bilas dengan air bersih. Amalkan seminggu sekali. Pasti rambut menjadi bersinar serta tiada masalah keguguran.

Pilihan 9: Ambil segenggam daun bunga raya dan beberapa helai daun lidah buaya. Basuh bersih dan kisarkan kedua-dua hingga lumat. Perapkan bahan ini di atas kepala selama satu jam. Lakukan 2 kali seminggu. Rambut anda akan kekal kuat dan hitam semulajadi.

Pilihan 10: Rendamkan secawan kacang hijau semalaman. Kemudian tapis dan ambil airnya untuk disapu di atas kulit kepala sambil kulit kepala dipicit perlahan. Amalkan selalu. Juga, elakkan mengikat rambut dengan getah.

Petua Merawat Rambut Bercabang

Rambut bercabang biasanya muncul seiring pertumbuhan rambut. Minyak yang dihasilkan oleh kelenjar minyak bawah kulit kepala tidak sampai ke hujung rambut. Ini menyebabkan hujung rambut menjadi lebih kering dan rapuh dibandingkan dengan bahagian akar rambut. Antara sebabnya ialah kerana pewarnaan rambut dan penggunaan syampu yang tidak sesuai dengan kondisi rambut.

Pilihan 1:  Ramas daun pinang. Kemudian, campurkan sedikit garam kasar dan air. Sapukan pada rambut. Biarkan 30 minit. Bilas dengan air bersih. Lakukan 2 minggu sekali.

Pilihan 2: Tumbuk daun inai dan lumurkan di seluruh rambut anda. Tunggu sehingga sejam baru dibasuh dan dibilas.

Pilihan 3: Ambil air jeruk nipis atau buah belimbing. Biarkan selama satu jam dan cuci hingga bersih.

Petua Untuk Suburkan Rambut

Pilihan 1: Kupas lobak merah dan cuci sehingga bersih. Parut lobak merah tersebut dan perah. Seterusnya, anda usapkan air perahan lobak merah pada kulit kepala sehingga rata. Lakukan urutan secara perlahan-lahan. Biarkan semalaman dan pada keesokan hari barulah anda cuci seperti biasa.

Pilihan 2: Potong pohon pisang di bahagian bawahnya. Di atas bonggol pisang yang masih tertanam, buatkan lubang dan biarkan semalaman supaya penuh dengan air pada keesokan paginya. Gunakan air yang tertakung dalam lubang tersebut untuk mencuci rambut anda. Lakukan 3 kali seminggu.

Pilihan 3: Belah daun lidah buaya dan gosokkannya pada seluruh kulit kepala. Lakukan setiap pagi. Bersihkan rambut anda selepas menggosoknya dengan daun tersebut.

Pilihan 4: Berjemurlah di bawah sinar cahaya matahari pagi di antara pukul 7 hingga 8 pagi. Anda hanya berbuat demikian tidak lebih daripada ½ jam bagi membantu menyihatkan rambut anda.