Kilat adalah cahaya yang memancar di langit biasanya sebelum guruh berbunyi dan diikuti dengan hujan turun. Sekiranya sesuatu benda itu ’berkilat’, maksudnya benda itu berkilaukan cahaya seperti kilat. Sekiranya kita mengatakan seseorang atau sesuatu itu ’secepat kilat’, bermaksud membandingkan kepantasannya seumpama kilat. Dalam Tunjuk Ajar Melayu, terdapat dua pengetahuan yang perlu diketahui oleh seseorang untuk menyempurnakan diri sebagai pemimpin. Ungkapan ‘pandai menilik kilat beliung’ dan ‘pandai meneroka kilat cermin’ menggunakan perumpamaan kilat untuk menjelaskan falsafah di sebaliknya.
Pandai Menilik Kilat Beliung
‘Menilik’ bermaksud tenung, penglihatan yang teliti dan sungguh-sungguh, mengkaji dan mengamati. Beliung pula bermaksud senjata kapak yang matanya melintang. Biasanya, tukang kayu menggunakan beliung untuk memotong kayu untuk dibuat sampan, rakit, rumah dan sebagainya. ‘Kilat beliung’ bermaksud beliung yang berkilau cahaya seperti kilat. Secara tersirat, ungkapan ‘pandai menilik kilat beliung’ bermaksud kepandaian mengenali maksud ungkapan kata atau kias ibarat. Bagi seseorang pemimpin, kepandaian memahami seni berbahasa penting supaya tidak silap menakrif makna sehingga menimbulkan salah faham.
Pandai Meneroka Kilat Cermin
’Meneroka’ bermaksud menyelidik untuk mengetahui sesuatu yang biasanya belum lagi diketahui. ’kilat cermin’ di sini bermaksud cermin yang berkilau cahaya seperti kilat. Dalam masyarakat Melayu, anak-anak dilarang menggunakan cermin dengan sewenang-wenangnya. Sememangnya anak-anak gemar bermain dengan cermin kerana memang suka meneroka dan sentiasa ingin tahu. Namun masyarakat Melayu melarang anak-anak menggunakan cermin atau bermain cermin di luar kawasan rumah kerana perbuatan itu dipercayai akan membangkitkan kemarahan kuasa luar biasa sehingga menghantar kilat dan hujan kepada mereka. Bagi mereka, kilat yang terhasil daripada cermin boleh mengundang kilat sebenar dari langit. Kepercayaan ini merupakan kepercayaan animisme yang masih ada saki bakinya dalam pemikiran orang Melayu. Jika pantang larang ini dilanggar, mereka akan mengalami kesusahan yang boleh membawa kepada kesakitan atau kematian. Secara tersirat, ungkapan ‘pandai meneroka kilat cermin’ bermaksud orang yang bijaksana, dapat segera memahami kias orang. Sebagai seorang pemimpin, kepandaian membaca niat, kias dan bahasa tubuh penting kerana pemimpin perlu sentiasa berhati-hati dengan muslihat dan kelicikan orang yang samada cuba menjatuhkannya sebagai pemimpin atau cuba menjatuhkan pemerintahan dan masyarakatnya.
Pada tahun 1905, dalam teori relatif khusus, Einstein telah menggabungkan antara tempat dan masa. Beliau menegaskan bahawa kita tidak boleh bercakap tentang masa tanpa menyertakan tempat, begitu juga tempat, tanpa menyatakan masa. Selama setiap sesuatu bergerak, maka ia harus selalu bersama masanya. Penyusutan masa terwujud secara ilmiah dalam ujian makmal. Pengkaji menyatakan bahawa sesuatu yang dikaji itu menjadi lebih panjang umurnya jika ia bergerak secara cepat dan sebanding dengan kecepatan cahaya. Berdasarkan hukum ini, kecepatan diperlambatkan 1/3 detik per jam dan ketika kecepatan itu 3000km perdetik. Jika gerak terlambatnya sampai pada 18detik/jam, maka kecepatannya akan sampai 30,000km/detik. Berdasarkan teori ini disimpulkan, keterlambatan akan semakin bertambah, tatkala kecepatan bertambahhingga masa tersebut boleh mencapai kecepatan cahaya. Cahayalah yang dianggap kecepatan yang paling cepat.
Sesuai dengan teori Einstein, dapat difahami bagaimana kiraan masa bagi roket yang menempuh angkasa. Jika roket dikenderai bergerak dengan kecepatan 80% kecepatan cahaya, menuju ke bintang yang jaraknya 20tahun cahaya, maknanya roket akan menempuh jarak ini selama 25tahun menurut perhitungan kalendar manusia di bumi sedangkan orang yang berada di dalam roket hanya menempuh masa 15 tahun sahaja. Sekiranya roket dikenderai dengan kecepatan 100% cahaya, maka perjalanan yang memakan waktu 50,000 tahun mengikut hitungan jam di bumi, akan dapat ditempuh dalam masa satu hari sahaja.
Namun mustahil roket boleh menyamai kecepatan cahaya kerana tenaga alam akan habis keseluruhannya. Inilah yang menyebabkan mustahil bagi kita menembus ruang angkasa dengan kecepatan cahaya. Namun tidak mustahil bagi Allah swt pencipta alam. Allah swt telah terlebih dahulu menyatakan gambaran teori relativiti masa. Dapat dilihat gambaran penyusutan masa akan bertambah tatkala bertambahnya kecepatan, yang terdapat dalam surah Al-Maarij dan As-Sajadah.
”Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun.” – Al-Maarij: 4
”Dia mengatur urusan daripada langit ke bumi, kemudian urusan itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya(lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu” – As-Sajadah:5
Namun demikian, kekuasaan Allah maha berkuasa sehingga dapat menjelaskan masa tanpa harus adanya hukum-hukum gerak. Allah Swt boleh mematikan manusia dan kemudian menghidupkannya seratus tahun dahulu seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 259. Inilah juga yang dapat menjelaskan perjalanan Nabi Muhammad Saw tentang Israk Mikraj.
Dari penggabungan masa dan tempat dalam teori Einstein menghasilkan adanya penggabungan zat dan tenaga dalam hukum yang besar. Beliau membuat kiraan teori berikut;
‘Tenaga = Massa X ¼ kecepatan cahaya’
Justeru dapat dilihat sememangnya logik akal tidak dapat mempercayai kebenaran bagaimana seseorang manusia terpilih, seperti wali Allah, berupaya berada di dua tempat dalam satu masa. Semuanya adalah atas keizinan Allah swt.
Dalam cerita-cerita lisan Melayu, terdapat banyak kisah tentang manusia yang berupaya bergerak dalam kecepatan cahaya. Tun Jana Khatib telah datang ke Singapura untuk menyebarkan Islam. Beliau telah menunjukkan kepandaiannya menggunakan cahaya renungan mata, sehingga pokok pinang terbelah dua, di hadapan permaisuri. Raja Singapura murka kerana merasakan Tun Jana Khatib sengaja menunjuk-nunjukkan kehandalannya di hadapan permaisurinya. Tun Jana Khatib dihukum bunuh. Bagaimanapun, setelah ditikam, hanya darah Tun Jana Khatib sahaja yang menitis ke bumi tetapi jasadnya hilang. Kata orang, jasadnya ditemui di Langkawi dan dikebumikan orang di sana, seperti pantun yang dicipta berikut;
Telur itik di Singgora
Pandan tersandar di batang tui
Darahnya titik di Singapura
Badannya terlantar di Langkawi.
Tidak lama selepas Tun Jana Khatib dibunuh, Singapura telah mendapat malapetaka kerana diserang ikan todak sehingga banyak mengorbankan nyawa.
Umat Islam percaya bahawa jin itu merupakan makhluk Allah yang dicipta dengan menggunakan cahaya. Justeru jin dan malaikat berupaya muncul dan ghaib secepat kilat. Begitu juga dengan wali Allah yang berkebolehan berada di beberapa tempat dalam satu masa dengan izin Allah. Jika begitu, metos Melayu tentang Raja Suran turun ke bawah laut, 3 anak raja naik dari bawah laut ke Bukit Siguntang dan banyak lagi alam misteri seperti alam bunian dan kayangan, mungkin ada kebenarannya. Metos-metos itu dipercayai benar-benar berlaku oleh masyarakat Melayu zaman itu yang mungkin lebih canggih ilmu mistik daripada manusia zaman ini. Wallahualam.
Sebenarnya dalam kosmologi Melayu, konsep kilat dan kecepatan sudah lama difahami dan direnungi kerana manusia Melayu memang peka dan arif tentang alam sekitar. Kesemuanya banyak tergambar dalam peribahasa, perbandingan, ungkapan, pantun dan sebagainya, lama sebelum wujudnya teori Einstein.
SUMBER: Noor Hasnah Adam
Speak Your Mind