Menangani Orang Melatah

Lazimnya apabila kita melihat adegan orang melatah, kita akan berasa terhibur. Ada pula sesetengah orang apabila melihat orang melatah, akhirnya diikut-ikut tanpa disedari pula oleh mereka. Kita yang melihat aksi sedemikian akan  mengusik  individu yang dikenal pasti boleh melakukan aksi melatah secara spontan. Sedarkah  kita  bahawa latah sebenarnya adalah sejenis penyakit, khususnya jika gejala itu berlaku dalam keadaan yang keterlaluan, sering kali berlaku dan sukar dikawal oleh penghidapnya.  Latah ialah sejenis penyakit saraf yang  menyebabkan seseorang itu  (biasanya  perempuan) tidak sedar apa yang dilakukannya, suka mengikut perbuatan  atau  suruhan orang dengan tidak disedari, dan mengeluarkan perkataan  atau  membuat  sesuatu  dengan  tidak  disengajakan  kerana terperanjat dan lain-lain.

Mungkin kita sedikit terhibur apabila melihat aksi latah yang melucukan, tetapi  percayalah  bahawa  tidak  ada  seorang pun daripada mereka yang menghidap penyakit latah mahukan diri mereka menjadi pelatah, hatta jika digelar  pelatah paling popular sekalipun. Justeru, apabila kita melihat seseorang  itu  melatah,  kita  sepatutnya mendoakan agar si pelatah itu sembuh  daripada  penyakitnya  itu,  serta  dapat  membuang dan mengawal  tabiat terbabit daripada berulang. Dalam hal ini, apabila kita ketawa melihat seseorang itu melatah, kita seolah-olah mendoakan agar si pelatah itu terus kekal dengan penyakitnya itu. Kita seolah-olah berkata, biarlah ada seorang yang menderita kerana penyakit latah, asalkan ‘deritanya’ itu dapat menghiburkan ramai orang. Jika tersilap langkah, usikan terhadap pelatah  yang  bertujuan untuk bersuka-suka boleh bertukar menjadi tragedi, lebih-lebih lagi jika pelatah sedang memegang objek tajam.

Kalau kita sering ke majlis kenduri perkahwinan waktu dahulu, pasti ada sekurang-kurangnya seorang perempuan setengah abad yang suka melatah.  Latah biasanya dikaitkan dengan wanita yang berusia namun masih boleh berlaku pada mana-mana peringkat usia dan latar belakang sosial. Rasanya, suatu majlis keramaian atau kenduri kahwin bagaikan kurang serinya tanpa individu yang melatah.  Hari ini, masih ramai yang melatah kerana latah telah dianggap sebagai sindrom budaya masyarakat Melayu. Latah ialah tindak balas yang spontan apabila seseorang itu terkejut.  Orang yang melatah ini akan menyebut perkataan atau meniru tingkah laku orang lain di sekelilingnya terus-menerus, berulang-ulang.  Sekiranya orang yang menyakat itu terus mengusik orang yang melatah, latahnya akan menjadi-jadi sehinggakan dia seperti di alam bawah sadar, hilang kawalan diri lalu mengerjakan segala yang diperintah.  Kadangkala, orang yang melatah ini boleh membahayakan orang lain di sekitarnya jika dia memegang benda merbahaya atau senjata tajam. Masyarakat Melayu menganggap ‘melatah’ adalah sesuatu yang normal dan tidak perlu dihindari.  Tanggapan begini bersebabkan latah sudah sebati dalam jiwa Melayu dan menjadi tradisi budaya. Pakar perubatan bersetuju latah bukanlah tergolong sebagai kecelaruan mental.  Latah juga merupakan satu kebiasaan yang tiada kaitan dengan penyakit.  Namun, latah dipercayai berkait rapat antara fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Latah dipercayai terikat dengan sistem budaya sesuatu masyarakat.

Di Indonesia, gangguan latah berkembang pada suku-suku di Pulau Jawa, Sumatera dan pedalaman Kalimantan.  Latah juga ditemui di beberapa wilayah Asia lain seperti pada masyarakat suku Ainu di Jepun dan masyarakat gurun di Gobi iaitu sempadan antara China dan Mongolia.  Di Eropah, latah juga ditemui pada suku masyarakat Perancis.  Sebenarnya latah tidak hanya berlaku di kalangan masyarakat Melayu.   Latah juga terdapat dalam budaya orang India dan orang Eskimo.  Tingkah laku ‘latah’ ini bermula semenjak budaya ‘berkutu’ zaman dahulu.  Sewaktu berkutu, wanita-wanita Melayu akan duduk berbaris dan saling mencarikan kutu di rambut orang di hadapan.  Sewaktu mencari kutu itu, mereka saling mengusik untuk menghiburkan diri.  Begitu juga dengan budaya orang Eskimo. Mereka juga tidak terkecuali dengan sindrom budaya masyarakat yang dikenali sebagai piblokto.

Disebabkan latah boleh mengakibatkan seseorang hilang ingatan, masyarakat lain selalu menganggap latah sebagai penyakit hilang ingatan seperti skizofrenia.  Namun jika dibandingkan dengan penyakit mental seperti skizofrenia, latah tidak pernah menjadi stigma kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang melatah. Malahan, latah menjadi perhatian ramai dan sangat menghiburkan. Sungguhpun latah dianggap menghiburkan, melatah boleh memudaratkan individu itu kerana pergerakan fizikal yang keterlaluan.  Individu yag melatah itu boleh berasa lelah dan mengah sehingga membahayakan diri.

Dewasa ini, ‘latah’ boleh membawa makna yang lain iaitu perbuatan seseorang yang cepat terasa dan menjadi marah apabila dirinya ‘dijolok’ dengan cerita yang membabitkan maruah diri. Melatah masih ada dalam masyarakat Melayu biarpun makin berkurangan.  Latah bukan suatu penyakit tetapi janganlah kita jadikan latah suatu penyakit hati pula.

About Farit Ismeth Emir

Speak Your Mind

*

Click here to get the Free Goodies