Petua Mengawal Kencing Manis

Perubahan Cara Hidup – Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis dan mengawal tahap gula dalam darah. Pesakit kencing manis dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan dan mengawal kencing manis dengan melakukan beberapa perkara seperti tertera di bawah:

  • Pemakanan
    Pemakanan berkarbohidrat dan gula seharusnya dikurangkan supaya pengambilan kadar kalori pada sesehari itu terkawal. Berbincanglah dengan doktor atau pakar pemakanan untuk cara diet yang terkawal.
  • Senaman
    Senaman penting untuk membantu mengurangkan berat badan dan juga menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru (kardiorespiratori). Senaman perlu dimulakan secara beransur-ansur dan dengan nasihat doktor.
  • Penjagaan berat badan
    Pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan akan mendapati tahap gula dalam badan sukar dikawal. Terdapat pesakit yang boleh menghentikan ubat kencing manis apabila berat badan dapat dikawal.
  • Pemeriksaan diri sendiri
    Pesakit kencing manis dinasihatkan membuat pemeriksaan sendiri terutamanya pada jari dan kaki yang kebas untuk tanda luka atau jangkitan kerana deria rasa sakit berkurangan. Ini membolehkan rawatan awal agar jangkitan tidak merebak.

Pemeriksaan Doktor dan Ubat – Pemeriksaan oleh doktor untuk memastikan kadar gula dalam darah mesti dilakukan secara berterusan. Ini membolehkan penghidap kencing manis memastikan bahawa tahap gula dalam darah adalah terkawal. Dianggarkan bagi setiap 1 peratus pengurangan kadar ujian darah A1 C, mampu menurunkan masalah berkaitan kencing manis sebanyak 40 peratus. Penjagaan anggota kaki dan tangan mampu mengurangkan kes anggota badan perlu dipotong disebabkan oleh komplikasi jangkitan sebanyak 45 hingga 85 peratus.

Kekerapan membuang air kecil boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
– Kencing manis yang tidak terkawal dan tahap gula tinggi dalam darah
– Jangkitan kuman atau kencing kotor
– Kerosakan buah pinggang
– Masalah pundi kencing sama ada gangguan saraf atau masalah pundi kencing seperti pundi kencing yang terlalu aktif, disyorkan agar berjumpa doktor untuk pemeniksaan selanjutnya.

eMedik:Info Mengenai Demam Sawan

Pengenalan – 2 -5% kanak-kanak boleh menghidap sawan deman dan lazimnya ini adalah sawan yang biasa.

  • Sawan demam biasanya berlaku pada kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 6 tahun dan khususnya anak kecil yang baru bertatih (toddler).
  • Lebih kurang 1 daripada 25 kanak-kanak akan mengalami sawan demam sekurang-kurangnya sekali.
  • Sawan demam jarang terjadi kepada kanak-kanak yang berumur < 6 bulan atau melebihi umur 3 tahun.
  • Jika sawan demam ini berlaku di kalangan kanak-kanak yang lebih tua, risiko untuk mendapat sawan demam yang berulang-ulang adalah lebih rendah.

Diagnosa
Sawan demam adalah sawan yang disebabkan oleh demam panas dikalangan bayi atau kanak-kanak kecil yang normal. Diagnosa sawan demam hanya boleh dibuat selepas mengecualikan sebab-sebab lain selain dari demam sahaja.

Tanda-Tanda dan Gejala

  • Anak akan tidak sedar diri dan menyentak kedua-dua kaki dan tangan.
  • Kadang-kadang anak mungkin boleh menjadi kejang atau menyentak satu atau lebih bahagian badan, seperti satu tangan atau satu kaki. Kekejangan boleh berlaku pada satu bahagian badan sahaja.
  • Sawan demam jarang melebihi satu atau dua minit. Dalam kes dimana sawan melebihi 5 minit, kanak-kanak tersebut perlu di bawa ke klinik berdekatan.
  • Semasa sawan, kanak-kanak mungkin tercedera (akibat jatuh) atau mungkin tercekik makanan/air liur di dalam mulut.
  • Kebanyakan kanak-kanak dengan sawan demam mengalami suhu badan tinggi melebihi 38.5C
  • Kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi (epilepsi atau “sawan babi” adalah kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam).
  • Kebanyakan sawan demam berlaku pada hari pertama kanak-kanak demam

Faktor-Faktor Risiko

Usia muda (kurang daripada 15 bulan) semasa serangan sawan yang pertama.

  • Sawan terjadi sejurus selepas demam bermula atau bila suhu badan adalah normal.
  • Sejarah sawan demam di kalangan ahli keluarga terdekat (ibubapa dan adik-beradik)
  • Sejarah penyakit epilepsi (sawan babi) di kalangan ahli keluarga terdekat.

Sawan demam yang berlarutan (melebihi 30 minit) tidak meningkatkan risiko sawan demam berulang.

Kesan Jangkamasa Panjang

  • Majoriti besar sawan demam adalah tidak membahayakan.
  • Tidak ada bukti kukuh yang mengatakan bahawa sawan demam boleh menyebabkan kerosakan otak.

Ada kajian mendapati kanak-kanak dengan sawan demam memperolehi pencapaian yang normal di sekolah dan dapat menjalani ujian kecerdasan dengan baik seperti adik-beradik lain (yang tidak mengalami sawan demam).

Terdapat juga kes yang jarang berlaku – iaitu sawan yang sangat lama (lebih dari satu jam) – didapati kanak-kanak tersebut juga pulih sepenuhnya. Kira-kira 3% daripada kanak-kanak mengalami sawan demam akan mendapat epilepsi. Ini termasuk kanak-kanak dengan:

  • Sawan demam yang panjang, melibatkan satu bahagian badan sahaja atau berulang dalam masa 24 jam.
  • Perkembangan yang lambat.
  • Ahli keluarga lain yang mengidap epilepsi.

Kanak-kanak tanpa sebarang risiko hanya mempunyai 1% peluang untuk mendapat epilepsi selepas sawan demam (risiko yang sama seperti orang lain).

Rawatan
Mengambil langkah-langkah kecemasan.

Mengawal Sawan

  • Majoriti kanak-kanak tidak memerlukan ubatan.
  • Jika sawan berpanjangan melebihi 5 minit, ubat diazepam (Valium) melalui dubur perlu diberi.

Kemasukan ke Hospital
Tidak semua kanak-kanak dengan sawan demam perlu di masukkan ke hospital. Walaubagaimanapun, kemasukkan ke hospital mungkin perlu jika:

  • Takut sawan akan berulang
  • Untuk memastikan tiada jangkitan di otak atau lain-lain penyakit.
  • Untuk mencari dan merawat penyebab demam selain jangkitan otak.
  • Untuk mengurangkan kebimbangan ibubapa.

Ujian makmal tidak diperlukan untuk mendiagnosakan sawan demam. Walaubagaimanapun, doktor mungkin membuat beberapa ujian untuk mencari penyebab demam dan apabila dijangka ada jangkitan di otak, tebukan spinal (lumbar puncture) mungkin perlu dijalankan.

Mencegah Demam Sawan
Mengawal demam

  • Beri ubat-ubatan seperti paracetamol atau ibuprofen untuk menurunkan demam
  • Mandi berjelum seluruh badan dengan air paip (bukan air sejuk).
  • Beri anak anda minuman sejuk. Ini akan membantu menurunkan suhu badan dan mengekalkan hidrasi.

Pencegahan Sawan dari Berulang

  • Majoriti kanak-kanak tidak perlu ubatan untuk mengelakkan sawan.
  • Memberi ubat mengelakkan sawan (seperti Phenobarbital atau valproate) tidak digalakkan kerana tiada bukti ubatan ini boleh menghalang sawan demam dan pemberian ubatan ini boleh mendatangkan kesan-kesan sampingan.

eMedik: Rawatan Parut Jerawat

Apabila jerawat sembuh, ia akan meninggalkan kesan kemerahan atau kesan parut hitam. Ini sebenarnya bukan parut jerawat tetapi kesan daripada radang jerawat . Jika tiada jerawat baru yang tumbuh, kulit akan sembuh dengan sendiri. Proses penyembuhan ini boleh mengambil masa 6 hingga 12 bulan. Kesan akibat jerawat lebih daripada setahun dikenali parut jerawat. Biasanya parut ini kekal dan membuatkan kulit muka kelihatan gelap dan kurang menarik. Untuk mengelakkannya rawatan awal boleh dilakukan.

Rawatan Awal
Radang kulit disebabkan oleh jerawat adalah satu proses penyembuhan yang normal. Ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk membantu merawat peringkat awal parut jerawat. Pendedahan kepada matahari melambatkan proses penyembuhan radang jerawat dan boleh merosakkan kulit. Oleh itu pengunaan sunblock yang sesuai amat penting. Doktor boleh memberi krim tretinoin untuk mempercepatkan proses remodeling kulit. Penggunaan peeling agent seperti AHA (Alpha Hydroxy Acid) yang bersesuaian juga boleh mempercepatkan proses remodeling kulit. Jangan picit jerawat atau parut jerawat . Ini akan mengganggu proses penyembuhan jerawat. Ia juga boleh menyebabkan bakteria yang terdapat di dalam jerawat tersebar lebih ke dalam kulit. Ini boleh menyebabkan parut jerawat yang lebih dalam berlaku. Penggunaan krim antioksidan seperti Vitamin C juga membantu memulihkan kesan jerawat.

Rawatan Parut Jerawat
Dengan kemajuan teknologi laser dermatologi/ aesthetic , kini rawatan yang paling berkesan untuk rawatan parut jerawat adalah dengan menggunakan laser. Dua jenis laser yang paling berkesan adalah laser CO2 (karbon dioksida ) atau Erbium Yag. Kedua-dua laser ini adalah dalam kategori ablative. Ia bermaksud akan meratakan kawasan kulit yang dirawat dengan laser. Ia juga akan merangsang kulit untuk membentuk kolagen. Ini menyebabkan kulit akan kelihatan lebih tegang, kesan parut jerawat kurang dalam serta pori pori muka kelihatan lebih halus. Proses rawatan ini perlu dilakukan beberapa sesi di antara 6 ke 8 minggu. Masalah jerawat adalah masalah utama untuk remaja . Masalah ini menjadi lebih rumit apabila remaja mula mencuba pelbagai jenis produk.

Beberapa panduan untuk remaja yang mempunyai masalah jerawat:

1. Amalkan banyak pemakanan yang mengandungi antioksidan yang tinggi seperti buah-buahan citrus, nenas, kiwi dan anggur. Kebanyakan sayur sayuran juga mempunyai antioxidan yang tinggi .

2. Stres juga boleh menjadikan jerawat tumbuh dengan banyak. Oleh itu lakukan aktiviti yang boleh mengurangkan stres dan menyihatkan seperti bersukan

3. Apa-apa produk yang diletakkan di muka mestilah bebas minyak, berasaskan air dan non-comedogenic (tidak menyumbat pori-pori muka). Gunakan pencuci muka yang sesuai dan jangan mencuci muka dengan sabun mandi.

4. Jika peralatan kosmetik anda menyebabkan tumbuh whitehead atau blackhead, tukar kepada jenama lain. Yang terbaik adalah kosmetik berasaskan mineral. Kosmetik di muka mesti dicuci sebelum tidur .

Perubahan hormon juga boleh menyebabkan jerawat yang teruk. Jika langkah langkah di atas tidak dapat membantu, rawatan seperti antibiotik, chemical peeling, photofacial dan rawatan hormon boleh membantu. Sila berjumpa dengan pakar kulit. Parut di muka selalunya disebabkan oleh kesan jerawat. Namun begitu ia juga boleh disebabkan kesan kecederaan seperti terbakar atau luka. Setakat ini belum ada produk yang boleh merawat kesan parut dengan berkesan. Jika parut itu tidak dalam, rawatan seperti chemical peeling dan microdermabrasion boleh membantu mengurangkan masalah parut. Tetapi jika parut itu dalam dan banyak, rawatan yang sesuai adalah laser CO2 atau Erbium YAG. Rawatan yang diperlukan adalah sebanyak tiga ke lima sesi. Rawatan ini adalah yang terbaik untuk masalah parut.

Jerawat di Badan
Untuk merawat Jerawat di badan, anda dinasihatkan supaya mengambil antibiotik yang sesuai seperti Minocycline HCL. Ini bertujuan membunuh bakteria yang menyebabkan jerawat itu bengkak dan sakit. Semasa rawatan antibiotik , nada perlu menggunakan krim Benzoyl peroxide (seperti jenama Oxy) agar rawatan lebih berkesan. Jika jerawat tersebut mempunyai blackhead, rawatan seperti krim tretinoin perlu digunakan. Namun begitu anda dinasihatkan bertemu doktor untuk mengenal pasti rawatan yang sesuai.